Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 1

 

AKU CANTIK KE?

 

 

Penghujung tahun 70-an

JAM sudah menunjukkan angka 5.30 pagi. Pak Nuar bergegas menuju ke bilik anaknya. Daun pintu diketuk perlahan. Tiada jawapan. Nada ketukan menjadi kuat. “Adik, bangun! Dah pagi ni! Tak nak sekolah ke?” Suara Pak Nuar mula keras. Namun, masih tiada sahutan.

Rima yang terpisat-pisat mendengar suara ayahnya terusn menarik kain selimut menutupi seluruh badannya dari kaki hingga ke kepala. Dia tidak mempedulikan apa yang sedang berlaku di luar.

Pak Nuar naik angin. Diketuknya pintu lebih kuat lagi. Bergegar bilik tidur Rima. Dia terpaksa bangun dengan malas. Kain selimut dicampak ke lantai tanpa dilipat. Dia terus berjalan ke pintu dengan mata yang belum terbuka sepenuhnya. Tangannya meraba-raba tombol pintu. Selepas itu dipulas kuat. Geram!

“Adik bangunlah ni, ayah. Kuatnya ayah ketuk pintu, macam nak roboh!” ujarnya sebaik melihat Pak Nuar tercegat di muka pintu sambil bercekak pinggang.

“Hisy, tak tahu apa nak jadi dengan kamu ni, adik. Nama aje perempuan, tapi tak tahu nak bangun sendiri. Nanti tertinggal bas nanti mulalah cari alasan nak ponteng!” gerutu Pak Nuar memarahi Rima.

“Ya... adik nak mandilah ni.” Rima terangguk-angguk seperti burung belatuk sambil menenyeh-nenyeh matanya.

Rima merupakan pelajar tingkatan satu. Setiap hari, seawal 5.30 pagi dia sudah dipaksa bangun kerana sekolahnya yang terletak di pekan agak jauh dari Kampung Bukit Cheraka.

“Hah! Cepat sikit! Dah mandi jangan lupa solat Subuh,” jawab Pak Nuar lalu meninggalkan Rima.

Pak Nuar turun ke tanah. Bersiap sedia mengasah pisau toreh. Pisau toreh mestilah tajam, kalau tidak susu getahnya tidak akan keluar dengan banyak. Segayung air, batu asah dan pisau toreh sudah tersedia di atas pangkin. Di situlah selalunya Pak Nuar akan mengasah pisau torehnya.

Mak Lijah pula sedang menyiapkan sarapan di dapur. Entah apa yang dimasaknya pagi itu. Semuanya bergantung pada darjah kerajinan Mak Lijah. Kalau Mak Lijah rajin, makan sedaplah mereka sekeluarga. Kalau tidak, apa-apa sajalah. Janji makan.

“Temankan adik mandi, ayah,” pinta Rima.

Pak Nuar mendongak melihat Rima yang berdiri di atas tangga. “Apa yang nak ditakutkan? Dah pagi ni!” Malas Pak Nuar mahu melayan.

“Gelaplah, ayah.”

“Mengada-ngadalah kamu ni. Pergi ambil lilin.” Pak Nuar terus ligat mengasah pisau toreh.

Rima menggaru-garu kepala dengan muka sebal. Dia naik ke atas semula untuk mengambil sebatang lilin. Tidak lama kemudian Rima sudah berdiri di tangga semula.

“Kenapa berdiri tercegat lagi tu?” tanya Pak Nuar yang tidak penat menegur sikap Rima.

Rima tidak menjawab. Dia berjalan malas dengan cahaya lilin. Tiba di hadapan pintu bilik air, Rima melaung kepada Pak Nuar. “Ayah! Jangan naik dulu, tau. Tunggu adik kat situ.”

“Ayah tunggu, ayah tunggu! Lambat kamu kat bilik air tu, ayah tinggal naik!” gertak Pak Nuar.

Kelam-kabut Rima masuk ke bilik air. Menutup daun pintu dengan kuat. Dia mesti cepat-cepat mandi, kalau tidak Pak Nuar akan naik ke atas rumah. Bukan dia takut dalam bilik air seorang diri, cuma kurang berani. Memang Rima tidak layak jadi anak kampung. Penakut!

