Home Cerpen Seram/Misteri Janji Setia
Janji Setia
Raihan Zaffya
3/4/2013 18:33:54
5,369
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

JANJI SETIA (Seram/Misteri)

Miqael yang menghuni rumah banglo di simpang jalan itu tidak habis fikir. Setiap malam dia akan terbau haruman pandan wangi di dalam bilik tidurnya. Antara sedar dan tidak dia akan melihat seorang perempuan yang bebas bergerak di dalam bilik itu. Kadangkala ia seperti bayangan dan ada ketikanya nampak nyata. Siapakah perempuan itu?

Apabila pagi mulai cerah dia akan melihat kelibat perempuan berpakaian serba putih berjalan menuju ke tanah pusara. Miqael tidak tahu dari arah mana dia muncul. Yang pasti dari sekitar banglo kepunyaan ibunya. Kebiasaannya sebelum berlalu perempuan aneh itu seolah-olah merenungnya lama sebelum meninggalkan kawasan banglo itu. Hanya wajahnya yang tidak pernah kelihatan. Terlindung oleh selendang putih yang dipakainya. Setelah puas memandangnya, perempuan itu akan berlalu. Jalannya agak laju dan tidak lama selepas itu dia menghilang di sebalik wakaf perkuburan.

“Mana mama pergi, papa?” suara anak tunggalnya membuat lamunan Miqael terhenti.

Miqael menghela nafas panjang. Ikhwan merenung tepat ke wajahnya, menantikan jawapan yang diharap-harapkan. Matanya tidak berkelip. Anak kecil itu masih tidak mengerti dengan apa yang telah terjadi. Hampir saban hari dia akan bertanya ke mana mamanya telah pergi.

“Sayang, kan papa dah kata. Mama Ikhwan dah tinggalkan kita. Tinggalkan Ikhwan, tinggalkan papa juga,” jelas Miqael sedaya upaya agar Ikhwan akan faham.

“Mama Ikhwan dah meninggal dunia, dah pergi jumpa Tuhan. Mama tak akan balik lagi. Tak boleh mandikan Ikhwan, tak boleh suapkan Ikhwan.”

“Tak boleh suap papa juga? Tak boleh gosok baju papa, cari stokin papa?” tambah Ikhwan dengan petah. Mungkin dia sedang cuba memahami keadaan yang sebenarnya.

Miqael mengangguk lemah, mengiakan. Bagai ada duri di hatinya. Nyeri. Bayangan wajah Serina datang lagi. Ia wajah yang dipenuhi kasih dan perhatian. Ia juga wajah yang selalu ceria tanpa ada keluhan. Serina suri hati yang terlalu dicintai. Ditatang bagai minyak yang penuh. Pada kaca mata Miqael, Serina terlalu sempurna.

‘Ya Allah, macam mana lagi aku nak jelaskan pada anak kecil ni? Berilah aku kekuatan ya Allah. Bantu aku, jangan biarkan aku lemah,’ bisik Miqael yang sedang berusaha keras untuk mengusir mega-mega mendung yang mulai menjentik hatinya.

“Mama tidur, kan papa!” ujar Ikhwan lagi dengan lebih tegas. Ikhwan tidak pernah puas hati dengan jawapan yang Miqael beri.

Bagai ada selumbar yang mencarik tangkai hati Miqael. Ia terluka lagi namun darah merahnya tidak kelihatan. Entah sampai bila Ikhwan akan bertanya dan terus bertanya. Miqael tidak pasti. Mampukah dia bertahan dengan semua itu, dia juga tidak pasti.

“Sekejap lagi papa mandikan Ikhwan ya. Sekarang Ikhwan sarapan dulu, papa dah sediakan susu dan roti yang Ikhwan suka atas meja. Papa datang nanti.”

Miqael dapat merasai kekosongan dalam diri Ikhwan setelah kehilangan Serina sejak sebulan yang lalu. Biarpun wajah Ikhwan selalu saja ceria namun ada sesuatu sedang bermain di dalam jiwanya. Ikhwan sering berteka-teki tentang ketiadaan Serina. Ketiduran yang panjang, atau bekerja di luar kotakah mama kesayangannya itu? Dengan langkah lemah, Ikhwan pergi dari situ. Miqael membiarkan saja.

**********************************************************************************

Malam sebelumnya...

