Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 35

Bab 35

 

 

Seawal pagi rumah Pak Nuar sudah siap berkemas. Tidak ada sebutir habuk pun yang melekat. Rimalah yang paling beria-ia. Tidak senang duduk punggungnya. Dia mahu semuanya nampak sempurna demi untuk kak ngah kesayangannya. Pak Nuar dan Mak Jah hanya mampu tersenyum melihat gelagat Rima. Mengalahkan orang yang mahu dirisik saja. Mendengar suara memberi salam dari bawah, Pak Nuar bergegas ke muka pintu. Pak Seman, Ita dan Asmah sedang melangkah anak tangga. Mak Jah pula berlalu ke dapur untuk menyiapkan apa yang perlu.

“Haaa, naiklah andak.” Sapa Pak Nuar.

 “Udah nak masuk ni angahnya.” Pak Seman ketawa. Asmah dan Ita terus menuju ke bilik Suhana.

“Amboi rajinnya budak sorang ni!” tegur Asmah sebaik melintasi Rima yang sedang sibuk membetulkan susunan bunga plastik di dalam pasu.

“Mana ada budak dalam rumah ni Kak Asmah. 9 tahun dulu adalah. Sekarang budak tu dah jadi cikgu yang mengajar budak-budak.” Sahut Rima lalu tersenyum. Tidak sah kalau Asmah tidak mengusiknya. Lama-lama Rima tidak kisah lagi walaupun kadang-kadang kata-kata Asmah masih menyakitkan hati.

“Pengantin dah siap ke adik?” soal Asmah lagi, berseloroh.

 “Tak tau adik...tadi kak ngah kebingungan nak sarung baju apa. Semua baju kak ngah kata tak cantik. Pergilah Kak Asmah tengok. Ita...ko budak kecik sini jelah dengan adik. Meh tolong adik ni.” Pinta Rima lalu tersengih. Seronok juga menggelar orang lain budak kecil.

“Bukan main engkau ya adik. Kecik sangatlah!” sahut Ita ketawa.

“Tak pun ko tolong jelah ibu kat dapur tu. Basuh pinggan kotor ke, cuci dapur masak ibu ke.” Ujar Rima selamba.

“Amboi, amboi pandainya engkau, yang berat-berat suruh aku ya? Engkau takat gubah bunga je.” Protes Ita yang sengaja hendak mengusik Rima.

“Tolong sikit ya Ita...Subuh adam lagi adik dah kemas rumah ni. Adik buat sorang-sorang tau. Tengok ni secalit habuk pun tak ada. Adik dah sental semua.” Balas Rima sambil hujung jari telunjuknya dicalit ke lantai kayu yang berkilat.

“Ooo ya...rajin jugak engkau ya. Tak sangka aku. Dah la, aku je tolong mak ngah.” Sebelum ke dapur sempat juga Ita menarik rambut Rima.

“Oiii! Sakitlahhh!” jeritan kecil Rima membuat Ita ketawa mengekek. Puas hatinya.

“Anak dara buat kerja tu elok-elok sikit, jangan terjerit-jerit,” tegur Pak Seman yang sudah duduk bersenang-senang di kerusi rotan berkusyen nipis.

“Errr...Ita tu pak andak,” ujar Rima tersipu. Dia tahu Pak Seman hanya sekadar mahu mengusiknya. Rima sudah masak dengan sikap adik kesayangan Pak Nuar itu.

Pak Seman tersenyum lalu menyambung perbualan dengan Pak Nuar. Dua beradik itu memang pantang berjumpa, ada saja usik-mengusiknya. Tidak kering gusi dibuatnya. Rima hanya memandang dari gelagat mereka dari jauh. Diam-diam dia bersyukur kerana telah tercampak ke dalam sebuah keluarga yang harmoni.

“Adik! Sini kejap dik!” lamunan Rima menghilang sebaik Suhana memanggilnya dari muka pintu bilik. Rima meletakkan semula gubahan bunga di atas meja bulat di sudut ruang tamu. Dibeleknya sebentar dan ditinggalkan setelah berpuas hati.

