Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 31

Bab 31

 

 

Tidak ada guru yang sedang berada di bilik guru Sekolah Menengah Seri Tanjung. Rima menarik nafas lega, tamat sudah sesi pembelajaran Bahasa Malaysia untuk tingkatan 4 Sastera 1. Dia meluruskan sebentar kakinya yang lenguh akibat terpaksa turun naik setiap tangga kelas di dalam bangunan dua tingkat itu. Lebih selesa memanjat pokok jambu susu atau pokok rambutan daripada naik turun tangga kelas.

 Melihat tidak ada sesiapa, Rima mendepangkan kedua tangannya lalu menggeliat ke kanan dan ke kiri...legaaa. Selepas itu dia menguap dengan sungguh-sungguh. Mengantuk betul matanya. Untuk menghilangkan rasa mengantuk, Rima meliuk-lintukkan badan sebagai satu senaman.

“Dengarnya esok akan ada guru penolong kanan baru.” Tiba-tiba kedengaran suara.

“Eh! Mak kau!...errr...cikgu...ala malunya saya. Ingatkan tak ada sesiapa tadi. Cikgu Badrul tak nampak apa-apa kan?” Seperti biasa, Rima yang mudah gelabah tetap gelabah. Kulit mukanya mula bertukar-tukar warna. Terkejut, malu dan terasa seperti orang dungu. Terasa sudah engkar pada pesanan Mak Jah supaya dia menjadi guru yang beradab sopan pun ada juga. Ah! Susah juga mahu menjadi guru yang bersopan santun dan anggun.

“Mata saya masih sihat lagi, Cikgu Rima. Lebih-lebih lagi kalau cuma ada cikgu seorang je dalam bilik guru ni. Saya ada di sebalik almari belakang tu tadi.” Balas Cikgu Badrul lalu tersenyum sinis.

‘Cis! Sindir adiklah tu,” omel Rima dalam hati.

 “Ooo...macam tu!” ucap Rima yang cuba berlagak selamba.

 “Cikgu kata esok ada guru baru ya?” sambung Rima untuk membuang rasa tidak selesa dengan mata Cikgu Badrul yang seolah-olah ada penyakit alahan. Tentu matanya sedang gatal sebab itu terkenyit-kenyit.

“Lain kali datang ke sekolah awal sikit, Cikgu Rima. Boleh dengar apa pengetua cakap masa di perhimpunan.” Ujar Cikgu Badrul.

 “Apa nak buat, saya tumpang bas sekolah. Bas rosak tadi.” Balas Rima dengan malas. Seleranya mahu bersantai-santai sendirian telah terbantut.

“Tumpang bas sekolah memang leceh. Kalau nak saya ambil dan hantar pun boleh juga. Tak adalah terpaksa bersesak dalam bas buruk tu.” Tidak tahulah Cikgu Badrul masih menyindir, ajak-ajak ayam atau bersungguh-sungguh. Yang pasti Rima tidak berminat dengan ketiga-tiga alasan itu.

“Lebih beruntung daripada saya terpaksa jalan kaki, Cikgu Badrul. Walaupun bas tu buruk tapi keselamatannya lebih terjamin.” Rima berniat mahu menyindir. Cikgu Badrul sedar atau tidak, dia peduli apa. Yang penting niatnya sudah terlaksana. Hah, rasa lega dapat memulangkan paku buah keras.

“Garang juga Cikgu Rima ni rupanya.” Beruntung sungguh Rima, Cikgu Badrul seperti menyedari sindirannya.

“Eh, tak adalah cikgu. Saya biasa je.” Menyesal pula bila sudah bersikap sinis. Sekali lagi Rima terlupa pesanan Mak Jah. Sopan, sopan, sopan. Huh, Rima rindukan waktu-waktu dia menjadi kaki gaduh. Juki, Ziman, Zulkarnain dan Suhanalah yang selalu menjadi tempatnya berbalah. Sudah menjadi guru perlu berubah semuanyakah?

 “Guru baru tu lelaki ke perempuan, cikgu?” Cepat-cepat Rima menukar perbualan.

 “Lelaki...namanya Zulkarnain. Bekas ketua pelajar sekolah ni juga. Sebelum ni dia bertugas di Pahang, minta tukar ke sini.”

 “Hahhh! Zulkarnain? Alahai kenapa mesti dia pulak?” suara Rima yang separuh menjerit membuat Cikgu Badrul berasa pelik. Memang aneh sikap guru yang seorang ini. Cantik memang cantik tapi ada masa sikapnya tidak boleh dijangka.

 “Kenapa? Cikgu Rima kenal dia ke?” soal Cikgu Badrul lalu Rima mengangguk laju.