 

“Serina!” Serta-merta Miqael teringatkan peristiwa malam tadi. Dia terkeliru. Mengapa dia sering menjelaskan kepada Ikhwan dengan menyatakan Serina sudah tiada. Sedangkan setiap malam Serina ada bersamanya. Sakit kepala Miqael memikirkannya.

“Abang, mana satu kemeja yang abang nak pakai esok?” soal Serina sebaik muncul dari kamar tidur. Miqael yang sedang menonton filem Aku, Kau Dan Dia di layar tv menggamit Serina agar menghampirinya.

Wanita ayu beranak satu itu mendekati Miqael tanpa banyak soal. Senyuman manis dihadiahkan buat insan yang sering bertahta di hati. Serina melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan Miqael. Miqael menarik pergelangan tangan Serina lalu dikucup lembut. Itu tanda kasihnya pada Serina. Tanda sayangnya yang tidak bertepi. Hanya satu yang berlainan dalam diri Serina. Perfume yang digunakan setiap malam agak aneh baunya. Seperti haruman pandan wangi. Setiap kali Miqael mahu bertanya, mulutnya terasa berat. Terkunci. Akhirnya dia membiarkan saja tanda-tanya itu berlalu dari fikirannya.

“Abang, Serina sayang abang” ucap Serina lalu melentukkan tubuhnya, bersandar pada bahu Miqael. Miqael senang sekali. Ada damai di kolam hati kedua insan yang saling bercinta itu. Kegusaran dan kekeliruan Miqael ketika berhadapan dengan Ikhwan sebentar tadi hilang begitu saja.

“Abang tau. Sebab tu Serina kahwin dengan abang, kan?” usik Miqael bersahaja.

“Serina dah jatuh cinta pada abang.” Serina memang nakal. Miqael ketawa kecil sambil membelai anak rambut Serina yang menutupi dahi.

Tubuh Miqael terasa di awangan. Setiap kali dia mendengar suara Serina, jiwanya menjadi sedingin salju. Damai, aman dan menyenangkan. Ditambah lagi dengan wajah Serina yang putih mulus dan ayu pada pandangan mata. Segala yang ada pada Serina telah menjadi sebahagian dari dirinya.

“Ermmm, saja je abang ni tau!” Serina menyandarkan tubuhnya pada sofa empuk yang dibeli oleh Miqael dua tahun lalu. Mereka masih lagi berpegangan tangan. Tayangan di skrin TV sedang beraksi. Miqael menonton dengan rasa teruja. Lebih-lebih lagi yang tersayang ada di sisi menemani.

Serina tidak faham hujung pangkal cerita yang ditonton. Kelopak mata Serina semakin berat. Cuba untuk bertahan namun ia semakin layu. Serina memaksa diri untuk terus berjaga demi untuk menggembirakan sang suami. Sayangnya, ia terus tertutup rapat. Akhirnya Serina terkulai di bahu Miqael. Miqael segera menoleh lalu lebar senyumnya.

“Tidur lena ya sayang,” bisik Miqael sebaik sahaja merebahkan tubuh Serina di atas tilam empuk. Biarpun bisikannya tidak lagi didengari oleh Serina, Miqael puas hati kerana dia masih bisa mengucapkan sesuatu yang bermakna buat Serina. Miqael selalu mengharapkan agar peluang seperti itu akan sentiasa ada di antara dirinya dan Serina. Doanya semoga ia akan berkekalan sampai bila-bila.

********************************************************************************

Emosi...

 

“Miqael! Melamun ya?” tegur Mak Kam, ibu Miqael yang berbadan rendang. Miqael tersentak. Diraup wajahnya dan keluhan dilepaskan.

“Ikhwan mana, bu?”

“Macam biasa...sedang renung gambar Serina. Berbual dengan Serina. Dia kata Serina akan temankan dia setiap malam sebelum Serina ke bilik kamu. Bila pagi macam ni mulalah dia cari gambar Serina. Mama dah balik rumah dia, katanya. Kesian ibu tengok. Dia masih tak faham yang Serina dah meninggal.” Berat suara Mak Kam.

“Ya...hari-hari dia tanya benda yang sama. Bila Miqael jelaskan dia macam faham tapi esok-esoknya dia tanya lagi. Hmmm...” sebak hati Miqael.

