Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 15

Bab 15

“Laksa! Bihun sup! Sebungkus seriggit setengah aje...singgah kak, abang.” Tanpa malu Rima memanggil pengunjung pasar malam yang lalu-lalang. Salwa sedang sibuk melayan pembeli yang agak ramai. Ayah Salwa, Pakcik Hamid juga tidak memang tangan. Rima memasukkan kuah laksa dan sup ke dalam plastik kecil dengan berhati-hati. Panas!

Pasar malam Paya Jaras memang cukup meriah pada penghujung bulan. Kebanyakan pekerja sudah mendapat gaji bulanan mereka. Tidak salah kalau sesekali malas memasak di rumah dan menghabiskan beberapa belas ringgit untuk membeli makanan di pasar malam.

“Cepat sikit, Rima. Makcik sana tu nak tiga bungkus laksa dan empat bungkus bihun sup. Kalau ayam carik tak cukup, engkau ambik kat dalam van tu.” Arah Salwa yang tidak menang tangan.

Rima kebingungan. Untuk pengalaman pertamanya, ia memang betul-betul memenatkan dan memeningkan. Lebih pening daripada sewaktu dia memujuk Mak Lijah dan Pak Nuar supaya membenarkannya bekerja. Berbuih-buih mulut Pak Nuar yang memintanya melupakan hasrat untuk berdikari, malangnya Rima tetap dengan keputusan nekadnya. Mahu tidak mahu, kedua orang tuanya terpaksa beralah. Izin dalam paksa.

Barulah Rima tahu, melakukan sesuatu kerja bukannya mudah. Lebih-lebih lagi kalau kerja itu yang menjadi punca rezeki untuk keluarga. Susah-senang dan pasang surutnya perlu dilalui dengan sabar. Ada sedikit kesal di hati Rima yang selalu mendesak Pak Nuar supaya membelikan tv hitam putih 14 inci buatnya. Rima mulai tahu betapa payahnya tugas seorang penoreh getah yang harga susu getahnya bergantung kepada harga pasaran semasa. Juga bergantung kepada cuaca. Jika hujan berpanjangan, tidak menorehkan ayahnya. Maka tidak ada duit tabunganlah untuk hari itu. Mujur Pak Nuar masih ada kebun kopi dan kelapa serta buah-buahan yang boleh diusahakan.

‘Maafkan adik, ayah...ibu,’ dalam tidak sedar, Rima sudah hilang tumpuan pada tugasnya membantu ayah Salwa di pasar malam.

“Rima! Engkau berangan ya...abang tu bagi duit, engkau belum pulangkan duit bakinya.” Salwa menegur Rima yang berdiri kaku tanpa berbuat apa-apa. Semuanya terasa janggal buat seorang Rima yang tidak biasa melakukan sebarang kerja.

“Errr...maaf bang, berapa bakinya, Salwa?” Entah mengapa Rima semakin terpinga.

Dia sudah lupa congakan Ilmu Hisab yang menjadi ‘makanannya’ pada setiap kali peperiksaan sewaktu di sekolah. Semuanya menjadi kelabu dan tidak singgah dalam otaknya yang geliga itu.

“Bakinya enam ringgitlah Rima, dah kenapa dengan engkau ni? Engkau kan handal Ilmu Hisab dalam kelas kita dulu.” Usik Salwa yang dapat merasakan Rima sedang gelabah.

“Ini bang, bakinya...terima kasih ya.” Pembeli mengambil duit baki tanpa senyum dan terus berlalu.

“Entahlah Salwa, tiba-tiba aku tak dapat fikir apa-apa. Susah jugak kan buat kerja-kerja yang nampak senang ni.” Ujar Rima yang agak sedih. Sedih dengan dirinya sendiri yang serba tidak tahu dan serba tidak menjadi apabila melakukan sesuatu.

