Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 37

Bab 37

 

Seawal pagi Suhana sudah meninggalkan rumah Pak Nuar, tanpa bersalaman atau mencium pipi Rima seperti selalu. Keputusannya tidak dapat dihalang oleh Pak Nuar dan Mak Jah. Kali ini Suhana memang menunjukkan kedegilannya.

“Macam ni pulak jadinya...” keluh Mak Jah sambil menjeling Rima sekilas lalu naik semula ke atas rumah. Pak Nuar pula terus ke kebun kopi di belakang rumah.

‘Ibu pun salahkan adik ke?...ermmm, ibu pun dingin dengan adik.’ Bisik Rima sedih.

Dipandangnya sekitar rumah. Pemandangan yang hijau tidak lagi menyenangkan hati Rima. Seperti ada sesuatu yang kurang. Sejak kejadian merisik, Rima selalu tidak sedap hati. Serba tidak kena. Puas dipujuk hatinya supaya bersikap seperti biasa tapi dia gagal. Apatah lagi bila melihat Mak Jah juga seperti mahu menjauhinya. Hanya Pak Nuar yang masih bersikap seperti biasa.

‘Ke kebun jelah.’ Dengan langkah yang malas Rima menuju ke kebun. Mana tahu hatinya akan tenang di situ.

Diintai-intainya Pak Nuar tapi tidak nampak kelibatnya. Mungkin ayahnya sedang berada di hujung kebun. Sampai di bawah pokok pulasan yang berada di tengah-tengah kebun, Rima berhenti. Dia mendongak melihat ke atas. Pokok pulasan masih belum berbuah lagi. Daun-daun hijau muda baru mula bertunas.

‘Ya Tuhanku, kenapa adik rasa macam terasing sangat. Seolah-olah adik tak ada siapa-siapa dalam dunia ni...tapi adik tau Allah selalu ada.’ Hatinya terasa kosong.

Rima tidak tahu untuk apa dia ke kebun yang dipenuhi nyamuk dan agas. Dia hanya hendak mencari sedikit ketenangan yang telah hilang sejak kebelakangan ini. Direnung kosong pangkal pokok pulasan. Sepasang selipar yang disarung ke kakinya telah ditanggalkan. Perlahan-lahan pokok pulasan dihampiri. Rima memeluk longgar pokok itu lalu perlahan-lahan kedua kakinya mencengkam pada batang pokok. Kemudian kaki kanannya memijak dahan pertama dan diikuti kaki kirinya memijak dahan yang seterusnya. Tiba di dahan yang paling besar, Rima duduk di atasnya dengan kaki berjuntai ke bawah.

“Eh! Bila masa pulak adik panjat pokok ni? Adoi...apalah adik ni.” Beberapa ketika kemudian barulah Rima tersedar. Fikirannya yang melayang membuat dia berkhayal sebentar tadi.

“Kenapa tiap kali adik kat atas pokok, rasa tenang aje? Lapang hati adik. Tapi manis ke anak dara macam adik ni bertenggek atas pokok.” Rima bercakap sendirian. “ Seorang guru yang umurnya dah pun 22 tahun memanjat dan bertenggek atas pokok!...ermmm. Ah! Kenapa mesti adik fikirkan apa pandangan orang lain? Kalau adik gembira apa salahnya adik buat perkara yang adik suka.” Sambung Rima lagi.

“Memang tak salah, adik. Buatlah apa yang diri kita suka, yang boleh buat kita gembira. Jangan peduli orang lain. Orang tak akan pernah tau apa yang kita rasa, apa yang kita sedang tanggung. Asalkan tak menyusahkan orang lain, tak jadi satu kesalahan kan.” Sahut suara dari bawah.

“Juki!...errr sejak bila ko ada kat bawah tu? Adik tak nampak pun tadi.” Rima gugup sebaik melihat Juki. Muka Juki nampak tenang dan biasa-biasa saja. Tidak nampak seperti orang yang sedang merajuk.