“Wah, cantiknya kak ngah!” ujar Rima sebaik masuk ke dalam bilik. Baju kurung moden kain kipas belakang ala-ala ikan duyung berwarna peach sangat kena dengan kulit Suhana. Teruja Rima melihatnya. Asmah sedang membantu mengemaskan kain baju Suhana yang berserakan di atas katil.

“Cantik ke adik?” soal Suhana masih tidak puas hati.

“Yalah kak ngah...cantik sangat. Dah, dah tak payah salin lagi. Tengok tu dah penuh katil tu dengan baju kak ngah. Semuanya kak ngah kata tak cantik.” Tegas Rima meyakinkan Suhana. Suhana memusing-musingkan badannya beberapa kali lalu angguk-angguk mengiakan.

 “Haaa...macam tulah.” Puji Rima yang turut puas hati dengan penampilan Suhana.

“Biasalah tu adik, maklumlah kak ngah kamu tu sedang darah gemuruh. Macam Kak Asmah jugak dulu-dulu.” Asmah mencelah.

 “Adik esok tak taulah macamana pulak.” Rima ketawa kecil membayangkan dirinya yang memang mudah gelabah. Silap haribulan boleh pitam bila melalui saat-saat seperti itu. Asmah dan Suhana senyum saja.

 “Adik, kamu tukarlah baju...takkan nak pakai T-Shirt dengan trak suit aje.” Suhana menegur Rima yang terlalu ringkas pakaiannya.

 “Tak payahlah kak ngah. Macam ni pun ok. Ada tamu nanti adik sarunglah tudung. Lagipun

bukan adik yang mereka nak tengok...adik keluar dulu ya kak ngah. Nak tengok ibu kat dapur.” Suhana angguk sambil membetulkan letak tudungnya.

 Beberapa minit kemudian pendengaran Suhana dan Asmah sudah menangkap suara-suara di ruang tamu. Meriah saja kedengarannya. Gerakan jantung Suhana terasa laju. Mungkin selaju kereta Daud, kalau pun tidak mungkin selaju motosikal merah jambu Rima.

 “Kak Asmah, tamu dah sampai tu.” Suhana gusar.

“Ishhh...duduk diam-diam aje. Tenang-tenang ya.” Asmah cuba menyedapkan hati Rima.

“Kak long kamu tak balik ke?” soal Asmah dengan niat mahu mengalihkan tumpuan Suhana supaya dia dapat bertenang.

 “Tak dapat balik...abang long out station lagi. Tak apalah...bertunang nanti mesti kak long balik.” Balas Suhana sambil mengesat peluh di dahinya.

 Di ruang tamu pula wakil dari pihak Zulkarnain sedang berbual-bual dengan tuan rumah. Mak Jah turut melayan tetamu perempuan. Di antara tetamu yang hadir, Zulkarnain juga turut serta. Dia menjadi penunjuk jalan untuk ke rumah Pak Nuar.

 “Assalamualaikum tuan rumah dan semua yang ada. Saya bagi pihak anak saudara saya ni datang ke mari sebab ada hajat yang besar. Nak menyatukan dua hati. Maklumlah kumbang kami ni dah lama mencari bunga yang sesuai. Baru sekarang berjumpa.” Setelah berbual-bual kosong, ketua rombongan berkias-kias pula.

 “Waalaikumussalam, selamat datang kepada tuan puan semua. Saya pula dari pihak tuan rumah berterima kasih dengan kesudian tuan puan semua menjejakkan kaki ke rumah ni. Memang benar, ada bunga di jambangan. Sudah dibaja, sudah disiram dan sekarang ni sedang mekar.” Kiasan disambut oleh Pak Seman sementara Pak Nuar mengangguk mengiakan.

 Mak Jah yang duduk di antara tetamu perempuan terasa hendak menitis air matanya. Hati ibu memang bagitu. Apatah lagi bila membayangkan yang dia bakal kehilangan seorang lagi anak dara. Kalau ada jodoh dan berkahwin tentu rumah itu akan ditinggalkan.

 “Boleh ke kami bertanya, bunga yang sudah mekar tu sudah ada ke yang punya?” khayalan Mak Jah terbang apabila mendengar soalan wakil pihak lelaki.