“Biasalah, sebab engkau tak pernah buat ni semua...lama-lama nanti ok lah. Janganlah sedih ya kawan.” Salwa mahu menyedapkan hati Rima. Rima mengangguk perlahan.

“Cik adik, saya borong semua ni, boleh?” terdengar suara seseorang yang berdiri depan mereka. Berderau darah Rima bila melihat orang itu adalah Ziman, musuh ketat nombor wahidnya. Marahnya pada Ziman masih ada apabila Ziman menyebarkan cerita dia tidak ada selera terhadap lelaki tetapi menyukai sesama jenisnya. Kecoh satu sekolah, sehingga Zulkarnain juga turut memandang sipi kepadanya. Ah! Peduli apa dengan Zulkarnain. Bagus juga, sekurang-kurangnya Zulkarnain tidak pernah lagi memberinya surat cinta.

“Engkau jangan nak buat hal ya Ziman! Engkau tak jaga gerai ke?” rupa-rupanya Ziman juga turut menyewa tapak di pasar malam itu. Salwa bimbang ada peperangan akan berlaku.

“Abang aku ada...tak sangka aku akan dapat jumpa si cantik Rima ni lagi. Sejak habis SPM kita dah tak pernah jumpa kan Rima. Aku tengok makin cantik engkau sekarang ni,” usik Ziman yang memang biang keladi sejak dari azali.

‘Aku cantik ke? Sejak bila pulak aku cantik?’ bisik Rima dalam hati. Meluat. Pada pandangan Rima, Ziman hanya sekadar menyindirnya tanpa ada keikhlasan di hati.

“Tak jumpa engkau pun tak apa, Ziman. Bukan apa...kalau tak ada engkau, aman sikit hidup aku. Aku masih tak boleh lupalah macam mana engkau jaja cerita pasal aku dengan mulut engkau yang jahat tu.” Rima acuh tak acuh saja. Sakit hatinya terhadap Ziman datang semula. Kalaulah dia dapat melempang muka Ziman dengan kuat, sudah tentu akan menjadi satu kepuasan buat Rima. Ia akan menjadi kenangan yang paling manis dalam hidupnya. Malangnya ia tidak pernah terjadi.

“Apa gaduh-gaduh ni?” tegur seorang pelanggan. Ayah Salwa memandang dari hujung gerai. Dia menggelengkan kepala. Dasar anak muda, selalu ikutkan darah panas.

“Taklah makcik, kami bergurau je. Kami ni kawan sekolah, dah biasa sembang macam ni.” Cepat-cepat Ziman cuba menutup keadaan sebenar. Rima terpaksa melemparkan senyuman kepada pelanggan itu sebagai mengiakan apa yang diperkatakan oleh Ziman.

“Ya ke? Maklumlah makcik ni dah senja, tak faham cara sembang budak muda.” Sahut pelanggan itu sebelum memesan sebungkus bihun sup. Salwa tersengih.

“Sebungkus aje, makcik?” lalu dia bermanis mulut dengan pelanggan tuanya.

“Cukuplah nak, berkongsi dengan pakcik kat rumah tu. Selera dah berkurang.” Balas wanita tua itu.

“Hmmm...saya tambah lagi sebungkus ya makcik. Saya sedekah je, makcik tak payah bayar.” Ziman mencelah. Baginya mana mungkin sebungkus bihun akan mengenyangkan kalau dikongsi oleh dua orang dewasa. Pelanggan Salwa merenung lama ke muka Ziman. Ziman senyum. Lambat-lambat wanita tua itu mengangguk, dia bersetuju menerima pemberian Ziman. Ada genang air mata di sudut matanya. Kerana apa genangan air mata itu, hanya dia dan Tuhan saja yang tahu.

‘Isyyy...macam tak percaya pulak adik. Ziman dah bertukar jadi orang budiman. Betul ke orang yang berdiri depan adik ni Ziman? Ke saja nak tunjuk baik depan adik?’ maka bermulalah bisikan jahat yang cuba mempengaruhi Rima.