“Argh! Ayah! Tolong adik, ayah! Cepatlah, ayah! Cepat!” Belum seminit pintu bilik air ditutup, Rima sudah menjerit.

Pak Nuar ketawa. Geli hati. Itu bukan kali pertama Rima menjerit di dalam bilik air. Hampir setiap pagi dia buat hal.

Rima lari keluar dengan kain sarungnya disingsing tinggi. Dia melompat-lompat kegelian. “Cepatlah, ayah!” laung Rima lagi.

Pak Nuar ketawa lagi. Mahu tak mahu Pak Nuar bangun juga. Batu asah dan pisau toreh diletakkan di atas pangkin. Pak Nuar berjalan lambat-lambat. Geli hatinya disembunyikan bila melihat Rima berpeluk tubuh. Ketar. Mujur gelap, kalau tidak akan nampak muka Rima yang pucat lesi.

“Tak ada benda lain ke yang kamu nak takutkan, adik? Mengalahkan nampak hantu, ayah tengok,” bebel Pak Nuar lalu masuk ke dalam bilik air.

“Hah, mananya? Tak nampak pun?”

“Ada, ayah. Ada kat penjuru tu. Adik nampak mata dia berkilat. Ayah suluhlah betul-betul. Kalau tak, adik tak nak mandi,” terang Rima hampir menangis.

“Elok sangatlah tu. Tak mandi, samalah kamu macam kambing pak andak kamu tu.”

“Kambing pun mahal jugak, ayah,” sahut Rima selamba.

Pak Nuar membiarkan saja kerenah anaknya itu. Dia terus menyuluh di setiap sudut bilik air. Akhirnya Pak Nuar ternampak sesuatu. Betul kata Rima, berkilat matanya bila terkena cahaya lilin. Orang tua itu tersengih sendiri.

“Ayah dah jumpa dah, adik.”

“Tangkap, ayah. Tangkap! Adik tak nak dia ada kat situ. Kalau melekat kat badan adik nanti, tak boleh lepaskan lagi,” pinta Rima sambil mencebik.

“Merepek kamu ni! Kalau dah penakut tu, macam-macam yang dibayangkan.” Pak Nuar ketawa lagi. Kasihan pun ada bila memikirkan Rima yang penakut tak bertempat.

Pak Nuar berusaha menangkap apa yang ditakuti oleh anaknya itu. Payah juga bila melakukannya di dalam samar. Bila dia ke kiri si mata kilat melompat ke kanan. Bila dia ke kanan, si mata kilat sembunyi di celahan zink yang menjadi dinding bilik air. Licik juga si mata kilat. Licin macam badannya.

“Hah! Penat ayah, subuh-subuh dah jadi pemburu,” keluh Pak Nuar setelah berjaya menangkap si mata kilat. Dia meletakkannya di telapak tangan.

“Ni dia, putera kamu,” usik Pak Nuar sambil ketawa.

“Gelilah, ayah. Buang cepat!” Meremang bulu roma Rima bila melihat katak hijau berbadan licin itu. Katak hijau seperti mahu melompat dan menerkam ke arahnya.

Rima menggoyang-goyangkan badannya sebaik sahaja Pak Nuar membuang katak hijau itu jauh dari bilik air, geli. Setelah pasti katak hijau sudah pergi jauh, dia masuk ke dalam bilik air semula. Matanya meliar memandang sekeliling. Dia mandi laju-laju. Tidak sampai lima minit Rima keluar semula.

“Sekejap aje kamu mandi, adik? Tak basah agaknya tu,” tegur Pak Nuar yang telah menyambung semula tugasnya mengasah pisau toreh.

“Mandi jugak,” balas Rima sambil menaiki anak tangga. Gigi atas dan gigi bawahnya berlaga menahan sejuk. Cepat-cepat dia melangkah naik ke rumah. Pak Nuar menggeleng melihat kerenah Rima.

Dara sunti 13 tahun itu masuk semula ke bilik tidurnya. Melihat jam di dinding bilik. “Belum pukul 6.00 lagi. Hmm, baring kejap pun bestjugak ni. Sejuk,” bisik Rima.