Pak Seman memandang Pak Nuar sebentar dan mengangguk meminta kebenaran menjawab persoalan itu. Pak Nuar membalas anggukan sambil tersenyum. Begitulah kehalusan adat Melayu yang bersopan dan berhemah tinggi.

“Bunga di dalam jagaan kami masih belum ada kumbang yang menyuntingnya. InsyaAllah, bunga sedang menanti kumbang yang pandai menjaga dan melindunginya.” Balas Pak Seman ringkas tapi penuh bermakna.

“Kak Asmah, macam tu ke orang merisik...berkias-kias.” Di dalam bilik, Suhana dan Asmah sedang mencuri dengar dari balik dinding. Walaupun tidak terlalu kuat tapi suara-suara itu masih dapat didengari oleh mereka berdua.

“Yalah...macam tulah...syhhh...diamlah, Kak Asmah nak dengar ni.” Asmah meletakkan jari telunjuk pada bibirnya.

“Kalau bunga belum disunting, biarlah kami yang menyuntingnya. Kami datang bersama sebentuk cincin belah rotan sebagai cincin risik. Sudilah menerimanya untuk bunga di dalam jagaan.” Ujar wakil pihak lelaki.

Zulkarnain yang duduk di celah-celah tetamu yang lain mulai gelisah. Berpeluh rasanya. Pengalaman pertamanya membuat dia tidak senang duduk. Bayangan wajah seseorang sedang berada di depan matanya sambil tersipu-sipu malu. Zulkarnain tersenyum sendirian. Senyumannya lenyap bila Mak Jah terpandangnya. Ishhh! Malu besar dia.

Suhana juga sedang resah gelisah. Tapak tangannya menjadi sejuk seperti sedang berada di tempat yang bersalji. Sesekali dia meletakkan tangan ke dada untuk merasai degupan jantungnya sendiri.

“Tenanglah Suhana. Istighfar banyak-banyak.” Asmah mengingatkan lalu Suhana angguk.

Rima dan Ita yang berada di dapur pula sibuk menyusun makanan ke dalam dulang. Mereka memastikan semuanya lengkap tanpa ada yang tertinggal. Air panas dan sejuk juga sudah tersedia di dalam bekas masing-masing. Rima puas hati dapat membantu Mak Jah dengan sebaiknya.

 “Mangkuk basuh tangan belum ada, adik.” Ita mengingatkan Rima.

 “Ha,ahlah...kejap adik ambik dalam almari,” lalu Rima mencari mangkuk basuh tangan di dalam almari yang penuh berisi pinggan mangkuk.

“Oh ya...siapa nama gadisnya, Zulkarnain?” Di ruang tamu, majlis kecil masih berterusan. Wakil pihak lelaki bertanya kepada Zulkarnain.

Panas muka Zulkarnain bila semua mata tertumpu kepadanya. Sudahnya dia menjadi seperti anak dara yang sedang malu-malu kucing. Bayangan seseorang yang sedari tadi asyik terpampang di depan mata semakin nampak jelas. Dengan senyumnya yang manis mengalahkan gula nira.

 “Rima...pak long.” Ujar Zulkarnain yakin.

 “Rima?” Bulat mata Pak Nuar, terkejut. Terasa longgar lututnya.

 “Hahhh!...adik!” suara Mak Jah juga gementar. Daripada duduk terus berdiri. Pak Seman menggaru kepala. Mustahil dia terlupa, Pak Nuar sudah memberitahu awal-awal lagi bahawa Suhanalah yang mahu dirisik. Sekarang kepalanya sudah pusing. Pak Seman dan Pak Nuar berpandangan. Mak Jah kelam-kabut ke dapur.

 “Kah Asmah...Kak Asmah dengar tak apa yang saya dengar?” suara Suhana yang dari tadi asyik memasang telinga bagaikan tersepit di kerongkongnya. Air matanya keluar seperti air terjun. Tidak berhenti. Suhana tidak memahami apa-apa. Mengapa Rima pula yang dirisik. Sejuk kaki dan tangannya.

