Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 19

19

 

Pak Seman terbongkok-bongkok membetulkan dawai mata punai yang menjadi reban itiknya. Dari belakang Rima berjalan terjengkit-jengkit, tidak mahu langkahnya didengari oleh Pak Seman. Ita yang sedang membantu ayahnya sudah menyedari dari awal lagi kedatangan Rima. Rima memberinya isyarat agar mendiamkan diri.

“Pak andakkk!” Rima menepuk belakang Pak Seman dengan kuat. Gunting besar yang digunakan untuk memotong dawai tercampak dari tangan Pak Seman. Pak Seman melompat setapak, terkejut bukan kepalang. Muka Pak Seman nampak panik. Ita menahan hati dari ketawa.

“Eh, eh...budak ini! Kalau pak andak ada sakit jantung, dah lama pak andak ke batu dua.” Pak Seman menggeleng, dia tidak marah. Orang tua itu sudah masak benar dengan sikap Rima yang tidak banyak berubah dari zaman kanak-kanak hinggalah sudah menjadi anak gadis. Lagi pula Rima dan Ita sudah terbawa-bawa dengan cara gurauan Pak Seman dan Pak Nuar. Usik mengusik seperti itulah yang membuat hubungan kekeluargaan mereka menjadi lebih mesra dan akrab lagi.

“Sian pak andak.” Rima dan Ita melepaskan ketawa yang dijaga batasnya. Gurau, gurau juga, menghormati orang tua tetap jangan dilupa.

“Sembelihlah sekor itik, pak andak. Dah lama adik tak makan itik rendang. Kalau adik kempunan kan susah.” Mata Rima sibuk meninjau itik Pak Seman yang pelbagai warna. Ada yang hitam, ada yang putih dan ada yang hitam putih berbintik hitam. Yang coklat kemerahan pun ada juga. Terliur Rima dibuatnya.

Dalam hati, Ita turut bersetuju dengan Rima. Itik ayahnya bukan main banyak tapi hanya telurnya yang dapat dinikmati. Itik-itik itu akan dijual kepada sesiapa yang hendak membelinya. Untuk mereka sekeluarga hanya berpeluang makan daging itik sebulan sekali saja. Ita berdoa mudah-mudahan ayahnya tergerak hati untuk menyembelih seekor itik untuk menunaikan permintaan Rima, anak saudara yang menjadi kesayangan semua orang itu.

“Kamu teringin ke adik?” tanya Pak Seman sambil mengutip gunting besar yang jatuh.

“Teringin...nak sangat. Kalau ada rendang itik, adik makan tambah dua kali tau, pak andak.”

“Itu kamu ke siapa yang makan? Jangan ada yang tumpang sekali sudahlah.” Usik Pak

Seman pula.

“Adiklah yang makan...adik tak pernah lupa baca Bismillah.” Rima ketawa.

Pak Seman menyambung kerjanya sementara Rima ternanti-nanti jawapannya. Ita pula tumpang sekaki. Mengharapkan Pak Seman bersetuju dengan permintaan Rima. Melihat Pak Seman senyap tanpa sebarang jawapan, Rima hampa. Ita turut kecewa. Hati Pak Seman tetap kebal. Lebih rela menjual itik-itik itu daripada mengorbankan seekor untuk ahli keluarga. Itulah tanggapan Ita. Dia tidak berani mahu protes, hanya menyembunyikan tanggapan itu senyap-senyap.

Asmah yang turut berada di kebun Pak Seman tidak menghiraukan Rima. Dia sedang sibuk mencabut cendawan butang yang tumbuh melata di kebun pada setiap kali musim hujan. Rima juga malas mahu menyapa Asmah. Bukan benci tapi kurang berkenan dengan mulut Asmah yang selalu cakap lepas.

“Ita, meh sini...kita duduk bawah pokok mengkudu tu. Adik ada bendalah nak cakap.” Rima menarik tangan Ita setelah Pak Seman tidak melayan permintaannya.

Ita menurut saja. Pokok mengkudu itu tidak jauh daripada tempat Pak Seman berdiri. Hanya beberapan langkah, mereka sudah pun berada di situ. Rima duduk di atas tunggul kelapa sedangkan Ita tetap bertinggung.

“Ada apa ni? Macam penting sangat.”

“Adalah...memang penting pun,” jawab Rima sambil menjeling Pak Seman. Dia berharap Pak Seman tidak akan mendengar perbualan mereka.

“Ita...engkau percaya pada cinta tak?”

