Bab 2
“Adik! Turun tak kamu! Dahlah ponteng sekolah, dok bertenggek je atas pokok rambutan tu dah apa kenanya? Turun sekarang!” jerit Mak Lijah yang menahan geram sambil bercekak pinggang.
“Jap lagilah bu. Tak puas lagi makan rambutan.” Rima berjengkit di atas dahan untuk menggapai buah rambutan masak kuning yang susah dicapai.
“Lain kali tak payah panjat, kait je dari bawah. Tak senonohlah ibu tengok anak dara ibu terkangkang-kangkang macam tu. Turun cepat!” leter Mak Lijah lagi.
“Susahnya ibu ni. Apa adik buat semua tak boleh. Yalah, yalah.......adik turun ni.”
Mak Lijah duduk di atas batu di pangkal pokok rambutan. Kain batik yang menutupi rambutnya dijadikan pengesat peluh. Penat juga menyapu sampah yang bersepah di halaman rumah. Matanya memerhati sekeliling rumah. Sejuk mata memandang dengan pokok-pokok berdaun hijau di sekitar rumah papannya.
“Ibu rindu kak long kamu,” ucap Mak Lijah tiba-tiba. Tidak ada sahutan. Mak Lijah mendongak semula ke pokok rambutan.
“Tak turun lagi rupanya dia. Ibu jolok dari bawah nanti.” Ugut Mak Lijah lalu bangun dan mengambil sebatang galah panjang berpengait di hujungnya.
“Turun tak kamu? Nak turun ke tak?”
“Iya bu. Memang nak turun dah, pastu nampak setangkai ni hah. Dah masak betul ni. Nak tak, bu? Adik ambil untuk ibu ya.” Tidak mahu melihat Mak Lijah marah, Rima mahu membodek ibunya.
“Tak payah! Turun kamu!” Hujung galah panjang berpengait dihalakan ke punggung Rima. Rima mengelak sambil mulutnya riuh terjerit-jerit. “Tak nak bu! Janganlah bu! Adik turun ni, adik turun.” Kelam-kabut Rima memijak satu persatu dahan rambutan untuk turuh ke bawah.
Hati Mak Lijah menggeletek gelihati melihat kerenah anak bongsunya yang berperangai seperti budak lelaki. Ketawanya tidak boleh ditunjukkan, kalau tidak Rima akan naik lemak. Mukanya mesti nampak tegas dan serius. Barulah Rima akan cuak hati dan mendengar kata. Entah bila agaknya Rima akan jadi perempuan. Nasib baik dia bertudung bila ke sekolah. Kalau tidak, berambut jantanlah dia.
“Penatnya adik terpaksa turun laju-laju. Ibu selalu ugut adik,” sungut Rima dengan nafas penatnya.
“Tu bukan ugut tapi satu cara nak suruh adik turun. Berkesan kan.” Hati Mak Lijah sedang ketawa kuat.
Rima tetap dengan muka selambanya. Dia duduk di sebelah Mak Lijah lalu melentukkan kepala pada bahu Mak Lijah. Satu perkara yang membuat Rima rasa selesa. Kedua kakinya digoyangkan ke kanan dan ke kiri. Tangan kanannya memaut tangan kiri Mak Lijah. Ibunya membiarkan saja.
“Kan ibu dah selalu tegur, duduk elok-elok sikit. Jangan kangkang kobak kaki tu. Aib tu adik.” Tidak jemu-jemu Mak Limah cuba membentuk Rima yang masih boleh dilentur.
Cepat-cepat Rima merapatkan semula kakinya. Dia bernyanyi kecil sambil membayangkan sebuah motosikal merah jambu. ‘Cepatlah aku besar. Nanti boleh beli motor merah jambu. Comel, comel.’ Angan-angan dipasang dalam diam. Mak Lijah pula sedangmembayangkan kak long Rima bercuti di kampung. Tentu seronok dapat bermain dengan cucu tunggalnya yang baru berusia dua tahun.
“Bu!”
“Ya.”
“Kalau adik ada motor, best kan bu. Lebih-lebih lagi kalau warnanya merah jambu. Adik naklah bu. Beli satu untuk adik.”
“Banyak cantik muka kamu. Ayah tu berbasikal ke sana ke mari. Kamu pula yang sibuk nak beli motor,” sahut Mak Lijah dingin. Kurang senang kerana Rima telah mengganggu lamunannya sedang bermain-main dengan Fina, cucu kesayangannya.
“Tak boleh jugak. Nak motor tak boleh, panjat pokok tak boleh...banyaknya yang tak boleh. Bosanlah adik macam ni bu.”
“Memanglah tak boleh. Adik selalu buat benda yang pelik-pelik. Cuba jadi macam budak perempuan lain. Tolong ibu kat dapur, buat kerja-kerja rumah. Ini tidak, sekolah pun selalu ponteng,” bebel Mak Lijah.
