34
“AIYAAA… muka
banyak sedih. Apa kena amoi?” Poh Chong menegur Melah yang langsung tidak
senyum.
“Tak ada apalah, Umar. Kepala sakit
sikit ni.” Melah memicit-micit dahinya dengan jari.
“Tak sihat ka? Duduk rumahlah. Tak mau
jual emas. Ada order, call pun boleh
ma.”
“Duduk rumah kepala makin sakit. Lebih
baik saya kerja, cari duit.” Matanya
pula ralit melihat barangan kemas yang bersusun. Melihat emas yang banyak sudah
menjadi satu kepuasan buat Melah. Sudah lama dia jatuh cinta kepada emas 916.
Hanya kewangan yang tidak mengizinkan untuk dia memiliki semua itu.
Ejul pula hanya menghadiahkan dua
bentuk cincin semasa perkahwinan mereka. Melah tidak suka meminta, dia lebih
suka berdikari. Memiliki sesuatu dengan hasil usaha sendiri adalah satu
kepuasan buat dirinya.
“Lu banyak rajin, amoi. Sebab tu wa
suka sama lu… tapi lu sudah kahwin. Wa tak boleh jatuh cinta sama lu lagi,”
seloroh Poh Chong.
Melah tersenyum. “Satu hari nanti Umar akan jumpa juga gadis yang baik,
rajin.”
“Amoi… nama wa sudah tukar Umar. Wa
ingat Zara datang sini cari wa. Dia marah-marah. Perempuan banyak gila!”
Poh Chong terkenangkan Zara yang telah datang ke kedai emasnya pada
minggu lepas. Tauke kedai emas itu sudah tidak berasa pelik dengan sikap Zara.
Anak dara itu memang cukup dikenali di sekitar kampung hingga ke Pekan Kemboja.
Zara yang lepas laku.
“Kenapa dia marah?”
Sengaja Melah bertanya sedangkan dia
sudah tahu jawapannya. Semuanya gara-gara Zara cemburu sesudah mengetahui Melah
menukar nama Poh Chong kepada Umar. Hanya Melah tidak menyangka, Zara nekad
berjumpa Umar.
“Dia marah nama wa sudah tukar Umar.
Wa kata, wa punya nama Poh Chong. Lu saja panggil Umar… ha ha ha, lu mau tau
ka, amoi?” Beria-ia Poh Chong.
“Apa dia?”
“Dia ajak wa kahwin. Wa kata tak mau
potong… ha ha ha.” Poh Chong merasakan
kisah itu sangat lucu. Menyepet matanya bila beria-ia ketawa.
Melah cuma ketawa kecil. Otaknya masih serabut. Dia tidak dapat melupakan
begitu saja kebiadapan Arief dan Zara. Dia tidak boleh berdiam diri, Arief akan
naik lemak nanti.
“Umar… saya teringin nak beli rantai
tangan yang ni. Cantik.” Jari telunjuk Melah menuding ke arah seutas rantai
emas. Sebelum Poh Chong mengarut lebih lama lagi, lebih baik dia bercerita
tentang perkara lain. Bukan boleh dilayan sangat tauke emas itu.
“Boleh… boleh. Amoi punya pasal, wa
bagi diskaun.” Cepat Poh Chong mengeluarkan rantai tangan itu daripada bekasnya
lalu diberi kepada Melah untuk dibelek-belek.
“Berapa harga, Umar?” Melah mengenakan
pada tangannya. Padan!
“3k… ini wa sudah kasi kurang. Wa bagi
amoi harga cash, tapi bayar
bulan-bulan ma.”
Berkenan sungguh Melah. Dia tidak
menawar harga kerana percaya Poh Chong memberinya harga murah. Dia
mencongak-congak. Berapa RM yang mampu dibayar untuk sebulan. Dia tidak mahu
meminta Ejul untuk membayarnya. Prinsipnya, berdikari. Jika Ejul memberi duit
saku, duit itu akan disimpan di dalam bank.
“Hmm… simpan untuk saya, Umar. Saya tak mau hutang, biar saya
simpan duit dulu.” Rantai diserahkan semula kepada Umar.
Rantai tangan itu diambil oleh Poh
Chong. Dia merenungnya, kemudian melihat Melah pula. Beberapa saat selepas itu,
rantai tangan itu disorong semula di depan Melah.
Melah hanya memerhati tanpa mahu menyentuhnya lagi. Bila tiba masa,
barulah akan menjadi haknya.
“Amoi boleh pakai sekarang.” Poh Chong
senyum.
“Lambat lagi, Umar. Awak simpan dulu.” Melah
bersuara lemah.
“Kita kawan, ma. Wa percaya sama amoi.