“Mungkin sebab baru sebulan Serina pergi. Sabarlah Miqael.” Belakang Miqael diusap agar dia bertenang. Mujur masih ada Mak Kam. Dapat juga Miqael meluahkan perasaan dan mengadu tentang Ikhwan. Telah sebulan dia tinggal di rumah ibunya itu.

Selepas mengusap belakang Miqael, Mak Kam menepuk-nepuk pula dengan

agak kuat. Dia mahu anak tunggalnya itu lebih bersemangat untuk meneruskan hidup. Mak Kam dapat merasakan sepertimana Ikhwan yang masih menidakkan kematian Serina, begitu juga dengan Miqael. Dia belum benar-benar dapat melepaskan kepergian isterinya.

“Bu...ibu ada nampak tak seorang perempuan yang berjalan ke arah perkuburan sana setiap pagi?” Tiba-tiba Miqael teringat semula tentang perempuan aneh yang muncul sejak sebulan kebelakangan ini.

“Perempuan? Perempuan Mana? Siapa?” Bertalu-talu soalan Mak Kam. Pelik pula dia apabila Miqael berkata begitu. Setiap selepas Subuh dia akan ke halaman untuk melakukan senaman ringan dan mengambil angin segar. Tidak pernah pula dia terlihat perempuan yang lalu-lalang di hadapan banglo mereka.

“Entah bu...tak kenal. Tak nampak pun mukanya sebab terlindung dengan selendang yang dia pakai.”

“Pelik!” gumam Mak Kam.

“Dari arah mana dia datang?” sambungnya bertanya. Miqael menggaru-garu kepala. Cuba mengingati dengan lebih jelas. Dahinya berkerut.

“Hmmm...selalunya bila Miqael nampak, dia...dia kat jalan depan tulah. Betul-betul depan rumah kita ni.” Kali ini Miqael yakin. Memang itu yang dilihatnya setiap hari.

“Tak apalah...pagi esok kalau kamu nampak lagi, cepat-cepat panggil ibu. Ibu pun nak tengok. Mana tau ibu kenal dia.” Mak Kam mengenali hampir kesemua penduduk kampung. Tidak kira yang tua atau yang muda.

Berbeza dengan Miqael. Dia telah lama meninggalkan kampung tempat lahirnya. Tamat sekolah menengah, dia menyambung pelajara ke luar negara. Kemudian bekerja di bandaraya Kuala Lumpur, berkahwin dan terus menetap di sana. Dia hanya pulang ke kampung untuk menjenguk Mak Zah. Tidak sempat mahu berkenal-kenalan dengan semua penduduk.

“Yalah bu.” Sahut Miqael ringkas.

“Kamu pergilah tengok Ikhwan tu. Suap dia...kalau tak bukan nak bersarapan. Dengan ibu pun dia tak nak.”

Miqael bangun dari kerusi malas lalu masuk ke dalam rumah. Mak Kam memerhati langkah Miqael yang lesu. Sebak hati Mak Kam. Dalam usia yang masih muda Miqael telah bergelar duda. Dua anak satu. Ikhwan pula kehilangan seorang ibu ketika dia sedang belajar mengenal dunia. Takdir Allah tidak ada sesiapa yang dapat menghalang atau menidakkan.

“Ikhwan!” Miqael memanggil Ikhwan dengan lembut. Dilihatnya mata anak kecil itu tertutup rapat. Penjuru matanya basah. Tangannya pula masih memegang foto Serina yang sedang tersenyum. Melihat foto itu Miqael mengetap bibir. Menahan gelodak hati. Hatinya menangis pilu.

“Lena kamu Ikhwan.” Setelah dipanggil berkali-kali Ikhwan masih tidak sedar, Miqael membiarkan saja. Mungkin Ikhwan tidak cukup tidur malam tadi. Ikhwan ditinggalkan. Miqael berlalu, masuk ke dalam bilik tidurnya.

************************************************************************************

Jelmaan...

 

Sebaik daun pintu dikuak, Miqael melihat Serina sedang berbaring sambil melemparkan senyuman kepadanya. Miqael membalas senyuman lalu duduk di birai katil. Rambut Serina dielus perlahan. Dibelai-belai. Serina membiarkan saja. Matanya separuh terpejam. Senang apabila Miqael berbuat begitu.

“Kenapa masih atas katil ni sayang? Bangunlah...mandi...tukar baju. Musyukkk!” usik Miqael lalu ketawa kecil. Serina mempamerkan senyum lagi.