‘Alahai! Dah kenapa dengan aku ni? Tak baik aku ni...agaknya tulah kebaikan dalam diri dia yang aku tak tau. Biar jelah,’ dan Rima cuba menghalau semua yang buruk itu.

“Terima kasih nak. Allah yang balas budi kamu. Mudah-mudahan kamu jadi orang yang baik.” Sebelum wanita itu pergi, sempat dia mendoakan kebaikan buat Ziman.

 

“Terima kasih makcik...aamiin.” Balas Ziman gembira.

 

‘Terharulah pulak adik ni,’ bisik Rima. Bola mata Rima memerhati langkah wanita tua yang hanya bersendirian itu.

 

Setelah hilang dari pandangan, Rima meneruskan tugasnya menyusun baki laksa dan bihun sup yang tinggal sedikit. Laris sungguh jualan pada malam itu. Sebentar lagi bolehlah mereka pulang apabila jualan sudah habis kesemuanya. Tidak sabar untuk Rima merehatkan badannya yang terasa lenguh di sana-sini. Pengalaman pertamanya bekerja pada malam itu memang terlalu memenatkan.

 

“Aku tengok engkau dah lembik semacam je Rima. Penat ya?” Wajah Rima yang lesu jelas terlihat pada pandangan Salwa. Van yang bergerak tersengguk-sengguk sama seperti badan Rima yang keletihan. Tidak ada maya. Sepatutnya van buruk kepunyaan ayah Salwa sudah lama berganti. Uzur benar keadaannya. Sakit-sakit badan Salwa setiap kali menaiki van itu semasa pergi dan balik dari pasar malam.

“Yalah Salwa, aku tak biasa buat benda-benda ni semua. Selama ni aku tau nak senang aje. Semua kerja rumah, ibu dan kak ngah yang buat. Baru sekali aku ikut engkau berjual kat pasar malam ni, terus insaf aku dibuatnya.” Ada nada lawak dalam kata-kata Rima tapi dia tetap memaksudkan apa yang diucapkan.

“Syukur! Syukur! Insaf jugak engkau akhirnya. Jangan hangat-hangat tahi ayam, sudah. Engkau ni bukan boleh dipercaya sangat,” balas Salwa sambil matanya liar memerhati ke tingkap van yang sedang bergerak perlahan.

 

Rima menggeliat untuk mengendurkan otot yang sangat tegang. Kemudian dia menguap besar. Terbayang tilam di bilik tidurnya, walaupun kurang empuk tapi masih terasa nikmatnya bila badannya yang kurang berisi direbahkan ke atasnya. Biarpun katil besinya adakala berkeriut setiap kali dia menggerakkan badannya, ia tetap tidak sama dengan van buruk Salwa yang hanya menyakitkan badan dan tulang temulangnya.

 

“Hmmm, aku mengaku...dulu aku banyak main-main. Aku tak fikirkan sangat betapa penatnya ibu buat semua kerja rumah. Tak pernah ibu bersungut...sedangkan dia ada anak dara sebesar aku ni. Huhuhu...teruknya aku!”

“Tapi engkau jangan cerita kat siapa-siapa tau, malulah aku. Jatuh saham aku nanti,” tambah Rima lalu tersengih. Bukan dia tidak percaya kepada sahabat yang setia macam Salwa tapi dia sedang cuba menghilangkan rasa mengantuknya. Salwa ketawa kuat. Lucu juga temannya yang seorang itu.

“Bukan engkau tak percaya pasal cinta ke? Jadi tak payahlah takut kalau ada orang tau engkau ni pemalas. Lagi mudahlah untuk mereka tak sukakan engkau.” Sengaja Salwa mengusik Rima. Kali ini Rima yang ketawa.

 

“Manalah tau kalau ada anak raja berkenan kat aku, tak cinta pun tak apa. Asalkan aku akan dapat banyak harta. Jadi permaisuri, engkau!” ucap Rima dengan selamba.