 ‘Keciknya dunia ni, asyik-asyik jumpa orang yang sama. Dia pulak tu! Kenapalah adik mintak mengajar kat tempat sendiri?’ bisik Rima tidak puas hati.

“Rasa macam kenal...” Rima buat-buat ingat-ingat lupa.

Lega hati Rima bila melihat jam di tangannya. Hanya ada beberapa minit saja lagi loceng akan berbunyi. Bermakna tamatlah sesi persekolahan untuk hari itu. Cepat-cepat Rima mengemas meja, mengambil apa yang perlu untuk dibawa balik. Kalau boleh dia mahu berlari keluar untuk merebut bas. Kalau tidak jangan mimpi dia akan dapat duduk dengan selesa. Malangnya Rima malu-malu kucing dek Cikgu Badrul yang setia menjadi pemerhati tidak bergaji.

‘Ha dah bunyi pun!’ sengih Rima dalam hati.

 “Saya balik dulu, Cikgu Badrul!” lalu dia bergegas untuk keluar.

 “Eh! Nantilah...tumpang saya je, Cikgu Rima!”

 “Tak payahlah susah-susah. Terima kasih aje...saya lebih bahagia naik bas.” Balas Rima lalu ketawa. Dia terus melangkah keluar tanpa menghiraukan Cikgu Badrul yang terlopong melihat sikap Rima yang selamba.

 “Jual mahal!...ada jugak perempuan macam ni dalam dunia!” bebel Cikgu Badrul sendiri.

 

 

“Haishhh, penat aje adik jalan laju-laju! Tak ada jugak bas ni...rosak lagi ke? Hai, bilalah nak dapat motosikal pink ni?”

 “Cakap dengan siapa cikgu?” tegur seorang murid yang lalu.

 “Errr...takkk...hmmm, cakap sorang-sorang,” sahut Rima lalu murid itu tersenyum.

‘Betul ke tidak Cikgu Rima ni?’ bisiknya sambil berlalu.

 ‘Jangan dia ingat adik tak betul, dahlah,” desis Rima pula. Selepas meninjau ke kaki Bukit Belanda, Rima berasa lega. Tidak ada kumpulan monyet yang sedang bermain-main di situ. Kejadian tempohari telah membuat Rima fobia. Mujurlah ada hero yang membantunya. Hero? Eh! Mana dia?

Mata Rima liar, mencari-cari. Tidak nampak pula lori berkepala merah yang membawa baja padi. Tiba-tiba berhenti sebuah motosikal TZM di tepi pagar sekolah. Perhatian Rima beralih ke motosikal itu tapi hanya sebentar. Untuk apa pandang lama-lama, dia tidak terliur motosikal sebesar itu. Hanya motosikal kecil berwarna merah jambu yang menjadi idamannya.

 Bosan mencari lori kecil berkepala merah, Rima menoleh sekilas ke arah TZM semula. Kali ini penunggangnya tidak lagi bertopi keledar. Dia sedang memandang tepat ka muka Rima. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Rima. Gluppp...dia? Rima menelan air liur. Mukanya cepat-cepat dilarikan. Kenapalah dengan yang seorang ini dia selalu malu-malu...terus jadi sopan. Hishhh!

 ‘Berapa umurnya? Siapa mak ayahnya? Tinggal kat mana?’ Spontan persoalan yang ditimbulkan oleh Mak Jah dan Sufiah menghantui kepalanya.

‘Nak tanya ke tak ni?...alahai malunya...tanya ke tak?’ Sedang Rima bersoal-jawab dengan dirinya sendiri, dia melihat seorang murid menghampiri Sulaiman.

 ‘Cantiknya!...siapa tu?’ Puji Rima berbaur satu perasaan yang dia tidak pasti. Cemburu? Entah!

 Dilihatnya Sulaiman mengambil beg sekolah murid perempuan itu lalu diambil sebuah buku tulis dari dalamnya. Sulaiman sedang menulis sesuatu di atas sehelai kertas yang dikoyak dari buku nota. Malas untuk Rima memerhati lagi sedangkan Sulaiman acuh tak acuh kepadanya.

‘Kan dah janji tak boleh jumpa!’ suara hati Rima mengingatkan.

 ‘Lahai susahnya, dahlah hari-hari depan mata,’ bantah separuh lagi hatinya.

 “Diamlah!” ujar Rima perlahan, memberi amaran pada diri sendiri.

“Cikgu!” tegur satu suara. Cepat-cepat Rima menekup mulutnya yang tidak tahu diam. Dalam hatinya berdoa mudah-mudahan murid perempuan itu tidak mendengar dia bercakap sendiri.