Perlahan-lahan kepalanya diletakkan pada paha Miqael. Mengusap-usap dada bidang Miqael dan menarik lembut janggut sejemput buah hatinya itu. Miqael membiarkan saja. Dia membelai pula wajah Serina. Diusap pipi mulus Serina yang licin bagaikan lilin. Dingin! Ya, wajah Serina sedingin ais. Miqael berasa pelik mengapa dua tiga hari kebelakangan ini tubuh dan wajah Serina tidak seperti tubuhnya yang hangat. Serina juga tidak mahu bersuara lagi. Tidak bercakap, hanya diam. Membisu.

“Sayang tak sihat ke?” Miqael meletakkan hidungnya pada dahi Serina. Hidungnya bermain-main di situ agak lama. Serina tetap senyum dan terus tersenyum. Miqael mencubit lembut pula pipi Serina. Sekali lagi Miqael berasa pelik. Pipi itu tidak merona merah seperti kebiasaan Miqael mencubitnya. Seperti tidak berdarah.

“Hmmm...dahlah...sayang pergi mandi.” Ujar Miqael. Tangannya menepuk punggung Serina.

Serina akur. Dia turun dari katil lalu masuk ke dalam bilik air. Tanpa mengambil tuala mandi. Maqael hanya menggeleng melihat sikap Serina yang amat berlainan. Tidak terdengar bunyi pancuran air. Senyap. Miqael membiarkan saja. Dia membuka almari pakaian Serina lalu memilih baju apa yang sesuai untuk disarungkan ke tubuh Serina pada pagi itu.

“Yang ni ke? atau yang ni?” Miqael bercakap sendirian ketika membelek satu per satu pakaian Serina. Kemudian dia bernyanyi-nyanyi kecil.

“Ya Allah...sampai bila dia nak berkeadaan macam ni? Tanpa dia sedar, keadaannya jauh lebih buruk dari Ikhwan. Miqael...sedarlah nak. Serina dah tak ada. Dia dah mati.” Di sebalik daun pintu bilik ada mata sedang mengintai. Terjerut hati Mak Kam apabila melihat sikap Miqael yang menyedihkan.

Ada ketikanya Miqael seperti sedang berada di bawah garis sedarnya. Dalam sekelip mata dia boleh berubah. Ada ketika dia terlalu yakin Serina telah tiada. Di masa yang lain pula mindanya seakan tidak terkawal lagi. Melihat keadaan Miqael, Mak Kam mengurut-urut dada. Pusing dia memikirkan bagaimana caranya mahu mengembalikan keadaan Miqael dan Ikhwan seperti sediakala.

“Ehemmm...ehemm...ehemm.” Mak Kam sengaja berdehem supaya Miqael menyedari kedatangannya.

“Ibu...Ikhwan dah bangun ke bu?” Miqael menoleh sebentar sebelum mencari pakaian Serina semula. Mak Kam menggeleng kepala melihat sikap Mikhail.

“Belum. Malam tadi dia hampir tak tidur sepanjang malam. Berbual dengan Serina katanya. Lepas tu menangis-nangis sebab Serina tinggalkan dia senyap-senyap. Hmmm...entahlah.” Sahut Mak Kam berterus-terang.

“Mamanya? Kenapa bu...Serina kan ada. Dia mandi dalam bilik air tu.” Miqael bersuara dengan yakin.

Mak Kam mengetap bibir. Sudah terlalu jauh minda Miqael pergi dari akal. Terasa hilang sabar Mak Kam apabila melihat Miqael yang harus lebih kuat dari Ikhwan telah bersikap sebaliknya. Dia tidak pasti sama ada Miqael terlalu menurut kata hati atau dia sedang benar-benar terpukul dengan apa yang berlaku.

“Dah...dah...tak payah cari baju untuk Serina lagi!” Mak Kam menarik tangan Miqael dengan agak keras. Suaranya juga sedikit membentak.

“Ibuuu...kenapa ibu ni? Kan dah biasa Miqael yang pilihkan baju untuk Serina. Dia suka pakai apa yang Miqael suka.” Miqael tidak faham mengapa Mak Kam kelihatan marah.

“Kamu dah tak perlu buat tu semua, nak. Serina dah tak ada. Dia dah mati.” Kali ini suara Mak Kam longgar. Sebak. Dia berharap Miqael akan mengerti.