 

“Aku percaya kalau ada anak raja suka kat engkau, engkau kan cantik. Taklah macam aku ni, tak lawa mana pun.” Balas Salwa yang terus memandang ke luar tingkap. Tidak kelihatan pemandangan yang cantik di luar sana pada jam 12 tengah malam. Semuanya nampak gelap. Ia lebih menyenangkan daripada terus melihat pemandangan di dalam van yang kelam-kabut dengan dipenuhi barang-barang untuk berniaga. Serabut kepalanya.

‘Isshhh...aku cantik ke? Kenapa adik tak rasa yang adik ni cantik? Bila tengok cermin, macam biasa aje...tang mana cantiknya?’ bisik Rima. Dia berasa pelik bila Juki memujinya cantik.

Begitu juga dengan Ziman, Salwa dan ramai lagi teman-teman yang sama pendapatnya.

Entah kenapa Rima tidak pernah berasa bangga atau cepat-cepat mengiakan pujian mereka. Sukar juga untuk mempercayainya. Cermin senget yang tergantung di dinding bilik tidurnya selalu menampakkan mukanya yang miskin dengan bulu kening. Bulu keningnya tidak tebal dan hitam seperti yang Rima hendakkan. Hidungnya kurang mancung dengan lubang hidung yang agak besar. Dibandingkan dengan hidung Juki, sudah tentu hidung Juki lebih tinggi. Kulitnya pula tidaklah secerah mana. Mungkin dia dilahirkan pada bulan gerhana, sebab itu mendung saja kulitnya. Kulit Salwa jauh lebih cerah lagi.

‘Dorang semua ni sindir adik ke apa? Kalau betul...alahai sedihnya rasa. Tapi...aahhh! biarkan ajelah. Janji adik cukup sifat, sudah,” desis Rima lagi.

“Napa engkau renung aku semacam? Macam nak telan aku aje.” Salwa menyedari renungan Rima daripada ekor matanya. Dia mengalihkan pandangan tepat ke muka Rima. Pemandangan yang gelap di luar sana cepat-cepat ditinggalkan.

Rima ketawa bila melihat muka Salwa yang nampak lucu. Salwa cepat-cepat mencubit paha kanan Rima. Rima menjerit sakit lalu membalas cubitan Salwa. Sudahnya mereka berbalas-balas sehingga menghilangkan rasa mengantuk yang melanda.

“Bukan apa, aku macam tak percaya je bila engkau kata aku cantik. Tak pernah dalam kamus hidup aku, aku fikirkan yang aku ni cantik. Tu yang aku pelik.” Rima bersikap jujur. Dia seorang yang amat suka berterus-terang dengan semua orang dalam apa saja perkara. Kemudian Rima tersengih-sengih sendirian. Baginya pujian itu adalah satu hal yang melucukan.

“Tak percaya sudah! Macam ni...macam mana aku nak kata ya. Engkau ni kan, bukan dalam kategori cantik tau...”

“Hah! Kan aku dah kata! Betul tak?” kali ini Rima yakin dengan apa yang difikirkannya.

Salwa menggeleng-geleng. Baginya, Rima masih tidak menyedari apa yang dia ada. Rima memang satu-satunya kawan yang lurus dan lucu. Sangat sukar untuk melihat Rima muram dan bersedih. Kadang-kadang Salwa terfikir, tidak pernah ada masalahkah seorang Rima?

“Apa?” soal Rima.

“Engkau ni kan...aku nak cakap, engkau ni cute sebenarnya. Ada sesuatu pada muka engkau tu yang akan buat orang tertarik.” Jelas Salwa dengan yakin.

“Sesuatu? Apa dia? Aku tak pernah nampak apa-apa pun!” sanggah Rima lagi dengan mimik muka yang mengolok-olokkan kata-kata Salwa.

