Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 32

Bab 32

 

Mak Jah ketawa hingga sepet matanya. Pak Nuar juga sedang pecah perut. Rima tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Pasrah sajalah kalau dia menjadi bahan ketawa pada malam itu.

“Ibu dan kak long yang nak tau siapa mak ayah dia, mana dia tinggal, berapa umur dia. Dah tu ketawakan adik pulak.” Rima tersipu-sipu.

 “Macam manalah anak ayah boleh jadi cikgu, benda macam tu pun tak boleh nak fikir.” Usik Pak Nuar. Semakin malu Rima jadinya.

 “Adik...adik...bukan macam tu. Budak lelaki tu yang kena datang jumpa kami ni. Kami yang akan tanya macam-macam nanti. Paling penting, boleh tak dia jadi imam solat. Tau tak dia bacaan-bacaan dalam solat. Kalau lulus baru boleh suruh mak ayah dia masuk meminang.” Tambah Pak Nuar lagi.

“Alaa segannya nak ajak dia datang rumah.” Keluh Rima. “Banyaknya masalah adik ni bu,” sambungnya lagi.

“Apa sajalah kamu ni adik. Semua benda jadi masalah,” tegur Mak Jah.

“Yalah bu, esok Zulkarnain akan mengajar di sekolah tempat adik tu. Masalah Sulaiman lagi. Juki lagi.” Masam muka Rima.

 Mak Jah dan Pak Nuar berpandangan. Ada yang pelik dalam kata-kata Rima. Ada yang difahami dan ada yang tidak diketahui maksudnya. Memikirkan Rima yang masih belum bijak menangani masalah, membuat mereka sering merasakan Rima masih anak remaja mereka yang dulu. Kadang-kadang terlupa usia Rima sudahpun ke angka 22.

 “Zulkarnain...macam pernah dengar nama tu...tapi kalau dia sama mengajar dengan adik apalah salahnya. Apa yang jadi masalahnya?...haaa, Juki tu pun...kenapa dengan dia?” Bertalu-talu soalan daripada mulut Mak Jah. Pak Nuar angguk-angguk. Dia juga tidak faham, perkara yang bukan masalah tetap menjadi masalah buat Rima.

 “A,ah bu...Zulkarnain kawan kak ngah tulah. Tak jadi masalah kut bu...Juki pun...ermmm, entahlah adik ni dah merapu pulak malam-malam ni.” Rima berdalih. Buat masa ini dia belum bersedia untuk bercerita tentang Zulkarnain ataupun Juki.

Duduk di atas pangkin pada waktu malam dengan ditemani angin segar memang sangat disukai oleh Pak Nuar sekeluarga. Langit yang luas dengan bulan yang suram serta bintang yang berkelip di sana sini menambahkan lagi rasa aman dalam hati mereka.

 “Bu, agaknya kan kat mana pungguk ada sekarang ni ya bu?” ujar Rima sambil tersengih.

“Kat Sawah Semapadan agaknya,” usik Mak Jah.

“Alaaa ibu ni!...yang tu bukan pungguklah bu.” Rima ketawa. Mak Jah hanya senyum.

“Ingat adik, jaga batasan. Ingat Tuhan...ingat ibu ayah ni. Jangan buat perkara yang tak senonoh. Bukan senang jadi orang perempuan, silap sikit mulalah jadi buah mulut orang.” Pak Nuar pula mengingatkan. Mak Jah angguk setuju.

“Iya yah...ayah jangan takut, adik tak pernah jumpa dia pun. Kalau ada pun cuma kebetulan. Anak buahnya pelajar sekolah tu jugak.” Memang Rima selalu mengambil kira setiap ajaran dan pesanan orang tuanya. Dia juga sedia maklum, sebagai perempuan Muslim sudah sewajarnya dia menjaga kesucian Islam. Rima juga sangat faham tentang sikap segelintir masyarakat Melayu yang mulutnya lebih besar daripada mulut tempayan. Susah mahu mencari penutup yang sesuai untuk mulut manusia.

“Anak ayah.” Puji Pak Nuar.

“Siapa pulak ibunya.” Mak Jah menambah.

Sejuk hati Rima mendengarnya. Kadang-kadang Rima dapat merasakan betapa bertuahnya dia dapat berada di dalam keluarga Pak Nuar. Kalau tidak, dia tidak tahu bagaimana keadaan dirinya ketika ini. Itulah takdir yang sudah tertulis buatnya.

