Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 22

Bab 22

 

“Adik kata adik tak nak duit perempuan tu, bu. Pulangkan aje kat dia.” Rima tegas dengan keputusannya. Biarlah dia bekerja mencari duit untuk menyambung pelajarannya. Memang seribu ringgit itu banyak tapi duit tidak boleh menebus segala-galanya. Tidak semua benda dalam dunia ini boleh ditukar ganti dengan duit ringgit.

“Ibu simpan untuk adik ya?”

 “Adik tak nak bu...adik tak nak. Adik nak guna duit ayah je, bukan duit dia.” Tegas Rima lagi. Hatinya telah bulat. Sebulat bola sepak yang selalu menjadi rebutan 11 orang pemain ketika perlawanan bola sepak di padang bola. Bezanya Rima tidak akan biarkan dirinya ditendang-tendang seperti sebiji bola.

“Hmmm...ibu tak tau macam mana nak pulangkan balik. Tak tau dia tinggal mana.” Mak Jah menggaru kepalanya, bingung sungguh dia.

“Kita simpan dulu ya, adik. Manalah tau dia datang semula nanti, boleh ayah serahkan balik.” Pak Nuar mencelah.

Rima bangun dari duduknya. Berjalan ke muka tingkap di ruang tamu. Dia merenung jauh ke langit yang menghitam. Beberapa butir bintang mengerlip dengan malas. Bulan pula entah menyorok di mana. Mungkin pada masa itu hati Rima pun sedang malap. Tak bersinar. Sayangnya dia tidak mampu untuk menyorok seperti bulan yang sembunyi di balik awan.

“Ayah nak dia datang lagi ke?” soal Rima perlahan. Pak Nuar dan Mak Jah berpandangan. Pak Nuar sesal kerana sudah terlepas cakap. Tentu Rima sedang kecil hati.

“Adik tak harap yah...kalau boleh adik nak dia pergi terus...jangan datang-datang lagi.

 "Adik...adik...adik tak nak jumpa dia sampai bila-bila.” Suaranya ditahankan supaya tidak ada air mata yang ikut jatuh.

Anak gadis itu lebih senang menangis di depan Pak Seman dan Ita daripada menunjukkan air matanya di depan ibu dan ayahnya. Sayangnya terhadap mereka membuat Rima tidak mahu melihat mereka lebih sedih bila melihatnya bersedih. Cukup sudah pengorbanan keduanya selama ini.

“Tapi tukan ibu kandung adik?” cepat-cepat Mak Jah bersuara. Niatnya hanya mahu menduga sebanyak mana Rima menolak Syidah.

“Ibu...seorang ibu yang melahirkan anaknya takkan berikan anak itu pada orang lain begitu saja. Tak pernah ambil tau...tak pernah tanya khabar. Hidup ke tak adik ni. Jadi orang ke tak adik ni. Sakit hati adik, bu...ayah!” bibirnya diketap kuat supaya dia dapat bersabar sedikit.

“Lepas adik tau adik bukan anak ibu ayah, adik selalu berdoa tak akan ada orang yang akan ambil adik dari rumah ni. Walaupun kadang-kadang adik cuba bayangkan macam mana rupa orang yang dah melahirkan adik, adik tak pernah pun ada hati nak jumpa dia...atau nak kenal dia. Malahan adik mintak supaya dia tak ingat yang dia pernah ada anak.” Sambung Rima lagi.

Nafas dihela dengan susah. Berat dada Rima. Dulu dia menyangka hidupnya akan berjalan dengan mudah tanpa ada masalah besar yang akan dilalui. Hidupnya gembira selalu dikelilingi keluarga dan saudara mara yang begitu ambil berat tentang dirinya. Sekarang jalan hidupnya mulai nampak berkabus. Kabus yang mampu membuat nafasnya menjadi pendek-pendek dan sesak tiba-tiba. Kalau berterusan begitu, sudah tentu dia akan memerlukan lebih banyak lagi bantuan pernafasan.

‘Macam ni ke kalau dah mulai dewasa? Akan banyak dugaan, banyak ujian? Berkabus-kabus...berjerebu. Hmmm...kalau macam ni, susah jugak rupanya jadi dewasa.’ Keluh Rima dalam hati.

Pak Nuar merenung duit yang diletakkan di atas lantai. Sesekali helaian kertas ungu itu bergerak-gerak disapa angin dari arah tingkap. Susunannya tidak rapi lagi. Terdetik di hati Pak Seman, bukan mudah untuk mendapatkan duit sebanyak itu dengan kerja-kerja kampung yang terpaksa dibuatnya selama ini. Untuk mendapatkannya perlu mengeluarkan peluh yang banyak. Namun ia tidak setanding dengan kasih sayangnya terhadap Rima. Nilainya tidak sepadan dengan seribu ringgit pemberian Syidah.