“Tiba-tiba aje! Bukan selama ni engkau orang yang anti pada cinta ke adik? Macam tak percaya aje aku ni! Cinta tu karutlah...cinta tu entah apa-apalah...tak percaya cintalah. Sekarang apa dah jadi?” suara Ita agak kuat. Rima mulai resah bila Pak Seman menoleh ke arah mereka.

“Hah! Siapa bercinta tu? Kamu ke adik?” soal Pak Seman yang terdengar Ita telah menyebut tentang cinta. Asmah memanjangkan leher sebentar tapi tidak mahu masuk campur. Rima lega.

“Eh, tak adalah pak andak...mana ada.” Rima tersipu bercampur geram. Geram dengan Ita yang tidak tahu mengawal suara. Rima mencubit Ita. Ita mengaduh. Memang bahaya jika berada berhampiran Rima. Bila tidak puas hati, jarinya suka mencubit.

“Tak payahlah bercinta. Buang masa aje. Dulu-dulu pak andak ni, ayah kamu tu, mana ada cinta-cinta...tapi kekal sampai sekarang.” Ada ketawa di hujung percakapan Pak Seman. Gelihati bila mengenangkan anak-anak zaman moden. Masing-masing mahu bercinta walaupun tidak faham apa itu cinta.

“Jadi...tak bolehlah bercinta ya pak andak?” alang-alang sudah malu, lebih baik Rima terus bertanya. Sekurang-kurangnya dia akan dapat belajar sesuatu dari orang lama. Biarlah Asmah turut mendengar, Rima sudah tidak kisah.

“Entahlah, adik...semua orang nak bergerak ikut zaman. Tak nak ketinggalan. Baik dalam soal apa saja semuanya nak ke depan. Yang baik tu tak apalah kalau jadi ikutan...tapi kadang-kadang tu yang buruk jugak yang terkejar-kejarkan. Sudahnya rosak diri sendiri. Siapa yang susah?”

“Hmmm...maksud pak andak, memang tak boleh bercinta ke?” soalan yang tidak mendapat jawapan yang tepat tidak memuaskan hati Rima.

 “Boleh.”

“Boleh, pak andak?” ada teruja dalam diri Rima. Ita turut tersengih mendengar jawapan ayahnya.

“Boleh...tapi cinta tu bukan sebab ikutkan nafsu. Biar cinta tu mengawal nafsu, jangan nafsu yang mengawal cinta. Allah dah anugerahkan perasaan itu pada Adam dan Hawa dan ia berterusan dari zaman ke zaman...hinggalah pada zaman kamu berdua sekarang ni.” Akhirnya Pak Seman mengakui bahawa manusia tidak dapat lari dari fitrah.

“Tapi kenapa dulu ayah dan pak andak tak dibenarkan bercinta?” hilang segan Rima. Apa yang diberitahu oleh Pak Seman akan dijadikan pelajaran buatnya.

“Bukan tak dibenarkan...cuma keadaan masa tu jauh berbeza. Orang Melayu masih kukuh dengan adab sopan. Walaupun ada juga yang bercinta secara terbuka tapi jauh lebih ramai yang suka bercinta selepas kahwin. Selamat dan kemanisannya lebih terasa.

 Kebanyakannya berkahwin atas pilihan orang tua...berkat kan?” orang tua itu bercakap secara terbuka supaya anak-anak dapat membezakan baik buruknya sesuatu perkara.

“Oh...adik faham, pak andak.”

 “Hah, baguslah...kamu Ita? Faham apa yang abah cakap tadi? Kamu berdua tu perempuan, jangan buat yang bukan-bukan. Jangan conteng arang ke muka orang tua...ingat tu!” tegas sekali peringatan daripada Pak Seman.

 “Errr...faham bah...faham.” Ita terangguk-angguk. Selalunya begitulah, Rima punya fasal Ita yang selalu jadi mangsa ketegasan Pak Seman.

“Jangan angguk-angguk je...jadikan peringatan. Satu lagi, jangan main ikut-ikutan. Orang nak bercinta kamu berdua pun nak bercinta...tapi tak faham kenapa mesti bercinta.”

“Tak pasal-pasal abah dah jadi doktor cinta...semua ni sebab adiklah.” Tokok Pak Seman lalu ketawa. Kedua-dua anak gadis di bawah pokok mengkudu turut ketawa.

“Kalau melayan adik, memang kerja pak andak takkan sudah. Kamu sembang situ je, jangan pergi mana-mana. Lepas pak andak bagi kambing makan, pak andak sembelihkan itik untuk kamu ya adik.” Ujar Pak Seman.