 “Jah...elok awak cakap dengana adik sekarang.” Pak Nuar mencuit bahu Mak Jah untuk mengingatkan sesuatu.

Mak Jah menarik nafas. Kenapalah suaminya itu selalu saja menyerahkan kepadanya sesuatu yang susah untuk dilakukan? Sudah puas mereka berbincang siang tadi, sewaktu Rima berada di sekolah. Hanya menunggu waktu yang sesuai untuk diluahkan.

“Awak sajalah, bang.” Tolak Mak Jah. Pak Nuar sudah menjangka, Mak Jah tidak akan sanggup menyatakannya kepada Rima.

 “Ada apa bu...ayah? Janganlah buat adik tertanya-tanya aje...cakaplah bu,” desak Rima ingin tahu.

Sekali lagi Mak Jah menarik nafas supaya oksigen dapat masuk dengan baik melalui kerongkongnya. Selepas itu nafas dilepaskan perlahan. Mahu tidak mahu Mak Jah harus memberitahu kepada Rima.

“Tentang orang tua adik.” Perlahan suara Mak Jah.

 Telinga Rima teasa tegak. Seakan bergerak-gerak. Ia sedang cuba mendengar dengan baik walaupun hati Rima telah menolak sepenuhnya. Kalau boleh dia tidak mahu lagi mendengar apa-apa saja cerita tentang Syidah. Entah kenapa dalam hal yang satu ini hatinya seakan beku. Tidak ada ruang simpati atau sedikit perasaan sayang. Belum terkabulkah doanya selama ini? Rima tidak pernah dapat menjawabnya.

 “Orang tua adik...ada depan mata adik...ayah, ibu.” Rima tunduk. Tidak kuat untuk berfikir lagi. Selama empat tahun di kampus dia telah mengerah seluruh kekuatan mindanya agar melupakan tentang Syidah supaya dia dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Setelah ketenangan itu diperolehi, kini ia mahu di kelam-kabutkan lagi dengan persoalan tentang Syidah.

 “Adik...ibu nak tanya, adik dah dewasa kan? Dah betul-betul dewasa?” soal Mak Jah dengan muka yang agak serius. Mak Jah menyoal Rima tapi Pak Nuar yang berdebar-debar. Entahlah, dalam hal ini Mak Jah lebih kuat daripada dirinya sendiri.

 “Haaa...” Rima mengeluh.

“Mungkin adik dah dewasa bu. Adik dah boleh faham banyak benda. Tapi...kalau tentang dia, entah kenapa adik tak pernah sedia. Tak sedia untuk dengar...tak sedia untuk tahu...dan...dan kalau boleh adik nak lupakan terus.” Ada sebak di dada Rima.

Mak Jah diam. Dia mahu memberi ruang untuk Rima melegakan perasaannya. Mungkin angin malam yang semakin segar dapat membantu. Bintang juga khabarnya pandai memujuk hati yang sedang celaru. Kerdipan lembutnya seakan sedang bermain mata dengan Rima yang sedang merenungnya. Tentu bintang sedang menyampaikan sesuatu dengan caranya.

 “Hmmm...cakaplah bu...adik cuba dengar.” Akhirnya Rima mengalah. Bijak juga bintang! Angin malam pun apa kurangnya. Angin mengusap-usap pipi Rima, membelai seluruh badan kemudian kesegarannya meresap masuk ke dalam hati.

“Rumah besar kat hujung kampung tu...mama adik dah beli. Dengarnya nak duduk situ,” jelas Mak Jah dengan berhati-hati.

“Ooo,” sahut Rima perlahan.

Jawapan Rima membuat Mak Jah dan Pak Nuar berpandangan. Mereka faham apa yang ada di dalam hati Rima. Walaupun sikap Rima telah membuat keadaan mereka lebih selesa dan peratus untuk kehilangan Rima semakin menipis tapi sebagai manusia, mereka masih ada hati perut. Tidak sampai hati untuk menzalimi Syidah. Dari perut perempuan itulah Rima dilahirkan.

“Jangan macam tu adik...adik macam tak nak ambik tau langsung.” Barulah Pak Nuar bersuara. Begitulah selalunya, Pak Nuar memang lemah dalam bab bermukadimah.

 “Jadi...apa ayah dengan ibu nak adik buat sekarang? Lantaklah! Tak mampu nak fikirkan dia...” Luah Rima. Ada getar di hujung suaranya. Terasa hendak menangis. Rima agak tertekan.