“Apa kita nak buat dengan duit ni?” sedang Pak Nuar melamun, Mak Jah pula bertanya.

“Entah!” balas Pak Nuar.

“Masukkan ke tabung masjid, yah. Yang penting adik tak akan ambik.” Saran Rima tanpa menoleh. Renungannya masih terarah ke langit. Kali ini bulan sudah mulai mengintai. Awan gelap yang melindunginya sudah bergerak ke tempat lain. Cahaya bulan nampak suram. Agaknya adakah pungguk yang sedang menantinya di dahan yang tinggi?

“Adik dah habis fikir?” soal Mak Jah lalu menguap. Kuapan Mak Jah segera ditutup dengan tapak tangannya. Kalau tidak sudah tentu juak-juak syaitan akan berduyun-duyun masuk melalui mulutnya yang ternganga. Kemudian akan menyusup ke aliran darah dan akan mendiami badannya dengan aman.

“Malas adik nak fikir, bu...lebih baik adik cari kerja, cari duit dengan usaha adik. Hmmm...bu, esok adik nak cari kerja. Boleh kan?” tiba-tiba Rima teringat janjinya dengan Ita. Ita akan menemaninya mencari kerja.

“Cari kerja lagi. Hari tu kerja dengan Salwa, berhenti. Apa lagi kerja apa adik boleh buat?” risau pula Mak Jah. Mana tahu dalam perjalanan mencari kerja, Syidah akan melarikan Rima dengan kereta Volvonya. Aduh! Tak dapat hendak dibayangkan betapa ngerinya.

“Apa-apalah bu. Duduk rumah sepanjang hari buat adik serabut je.” Ujar Rima.

“Mula-mula nak hindari satu masalah...sekarang dah jadi dua masalah pulak.” Kali ini suara Rima sangat perlahan. Dia bercakap pada diri sendiri.

“Apa adik cakap? Apa masalah yang pertama?” rupa-rupanya telinga Pak Nuar masih sihat wal afiat. Dia masih dapat mendengar dengan baik suara Rima.

“Errr...taklah yah. Mana ada.” Malulah kalau Rima mahu menceritakan tentang Sulaiman. Hantu yang sentiasa berlegar-legar dalam kepalanya. Hanya setelah masalah baru itu muncul, Rima hampir-hampir lupa pada Sulaiman. Malangnya, sekarang ini dia muncul lagi. Haishhh...menyusahkan saja.

“Tak boleh duduk rumah je ke adik?” rupa-rupanya Pak Nuar pun memikirkan perkara yang lebih kurang sama. Takut Rima akan dilarikan dalam perjalanannya mencari kerja. Sehati sejiwa sungguh mereka. Agaknya sebab itulah mereka hidup aman bahagia selalu.

“Adik nak berdikari, ayah. Selama ni adik dah banyak susahkan ibu dengan ayah. Lagi pun adik dah besar, kan bu?” bila menyebut perkataan ‘besar’ Rima agak ragu-ragu pula. Besarnya diukur dari sudut apa? Umur? Pertumbuhan badannya atau kematangannya? Bila memikirkan itu semua Rima selalu menjadi pening-pening lalat. Dia masih belum pasti yang dia sudah betul-betul dewasa. Ah! Dari dulu lagi perkara itu yang sering menjadi kemusykilan Rima.

“Ayah hantar ya.” Pak Nuar menawarkan diri.

“Alaaa...malulah adik yah. Adik pergi dengan Ita ajelah.” Sudah tentu Rima akan malu jika mencari kerja dengan ditemani oleh ayahnya. Nanti orang akan kata dia seperti anak kecil yang minta berteman.

Mak Jah tidak mampu menghalang. Pak Nuar tidak upaya menegah. Asalkan Rima gembira, mereka akan memberinya keizinan. Bukannya Rima hendak melakukan perkara yang tidak baik tapi dia hendak belajar berdikari. Mana tahu ia akan membantu Rima untuk menjadi lebih matang lagi.

“Yalah...pergilah. Jaga diri baik-baik. Lepas cari kerja jangan nak ke mana-mana lagi.” Ayahnya mengingatkan.

“Baik, ayah...tapi adik nak belanja Ita minum ABC gunung. Boleh kan?”

“Boleh...lepas tu terus balik.” Ujar Pak Nuar. Rima cepat mengangguk.

Mereka senyap sebentar. Terasa sunyi rumah bertiang tinggi itu bila tidak ada seorang pun yang bercakap-cakap. Rima mulai merindui Suhana yang sudah lama tidak balik ke rumah. Dia telah melanjutkan pelajarannya ke UITM. Apa yang membanggakan adalah Suhana menggunakan duit tabungannya selama dia bekerja di kedai pak long untuk digunakan sebagai duit pendaftarannya di UITM. Untuk mengharapkan kepulangan Sufiah pula, Daud terlalu sibuk dengan kerjanya setelah dinaikkan pangkat di pejabatnya.

