Bab 13
“Ada apa ko nak jumpa adik? Kan semalam dah jumpa...,” soal Rima yang dingin. Kakinya yang berjuntai di pangkin digoyang-goyang perlahan, mahu membuang rasa bosan kerana terpaksa berdepan dengan Juki lagi. Rambut toncitnya bergerak-gerak ditiup angin. Rima tidak lagi berambut seperti lelaki. Panjang rambutnya sudah seperti ekor kuda. Puas Pak Nuar dan Mak Lijah berleter supaya Rima memakai tutup kepala tetapi Rima kurang mendengar kata, sering mahu bertangguh.
“Aku nak ajak adik tengok wayang, cerita ni baru dua hari masuk panggung.” Juki berdiri dengan bersandar pada pangkal pokok ciku yang rendang.
“Cerita apa?” soal Rima kurang berminat. Tidak ada semangat mahu memandang muka Juki yang sudah boleh tahan berbanding empat tahun sudah. Badannya juga sudah membesar, jauh lebih besar daripada Rima. Sayangnya perasaan Rima yang masih tetap sama, tidak berganjak walau seinci.
“Penyamun Tarbus...ramai yang kata ceritanya kelakar tau.” Juki cuba bersikap ceria agar Rima akan menyenangi dan menerima pelawaannya.
“Hmmm...rasa macam malaslah, Juki. Adik ni memang tak minat nak tengok wayang. Ajak orang lain ajelah...kak ngah...Ita ke. Boleh, kan?”
Juki melepaskan keluhan. Muka yang tadi ceria bertukar murung. Musnahlah harapan untuk keluar dengan Rima sebelum dia balik semula ke UM semula. Juki gelisah. Pokok ciku tempatnya bersandar seperti mahu tumbang. Tanah yang dipijak seperti tidak rata lagi. Badan Juki terasa kosong dan melayang. Juki kecewa, hampa dan segala macam perasaan yang buruk-buruk mulai memenuhi otak dan kepalanya. Sudahnya Juki merasakan harapannya hanya 70-30.
“Juki...”
“Ya, ya...,” harapan Juki agar Rima berubah hati. Dia berdoa-doa dan berharap.
“Ermmm...Juki, betul kata ko, adik dengan ko boleh kahwin tapi dengan kak ngah tak boleh.” Suara Rima lemah. Dia masih teringat-ingat tentang pengakuan Mak Lijah tentang statusnya malam tadi. Hingga hari siang, lubang telinganya hanya disumbat dengan suara-suara Mak Lijah yang terus menghantui. Semalaman Rima tidak tidur.
Juki berdiri tegak. Merenung Rima yang bermuka lesu. Nampak sembab. Kasihan! Kalau tidak kerana mulutnya tentu Rima tidak akan sesedih itu. Juki menyesal bila merasakan dialah penyebabnya. Tentu Rima akan semakin membencinya.
“Adik dah tau semuanya ya?” dia memberanikan diri untuk bertanya walaupun sudah tahu jawapannya daripada kata-kata Rima tadi. Rima angguk-angguk. Masih tidak ada semangat.
“Maafkan aku, adik. Kalau bukan sebab aku, tentu adik tak sedih macam ni.”
“Kalau adik tak tau sekarang, nanti akan tau jugak kan. Tak ada bezanya...Juki...” ujar Rima yang cuba tidak mahu meletakkan kesalahan pada Juki.
“Ya, Rima...apa yang aku boleh tolong?” kalau boleh Juki mahu membuat Rima rasa gembira semula.
Lama Rima diam. Dia mahu mengambil masa untuk meluahkan apa yang dirasa. Kalau boleh biarlah dia dan Juki sama-sama selesa dan tidak ada yang akan berkecil hati. Selama ini dia kurang memikirkan perasaan Juki sebab padanya Juki hanya seorang yang tidak cukup akal kerana mahu berkahwin dengan saudara sendiri.
“Susah adik nak cakap. Hmmm, macam nilah...adik...adik tau ko suka adik. Dari dulu lagi. Tapi kan...hmmm...,” entah betul entah tidak tindakannya itu, Rima tidak pasti. Apa yang perlu dilakukan dia mesti mengatakan sesuatu supaya Juki tidak terus berharap.
Juki tunduk memandang tanah. Sekali lagi tanah seperti tidak cukup kukuh untuk dijadikan tempatnya berpijak. Ah! Kenapalah terjadi sebegini? Bukan saja dia tidak dapat menonton wayang bersama Rima, bahkan keadaan menjadi tidak menyenangkan untuk percutian semesternya kali ini.