Kak Asmah yang terkenal sebagai radio bergerak kerana mulutnya yang terlebih ramah turut sayu hati melihat Suhana. Diusapnya belakang Suhana dengan lembut. Terasa gerakan nafas yang payah sewaktu Asmah menyentuh belakangnya. Perlahan-lahan Suhana merebahkan badan ke katil. Badannya beralun dek tangisan yang berpanjangan. Hancur luluh hatinya. Mengapa begitu ramai lelaki yang memandang Rima sedangkan dirinya selalu saja terpinggir. Apa kurangnya dia berbanding Rima?

 “Adik!...sini kamu!” suara Mak Jah yang baru tiba di dapur cuba ditahankan supaya tidak didengari oleh tetamu. Rima menoleh dan melemparkan senyuman kepada Mak Jah. Senyumannya mati sebaik melihat muka Mak Jah yang merah padam.

‘Kenapa dengan ibu tu? Merahnya muka ibu?...darah tinggi dah naik ke?’ bisik Rima yang mulai gusar. Cepat-cepat dia menghampiri Mak Jah.

 “Kenapa bu? Ibu tak sihat ke?” soal Rima sambil cuba menyentuh dahi Mak Jah. Cepat-cepat Mak Jah menepisnya. Rima terkejut bukan kepalang. Tidak pernah ibu kesayangannya segarang itu.

“Buuu...,” ucap Rima yang kebingungan.

“Sampai hati adik buat kak ngah macam ni!” marah Mak Jah lalu mengetap bibir menahan geram. Sekali lagi Rima keliru. Apa sebenarnya yang berlaku?

 “Apa salah adik bu? Apa adik dah buat?” tanya Rima dengan sayu. Sedih kerana dimarahi tanpa tahu puncanya.

 “Kenapa budak lelaki tu risik adik, bukan kak ngah?” soal Mak Jah pula.

“Apa bu?...kenapa jadi macam ni?” Terasa terhenti jantung Rima. Tidak dapat dibayangkan

bagaimana kecewanya Suhana. Tidak dapat digambarkan betapa luluh hati kak ngahnya itu.

 “Kenapa tanya ibu...tanya diri adik sendiri!”

“Ibuuu...” Hati Rima bertambah sayu bila Mak Jah terus-terusan menyalahkannya.

 Bagaimana dia mahu menjelaskan kepada Mak Jah? Bagaimana pula dia mahu berdepan dengan semua orang di dalam rumah itu? Ita yang hanya menjadi pemerhati diam saja. Melihat muka Mak Jah yang marah, tidak berani untuk dia mencelah. Ita tahu Rima tidak bersalah. Ita juga tahu betapa Rima sangat menyayangi Suhana. Kasihan dia melihat Rima.

Apabila tidak ada tindakbalas daripada Mak Jah, Rima nekad untuk ke ruang tamu. Sebelum itu sempat juga dia menjengah ke dalam bilik. Suhana sedang teresak-esak dengan menyembamkan mukanya ke bantal supaya tangisannya tidak didengari.

“Kak ngah...maafkan adik.” Pinta Rima perlahan. Hanya itu yang mampu diucapkan. Sayangnya tidak ada balasan dari mulut Suhana. Asmah mengisyaratkan supaya Rima keluar untuk memberi ketenangan kepada Suhana.

Langkah kaki Rima diatur ke ruang tamu. Dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan tapi terus saja melangkah. Tiba di ruang tamu, Mak Jah sudah berada di situ. Suasana ruang tamu senyap saja. Masing-masing sedang kebingungan. Setelah diberitahu, pihak lelaki juga agak terkejut. Ada salah faham yang sedang berlaku.

 “Assalamualaikum.” Salam diberi oleh Rima yang berdiri seperti patung. Salamnya disambut perlahan oleh pihak lelaki. Pak Nuar dan Mak Jah berpandangan. Tidak tahu apa tujuan Rima datang ke ruang tamu.

 “Ini ke pilihan Zulkarnain.” Ringan saja mulut seorang mak cik, wakil dari pihak lelaki. Masing-masing melihat ke arah Rima yang hanya berT-Shirt dan trak suit. Kata-kata mak cik itu seperti lontaran batu-batu kecil yang ditujukan ke jantungnya. Menyakitkan!