“Adik aje ke bah? Ita pun nak jugak.” Nampaknya Ita tidak boleh duduk diam. Mana boleh jadi, Rima akan sedap-sedap mengunyah rendang itik kepunyaan abahnya sedangkan dia yang selalu memberi itik-itik itu makan. Bak kata P. Ramlee dalam filem Tiga Abdul, itu sudah tidak adil. Berat sebelah!

“Ada...nanti abah potong dua ekor. Sekor untuk adik, sekor lagi untuk kita. Abah pun dah teringin sangat makan daging itik. Puas hati?” Ita bersorak suka. Rima turut suka.

“Ini yang buat adik sayang sangat pak andak ni,” usik Rima.

“Adik, adik...pandailah kamu. Agaknya masa pak andak diamkan tadi tu, kamu dah menyumpah-nyumpah pak andak.” Usik Pak Seman pula.

“Tak adalah...pak andak ni kan.” Cepat-cepat Rima menafikan.

 Rima dan Ita berpandangan. Mereka saling tidak tahu apa yang ada dalam pemikiran mereka sebentar tadi tapi kedua-duanya telah terkena tembakan Pak Seman. Mereka sama-sama malu-malu kucing. Pak Seman tidak mahu lama di situ. Banyak lagi kerja yang sedang menunggunya. Dia membiarkan kedua sepupu itu mengkisahkan cerita-cerita dunia remaja mereka.

 “Pandai pak andak kenakan adik.” Rima ketawa kecil.

“Aku pun kena sekali,” lalu mereka sama-sama ketawa.

 “Tapi pandai jugak abah tentang bab cinta ni kan.” Puji Ita.

 “Orang lama memang macam tu. Hah, Ita...adik nak cari kerjalah. Engkau nak ikut tak?”

“Kerja apa?” tanya Ita kembali.

“Apa-apalah, asalkan kerja. Adik tak nak habiskan banyak masa kat rumah. Susahlah Ita...dua tiga hari ni adik suka khayal yang bukan-bukan. Memalukan betul! Kalau adik kerja, adik akan leka dengan kerja aje, tak payah banyak fikir. Lepas tu boleh jugak adik kumpul duit untuk sambung belajar nanti.” Rima telah memikirkan perkara itu semalaman. Rima harus berbuat sesuatu sebelum dia jadi gila gara-gara asyik terbayangkan muka Sulaiman. Sulaiman yang tidak diketahui asal-usul dan hati budinya.

“Ekkk...lain macam aje cakap-cakap engkau ni adik. Takkan engkau khayalkan yang biasa-biasa kan. Ini mesti ada apa-apa. Cuba terus-terang dengan aku. Seronok jugak kalau dapat kongsi ni...ceritalah adik...ceritalah.”

Muka mengharap Ita dipandang tepat. Ita mengenyitkan mata kirinya. Sebagai balasan, Rima menjelirkan lidah. Ita pula menjulingkan kedua biji matanya. Rima mengangkat jari telunjuknya, seakan mahu mencucuk mata Ita. Ita cepat-cepat mengelak lalu mereka ketawa lagi.

 “Engkau jangan cerita kat orang lain tau Ita, malu adik nanti.” Memang niatnya datang ke rumah Ita untuk berkongsi rasa. Dia sudah biasa, Ita adalah rakan sebayanya yang akrab, selain saudara sepupunya.

 “Alaaa...adik macam tak kenal aku aje. Aku selalu zip mulut kan.”

 “Adik pecaya engkau...sebenarnya kan Ita, adik tak suka dengan apa yang adik rasa sekarang ni. Sebabnya adik rasa betul-betul tak logik. Adik tak fahamlah, dalam 2-3 hari ni adik asyik ternampak-nampak muka Sulaiman yang dah bayarkan ABC gunung adik dengan kawan adik.” Muka Rima serius saja. Diam sekejap untuk menunggu Asmah pergi dari situ. Cendawan butang sudah banyak dipungut dan Asmah sudah berada agak jauh dari mereka.

 “Siapa Sulaiman tu? Tak pernah pun adik cerita kat aku.” Ita semakin berminat untuk tahu.