“Macam ni Juki...adik...jujur adik kata, adik tak ada apa-apa perasaan pada Juki atau pada mana-mana lelaki selain Juki. Sebabnya adik rasa adik masih muda sangat, tak pernah terfikir lagi macam apa yang Juki fikir. Jadi...ermmm...jadi,” berat untuk Rima menyatakan. Juki semakin tidak senang duduk. Dia menanti dengan sabar. Rima juga gelisah, dia menggaru-garu pipi sambil mengetap bibir. Panas punggungnya, terasa mahu cepat-cepat beredar dari mata Juki.
“Adik cuma nak mintak, kita bersikap macam biasa. Ko jangan cakap lagi ko suka kat adik dan jangan kata nak kahwin dengan adik. Kita tengok ajelah nanti, kita ni ada jodoh ke tidak...ermmm, misal kata jodoh adik nanti dengan ko, adik terima. Kalau tidak, mungkin ada yang jauh lebih baik daripada adik ni, untuk ko.” Lega hati Rima bila dapat meluahkan dengan susah-payah. Rima seakan dapat mengeluarkan tulang ikan yang tersengkang pada kerongkong dan menyusahkannya mahu bernafas sebentar tadi.
Juki seperti cacing kepanasan. Baginya, permintaan Rima sangat berat. Mana mungkin dia tidak mengucapkan kalau di hatinya memang sayangkan Rima. Bukan baru sehari dua perasaan itu duduk diam-diam dalam hatinya. Berdenyut-denyut pada jantungnya. Siang malam hanya muka Rima yang ada depan mata. Ke mana saja dia pergi, hanya ada Rima, Rima dan Rima. Kadang-kadang pelajar perempuan yang cuba memasang jerat dan menguratnya, muka mereka akan cepat-cepat berubah menjadi muka Rima. Itu pada pandangan mata Juki yang angaunya terhadap Rima sudah makan tahun. Kasihan Juki!
“Boleh kan, Juki?” ia separuh pertanyaan dan separuh harapan. Rima malas mahu memeningkan kepala dengan soal cinta. Dia tidak tahu apa itu cinta atau bagaimana caranya mahu bercinta. Bagi Rima, dalam usianya sekarang cinta memang tidak perlu. Esok lusa tidak ada siapa tahu.
“Arrhhh! Tolong!...,” belum sempat Juki menjawab, terdengar suara jeritan Ita. Rima dan Juki sama-sama menoleh. Mereka lihat Ita sedang menyeringai menahan sakit. Badannya sudah berada di atas tanah, di bawah pokok kopi. Basikal yang ditunggangnya sebentar tadi telah terlanggar pokok kopi akibat hilang kawalan. Ita sedang membelek lututnya yang berdarah.
“Ita ni selalu aje kacau daun! Dia tak payah ada masa aku dengan adik, tak boleh ke? Geramnyaaa...!” omel Juki sebaik melihat Rima beredar dari pangkin.
Rima berlari-lari anak untuk mendapatkan Ita, sepupu dan kawan baiknya itu. Mahu tidak mahu Juki terpaksa melakukan perkara yang sama. Dalam hatinya dia sedang menahan geram kerana Ita selalu saja muncul pada masa yang salah. Huh! Ada-ada saja yang mahu mengganggu perhubungannya dengan Rima. Arrhhh! Hati Juki jadi sakit, lebih sakit dari punggung Ita yang telah terhentak ke tanah semasa terjatuh dari basikal.
“Sakit ya Ita? Macam manalah ko boleh langgar pokok kopi ayah aku yang tak bersalah ni?” soal Rima sambil membantu Ita berdiri semula. Dijelingnya roda basikal yang sudah terangkat ke atas. Ada rasa lucu bercampur kasihan bila melihat keadaan Ita yang baru ada hati untuk belajar menunggang basikal. Ini entah kali yang ke berapa Ita telah terjatuh. Rima ngeri bila melihat darah merah pada lutut Ita.
“Ko ni adik! Ko kesian kat aku ke, atau pada pokok kopi ayah ko ni? Tak patut betullah...sakit aku ni, tau.” Balas Ita sambil menahan pedih.
“Ala sikit aje tu...orang perempuan kena kuat, tak sakit mana pun.” Belum sempat Rima bersuara, Juki sudah mencelah. Sambil menyelam minum air. Dapat juga dia melepaskan geram pada makcik saudaranya itu. Puas hatinya!
