Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 3

Bab 3

“Wei, kau nak tau adik dah besar,” ujar Rima yang sedang memanjat kandang kambing Pak Seman.

“Apa sebelum ni kau tak besar-besar lagi ke? Merepek la kau ni.” Ita mentertawakan Rima dengan kuat.

“Hish, sini adik bisik,” lalu Rima menarik kuat tangan Ita. Beria-ia Rima membisikkan sesuatu ke telinga Ita. Ita pun sungguh-sungguh memasang telinga. Tersengih-sengih dia mendengar bisikan Rima.

“Eleh, tak heran aku. Tahun lepas aku dah kena dah. Maknanya aku besar dulu dari kau.” Ita ketawa kuat. Rima membiarkan saja Ita ketawa. Dia mengambil sebatang kayu panjang lalu menjolok seekor demi seekor kambing di dalam kandang. Hingar-bingar kambing-kambing mengembek. Asal saja Rima ke kandang kambing Pak Seman, itulah yang dilakukan.

“Abah aku marah nanti, kau asyik buat kambing-kambing ni memekak je. Turunlah!” marah Ita yang hanya berdiri di sebelah kandang kambing. Dia cuba melarang Rima. Rima buat pekak dan terus bertenggek di atas kayu yang di paku bersusun itu. Tangannya semakin laju menjolok bontot kambing. Bila kambing lari lintang-pukang, mengekek ketawa Rima. Sudahnya Ita pun tumpang seronok. Tergelak sama.

“Kenapa pulak kambing-kambing tu bising je tu! Siapa kat kandang kambing tu? Ita! Kamu ke tu?” Terdengar jeritan Pak Seman dari tingkap rumah. Ditinjau dari jauh. Ita mencubit Rima yang masih lagi bertenggek, minta Rima bersuara untuk memberitahu dialah yang menyebabkan sang kambing bertempiaran. Rima mengunci mulutnya. Diam-diam. Ita naik geram.

“Itaaa! Kamu ke tu?” suara Pak Seman semakin lantang. Ita sudah kecut perut. Rima masih dengan mukanya yang selamba.

“Bukan bah! Bukan! Ita diri tepi kandang ni je.” Laung Ita pula.

“Hah! Kalau bukan kamu, mesti si Rima ni. Nanti kamu, Rima! Pak andak turun nanti, siap kamu! Tak senang pak andak nak tidur petang-petang ni.” Pak Seman memang terkenal dengan garangnya. Segera Pak Seman mengganti kain pelikatnya dengan seluar kebun. Selepas itu dia melangkah laju. Anak tangga yang dilangkahi tak terasa pijakannya.

“Padan muka ko Rima! Abah dah turun tu. Tulah aku cakap, ko degil. Siaplah, kena dengan abah.” Ita meninjau kaki Pak Seman yang sedang memijak anak tangga terakhir.

 “Yeayyy! Abah bawak rotan. Habislah ko, habislah.” Tidak sudah-sudah Ita menakut-nakutkan Rima.

Kecut juga hati Rima bila membayangkan rotan panjang Pak Seman. Bukan dia tidak pernah kena libas, cuma dia yang tidak pernah serik. Batang tubuh Pak Seman makin hampir. Rima pun bersiap sedia. Tinggal beberapa langkah lagi Pak Seman tiba di kandang kambing, Rima melompat dari tempatnya bertenggek.

“Nak lari ke mana tu? Tunggu pak andak!” Hujung rotan panjangnya yang sengaja digoyang-goyangkan membuat Rima rasa seriau.

“Adik balik dulu, pak andak. Esok adik datang lagi.” Rima berlari laju susup-sasap di celah-celah kebun kopi Pak Seman. Tiba di sempadan kebun Rima melompat parit yang agak besar. Dia berlari tidak menoleh-noleh lagi. Sampai di kebun kopi Pak Nuar, Rima mengusap dada tanda lega.

“Heh, nakal betul sepupu kamu tu. Tak takut langsung dengan abah. Kamu pun sama, suka sangat main kat kandang kambing ni. Kan ke busuk tu.” Tidak dapat Rima, Ita pun jadilah. Sepupu Rima yang menjadi mangsa kemarahan Pak Seman.

Di kebun kopi Pak Nuar pula, Pak Nuar sudah sedia menunggu. Laungan Pak Seman dapat didengar dengan jelas oleh abangnya itu. Maklumlah tanah mereka hanya dipisahkan sempadan. Kadang-kadang Pak Nuar mati akal dengan kerenah Rima. Ini bukan kali pertama Rima buat hal. Selalu benar dia mengganggu kambing-kambing Pak Seman.