Ambil barang dulu, ada
duit amoi bayarlah. Kalau
letak sini, nanti ada orang lain mau beli.” Kelihatan Poh Chong begitu
bersungguh.
“Biar betul! Kalau saya lari macam
mana?” Melah pula yang garu kepala. Seperti tidak percaya dengan apa yang
didengarnya.
“Wa sudah kata, percaya sama amoi.
Amoi lari wa pun tak panggil polis, ma.” Tauke emas itu ketawa lagi.
Naluri kewanitaan yang sukakan
barangan kemas menggoda Melah. Design
rantai emas itu benar-benar menarik minatnya. Sesudah dicampur tolak, darab dan
bahagia, Melah nekad menerima tawaran Poh Chong. Dia yakin akan mampu
membayarnya.
“Saya ambil. Nanti Umar kira berapa
saya kena bayar.” Seronok bukan main Melah. Rantai itu sudah menjadi miliknya
tanpa perlu membayar terlebih dulu.
“Cantik! Cantik!” puji Poh Chong
sebaik Melah mengenakan rantai itu pada tangannya.
“Oh ya, sebenarnya saya datang nak
ambil barang untuk pelanggan saya. Ada sorang kakak beli cincin… cash.”
Sama seperti ketika berdepan dengan
Arief, Melah juga tidak mahu berlama-lama dengan Poh Chong. Baginya, lelaki
tetap lelaki. Tidak manis kalau terlalu diberi muka. Cepat-cepat dia
mengeluarkan katalog daripada beg hijau untuk ditunjukkan kepada Poh Chong.
“Yang ni.” Melah menunjukkan kod
cincin yang dibeli oleh pelanggannya.
“RM932, ma…” kata Poh Chong.
Melah angguk.
Taukeh emas itu mengeluarkankalkulator dari dalam laci. Dia mengira
bahagian yang akan diberi kepada Melah. Beberapa keping duit kertas dikeluarkan
dari laci simpanan. Poh Chong mengira sekeping demi sekeping. Melah hanya
memerhati.
“Ini amoi punya… RM186.40.” Duit
dihulurkan kepada Melah.
Melah menerima dengan gembira.
“Banyak juga ni, Umar.”
“Rajin-rajin jual, ma. Boleh dapat lebih banyak lagi.” Poh Chong memberi
semangat.
“Sudah tentu. Hah, saya nak Umar
simpankan rantai kaki kanak-kanak kod C734. Dah ada yang booking. Umar jangan bagi pada orang lain.”
Melah menunjukkan helaian katalog yang
lain. Poh Chong angguk lalu mencatatkan sesuatu pada buku rekodnya. Urusan
bersama Poh Chong sudah selesai. Melah mahu bergegas pulang untuk memasak.
Sudah tentu Ejul akan kelaparan bila balik ke rumah nanti.
“Okey, Umar. Saya balik dulu. Ada
katalog baru, WhatsApp saya ya,” pesan Melah sambil bangkit dari kerusi pusing.
“Okey, amoi… baik-baik jalan, ma.” Poh
Chong juga memberi pesanan. Dia menganggap Melah sebagai seorang kawan yang
baik.
Melah mengucapkan terima kasih dan melangkah meninggalkan kedai. Dia
mengerling rantai tangan barunya sambil tersenyum lebar.
‘Hi hi… cantiknya rantai tangan baru
aku.’ Rasa sakit hati Melah terhadap Arief dan Zara terpujuk oleh rantai tangan
barunya.
Dia berharap Ejul pun akan suka dengan
rantai tangan yang menjadi pilihannya itu. Langkahnya diatur pantas. Takut
ketinggalan bas. Kalau dia ketinggalan bas yang akan tiba 15 minit lagi,
bermakna dia akan menunggu lebih lama lagi untuk bas seterusnya.
‘Sejak aku balik dari Tanjung Aru, aku
dah tak pernah nampak Jelan lagi. Mana dia dah pergi? Kenapa selama ni aku tak
pernah ambil tau mana dia duduk. Mana satu rumah dia.’
Hati yang ceria berubah hiba pula. Dia
masih gagal membuang ingatan terhadap pemuda itu. Setiap kali mengingatinya,
ada denyutan sakit pada dadanya. Denyutan rindu. Rindu yang tidak seharusnya
ada. Rindu yang terlarang. Semua itu membuat Melah terseksa batinnya.
‘Tak dapat bercakap dengan dia,
cukuplah kalau aku nampak kelibatnya. Aku akan puas hati walaupun cuma
mengintai dia dari jauh.’ Sambil berjalan, Melah melayan perasaan.