“Eh, Juki!...ko ni memang sentenglah. Nasib baik ko anak buah aku, kalau tak dah lama aku jahit mulut ko yang besar tu!...adoi!...adoiii! memang sakit ni, tolonglah aku, jangan pandang aje!” marah Ita pada Juki. Juki tersengih tidak sudah. Dia menghulurkan tangan untuk menarik tangan Ita. Rima menolak basikal ke halaman rumah.
“Silap ko jugak Ita, kenapalah belajar tunggang basikal tengahari buta ni. Tulah masa kecik-kecik tak nak belajar, dah keras macam ni barulah beria-ia.” Rima menongkat basikal di tepi pangkin. Ita duduk di pangkin dengan susah-payah. Perit lutut dan sikunya.
“Aku dah nak boleh dah, tu yang aku tak pilih-pilih masa. Tapi orang kata malang memang tak berbau, aku terlanggar batu besar kat tepi jalan tu, terus aku tak dapat kawal basikal lagi.” Ita berbangga dengan kemajuannya belajar menunggang basikal.
“Ko ni adik, pergilah ambik apa-apa yang patut. Minyak gamat ke, apa ke...tak ada perasaan betullah.” Ita yang memakai tudung hijau ikat belakang mengingatkan Rima. Rima ketawa kecil sebelum bergegas naik ke atas rumah. Juki senyap. Dia duduk di atas batang kelapa yang sudah dipotong di bawah pokok ciku rendang.
Hari itu Juki mahu menghabiskan banyak masa dengan Rima. Esok dia akan balik semula ke kampus. Walaupun ada batu penghalang yang sedang kesakitan, Juki tidak peduli lagi. Yang penting dia akan dapat melihat muka Rima puas-puas. Cukuplah hanya sekadar memandang walaupun dia sudah tidak berpeluang untuk meluahkan apa-apa lagi.
“Ni ha minyaknya. Adik tolong sapu kan...siapa kata adik ni tak ada perasaan,” ujar Rima yang sudah turun semula. Mendengar kata-kata Rima, Juki tersenyum sendiri. Ita mengerutkan muka sebaik saja minyak gamat disapu pada lukanya.
“Ibu pesan, lain kali kalau nak berbasikal kat laman rumah aje...rata tanahnya. Tapi kan, kalau jatuh jugak tu tandanya memang ko yang malanglah.” Usik Rima lalu menguap besar. Barulah dia berasa mengantuk akibat tidak tidur semalaman.
“Mak ngah cakap macam tu kat aku? Sampai hati, mak ngah.” Balas Ita yang mudah percaya kata-kata Rima.
“Ayat yang mula-mula tu memang ibu yang cakap. Ibu sibuk kat dapur tu, tak dapat turun tengok ko. Tapi ayat yang kedua tu adik yang tambah.” Rima ketawa lagi untuk mengusir rasa mengantuknya. Ita turut tersengih. Dia sudah masak dengan sikap Rima yang selamba dalam banyak hal.
Juki tetap tersenyum setiap kali mendengar kata-kata Rima. Baginya, apa yang diperkatakan oleh Rima semuanya menjadi penyedap telinga. Semuanya sedap didengar. Juki memang angau pada cinta dan cinta itu memang buta. Sebuta Juki yang masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa Rima tidak mahu menjadi yang teristimewa buat dirinya. Sesekali Ita memandang Juki yang nampak pelik. Memang pelik!
“Kenapa aku tengok ko asyik tersengih-sengih tak sudah je juki? Ada benda yang kelakar sangat ke? Ko ketawakan aku ya?” sebiji pisang emas yang mulai kuning di atas pangkin diambil oleh Ita lalu dibaling ke arah Juki. Cepat-cepat Juki mengelak.
“Mana ada?” balas Juki sambil cuba bermuka serius.
“Habis tu kenapa sengih memanjang, dah tak siuman ke?” Marah Ita lagi.
“Biarkan ajelah dia nak sengih. Kalau ya pun ko marah Juki, janganlah pisang ibu adik yang jadi mangsa. Tak baik baling-baling rezeki.” Tegur Rima pula. Kali ini Ita yang tersengih sambil membuat isyarat tangan meminta maaf.
Juki yang memang sedang ditimpa perasaan menjadi kembang hatinya. Mengalahkan kembang semangkuk. Dia merasakan Rima sedang menyebelahinya. Ambil berat juga Rima padanya. Kali ini Juki tidak berani untuk senyum lagi, takut Ita akan lebih naik angin.
“Aku tengok dari semalam ko asyik ke mari aje, kan atuk suruh ko sabit rumput untuk makanan kambing-kambing tu. Ko nak curik tulang ya? Ko buat hal, aku cakap dengan atuk jangan bagi ko duit belanja kat kampus.” Ita mahu melepaskan geram pada Juki.