Rima melompat ke atas katil. Berkeriut bunyi katil besinya. Selimut yang dicampak ke atas lantai diambilnya semula. Tubuhnya yang masih bertuala disembunyikan di dalam kain selimut.

Bestnya, lega! Barulah tak sejuk lagi.” Dia bernyanyi-nyanyi kecil dengan mata yang terkebil-kebil. Lama-kelamaan suaranya kian tenggelam dan matanya mulai mengecil.

“MANA si adik? Dia dah sarapan ke, Lijah?” tanya Pak Nuar sambil matanya melilau mencari kelibat Rima.

“Dia dah naik ke, bang? Tak perasan pulak saya,” jawab Mak Lijah sambil tangannya ligat membancuh air kopi.

“Sudah. Dia mandi macam tak mandi aje. Tak sampai lima minit dah naik. Tak faham saya dengan anak awak tu, Lijah,” komen Pak Nuar.

“Anak saya, anak awak jugak, bang.” Mak Lijah ketawa.

Mereka sudah masak dengan kerenah Rima yang selalu membuat mereka pening kepala.

“Awak nak makan dulu ke, bang?”

“Awak masak apa?”

“Nak goreng nasi tapi nasi baru tanak. Lambat lagi kena tunggu. Abang makanlah roti dulu,” jelas Mak Lijah.

“Nantilah. Abang nak tengok si adik kejap. Apalah yang dibuatnya dalam bilik tu,” kata Pak Nuar.

Sekali lagi pintu bilik Rima diketuk bertalu-talu. Masih lagi senyap sunyi. Belum ada tanda-tanda Rima akan membuka pintu. Pak Nuar hampir hilang sabar. Pintu diketuk lebih kuat lagi. Sama saja, senyap.

“Budak ni kan, ikut marah aku teruk pulak dia nanti.” Pak Nuar agak marah. Dia berpatah balik ke dapur. Duduk di tepi pintu dapur untuk menyedut udara segar. Mudah-mudahan angin segar akan menyurutkan marahnya.

“Awak pergi kejutkan anak kesayangan awak tu, Lijah. Mesti dia tidur semula tu. Geram betul saya. Bilalah agaknya nak berubah?” arah Pak Nuar sambil mendengus geram.

Tanpa banyak bicara Mak Lijah terus ke bilik Rima. Dia tidak mengetuk daun pintu sebaliknya terus menolak dengan kuat. Daun pintu memang tidak berkunci. Sebaik pintu terbuka, Rima tidak kelihatan di dalam bilik sebaliknya kain selimut yang membentuk tubuh manusia sahaja yang terdampar di atas katil.

“Ya ALLAH! Anak bertuah betul!” Nyaring suara Mak Lijah membelah hari yang menjelang Subuh.

“Adik! Bangun, tertinggal bas nanti! Ya ALLAH, budak ini!” Badan Rima digolek-golekkan oleh Mak Lijah.

Rima bingkas duduk. Tersengih sambil tangannya tergawang ke kanan ke kiri. Dia mengomel perlahan kemudian menggaru-garu kepala. Tersengih lagi dengan mata yang masih tertutup. Mak Lijah mengetap bibir. Mujurlah Rima masih belum betul-betul sedar jika tidak mahu saja dipiat kedua telinga Rima.

“Assalamualaikum, adik!” Sengaja Mak Lijah memberi salam dengan suara yang agak tinggi. Mulutnya dirapatkan ke telinga Rima.

Mendengar suara memberi salam, Rima tersentak. Bola matanya bulat besar. Serta-merta terbang rasa mengantuknya. “Waalaikumussalam, bu,” sahut Rima terpinga-pinga.

“Bangun, cepat pakai baju sekolah. Lepas tu pergi sarapan. Jangan lambat. Nanti membebel ayah kamu,” arah Mak Lijah sebelum meninggalkan Rima.

“Dah lambat ni. Dah lambat. Kalau kena tinggal bas, matilah aku,” gerutu Rima segera bangkit dan terkocoh-kocoh menyarung pakaian sekolahnya. Kain tudung disarung seadanya. Tidak sempat untuk Rima mahu membelek wajahnya di cermin. Berbedak pun terasa malas. Selepas siap berpakaian, dia bergegas mengambil begnya di atas almari lalu berlari laju menuju ke dapur.