 “Eh, ya...ya, saya. Ada apa?” soal Rima terkulat-kulat. Murid perempuan yang cantik tadi sudah berada di depan matanya.

 “Saya Qila...ini, pak alang saya beri untuk cikgu.” Sehelai kertas putih bergaris biru diserahkan kepada Rima. Segan-segan Rima mahu membukanya. Lebih-lebih lagi tidak ternampak senyum di muka Qila. Gerun Rima melihatnya.

 “Terima kasih.” Ucap Rima senyum, sayangnya tidak berbalas. Amboi! Sombongnya! Rima tidak tahu, dia harus menangis ataupun suka. Sungguh! Muka murid yang tidak pandai senyum itu membuat Rima terasa hendak menangis. Seminit, dua minit, tiga minit...dia tidak juga berlalu. Malulah Rima untuk membaca kandungan kertas putih suci itu di depan orang lain. Lebih-lebih lagi orang yang mukanya seperti hendak menelan orang lain.

Sulaiman pula langsung tidak memandang ke arahnya.

“Bacalah!” ujar murid perempuan itu. Erkkk!...tegasnya!

 “Sekarang?” soal Rima teragak-agak.

“Sekarang.” Balasnya.

Mahu tidak mahu Rima membuka lipatan kertas itu. Qila memerhati dengan tidak berganjak. Tegak seperti patung besar yang sempurna. Rima benar-benar tidak selesa. Terasa dirinya sedang berdepan dengan Hitler yang bermisai kontot. Belum pernah dia merasa tercabar oleh ‘budak’ sebesar itu. Mujurlah dia adalah seorang guru yang mesti bersopan santun dan bertata susila.

 Kenapa belum balik lagi?...hmmm, hanya empat patah perkataan yang terpamer di kertas putih suci itu. Rima mahu ketawa tapi ditahankan saja. Dijelingnya Qila yang masih belum pergi. Kali ini Rima tidak mahu membazirkan senyumannya yang manis. Buang masa kalau tidak berbalas.

 “Balaslah.” Sekali lagi Hitler bermisai kontot memberi arahan.

 “Perlu ke?” Sudahnya Rima menjadi seperti seorang askar yang dikerah.

 “Iya...paklang kata, balas.”

 ‘Apa adik nak tulis ni? Nak tulis panjang ke pendek?...dia ni pulak dah macam tugu...nasib!...nasib!” keluh Rima.

Cepat-cepat Rima mengambil sebatang pen biru. Dia mesti menulis sesuatu. Tidak kira ia panjang atau pendek. Yang penting, tulis!

 Masih ada kat sini kan, belum baliklah. Kalau adik dah ada motosikal pink, baru adik boleh balik cepat. Berapa umur awak? Tinggal mana? Siapa mak ayah awak? Soalan ini bukan soalan adik tau tapi ibu dan kak long yang tanya.

 ‘Cukuplah...nanti Hitler marah.’ Terasa hendak ketawa dalam hati. Kertas itu cepat-cepat dihulurkan kepada Qila yang menjadi orang tengah semula. Laju Qila pergi. Rima hanya mampu menahan baki ketawa dalam hatinya. Disangkankan dirinya yang pelik, rupa-rupanya ada yang lebih pelik daripadanya.

Tidak sampai sepuluh minit Qila berpatah balik. Dihulurkan kertas yang sama sekali lagi. Seperti siaran rakaman yang diulang tayang. Bezanya kali ini Rima malas mahu memberikan senyuman mahalnya. Membazir! Biar buku bertemu dengan ruas.

 Ooo...adik suka pink. Umur 28 tahun 3 bulan 15 hari. Tinggal di Sawah Sempadan. Mak ayah hidup lagi, sihat wal-afiat. Nama ayah, Mohd Nor, ibu nama Kamariah. Jawapan ini bukan untuk adik tapi untuk ibu dan kak long adik.

 ‘Alamak! Tuanya...hmmm...6 tahun lebih tua.’ Sempat juga Rima berbisik.

 “Terima kasih .” Ucap Rima dengan harapan orang tengah akan cepat pergi. Harapannya sia-sia. Orang Qila masih tegak di situ.

 “Tak nak balas lagi?” soal Qila lalu Rima menggeleng. Tidak tahu apa yang mahu ditulis lagi. Barulah Qila berlalu. Tidak lama kemudian TZM hitam melewati Rima, Sulaiman mengangguk sambil menghadiahkan senyuman dan terus pergi. Bas sekolah yang ditunggu oleh Rima masih tidak terlihat kepulan asap hitamnya. Bas yang buruk dan uzur itu mungkin rosak lagi.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.