 “Manalah adik kenal, hari tu kami makan ABC gunung kat tempat selalu tu...tapi meja kami lain-lain. Masa kawan adik nak bayar, pakcik gerai kata Sulaiman tu dah tolong bayarkan. Sejak adik terpandang dia, adik selalu nampak-nampak aje muka dia. Tak senang hidup adik kalau terus macam ni. Adik tak sukalah Ita. Walaupun dia tak tau tapi adik rasa macam terhegeh-hegeh tau. Adik nak buang dia dari terus kacau adik.” Sesekali Rima menggaru lengannya yang telah digigit nyamuk yang laparkan darah. Tentu nyamuk yang menggigitnya sudah kekenyangan bila dapat menikmati darahnya yang manis.

“Laaa, macam mana boleh jadi gitu? Memanglah tak logik! Bahaya tu adik, nanti aku suruh abah buatkan air penawar untuk adik ya?” spontan saja tawaran Rima.

Dia juga berasa pelik bagaimana Rima boleh angaukan orang yang tidak dikenalinya. Sedangkan Juki yang menggilainya dari kecil lagi masih belum mendapat tempat di hati Rima. Anehnya perasaan! Malangnya perasaan adalah suatu yang tidak nampak. Kalaulah ia ada rupa fizikal, sudah lama perasaan diberi amaran. Kalau masih degil lagi, rotankan saja. Ia adalah sebaliknya. Perasaan tidak boleh dilihat, hanya boleh dirasai oleh tuan punya hati dan perasaan.

“Haiisshhh...engkau ni kan! Lebih melatah dari adik lagi. Tenang-tenang sudahlah.

Bercakap dengan engkau bukan menambah lega adik ni. Benda yang tak logik jugak yang engkau cadangkan. Tak sampai ke situlah...adik masih boleh kawal. Cuma adik memang tak suka kalau perasaan tu ada. Rasa rimaslah. Macam gatal je adik ni.” Keluh Rima.

Tiba-tiba Ita ketawa. Pelik Rima melihatnya. Sudahlah dia beria-ia menjelaskan apa yang dialami kepada Ita, Ita pula sedang beria-ia ketawa. Ishhh...geramnya! Apa sangatlah yang telah mencuit hati Ita. Menunggu Ita berhenti ketawa cuma sia-sia. Panjang sungguh ketawa Ita. Kali ini Rima mesti melakukan sesuatu, diangkatnya tangan kanan tinggi-tinggi lalu ditepuk belakang Ita dengan kuat. Ita yang hanya bertinggung hampir-hampir menyungkur. Mujur kedua tangannya sempat menahan badannya.

“Apa ni? Main kasar nampak!” lalu Ita membetulkan kedudukan badannya. Kali ini dia duduk di atas rumput.

“Rasakan! Padan muka! Sedap-sedap aje nak ketawakan adik,” balas Rima selamba.

“Taklah...bukan apa. Aku gelihati tengok muka adik masa adik cerita tadi. Bukan senang nak tengok adik serius macam tu. Yang paling kelakar adik dah tersuka kat orang yang adik tak kenal. Adoilah...memanglah tak logik.”

“Dahlah! Lupakan aje...pasal kerja tu, engkau nak tak? Kita kerjalah kat gerai makan ke, kat kedai ke. Nak?” Rima amat berharap agar Ita dapat menemaninya.

“Aku tak minatlah adik...engkau ajak jelah kawan sekelas engkau dulu. Mesti dia nak.” Cadang Ita pula.

“Dia tak boleh...kan ayah Salwa tu berjual kat pasar malam. Adik dah tak laratlah nak ikut Salwa berjual lagi. Tak apalah adik cari sorang-sorang.”

“Engkau memang macam tu, hangat-hangat tahi ayam je.” Ejek Ita.

“Alaaa, lecehlah kerja kat pasar malam.” Keluh Rima.

“Kalau setakat temankan cari kerja, aku boleh. Nanti aku temankan...tapi aku tak nak kerja tau.” Tidak sampai hati untuk Ita membiarkan sepupunya itu sendirian.

“Agak-agak boleh ke adik kerja kat kedai makan...masak pun tak tau,” usik Ita. Rima hanya tersengih.

“Bukan nak mintak jadi tukang masaklah...cuci pinggan pun jadilah.” Rima ketawa. “Haaa, yang tu suai sangat dengan engkau. Aku tak ada bangkangan. Cuma aku nak pesan, jangan nanti engkau basuh sepuluh pinggan, sembilan yang pecah. Naya nanti,” lalu keduanya ketawa lagi. Begitulah akrabnya dua bersaudara itu. Biarpun tidak sedarah tapi ia nampak lebih dari itu.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.