Bebelan Mak Lijah berterusan. Macam bertih digoreng. Mahu saja Rima menekup telinga tapi takut telinganya yang agak capang dipiat oleh ibunya. Kadang-kadang tangan Mak Lijah akan jadi macam tangan ketam. Kuat mencubit. Mahu tak mahu Rima terpaksa menadah telinga, duduk diam-diam hingga Mak Lijah penat untuk membebel lagi. Mak Lijah memang lebih garang berbanding Pak Nuar tapi Rima sangat sayang pada ibunya.
“Aaaa, leganyaaa...,” ujar Rima yang nakal sebaik saja Mak Lijah berhenti berleter.
“Apa yang lega?”
“Telinga adik,” lalu Rima ketawa kecil. Mak Lijah hanya mampu menggelengkan kepala.
“Adik, naik ke dapur kejap. Ambilkan ibu sebotol air masak. Keringlah tekak ni. Kejap lagi ibu nak tengok pisang kat kebun belakang tu.”
“Ibu asyik bebelkan adik sebab tu haus.”
“Dah...dah, jangan banyak cakap. Pergi cepat.” Mak Lijah bangun lalu mengibas belakang punggungnya, membuang habuk yang melekat pada kain batiknya. Sehelai lagi kain batik dililitkan ke kepala. Badannya dipusing ke kanan dan ke kiri untuk membetulkan pinggang. Selepas ini akan lebih banyak lagi tenaganya akan digunakan. Sementara Pak Nuar menoreh di kebun getah, Mak Lijah akan membantu apa yang patut di kebun belakang rumah.
Tanpa banyak soal lagi Rima berlari-lari lenggang mengikut irama lagu yang didendangkan perlahan. Ekor mata Mak Lijah yang memerhati larian Rima telah terpaku pada belakang Rima. Wanita itu menelek dengan lama. Setelah pasti dengan apa yang dilihatnya, dia segera melaung Rima. Rima terhenti, menoleh ke arah Mak Lijah dengan muka kehairanan.
“Ibu dah tak nak minum ke bu?”
“Sini kamu, adik! Sini cepat ibu tengok.” Tangan Mak Lijah menggamit mahukan Rima cepat-cepat berpatah balik.
Rima berjalan laju. Hairan dengan sikap ibunya. ‘Dah kenapa dengan ibu ni?’ bisik Rima. Sebaik dia berdiri di hadapan Mak Lijah, orang tua itu memusingkan badan Rima.
“Ya Allah! Adik! Kamu dah besar dik!” ujar Mak Lijah. Rima terpinga-pinga. Sudah besar? Baru beberapa minit dia berlari-lari untuk naik ke atas rumah, kemudian berpatah balik tiba-tiba saja dia sudah besar. Rima langsung tidak memahami kata-kata Mak Lijah.
“Apa bu? Ibu ni buat adik takutlah.” Rima berdebar-debar. Berpeluh ketiaknya.
“Ni tengok, apa yang ada kat belakang baju adik ni.” Blouse kelabu Rima ditarik ke hadapan oleh Mak Lijah untuk menunjukkan sesuatu kepada Rima.
“Ibuuu...” Rima hampir menangis. Melihat belakang blousenya, debaran dada bertambah
kuat. Dia berpaling lalu berlari masuk ke bilik air. Tergesa-gesa Mak Lijah mengambil sehelai tuala yang tersidai di ampaian di bawah rumah. Selepas itu dia terkejar-kejar pula ke bilik air untuk memberikan tuala kepada Rima.
“Adik, ni kain tuala. Buka seluar kamu, ganti dengan tuala ni.” Pintu bilik air dikuak sedikit. Rima menghulurkan tangan untuk mengambil tuala yang diberikan oleh Mak Lijah. Selepas itu pintu ditutup semula. Mak Lijah yang menanti di luar senyum-senyum kambing. Dah besar anak daranya!
Daun pintu dikuak lagi. Terjengul kepala Rima. Mukanya masam kelat. Pucat. Baru Mak Lijah mahu bertanya, Rima menutup pintu semula. Mak Lijah memasang telinga. Bunyi air yang mengalir dari paip air tidak henti-henti. Kemudian senyap semula. Mak Lijah menunggu di luar dengan sabar.
Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi air lagi. Lama. Mak Lijah menarik nafas. Penat menunggu. Sekali lagi Rima menjenguk keluar. Panjang lehernya meninjau Mak Limah. Kali ini mukanya lebih pucat. Kasihan Mak Lijah melihatnya.
“Bu, dah cuci tapi ada semula bu. Adik takut.”
“Memanglah macam tu, adik. Dah, dah, keluar terus. Kita naik atas nanti ibu ajar apa adik kena buat,” sahut Mak Lijah.
“Kalau adik jalan kena kaki macam mana bu?” Anak dara kecil bertambah panik. Pengalaman pertamanya betul-betul menakutkan.
“Taklah. Dia bukannya terus-menerus keluar. Jom cepat.” Tangan Rima ditarik oleh ibunya. Selincah-lincah dan senakal-nakal Rima, dia menjadi lembik dan tewas dengan perkara yang satu itu. Mak Lijah tersenyum tiba-tiba.
“Ibu ketawakan adik ya?” Rima berasa hati.
“Tak! Cuma ibu bangga, anak ibu dah besar.”
“Hmmm...” gumam Rima sambil melangkah dengan longlai.