“Bu...ayah. Siapa sebenarnya Syidah tu? Kenapa dia tak mau kat adik?” rasa ingin tahunya tiba-tiba mengasak dada. Serentak dengan itu juga terpacul soalan yang tidak dirancang telah keluar dari mulutnya. Sesudah meluahkan pertanyaan, menyesal pula dia.

“Dia tu...” Mak Jah baru membuka mulut.

 “Ermmm, tak payah ceritalah bu...adik tak nak dengar. Adik benci dia.” Cepat-cepat Rima menarik balik rasa ingin tahunya.

 “Pulak,” celah Pak Nuar pula.

“Adik benci dia?” sambung Pak Nuar.

“Entah...macam-macam perasaan ada. Benci agaknya...pak andak kata teruskan rasa benci adik.”

 “Pak andak kata macam tu? Kenapa pak andak kata macam tu pulak?” duduk Pak Nuar jadi resah. Kenapalah adiknya yang seorang itu mengajar Rima untuk membenci ibu kandungnya sendiri? Ah! Gawat! Walaupun Pak Nuar tidak sukakan kedatangan Syidah tapi dia sedar dia tidak berhak untuk menanam rasa benci dalam diri seorang anak terhadap ibunya sendiri. Dalam hati Mak Jah dia pun tidak bersetuju dengan cara Pak Seman. Biar setinggi gunung sayangnya pada Rima dia tetap tidak boleh menafikan tentang kebenaran bahawa Rima dilahirkan dari perut perempuan lain.

“Ya, ayah...pak andak kata teruskan benci dia sampai adik rasa penat. Sampai tak mampu nak benci lagi. Pak andak pesan kat adik jugak supaya jangan lupa doa lepas sembahyang, mintak dilembutkan hati adik ni. Berdoa, jangan tidak-tidak.” Rima mengulangi nasihat-nasihat yang diberi oleh Pak Seman pada siang tadi.

Senyuman dilempar oleh Pak Nuar. Lega sekali rasanya. Kalau tadi dia telah tersalah sangka terhadap adiknya, sekarang dia berbangga kerana Pak Seman mempunyai cara yang tersendiri untuk menasihati Rima. Nasihat itu tidak keras tapi penuh makna yang tersirat. Tidak juga terlalu lembut tapi dapat diterima dengan baik oleh Rima.

“Andak...andak.” Mak Jah teringat pada Pak Seman yang pandai bergurau dan pandai pula menjadi penasihat pada waktu kecemasan. Kalau dilihat dari loyar buruknya, siapa menyangka dalam kepala Pak Seman ada juga isinya.

“Pak andak baik kan bu,” lalu Mak Jah angguk.

“Sama macam abang dia.” Pak Nuar mencelah dengan selamba.

 “Mana nak sama!” bantah Rima.

“Tak sama? Ayah tak baik ke?”

“Pak andak baik...ayah jauh lebih baik. Mana ada siapa yang boleh lawan ayah. Dalam hati adik, ayah nombor satu.” Puji Rima dengan manja. Kembang kuncup hidung Pak Nuar yang kurang mancung itu. Mak Jah tersenyum bila melihat sengihan Pak Nuar yang tidak sudah.

“Sudah-sudahlah bang, koyak kain pelikat awak tu nanti.” Teguran Mak Jah membuat Pak Nuar ketawa. Anehnya ketawanya tidak terlalu ceria. Ada sesuatu yang tersorok dalam hatinya. Kejadian siang tadi begitu payah hendak dilupakan. Puas dipaksa ia tetap menghantui otaknya. Pak Nuar tidak mahu menunjukkan kebimbangannya di depan Rima. Biarlah dia bersikap biasa saja supaya Rima tidak turut terbawa-bawa dengan kebimbangan itu.

‘Ayah...agaknya adik akan terus berpeluang tengok ayah senyum tak? Senyuman ibu jugak? Adik takut yah...ibu. adik takut sangat kita akan dipisahkan nanti. Adik tak nak ikut perempuan tu! Selama ni adik cuma kenal ayah dengan ibu sebagai orang tua adik, adik tak nak orang lain rampas kegembiraan kita semua. Adik tak sanggup tengok ayah, ibu sedih sebab adik.’ Rupa-rupanya Rima lebih berhati-hati dalam menyembunyikan gelodak perasaannya yang sebenar.

Rima mahu belajar tabah. Kalau itu perjalanan yang terpaksa dilalui untuk menuju dewasa, Rima akan tempuhi. Andai sesukar itu laluannya, dia tetap tidak akan mengalah. Dia mahu membuktikan kepada diri sendiri bahawa semuanya akan mampu dilalui. Yang penting DEWASA!

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.