‘Agaknya Juki tak marah adik lagi.’ Bisik Rima berandaian.

“Baru je ada. Aku tanya nek ngah tadi, mana adik...nek ngah tak tau adik kat mana. Aku agak-agak je engkau ada kat kebun ni. Kalau engkau jauh hati, sinilah tempatnya kan?” soalan yang Juki sudah tahu jawapannya. Rima diam saja. Dia sedang merenung Juki dari atas pokok.

Mata Juki merayau-rayau mencari sesuatu yang boleh dijadikan alas punggungnya. Duduk lebih selesa daripada terus berdiri di tengah-tengan kebun Pak Nuar itu. Dia ternampak sehelai guni yang tersangkut pada dahan kopi lalu diambilnya. Guni dibentang di atas rumput dan Juki duduk di atasnya.

“Adik...”

“Nak apa?” soal Rima selamba.

 “Jangan sedih-sedih ya adik. Kuatkan hati, jangan fikir perkara yang buruk-buruk.” Nasihat Juki.

“Ermmm...ko dah tau ceritanya ya Juki? Entahlah Juki...adik dah tak rasa macam dulu lagi dah. Macam terasing aje adik ni.” Luah Rima yang tiba-tiba berasa selesa bila dapat meluahkan sesuatu kepada Juki.

“Aku tau...Ita dah cerita. Jangan macam tu adik. Benda ni baru berlaku memanglah masih terasa. Buat macam biasa je, lama-lama perasaan tu akan hilang.” Kata-kata Juki terhenti bila seekor nyamuk berwarna hitam pekat cuba hinggap pada pahanya. Nyamuk cepat-cepat ditepis lalu ia terbang lari entah ke mana.

“Adik pun berharap sangat semuanya akan pulih. Kesian kak ngah...memang patut dia marah kat adik.” Keluh Rima.

“Jangan asyik salahkan diri sendiri, adik. Aku tak suka! Suhana tak boleh buat macam tu pada adik...entahlah, aku cakap banyak pun tak bagus jugak. Tapi aku tau macam mana adik, engkau tu walaupun kaki buli tapi suka fikir tentang orang lain.” Puji Juki.

Rima memetik daun yang hampir mengering. Dikoyak-koyak lalu diterbangkan dari atas pokok. Carikan daun melayang-layang dan akhirnya tidak nampak ke mana menghilangnya. Dia mengulangi lagi dan lagi. Terhibur hatinya, terasa bebas. Juki hanya memerhati dari bawah.

“Juki!”

 “Hah...”

 “Engkau tak marah adik lagi? Dah tak merajuk ya?” soalan itu sudah lama mahu ditanyakan oleh Rima tapi belum berpeluang untuk berbuat demikian.

 Juki membetul-betulkan rambut yang menutupi dahi. Kemudian dia mengelap peluh yang keluar di dahi. Cuaca agak berbahang. Dia tidak lagi memandang Rima yang bertenggek di atas pokok. Tengkuknya sudah ketat dan tidak selesa bila mendongak terlalu lama.

 “Aku tak pernah marah kat engkau, adik...cuma...aku agak kecewa. Tapi masih ada harapan, kan adik?” Setiap kali berpeluang untuk memenangi hati Rima, Juki masih tidak putus asa untuk mencuba.

“Ermmm...Juki, terima kasih ya sebab belikan adik motosikal pink. Hari tu nak ucap tak sempat sebab ko macam marah adik aje.” Mujur Rima teringat tentang motosikal merah jambunya, dapatlah dia mengalihkan perhatian Juki. Kalau boleh Rima tidak mahu menyakiti hati Juki lagi dengan perkataan TIDAK.

 “Motosikal tu? Eh, bukan tok ngah yang beli ke?” soalan Rima membuat Juki keliru.

 “Dah tentu bukan. Bukan engkau jugak ke Juki?”