“Bukan saya...takkan orang macam saya yang Zulkarnain suka. Saya tak macam perempuan lain yang lemah-lembut, sopan santun dan beradab. Saya cuma seorang perempuan yang ada hobi memanjat pokok...bertenggek atas pokok. Tak tau masak, tak tau berkemas...pendek kata saya tak tau serba-serbi.” Rima nekad. Dia tidak ada pilihan lain. Biarlah dia dianggap kurang ajar kerana telah merosakkan majlis. Biar Zulkarnain membenci, biar semua tetamu meluat.

Tetamu yang datang saling berpandangan. Ada yang tertanya-tanya dalam hati, gadis seperti itukah yang Zulkarnain mahukan? Cantik tapi kurang beradab. Zulkarnain pula seperti tidak percaya. Mengapa dalam sekelip mata Rima sudah berubah pendirian. Bukankah sewaktu perbualan mereka di sekolah, Rima sudah bersetuju menunggu risikannya. Mulalah peluh jantannya terbit di seluruh badan. Saat yang disangkakan akan membahagiakan dan menjadi sejarah sudah berubah rupa.

“Rasanya ada salah faham yang dah jadi ni...boleh tolong jelaskan...nak Zulkarnain.” Minta Pak Seman yang cuba mengendurkan keadaan yang agak tegang.

 “Saya...saya pun tak faham sebenarnya.” Akui Zulkarnain yang mula gelabah. Malu pun ada. Penolakan Rima di depan khalayak bermakna guru muda yang dicintai dalam diam sejak zaman persekolahan itu telah menolaknya mentah-mentah. Zulkarnain terasa mahu melarikan diri dengan terjun dari tingkap rumah Pak Nuar. Tidak dapat dibayangkan betapa malunya dia.

“Cuba cerita pelan-pelan, siapa sebenarnya yang kamu suka.” Bapa saudara Zulkarnain yang pandai berbahasa berkias-kias awal tadi memintanya menjelaskan segala-galanya.

“Saya...saya...dari dulu saya suka Rima...dan..saya dah pun bagitau Rima...yang saya nak hantar wakil merisik.” Jelas Zulkarnain tersekat-sekat sambil tunduk.

“Bukan ke awak maksudkan nak merisik kak ngah?” suara Rima mencelah terlebih dahulu. Dia mesti menjernihkan semula keadaan yang mahu keruh. Salah faham itu mesti diselesaikan dengan cepat.

“Saya tak cakap pun macam tu.” Balas Zulkarnain. Semua yang ada diam saja. Kesemuanya teruja untuk tahu permasalahan sebenarnya. Mereka seperti sedang menonton drama tanpa layar yang tidak berbayar.

‘Alahai...macamana boleh jadi gini? Apa adik nak buat ni? Kesian kak ngah...hmmm, tapi kenapa pulak kak ngah ambik cuti panjang dan kata Zulkarnain nak datang merisik?’ bisik Rima memikirkan perkara yang sudah membuat dia mahu pitam. Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan Suhana sekarang.

“Kenapa awak janji dengan kak ngah nak datang merisik?” Entah kenapa Rima merasakan soaalannya sangat bodoh. Tidak sempat untuknya memikirkan bahasa-bahasa yang manis atau soalan-soalan yang lebih bijak daripada itu. Sekarang ini otaknya hanya mampu belasah saja apa yang singgah di fikirannya. Terasa betapa dungunya dia sebagai seorang guru.

Zulkarnain bertambah gelisah. Mereka berdua telah menjadi tumpuan ramai. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga berdepan dengan masalah yang tidak ada sesiapa yang memulakan. Ia berlaku di bawah sedar mereka.

 “Sebenarnya saya...saya tak pernah berjanji. Mungkin Suhana salah faham sewaktu saya menghubunginya dan memberitahu saya akan menghantar wakil untuk merisik...saya maksudkan awak...Rima. Saya bagitau Suhana sebab dia sahabat baik saya dan dia jugak kakak awak. Dulu saya selalu bertanyakan awak melalui dia...saya pernah bagitau dia, saya sukakan awak. Saya...saya sangka dia faham perasaan saya pada awak.”