“Adik dah siap ni, ibu, ayah.” Tersengih-sengih Rima berdiri di tepi tingkap.

“Kamu ni, hari-hari buat perangai. Sarapan cepat!” desak Mak Lijah.

“Makan apa, ibu?” soal Rima malas. Seakan dapat mengagak apa yang ada di atas meja.

“Telur rebus dan roti. Ibu belum buat lagi nasi goreng,” sahut Mak Lijah yang sedang mengupas kulit bawang.

“Ibu ni... adik dah jemulah asyik makan telur rebus aje. Busuk kentut adik nanti,” sungut Rima sambil menunjukkan muka masamnya.

Pak Nuar menggeleng melihat kerenah Rima. Mahu ketawa pun ada juga.

“Kalau rasa nak buang angin pergilah buang jauh-jauh, tak adalah kawan-kawan terbau,” sahut Mak Lijah sambil menahan ketawa seperti Pak Nuar.

“Ibu lupa nak tanak nasi malam tadi. Makan ajelah. Kalau tak nak sangat, makan roti tu,” sambung Mak Lijah.

“Alah... tak payah makanlah, ibu. Orang lain tak bau tapi adik tetap bau jugak. Adik nak pergi dah, nanti bas tinggalkan adik. Jom, ayah.” Rima terus turun ke tangga dengan wajah masam. Dia menyarung kasut sekolah lalu menunggu Pak Nuar di tanah.

“Tak tahulah saya nak kata apa anak awak tu,” leter Pak Nuar sambil bangkit dari kerusi.

Mak Lijah hanya melihat dari atas rumah.

“Kamu tak salam ibu ke, adik?” tegur Pak Nuar.

“Adik lupalah, ayah,” sahut Rima sambil tersengih. Dia memandang ke arah Mak Lijah. “Ibu, esok adik salam ya. Hari ni lupa. Adik pergi dulu,” katanya lagi sambil melambai.

“Salam pun boleh lupa. Belajar rajin-rajin. Jangan tidur pulak dalam kelas tu,” pesan Mak Lijah seperti selalu.

“Baik, ibu,” sahut Rima lagi. “Ayah, cepatlah. Adik dah lambat ni,” gesanya sedangkan dia yang suka buat hal.

Pak Nuar mengambil basikal tua berpalang dari bawah rumah. Dia memeriksa angin pada tayar basikal. Kurang angin. Tergesa-gesa Pak Nuar mengambil pam angin lalu mengepam tayar basikal itu.

Rima bertambah gelisah. Dia membayangkan kalaulah bas sekolah sudah bertolak, ponteng lagilah dia hari itu.

“Lambat lagi ke, ayah? Adik takut kena tinggal bas,” gesa Rima lagi.

“Padan muka kamu! Takut ke suka? Tulah, asyik menyambung tidur. Hah, kamu ni dah solat Subuh ke belum?” marah Pak Nuar.

“Err... hmm, adik tak sempatlah tadi. Sampai sekolah adik buat, ya,” jawab Rima sambil menggaru kepala.

“Hah, jangan tidak-tidak!” pesan Pak Nuar.

“Ya, adik buat... kalau tak buat pun, adik belum baligh lagi. Tak dosa,” sahut Rima teragak-agak.

“Pandai menjawab, ya. Berlatih, nanti senang,” ucap Pak Nuar. Rima diam.

Selesai mengepam tayar, Pak Nuar menolak tongkat basikal. Kaki kanannya melangkah palang basikal tua sementara kaki kirinya menahan basikal dari jatuh. Basikal tua itu sudah banyak jasanya. Dengannya Pak Nuar ke kebun, ke kedai, menghantar Rima ke pondok menunggu bas dan ke mana saja.

“Naik cepat.”

Cepat-cepat Rima mengangkat sedikit seragam putihnya. Takut dikotori basikal tua ayahnya. Dia duduk di belakang dengan berhati-hati. Beg sekolah diletakkan di atas ribaan.