“Tak...bukan aku. Memang aku ada niat nak belikan adik motosikal yang adik suka tu, tapi belum sempat beli, aku tengok dah ada...aku ingat tok ngah yang beli.” Balas Juki yang tidak tahu menahu tentang motosikal merah jambu kepunyaan Rima.

 “Siapa pulak orangnya...hishhh, misterinya!” lalu Rima terus memikirkan siapakah gerangan yang menghadiahkannya motosikal itu.

“Adik! Engkau turun boleh tak? Sakitlah leher aku ni, sekejap-sekejap mendongak.” Minta Juki yang kurang selesa melihat Rima asyik tertenggek di dahan pokok pulasan.

“Siapa suruh dongak?...bukan apa Juki...adik rasa tenang kat sini. Semua benda yang adik fikirkan hilang macam tu aje. Entahlah Juki, agaknya pokok ni aje yang layak untuk adik.” Keluh Rima selamba. Spontan Juki ketawa kuat. Sepet mata kecilnya. Tidak tahan hatinya bila mendengar kata-kata Rima.

“Hoi! Kenapa ketawa hah! Ko ingat adik ni buat lawak ya?” laung Rima dari atas pokok. Sebatang ranting dipatahkan lalu dibaling ke arah Juki. Mujur tidak kena. Geram sungguh Rima. Dia tidak faham apa yang membuat Juki berasa lucu.

“Adik...adik...kelakarlah engkau ni...takkanlah orang secantik adik ni layak duduk atas pokok aje. Dah macam uk uk ak, uk uk ak pulak. Kot ya pun sedih sangat, agak-agaklah.” Ujar Juki di hujung ketawanya.

“Ko nak kata adik ni macam monyet ya Juki?” Marah Rima bercampur gelihati dengan kata-kata Juki.

“Taklah macam tu...” lalu Juki ketawa lagi.

 “Orang cantik mana sesuai tinggal atas pokok.” Sambung Juki bila ketawanya sudah reda. Rima mencebik. Juki tersengih-sengih.

 “Juki!”

 “Apa?”

“Kenapa ko selalu kata adik ni cantik? Adik cantik ke?” soal Rima yang selalu ragu-ragu terhadap pujian orang lain.

 Juki tidak terus menjawab. Dia menguis-nguis daun-daun kering dengan ranting kopi. Perlahan-lahan menjelma kisah-kisah lalu. Ketika zaman kanak-kanaknya bersama Rima. Rima yang kaki buli dan nakal tapi comel. Sejak dari mula lagi Rima memang tidak menyedari akan kelebihan yang ada pada dirinya.

 ‘Sebab tu aku sayang engkau adik, walaupun engkau kaki buli tapi engkau selalu lurus je. Tak pernah nak ambik kesempatan dengan kelebihan yang engkau ada.’ Bisik Juki lalu senyum.

“Tak dengar ke adik tanya hah!” ulang Rima yang tidak puas hati bila melihat Juki asyik tersenyum tidak sudah.

 “Iya adik...engkau memang cantik. Cantik wajah, cantik hati.” Akhirnya Juki mengakui.

Dengan pantas Rima meraba-raba pipi, hidung, bibir, mata dan telinga yang bersembunyi di sebalik kain tudungnya.

‘Apanya yang cantik?’ soalan itu diajukan kepada diri sendiri tanpa Juki mendengarnya.

 “Lupakan jelah Juki.” Malas pula untuk Rima memanjangkan hal yang tidak penting itu.

“Dah adik tanya, aku jawab jelah.” Sahut Juki gelihati dengan sikap Rima. Bila disebut tentang kecantikannya, Rima seakan tidak senang hati. Itu juga salah satu kelebihan Rima yang terpamer pada kacamata Juki.

 “Juki!”

“Apa lagi?”