 “Penat kamu, adik?” Soalan Pak Nuar buat Rima yang duduk bersandar di batang pokok kopi tersentak. Dia tidak menyedari ayahnya juga turut berada di situ.

“Errr...ayah. Taklah yah. Penat kenapa pulak?” Dia berdoa dalam hati, mudah-mudahan Pak Nuar tidak tahu apa yang telah dilakukannya sebentar tadi.

“Ayah dengar pak andak kamu jerit tadi. Adik, adik...bilalah kamu nak jadi budak perempuan? Kamu bukan kecik lagi tau.”

‘Peliknya, lembut je ayah cakap. Tak bebel macam selalu.’ Bisik Rima. ‘Sebab aku dah besar ke? Eiii...untung jugak bila cepat besar! Aku tak kena marah.’ Rima berasa lega.

“Ayah petik kopi ke? Penat tak yah?” Memang dasar kaki bodek.

“Habis kamu ingat ayah buat apa ni? Dah kamu tak nak tolong, penat tak penat kira tak penat jelah. Dulu kak long kamu rajin tolong ayah. Tak macam kamu,” ujar Pak Nuar.

Buah kopi sudah mulai merah. Pokok-pokok kopi yang rendang memudahkan Pak Nuar memetik buahnya. Dia mengikat guni kecil di pinggang yang akan digunakan untuk menadah buah kopi yang sudah dipetik. Apabila penuh di dalam guni kecil, ia akan dipindahkan ke dalam guni yang lebh besar. Setelah penuh barulah buah-buah kopi boleh dijual di kedai Sin Ah.

“Kak Ngah pun bukannya rajin sangat, tak tolong ayah pun. Asyik ke rumah paklong selalu.” Bantah Rima.

“Dia kan suka bekerja. Tolong pak long jaga kedai.”

“Yalah tu,” balas Rima dengan malas.

 Pak Nuar meneruskan tugasnya. Rima mengambil sebatang ranting kopi yang panjang lalu menguis-nguis tanah yang ditutupi daun kopi. Bosan! Kemudian dia bertinggung sambil memerhati kedua tangan Pak Nuar yang laju memetik buah kopi.

Mata nakalnya merayau ke sana ke mari sehinggalah dia terlihat sesuatu. Lehernya panjang meninjau kebun Pak Seman. Penat bertinggung, dia berdiri. Masih lagi mendongak. Sebatang pokok jambu susu yang besar di kebun pak andaknya sedang menarik minat Rima. Hampir meleleh air liurnya. Kecur.

‘Hah! Yang kat atas tu macam dah masak je. Mesti Ita tak nampak lagi tu. Siaplah esok! Sedapnya kalau cicah dengan garam. Nasiblah ko Ita, siapa cepat dia dapat!’

“Yang tersengih-sengih tu kenapa? Pergi balik! Tolong ibu kat rumah tu.”

“Malas! Nak tolong ayah je.”

Pak Nuar menggeleng. Geram hatinya. Bilalah agaknya Rima akan menjadi matang. Nasib baik perasaan marah tidak menggoda Pak Nuar bila melihat kerenah Rima yang susah untuk mendengar kata. Rima bernasib baik hari itu.

 “Intai apa? Jambu? Jangan buat hal, adik. Lain kali kalau tertangkap dengan pak andak lagi memang ayah suruh pak andak rotan kamu banyak kali. Anak bertuah betul!” Ayahnya telah menyedari apa yang telah menarik perhatian Rima. Cepat-cepat Rima memandang ke tempat lain.

 “Mana ada. Adik tengok lain.”

“Yah! Adik panjat ya. Adik petik buah yang kat atas-atas tu pastu campak ke bawah.” Rima mahu mengubah perhatian Pak Nuar dari terus bercakap tentang buah jambu susu.

 “Tak payah! Menyusahkan ayah je nak buat kerja dua kali. Dah campak tu, ayah jugak kena kutip nanti.”

“Alaaa...”

“Boleh tak kamu jangan suka nak memanjat dan bertenggek je. Kamu bukan budak lelaki.” Puas Pak Nuar menegur dan melarang Rima memanjat pokok tapi Rima masih tetap melakukan.

 “Nanti dah besar lagi adik tak panjat dah yah.” Rima membantah.

“Payah cakap dengan kamu ni!”