“Alahai, susah jugak nak cakap dengan engkau ni...apa-apa ajelah. Eh, Rima! Engkau nampak tak betapa baiknya Ziman tadi?” cepat-cepat Salwa mengubah perbualan.

“Nampak! Kan depan mata kita dia belanja makcik tu sebungkus bihun sup. Terharu jugak aku ni.” Rima teringat kembali kejadian sebentar tadi. Untuk pertama kali dia mengagumi sikap baik Ziman yang kebiasaannya hanya tahu menyakitkan hati orang lain saja.

“Engkau baru sekali nampak, kalau aku kata aku dah banyak kali nampak...engkau percaya tak?”

“Eleh, macam tak percaya je...bohonglah!”

“Aku tak tipu. Ziman memang selalu datang ke gerai aku berjual.”

Beria-ia Salwa menceritakan kebaikan Ziman kepada Rima. Besar kecil matanya. Bersemangat sekali dia memuji Ziman. Ziman buat itu dan Ziman buat ini. Suara Salwa hanya tenggelam timbul dalam pendengaran Rima yang malas untuk tahu lebih banyak lagi tentang Ziman. Bagi Rima, sikap baiknya masih tidak dapat menghilangkan rasa sakit hati Rima dengan kejahatan mulut Ziman yang tidak berinsurans.

“Biarlah dia...aku malas nak tau pasal dia tu. Selagi Ziman tak mintak maaf kat aku, aku tak akan lupa apa yang dia buat pada aku.” Tegas Rima

“Benda tu kan dah lama berlalu, engkau masih marah kat Ziman ke?” soal Salwa yang telah penat bercerita tapi semuanya nampak sia-sia. Hati Rima sedikit pun tidak terusik dengan kebaikan Ziman.

“Dia tak mintak maaf!” ujar Rima lalu mencebek.

“Kalau dia mintak maaf?”

“Aku terus maafkan dia...,”sahut Rima jujur.

“Maknanya engkau tak benci dia lagi?”

“Aku tak pernah kata aku benci dia. Aku tak reti nak benci-benci orang. Cuma...aku sakit hati aje.”

“Eh! Benci dan sakit hati tu tak sama ke? Confuse aku.” Usik Salwa. Gerakan van yang semakin perlahan membuat Salwa mengintai semula ke tingkap. Dia mahu memastikan keadaan sebenar. Mudah-mudahan van tua ayahnya tidak meragam dalam perjalanan lagi. Kalau ia berlaku, mereka akan tidur di dalam van sampai ke pagi. Salwa berasa lega apabila mendapati van bergerak lambat kerana ada kereta yang bergerak lebih perlahan daripada van ayahnya.

“Tak sama kut, benci tu...macam mana ya? Yang penting benci tak sama dengan sakit hati. Hahaha...entah, aku pun tak tau. Tapi aku tak benci dia pun...sakit hati aje.”

“Apa-apa ajelah...dahlah tu, jangan cerita pasal Ziman lagi. Bosanlah aku.” Rima mahu menutup cerita tentang Ziman.

“Engkau tak suka ke? Baik...baik, aku tak cerita lagi.” Ucap Salwa beria-ia.

“Macam mak neneklah engkau ni! Tak payahlah nak berikrar macam tu. Kelakar je aku tengok.” Tegur Rima pula. Mereka sama-sama ketawa. Hilang sudah rasa mengantuk yang menjadikan mereka kurang bermaya. Perjalanan balik ke Sungai Terap masih jauh lagi. Dua sahabat itu terus bercerita kisah-kisah persekolahan mereka yang sudah berlalu. Ada-ada saja yang menjadi bahan ketawa. Tidak lama lagi masing-masing akan membawa haluan dan matlamat hidup yang mereka pilih. Rima mahu menjadi seorang guru yang berjaya sedangkan Salwa mahu menjadi seorang peniaga yang memiliki bangunan kedainya sendiri.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raihan Zaffya