 “Ermmm...ibu dah tak sayang kat adiklah Juki. Ibu dah dingin. Adik sedih ni Juki...nasib baik ayah masih macam dulu. Adik sedar, adik ni cuma anak pungut...tak layak rasanya untuk adik mengharapka lebih dari tu, kan Juki. Adik sedar...adik bukan dari keturunan baik-baik. Adik sedar, Juki...salah ke kalau adik lahir dari perut mama adik?” Tiba-tiba Rima tidak dapat menahan kesedihannya. Kata-katanya terhenti di situ. Rima yang tidak suka menangis dan bencikan tangisan, akhirnya kalah juga dalam kemelut jiwanya.

“Janganlah sedih lagi adik...nanti aku ikut sedih. Itu semua cuma perasaan engkau je adik. Takkanlah nek ngah nak buang adik cuma sebab salah faham tu. Dah tentu engkau tak salah. Aku yakin mereka semua masih sayangkan adik, sama macam dulu. Janganlah layan perasaan tu sangat. Satu lagi...seandainya mereka semua buang adik...aku akan sentiasa ada untuk adik...aku...aku tak tahan kalau tengok adik sedih macam ni.” Juki memang cengeng. Tanpa sedar, airmatanya turut merembes keluar. Cepat-cepat disapunya dengan tapak tangan, harapannya Rima tidak akan nampak.

“Ho ho ho...hero Malaya dah menangis!” usik Rima sambil mengelap air matanya sendiri. Dari atas dahan pokok pulasan dia nampak dengan jelas semasa Juki menangis. Sebak hatinya melihat Juki begitu, tapi cepat-cepat disorokkan perasaan itu.

“Hero mana boleh menangis, mata aku cuma pedihlah, budak kecik!” balas Juki lalu cuba untuk ketawa.

 “Yalah tu...amboi mulut dia...Juki, 9 tahun dulu bolehlah ko panggil adik budak kecik. Sekarang dah boleh jadi mak orang.” Sahut Rima sambil turun dari atas pokok. Penat pula asyik bertenggek pada dahan, kebas punggungnya. Juki hanya melihat sambil menggelengkan kepala bila melihat laju saja pergerakan Rima.

“Aku pun dah boleh jadi bapak orang.” Juki tidak mahu kalah.

 Setiba di tanah, Rima memusingkan badannya yang tegang. Sakit pinggangnya. Rima sedar kata-kata Juki tadi mengandung seribu makna. Dia tidak mahu meletakkan Juki dalam keadaan yang masih berharap pada dirinya.

 “Juki...adik rasa nak duduk kat pekan...dekat dengan sekolah...senang adik nak ulang-alik.” Rima mengubah perbualan.

“Bukan tu cuma satu alasan ke adik?...untuk engkau lari dari masalah. Orang yang melarikan diri dari masalah tu orang yang pengecut.” Balas Juki.

“Ya...adik mengaku...memang adik pengecut. Tapi kalau itu untuk kebaikan, lebih baik kan Juki.” Malas untuk Rima memikirkan lagi.

“Aku kenal engkau sejak kecik lagi...aku tau engkau bukan pengecut. Engkau cuma nakkan yang terbaik untuk orang lain. Engkau selalu melebihkan orang lain daripada diri sendiri. Ada masa tindakan macam tu merugikan diri sendiri je.” Nasihat Juki untuk seorang gadis yang dia sangat ambil berat. Rima melepaskan keluhan yang sarat.

“Hmmm...entahlah Juki. Rasa malas nak fikir tapi perlu fikir jugak.

 “Kalau dah malas fikir, lupakan untuk sementara. Tenang-tenangkan hati tu.” Sahut Juki.

“Terima kasih Juki...ko baik.” Pujian Rima membuat Juki terasa terapung-apung. Kembang hatinya mengalahkan kembang semangkuk. Kalau pujian itu datang daripada orang lain Juki tidak kisah tetapi bila keluar dari mulut Rima, Juki rasa bangga.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.