 

 ###########################################################################

 

“Atuk! Petik kopi ya? Boleh Juki tolong tak?” Tiba-tiba saja Juki muncul dari arah belakang. Rima buat-buat tidak nampak. Meluat!

“Haa Juki, boleh jugak. Nanti atuk kasi upah.” Juki tersengih. Rima mencebek. Malas dia hendak memandang Juki.

Umur Juki 3 tahun lebih tua daripada Rima. Badannya yang agak rendah membuat dia lebih nampak kecil dari usianya. Juki menjeling Rima sambil tersenyum. Rima menjelirkan lidahnya.

 “Kamu sudahkan petik pokok yang ni dengan Rima. Atuk sebelah sana tu.” Pak Nuar berlalu.

Malas melayan Juki, cepat-cepat Rima memanjat pokok. Dia langsung tidak memandang Juki. Juki menggaru kepala melihat laju saja Rima memijak dahan kopi. Sampai di dahan yang paling besar, Rima berdiri lalu memilih buah kopi yang merah untuk dipetik. Buah yang sudah dipetik dijatuhkan ke tanah. Bertubi-tubi Rima membaling buah kopi yang sudah merah.

“Adoi! Sakitlah aku! Buang ke tanahlah, bukan atas kepala aku!” ujar Juki meninggikan suara.

“Biarlah! Suka ati adiklah. Ni pokok kopi adik, kau sibuk kat sini buat apa?” balas Rima. “Kat kebun kau sendiri, kau malas nak buat. Tau nak upah dari ayah je,” marah Rima pula.

Juki tidak mengutip buah kopi yang dilontar ke tanah. Tidak sanggup dia mahu menadah kepala untuk dihujani dengan buah kopi. Entah kenapa Rima selalu memusuhinya. Juki bercekak pinggang memerhatikan Rima yang lincah. Tiba-tiba Juki tersenyum lebar, hampir sampai ke telinga.

“Apa? Nak kena?” soal Rima sebaik menyedari.

“Adik, aku suka kaulah. Kau comel. Kalau rambut kau panjang lagi cantik.” Sengihan masih berbaki di bibir Juki, dengan pandangannya yang gatal. Macam miang pada batang keladi.

“Bodohlah! Adik cakap kat ayah nanti! Kau tak boleh suka kat adik tau sebab kau tu panggil ayah adik, atuk.” Rima meluat. Mahu saja dibalingnya bertalu-talu muka Juki dengan buah kopi. Baru padan dengan mukanya.

“Bolehlah adik!” ujar Juki.

“ Cakap ayah betul-betul nanti.”

“Cubalah kalau berani...” Cabar Juki.

 “Ooo, kau ingat adik tak berani ya. Aaa...” Ugut Rima.

“Syhhh, janganlah! Jangan!”

Kedengaran Rima ketawa mengekek. Seronok dapat menakut-nakutkan Juki. Tapi Rima belum puas hati, Juki mesti diajar. Rima tidak suka bila Juki selalu mengekorinya semasa dia seorang diri. Bagi Rima, budak lelaki tak perlu suka pada budak perempuan. Sudah besar nanti lainlah kisahnya tapi bukan dengan Juki. Rima tidak suka Juki sebab Juki panggil ayahnya, atuk. Mereka saudara.

“Tau takut. Kalau ko tak nak adik bagitau, kau kena janji.”

 “Apa dia?” soal Juki.

“Kau kutip cepat-cepat semua buah kopi atas tanah tu, nanti dapat upah dari ayah kau bagi kat adik. Kalau tak, adik bocorkan rahsia kau suka kat adik.” Ugut Rima dalam senyum yang nakal. Gembira bila dapat mengenakan Juki. Juki menggaru kepala, menyengih. Niat hatinya hendak mengumpul duit upah untuk membeli kasut Badminton Master. Ramai kawan sekolahnya sudah membeli kasut jenama itu. Kalau ketinggalan, malulah dia.

“Kau ni suka mengugut kan adik. Macam tu pun nak mengadu. Sampai hati kau nak ambik upah aku.” Muka Juki nampak kecewa. Rima tergelak suka sebab rancangannya hampir berjaya.

“Suka adiklah. Lain kali jangan buat hal dengan adik. Kutip cepat, adik dan campak banyak tu.” Mahu tak mahu Juki terpaksa juga buat apa yang Rima arahkan. Dalam hatinya, tidak sudah-sudah dia memaki-maki Rima. Setiap kali berjumpa dengan Rima, dia selalu saja terkena. Rima memang kaki belit. Juki mengutip buah kopi dengan muka masam kelat.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.