“Istighfar adik...tak baik cakap macam tu. Sebusuk-busuk dia, dialah yang dah melahirkan adik. Kalau adik tak ada dalam dunia ni, tak dapatlah jadi anak ibu ayah sekarang ni.” Nasihat Pak Nuar.

 Rima meletup-letupkan jari-jarinya. Tiba-tiba fikirannya terasa kosong. Angin malam yang tadinya segar dan dingin sudah terasa panas. Kerdipan bintang seperti sedang mengejeknya. Sudahnya Rima tunduk memandang tanah yang gelap. Mulutnya kumat-kamit, mungkin sedang beristighfar seperti yang Pak Nuar mahukan.

 “Adik tak tau nak cakap apa, bu...tiap kali dengar nama dia...yang ada dalam hati adik cuma...cuma, marah, benci...ermmm, entah apa-apa lagilah bu. Yang pasti tak pernah ada perasaan yang baik-baik.” Rima mengakui dengan sejujurnya.

 “Berdosa, adik. Sedangkan Allah nakkan kita sayang menyayang pada semua makhluk dalam dunia ni...inikan pula pada orang yang dah lahirkan adik. Adik dah besar panjang...dewasa dah, jadi cara berfikir pun mesti macam orang dewasa.” Sambung Pak Nuar. Dalam bab nasihat memang Pak Nuar setanding dengan Pak Seman. Maklumlah mereka keluar dari perut yang sama.

Kali ini mata Rima mulai panas. Air matanya sedang berebut-rebut untuk keluar. Cepat-cepat dipejam celikkan mata itu supaya air mata terus bertakung di dalam hatinya. Disebabkan Rima adalah anak Pak Nuar dan Mak Jah yang mendengar kata, maka dia berusaha untuk berfikir dengan tenang. Dia melakukan bukan kerana Syidah tapi sebab mereka berdua.

 “Ayah nak adik buat apa sekarang?” Terasa berat mulutnya mahu bertanya tapi dikuatkan juga. Mendengar soalan Rima, Mak Jah dan Pak Nuar berasa lega. Bolehlah mereka masuk jarum sebentar lagi. Cuci sedikit otak Rima supaya dia boleh berfikir dengan lebih baik.

“Cuba terima dia...buang yang keruh ambik yang jernih. Jangan terus benci dia.” Kali ini Mak Jah pula yang bersuara. Tidak ada lagi nada kebimbangan di dalam suaranya kerana dia sudah tahu sebanyak mana sayang Rima terhadap mereka.

 Rima tunduk lagi. Terlalu berat permintaan Mak Jah. Rima tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya nanti.

 “Ermmm...nanti adik fikir, bu...adik naik dulu ya bu. Belum semak buku nota murid-murid adik.” Mak Jah hanya angguk. Rima bangun, mencium tangan Mak Jah dan Pak Nuar lalu naik ke atas rumah. Kedua orang tua itu memerhati langkah Rima yang longlai. Langsung tidak bersemangat seperti sewaktu dia bercerita tentang Sulaiman awal-awal tadi.

 “Biar dia tenang dulu ya bang.” Ujar Mak Jah.

 “Bukan senang nak lupakan rasa sakit hati dan benci, Jah. Kita kena sabar.” Balas Pak Nuar pula.

 

Buku latihan Bahasa Malaysia murid-muridnya masih tidak disemak lagi. Rima termenung di atas katil. Katil kayu baru yang mengganti katil besi usangnya itu dihadiahkan oleh Suhana yang sudah menjadi pegawai bank di Perak. Berita yang baru diterima sebentar tadi betul-betul membuat Rima tidak menentu. Serba tidak kena.

 ‘Kalau adik boleh lari dari semua ni dah lama adik lari...tapi nak lari ke mana?’ Bermulalah fikiran-fikiran yang tidak masuk akal mengganggu otaknya. Serabut! Dipejam celik matanya yang cuma menghalau bayangan muka Syidah yang datang tiba-tiba.

 “Rima...mama rindu Rima. Mama sayang...mama rindu.” Suara Syidah berada di setiap sudut bilik tidurnya yang senyap itu. Cepat-cepat Rima menutup lubang telinganya dengan jari telunjuk.

 “Pergilah! Jangan kacau adik lagi! Pergiii...” Sesak dada Rima. Kedua tangannya menepis ke sana ke mari.