Setelah Rima duduk dengan selesa, Pak Nuar mula mengayuh perlahan basikal tuanya. Lampu basikal yang agak malap menambahkan kesukaran Pak Nuar untuk mengayuh dengan laju.

‘Sampai bilalah nak naik basikal tua ayah ni? Nasib baik gelap, kalau tak malu aku. Kalau ada motor warna merah jambu kan best!’ desis hati Rima sambil menyimpan angan-angan.

“Becak tanak merah ni. Adik duduk diam-diam, tanah licin ni,” ujar Pak Nuar mengingatkan.

Kata-kata Pak Nuar tidak didengari oleh Rima. Dia masih lagi berangan-angan. Dalam angannya Pak Nuar ada motosikal baru. Warna motosikal itu sama seperti warna kegemaran Rima, merah jambu. Tentu comel. Bolehlah dia bercerita pada Salwa dan kawan-kawan yang lain tentang motosikal baru “Tapi kan, kelakarnya kalau ayah tunggang motor warna merah jambu,” usik Rima sambil ketawa berdekah-dekah sehingga bergoyang badannya.

“Apa kamu cakap, adik?” Tersentak Pak Nuar apabila mendengar Rima bercakap sendiri.

Pak Nuar cuba memusingkan sedikit badannya. Mahu melihat Rima yang sedang ketawa. Mustahil dia dapat melihat Rima yang bertenggek di belakang. Sudahnya basikal tua berpalang itu hilang kawalan. Tanah merah yang becak dan licin membuat basikal itu tidak seimbang lagi.

“Adik... cepat lompat! Licin ni!” jerit Pak Nuar.

Melayang angan-angan Mat Jenin Rima. Dia tersentak, bingung. Terus dia melompat dari basikal tua Pak Nuar yang sedang terhuyung-hayang. Harapannya untuk selamat berdiri, musnah. Dia jatuh terduduk di dalam lopak tanah merah. Baju putih dan kain biru mudanya telah bertukar warna. Basikal Pak Nuar pula sudah tercampak di tepi parit. Menindih kaki Pak Nuar.

“Ayah!” jerit Rima sambil berlari mendapatkan Pak Nuar. Punggungnya yang sakit terhentak dibiarkan. Dia harus membantu ayahnya.

“Bangun, ayah,” kata Rima sambil menegakkan semula basikal tua ayahnya dan ditongkat dengan baik.

Pak Nuar menyeringai. Sakit pinggangnya. Dia mengusap-usap perlahan.

“Sakit ke, ayah?” tanya Rima.

“Kamu duduk tak diam tadi,” tegur Pak Nuar yang masih memicit-micit pinggang.

“Maafkan adik, ayah. Adik tak sengaja.” Rima menyesal kerana berangan. Semuanya gara-gara motosikal merah jambu. Motosikal yang tidak wujud itu telah menyusahkan dirinya dan menyakitkan pinggang ayahnya. Rima cuba menarik tangan ayahnya untuk membantunya berdiri.

Pak Nuar berusaha dengan susah-payah. Sengal badannya. “Tengok baju kamu, dah tak rupa baju.” Sempat juga Pak Nuar membelek baju kurung putih Rima yang sudah menjadi merah. Begitu juga dengan kain dan tudungnya.

“Ayah, tu bas dah lalu!” teriak Rima. Dari jauh lampu bas nampak berbalam.

Pak Nuar menoleh memandang. Sah, bas sekolah Rima sudah terlepas. Pak Nuar mengeluh panjang. “Ponteng lagilah kamu nampaknya ya, adik?” keluhnya.

“Bukan adik yang nak, ayah. Dah takdir,” jawab Rima selamba. Dalam hatinya berbunga rasa suka. Dapat ponteng sekolah sekali lagi.

“Amboi, pandainya kamu bagi alasan ya.” Pak Nuar menggeleng. “Dah, pergi ambil beg kamu. Kita balik.”

Rima berjalan ke arah beg sekolahnya yang terhumban di atas tanah merah. Tanpa Pak Nuar sedari, Rima sedang tersenyum tersengih seperti kerang busuk. ‘Yeah! Tak payah pergi sekolah!’ bisik Rima yang sedang ketawa di dalam hati.

 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.