Miqael ketawa kecil. Kemudian menggeleng. Dia pasti telah tersalah dengar. Mustahil Mak Kam akan berkata begitu terhadap Serina. Sedangkan ibunya terlalu sayangkan Serina. Seorang menantu yang cantik dan baik hati.

“Ibu...ibu...dari dulu sampai sekarang memang suka bergurau.” Kata Miqael dengan yakin. Kemudian menggaru belakang tengkuknya.

Ibu tua itu mati kutu. Dia diam sebentar. Mak Kam sedang mencari-cari perkataan yang sesuai untuk menjelaskan perkara sebenar. Miqael pula masih berdiri di hadapan almari. Akhirnya diambil sehelai gaun labuh berbunga kecil berwarna jingga.

“Yang ni sesuai untuk hari ni.” Gumam Miqael puas. Gaun lauh itu dihampar di atas katil. Miqael duduk sambil memerhati gaun labuh itu.

“Miqael! Cuba kamu pandang muka ibu ni.” Minta Mak Kam yang telah duduk berhadapan dengan anak tunggalnya itu. Tangan Miqael dipegang kuat.

Seperti anak kecil Miqael menuruti kemahuan ibunya. Hanya menurut tanpa tahu apa tujuan Mak Kam berbuat begitu. Miqael memandang tepat ke dalam mata Mak Kam. Tanpa berkedip.

“Pernah tak ibu Miqael ni berbohong pada Miqael?” soal Mak Kam lembut.

“Tak, bu.” Balas Miqael yakin dan perlahan.

“Kalau macam tu kamu dengar apa ibu kata...Serina dah tak ada. Dia dah meninggal dunia sebulan dulu. Kamu tak ingat ke? kamu yang hantar jenazahnya ke perkuburan. Kamu yang tanam pokok bunga Kemboja untuk kubur Serina.”

Mak Kam berusaha untuk mengingatkan Miqael tentang hakikat sebenarnya. Wajah Miqael berubah. Anak matanya bergerak-gerak ke kanan dan ke kiri. Dahi berkerut dan berpeluh. Dia sedang mengerah otaknya untuk mengingati semua itu. Yang kelihatan hanya gelap pekat. Otaknya tidak mampu merakam semula apa yang telah berlaku.

“Tak bu! Tak!” spontan Miqael berdiri tegak. Dia pasti Mak Kam yang tersilap.

“Miqaelll!...apa ibu cakap semua betul! Kamu kena terima semua ni.”

“Macam mana Miqael nak percaya cakap ibu. Baru tadi Serina baring atas katil ni. Sekarang dia sedang mandi. Sebab tu Miqael pilihkan baju untuk dia, macam selalu.”

Selepas yakin dengan apa yang diperkatakan, Miqael menuju ke bilik air. Dia mengetuk pintu berkali-kali. Miqael mahu membuktikan Serina sedang berada di dalam bilik air.

“Bukak pintu, sayang. Ibu nak jumpa sayang ni.” Ulang Miqael apabila setiap panggilan tidak bersahut.

Mak Kam menghampiri Miqael. Dia memulas tombol pintu bilik air. Daun pintu terkuak lebar. Tidak ada sesiapa berada di dalamnya. Air pancuran mandi tidak terpasang. Lantai kering tanpa dibasahi air. Peralatan mandi masih tersusun kemas. Tidak ada tanda-tanda ia sedang digunakan.

“Nampak Miqael? Kamu dah tengok sendiri kan. Tak ada orang. Tak ada sesiapa. Tak ada Serina.” Hanya itu saja caranya untuk meyakinkan Miqael.

“Tapiii...tapiii.” Miqael terduduk. Punggungnya terhenyak ke lantai. Dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tidak ada sesiapa sedang berada di dalam bilik air itu.

“Mari ikut ibu keluar.” Tangan Miqael ditarik. Dia berdiri semula dengan lemah. Mak Kam terus menarik tangan Miqael hinggalah mereka melangkahi muka pintu.

“Bu...kenapa ibu pimpin tangan Miqael pula ni? Teringat pula masa kacil-kecil dulu. Tak renggang dengan ibu.” Lalu Miqael ketawa kecil. Mak Kam menarik nafas lega.

“Biar berapa pun umur kamu, kamu masih anak ibu. Ibu memang suka pimpin tangan kamu ni.” Sahut Mak Kam sambil menepuk-nepuk telapak tangan Miqael.

*********************************************************************************

Hakikat...