 “Haishhh, kalau layan sangat boleh jadi gila adik ni. Baik dengar radio,” lalu Rima ke meja tulis. Mini compo dipasang. Kedengaran lagu Issabella sedang dinyanyikan oleh Amy dari kumpulan rock, Search. Entah kenapa lagu yang tidak sedih itu telah membuatnya berasa terlalu sedih. Sayu. Rima tidak pasti samada dia sedang betul-betul menghayati dendangan Amy atau sedih dengan nasib dirinya.

“Tak bestlah ko Amy!” gumam Rima memarahi Amy. Sudahnya Amy pula yang mendapat tempias kehangatan hati Rima. Nasib baik omelannya tidak didengari Amy.

Mini compo ditinggalkan. Rima keluar dari bilik. Meninjau sebentar ke bawah rumah. Ibu dan ayahnya masih duduk di atas pangkin. Entah apa yang sedang dibualkan oleh pasangan sehati sejiwa itu, Rima tidak pasti. Rima beruntung dapat hidup bersama kedua orang tua itu. Mereka sangat memahami dan terlalu mengambil berat tentang dirinya. Dia bersyukur dalam hati.

 ‘Tengok tv ajelah. Mana tau boleh terhibur sikit,’ lalu Rima ke ruang tamu.

Tv warna 14 inci di ruang tamu juga sudah mengganti tv hitam putih yang berpintu dan berkaki tinggi. Ia juga dibeli oleh Suhana. Duit saku untuk kegunaannya makan di sekolah pun atas ihsan kak ngahnya yang seorang itu. Memang Suhana tidak kedekut. Rima juga berangan-angan mahu membelikan sesuatu untuk Mak Jah dan Pak Nuar. Sebahagian duit gajinya nanti akan disimpan untuk membeli motosikal merah jambu.

 ‘Tengk tv 1 lah...hmmm, cerita apa yang best ni?’

‘Ehwal Islam...boleh jugaklah...adik suka Ustaz Ismail Kamus.’ Ustaz Ismail Kamus sedang memperkatakan tentang topik tanggungjawab seorang anak terhadap kedua ibu bapa.

Rima mendengar apa yang diperkatakan dengan tekun. Ada ketika, ada dug dag dug dag di dadanya. Sesekali tegak pula bulu romanya bila mendengar kisah-kisah anak derhaka yang susah melalui saat-saat matinya. Rima jadi gelisah. Panas punggungnya. Terasa mahu ditinggalkan ruang tamu tapi seperti terhalang.

“Adik ni dalam kategori anak derhaka ke?...takutnya kalau susah nak mati nanti.” Rima berpeluk tubuh. Dia menutup matanya sebentar lalu membayangkan satu tempat sebesar 7 x 4 kaki persegi. Gelap dan sempit.

 “Eiii...takutnya adik!”

 “Bukan adik tak pernah baca tentang anak derhaka, tapi kali ni rasa lain macam aje.”

 “Nak tidurlah macam ni.” Terkocoh-kocoh Rima menutup tv, kemudian dia berjalan laju ke bilik tidur.

 “Serba tak kena aje.” Ditarik kain selimut menutupi seluruh badannya.

“Adik dah tidur ke?” suara Mak Jah yang sedang lalu kedengaran di balik pintu.

 “Belum lagi bu!...boleh tak tidur dengan ibu malam ni?” soal Rima lalu cepat-cepat turun dari katil dan terus membuka pintu bilik.

“Dah kenapa pulak nak tidur dengan ibu?” lalu Mak Jah ketawa kecil.

“Errr...tak apalah bu...adik main-main aje.” Malu pula Rima. Sekarang dia sudah menjadi guru, mana boleh tidur bersama ibu. Seorang guru adalah orang yang sudah dewasa, bukan lagi anak kecil yang manja. Otak Rima sedang memberi amaran kepada diri sendiri. Jaga-jaga!

Mak Jah meninjau ke dalam bilik. Kain selimut dan sebiji bantal terlonggok di atas lantai. Di atas meja tulis terletak beberapa buah buku yang terbuka. Mak Jah menggeleng melihat bilik Rima yang kurang terurus itu.

 “Kenapa sepah je bilik adik ni?” teguran seorang ibu tidak mengira sudah berapa banyak usia anaknya. Rima tersengih.

 “Adik dah guna selimut tu tadi bu, dengar suara ibu terus adik lompat dari katil. Selimut jatuh atas lantailah.”

 “Dah sudah, pergilah tidur. Esok nak mengajar kan. Ibu pun dah mengantuk ni.” Mak Jah terus berlalu. Rima masuk semula ke dalam bilik.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raihan Zaffya