Panas telinga Juki bila Ita menyebut tentang duit belanja kampus. Isyyy...malu besarlah dia pada Rima. Belum pandai berdikari sudah ada hati hendak berkahwin dengan Rima.
Juki, anak kepada kakak sulung Ita yang tinggal di hujung kampung malas mahu berbalah dengan Ita yang umurnya sebaya dengan Rima. Kalau dilayan, Ita akan semakin menjadi-jadi. Mereka memang suka bercakaran dan selalu tidak sependapat dalam hampir semua perkara.
“Yalah, maksu ku...petang nanti aku pergilah sabit rumput. Cakap je berapa guni ko nak, aku akan adakan nanti. Atuk tak bising pun kalau aku lambat buat. Bukan tak buat.” Juki mahu mengendurkan darjah kebahangan dalam hati Ita. Ita menjeling tajam. Rima semakin galak menguap. Badannya sudah terasa melayang-layang, seperti tidak jejak ke bumi.
“Adik, tadi ko kata mak ngah sibuk kat dapur. Ko tak tolong dia masak ke? Teruknya ko ni!” Malas mahu memanjangkan perbalahan kecilnya dengan Juki, Ita mengubah topik.
“Kak ngah dah tolong, tak payahlah aku tolong. Lagi pun ibu selalu tak puas hati dengan hasil kerja aku yang asyik tak menjadi aje.” Rima mengakui sejujurnya. Bagus juga kalau dia berterus-terang, mana tahu Juki akan hilang rasa cintanya bila tahu Rima kurang pandai melakukan kerja masak memasak.
‘Tak apa, adik...kalau ko kahwin dengan aku nanti, aku akan buat semua kerja rumah.’ Rupa-rupanya harapan Rima tidak kesampaian. Sebaliknya lain benar suara hati Juki. Sangat berbeza dengan kehendak Rima. Kalaulah Rima dapat mendengar, sudah pasti Rima akan menangis semahu-mahunya kerana Juki masih tidak reti bahasa.
“Apalah ko ni adik, masak pun tak reti lagi.” Komen Ita yang sudah berkurangan pedih pada lukanya.
“Engkau pun sama aje, kan. Aku selalu dengar pak andak cerita kat ibu, ko tau makan aje,” lalu Rima mentertawakan Ita. Bila dapat ketawa, berkurangan sedikit rasa mengantuknya. Juki tumpang ketawa. Ita menjeling Juki entah untuk kali yang ke berapa. Geram sungguh! Melihat jelingan maut Ita, Juki menghentikan ketawa.
“Eh, Ita...ko suka tengok wayang kan. Bolehlah ko pergi dengan Juki. Dia beria sangat nak pergi...kan Juki?” tiba-tiba Rima teringat tentang filem Penyamun Tarbus yang ingin ditonton leh Juki.
“Tadi memang rasa nak pergi...tapi sekarang dah tak ada hati. Lagi pun aku kena sabit rumput petang ni. Kalau tak, ada orang mengamuk nanti.” Sememangnya Juki sudah hilang keinginan untuk ke panggung wayang. Kalau dia mahu pergi pun bukan dengan Ita. Dia lebih rela pergi sendirian daripada ditemani oleh Ita yang selalu membuat dirinya serba tidak kena.
“Ala, Juki...tak payah sabit rumputlah. Ko belanja aku tengok wayang aje...bolehlah, bolehlah! Ya Juki? Bolehlah...,” rayu Ita dengan muka temboknya. Memang sudah lama juga dia tidak ke panggung wayang. Bukan dia tidak mahu tetapi Pak Seman akan melenting kalau dia tahu anak gadisnya melangkahkan kaki ke dalam panggung. Selalunya Ita akan curi-curi pergi tanpa pengetahuan ayahnya.
“Tak boleh! Aku dah janji dengan atuk nak sabit rumput sebelum balik kampus. Aku tak nak jadi cucu derhaka. Lagi pun cerita yang nak main tu bukannya bagus sangat.” Juki berdalih.
Muka Ita berubah. Cemberut. Rima hanya menggelengkan kepala, pelik melihat Juki yang telah bertukar fikiran tiba-tiba. Tadi beria-ia benar hendak menonton, sekarang lain pula jadinya. Rima tidak mahu terlalu memikirkan. Matanya yang mengantuk semakin layu. Perdebatan di antara Juki dan Rima tenggelam timbul di lubang telinganya. Makin lama makin sayup sehinggalah ia terus lenyap dari pendengaran. Tanpa sedar Rima telah tertidur sambil duduk.