 

Mereka berjalan beriringan ke ruang tamu. Di ruang tamu, Ikhwan masih tidur lena. Dua beranak itu duduk berhampiran anak kecil itu. Di atas sofa empuk yang Miqael hadiahkan dua tahun lepas. Miqael merenung lama anak yang baru berusia lima tahun itu.

“Kesian Ikhwan, bu.”

“Kamu perlu kesian kat diri sendiri jugak, Miqael.” Balas Mak Kam.

“Miqael? Maksud ibu?”

Ekor mata Mak Kam memandang keluar sebentar. Melihat ke arah jalan kecil di tepi rumah. Itulah juga jalan yang menghala ke tanah perkuburan yang tidak jauh dari kediaman mereka. Pandangannya diarah kepada Miqael semula.

“Kamu perlu terima kenyataan yang Serina dah sebulan tinggalkan kita semua. Allah lebih sayangkan dia. Dia tinggalkan pada kita satu amanah. Anak kamu nilah amanah yang Serina tinggalkan.”

“Itu Miqael faham bu. Miqael akan sayang Ikhwan macam Serina sayangi dia.” Miqael masih gagal untuk menangkap maksud sebenar kata-kata Mak Tam.

“Tapi hakikatnya kamu tak betul-betul lepaskan Serina, Miqael. Kamu cuba menidakkan yang Serina dah tak ada. Kalau kamu berterusan macam ni, apa nak jadi dengan Ikhwan?” Kata-kata Mak Kam membuat Miqael gelisah. Dia masih tidak faham. Sukar untuk faham.

“Miqael tau Serina dah meninggal dunia, bu.” Dia cuba meyakinkan Mak Kam.

“Ada masanya kamu memang sedar dan tau. Kadang-kadang kamu terlupa. Lepaskan Serina sepenuhnya, Miqael. Jangan biarkan diri kamu dikuasai oleh kenangan-kenangan bersama Serina.” Nasihat Mak Kam.

“Takkan Miqael perlu buang semua kenangan tu bu. Cuma itu yang tinggal buat Miqael. Miqael dah janji tak akan pernah lupakan Serina.” Miqael merenung wajah Ikhwan yang polos. Anak itu juga adalah hadiah yang ditinggalkan Serina.

“Bukan itu maksud ibu. Kamu masih boleh ingati dia tapi jangan sampai kamu dikuasai oleh perasaan kamu sendiri. Jangan diturutkan sangat perasaan tu. Relakan pemergian Serina dengan ikhlas. Mudah-mudahan dia akan tenang kat tempatnya.”

Setiap kata-kata Mak Kam dipertimbang sebaik-baiknya. Diperhalusi. Difikir dan direnung sedalam-dalamnya. Dia juga sedang terus cuba untuk memahami situasi yang sedang dialaminya.

“Bu...Miqael tak faham. Apa yang dah jadi dengan Miqael ni bu?” Akhirnya kekalutan fikirannya diluahkan.

“Hmmm...biar ibu jelaskan. Ada masanya kamu beranggapan Serina masih hidup. Kamu bercakap sendiri...ketawa, tersenyum macam kamu layan Serina semasa hidupnya. Tiap pagi kamu masih pilihkan baju untuk Serina pakai.”

Seperti tidak percaya dengan apa yang Mak Kam perkatakan. Miqael gelisah. Duduknya tidak selesa. Dahinya ditekan beberapa kali. Kepalanya sakit tiba-tiba. Dia cuba meyakinkan dirinya kata-kata Mak Kam adalah benar. Seorang ibu tidak akan berbohong. Apatah lagi ibu tua itu adalah Mak Kam. Orang yang sangat jujur sifatnya.

“Astaghfirullah...betul ke bu?” akhirnya Miqael tidak mampu lagi menolak kata-kata itu.

“Kalau kamu kurang yakin, mari kita tengok apa yang ada atas katil kamu.” Mak Kam bangun dan meminta Miqael mengikutinya. Mereka menuju ke bilik tidur Miqael semula.

“Tengok tu...baju siapa? Serina punya kan? Macam tulah setiap hari. Kamu akan pilihkan baju untuk Serina pakai, kemudian ibu yang akan letakkan semula ke dalam almari.”

“Ya Allah...” Tubuh Miqael lemah. Dia tidak menyangka perlakuannya seperti itu.