‘Astaghfirullah… Ya ALLAH. Berdosanya
aku mengingati lelaki lain selain suamiku. Ampunkan aku, Ya ALLAH.’
Cepat-cepat Melah membuang ingatan itu
ke dalam longkang. Biar mengalir bersama air longkang dan dibawa pergi ke mana
saja. Dia perlu mengosongkan semula kotak fikirnya. Sesudah kosong, perlu diisi
pula dengan satu nama… Ejul, Ejul dan Ejul.
“Eh, macam kenal je dorang tu.” Sedang
dia berjalan, matanya tertancap pada dua orang yang sedang bercakap-cakap di
tepi sebuah gerai buah-buahan.
Langkah kaki Melah terhenti. Seakan
ada brek angin yang membuat dia berhenti mengejut. Diperhatikan dua orang perempuan yang tidak
asing pada penglihatannya. Kejutan itu sudah dijangka. Hanya dia tidak
menyangka ia akan berlaku secepat itu.
“Ada juga dia! Kurang ajar punya Zara!
Geram betul aku. Nanti kau Zara! Yang ibu dengan dia tu, kenapa pula?”
Di bawah matahari yang semakin
meninggi, terasa hendak meledak kemarahan Melah. Dengan dua biji mata, dia
melihat Zara dan Mak Chah di gerai buah-buahan. Sejak bila pula Zara begitu
rapat dengan orang tua itu?
Melah mahu bersemuka dengan Zara. Mahu
membuat perhitungan. Melah meramas-ramas buku lima. Gigi atas dan gigi bawahnya
hampir berlaga. Kali ini, kesabarannya benar-benar teruji. Yang menjadi
persoalan, adakah Mak Chah juga terlibat?
“Nanti kau!” Mukanya berkerut-kerut,
marah.
Melah membatalkan niat untuk ke
perhentian bas. Dia berpatah balik untuk menuju ke deretan gerai menjual
buah-buahan. Dia mahu bertemu empat mata dengan Zara. Apa yang telah
dilakukannya bukan satu perkara remeh.
Maruah dan harga dirinya sebagai
isteri Ejul telah dipermain-mainkan. Apa yang lebih menyakitkan hati, sanggup
Zara bersekongkol dengan dudanya yang tidak berguna itu. Dia menyangka semua
masalah akan berakhir setelah berkahwin dengan Ejul. Malangnya, lain pula yang
terjadi.
“Eeii… geramnya aku tengok!
Tergelak-gelak, tersengih-sengih. Memang dasar gedik kau, Zara. Kena sangatlah
dengan duda aku yang sememeh tu.” Sungutan Melah seiring kakinya melangkah.
Ponnn! Ponnn! Sebuah kereta
membunyikan hon bila melihat kecuaian Melah sewaktu hendak melintas. Melah
terlupa untuk menoleh ke kiri dan kanan terlebih dulu. Mujur dia sempat undur
semula. Kalau tidak, mungkin akan melayang nyawanya.
“Apa aku dah buat ni?” Melah mengurut
dada. Terkejut dengan amaran daripada kereta yang lalu tadi.
Bunyi hon telah menarik perhatian
Zara. Mereka menoleh ke seberang jalan. Dalam masa yang sama, Melah sedang
memandang ke arah mereka. Melah terasa mahu menjerit dan memaki mereka.
Terpaksa ditahankan kerana tempat dan keadaan tidak sesuai.
“Hei! Tunggu aku! Korang nak lari ke
mana tu?” jerit Melah sebaik melihat Zara menarik tangan Mak Chah untuk
meninggalkan tempat itu.
“Itu Melah!” Tuding Mak Chah bila
terdengar suara Melah dari seberang jalan.
Wanita tua itu mahu berhenti dan
mendapatkan Melah. Zara tidak mengendahkan. Tangan Mak Chah ditarik dengan
keras. Mak Chah terpaksa juga melangkah mengikut Zara. Melah yang sudah berjaya
melintas, cuba berjalan dengan laju. Zara mesti didepani.
“Kurang asam! Tau pun takut!” bebel Melah
bila mendapati Zara sudah semakin jauh meninggalkan tempat itu.
“Hisy! Ibu pun bukan main lagi!” Melah
kesal.
Apabila Zara dan Mak Chah menghilang
di satu lorong kedai, Melah berhenti menjejak. Dia berpatah balik untuk ke
perhentian bas. Kemarahannya belum surut, tapi ada hal yang lebih penting lagi
perlu difikirkan. Dia perlu memasak untuk Ejul.
“Kau tak akan selamat kalau buat kerja
jahat, Zara. Suatu hari nanti ALLAH akan tunjukkan kebenaran.” Melah pasrah.