 Semput sungguh sewaktu meluahkan segala-galanya. Sesudah terluah, terasa sedikit kosong ruang dada Zulkarnain. Jika tidak seperti ada ketulan batu di dalamnya. Nafasnya ditarik payah. Kasihan juga apabila Zulkarnain memikirkan tentang Suhana. Dia sedikit pun tidak menyangka Suhana telah menaruh hati padanya. Tentu Suhana akan bersedih apabila mendapat tahu bukan dia yang Zulkarnain mahukan. Sudahnya Zulkarnain tidak sedap hati.

Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh wakil pihak lelaki. Ada yang menggeleng-geleng, ada yang melepaskan keluhan dan ada yang berbisik-bisik. Rima tunduk memandang lantai. Seperti pesalah yang sedang menunggu hukuman. Pak Nuar dan Mak Jah sudah kehilangan kata-kata. Pak Seman pula sedang memikirkan cara terbaik untuk membantu abangnya dalam saat segenting itu.

“Sekarang macam nilah...” ujar Pak Seman mahu memudahkan.

“Biar saya tanya tuan punya badan...dia setuju ataupun tidak...tak begitu angahnya, kak ngah?” sambung Pak Seman meminta izin tuan rumah. Pak Nuar dan Mak Jah hanya mampu angguk. Mereka tidak ada jalan lain. Biarpun pahit untuk Suhana, Rima masih juga anak mereka. Perlu adil.

“Rima?” soalan diajukan oleh Pak Seman kepada Rima.

 “Errr...saya...saya...maafkan saya. Saya tak bersedia.” Sewaktu mengucapkan kata-kata itu Rima terasa hendak menangis. Dia tahu pada hari itu banyak hati yang telah dilukainya tanpa dia mahu. Itu bukan kehendaknya dan itu juga bukan pilihannya. Rima tidak berani memandang muka Zulkarnain. Entah apa warna mukanya sekarang ini.

 Zulkarnain terasa hendak pengsan sewaktu mendengar penolakan Rima. Kecewa jangan dikata, malunya pula tidak terkira. Panas sejuk, panas sejuk rasanya. Tidak kuat untuk Zulkarnain mengangkat muka. Dia hanya tunduk memandang lantai. Zulkarnain sedar semua mata sedang bertumpu kepadanya. Jadilah dia seperti badut sarkas menjadi bahan tontonan.

 “Rasanya perkara ni dah pun selesai. Semuanya cuma salah faham...jadi, kita semua dah pun dengar dari mulut Rima sendiri...dia tak bersedia lagi. Adalah lebih baik, pihak lelaki tangguhkan dulu risikan ni ya. Ambil masa untuk mencari jalan yang terbaik. Mungkin Allah belum izinkan lagi. Macamana, bang?” lalu Pak Seman bertanya kepada wakil pihak lelaki.

Bapa saudara Zulkarnain berfikir sebentar kemudian berbisik ke telinga Zulkarnain. Zulkarnain mengangguk lemah. Hampa sungguh Zulkarnain, lain yang diharapkan lain pula yang jadi. Bagaimanalah dia mahu berhadapan dengan Rima di sekolah nanti.

“Kami pun setuju, tangguhkan je. Tak ada siapa yang salah dalam hal ni...kalau boleh jangan ada rasa sakit hati dengan kesilapan yang tak disengajakan ni.” Ujar bapa saudara Zulkarnain. Pak Nuar dan Pak Seman berpuas hati dengan tolak ansur pihak lelaki.

 “Kalau macam tu kita semua makanlah dulu ya...Rima, Jah, angkatlah hidangan.” Arah Pak Nuar. Mak Jah dan Rima akur lalu cepat-cepat ke dapur.

 Kalau diikutkan hati, Zulkarnain malas mahu menunggu lebih lama lagi. Malu! Terasa dia sudah terjatuh ke dalam air limbah yang hitam pekat dan busuk. Untuk menghilangkan bau busuk yang kuat mungkin dia perlu mandi sebanyak tujuh kali. Arghhh! Kenapalah jadi begini?

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.