“Ya nak, kamu masih tak dapat terima kenyataan. Kalau kamu sayang dia, ikhlaskan pemergiannya. Doakan dia banyak-banyak. Ibu tak nak kamu lemah.”

Perlahan-lahan Miqael melangkah masuk. Dia mengambil gaun labuh dan menciumnya. Kemudian dimasukkan semula ke dalam almari. Selepas itu dia memandang setiap inci bilik. Di dalam bilik itu terlalu banyak kenangan.

Dari atas meja solek, diambilnya foto Serina yang berbingkai warna emas. Direnung lama dan dikucup perlahan. Apabila telah puas menatap, foto itu dimasukkan ke dalam laci almari. Laci dikunci lalu kunci itu diserahkan kepada Mak Kam. Sebak dada Mak Kam melihat wajah Miqael yang sayu.

“Serina...maafkan abang. Maafkan abang. Mulai hari ini abang ikhlaskan pemergian Serina. Semoga Serina damai di sana. Abang akan terus ingati Serina dalam doa-doa abang. Abang tetap sayang Serina sampai akhir hayat abang.”

Menitis air mata Mak Kam apabila melihat Miqael bertambah longlai. Suara anak tunggalnya itu tenggelam timbul. Seperti biasa Mak Kam mengusap belakang Miqael agar dia tenang semula.

“Serina...abang akan terus ziarahi pusara Serina sampai bila-bila.” Serentak dengan itu Miqael terlihat susuk seorang perempuan berpakaian dan berselendang serba putih. Wajahnya tidak jelas. Miqael bagai dipukau, tidak berkelip terus memandang.

Perempuan itu menoleh sebentar sambil menguak sedikit selendang yang melindungi wajahnya. Miqael gementar apabila mendapati perempuan itu adalah Serina. Itulah perempuan yang dilihat kelibatnya setiap pagi. Tubuh Miqael terkaku.

“Bu...dia Serina bu. Dia Serina.” Ujarnya perlahan.

“Siapa? Ibu tak nampak apa-apa.” Mata Mak Kam meliar memandang. Masih tidak ada apa-apa yang dilihatnya.

“Perempuan yang Miqael nampak tiap pagi, bu. Dia Serina.” Ulangnya lagi. Mak Kam cuba untuk mempercayainya.

Serina menghadiahkan sebuah senyuman bersama genangan air mata di tubir matanya. Miqael tidak mampu membalasnya. Dia mahu namun bibirnya sukar digerakkan. Terkelu lidahnya untuk berkata-kata. Kemudian Serina berjalan keluar. Di hadapan muka pintu dia menoleh sebentar, melambai Miqael dengan senyuman yang masih ada lalu hilang dari pandangan.

“Selamat tinggal sayang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu. Abang redha dan ikhlaskan semuanya. Satu masa nanti abang akan menjadi salah seorang jiranmu di sana. InsyaAllah...tunggu abang.” Ada senyuman nipis di hujung kata-kata Miqael.

“Kenapa ni Miqael?” Mak Kam tidak sedap hati.

“Serina dah pergi, bu. Alhamdulillah...hati Miqael lapang.” Ujarnya bersama setitis air mata syukur.

“Semoga dia di tempatkan bersama orang-orang yang soleh...aamiin.” Mak Kam berdoa. Miqael turut meng aminkan.

“Papa! Papa! Tadi mama cium Ikhwan! Tapi mama dah pergi. Mama tak boleh balik tengok Ikhwan dan papa lagi!” Terdengar suara Ikhwan dari ruang tamu. Mak Kam dan Miqael bergegas mendapatkannya.

“Papa...papa dengar tak apa ikhwan kata tadi?” soal Ikhwan sebaik Miqael memeluknya. Miqael angguk.

“Ya sayang. Papa dengar. Papa percaya.”

“Biarkan mama pergi. Ikhwan masih ada papa. Ada tok wan.” Sekali lagi Miqael telah membuat Mak Kam sebak. Sekaligus berasa bangga dengan anak dan cucunya. Mereka adalah lelaki yang kuat.

“Ikhwan tak mau menangis dah.” Suara yang halus dan comel.

“Bagus! Anak papa kuat. Dia budak baik. Papa pun tak suka menangis. Papa tak akan menangis.” Lalu ketiga beranak itu saling berpelukan dengan erat. Masing-masing menahan air mata agar tidak mengalir. Janji tetap janji yang perlu dikota.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.