Bab 36
“Kak ngah...jomlah tidur dalam bilik. Sini kan banyak nyamuk.” Pujuk Rima tidak sedap hati dengan sikap Suhana yang dingin terhadapnya.
“Malas!...panaslah dalam tu! Kalau kamu nak tidur, tidur ajelah. Tak payah nak sibukkan kak ngah. Kak ngah bukan budak kecik lagi!” suara Suhana yang agak keras sangat tidak menyenangkan. Tidak pernah Suhana bersuara keras seperti itu walaupun ada masanya mereka berbalah juga.
“Kak ngah...kak ngah marah adik ke? Sejak semalam kak ngah tak nak bercakap dengan adik.” Lembut saja kata-kata Rima, dia tidak mahu menyinggung hati Suhana lagi.
Suhana yang sedang terbaring di atas kerusi rotan yang panjang, duduk dengan keras. Tangannya mengibas-ngibas ke sana ke mari. Muka Rima langsung tidak mahu dipandangnya. Lebih baik dia melihat cicak yang sedang main kejar-kajar di siling rumah. Baginya, Rima ‘panas’.
“Kak ngah...janganlah buat adik macam ni!” rayu Rima yang kebiasaannya adalah seorang gadis yang keras hati.
Dengan keras juga Suhana beralih ke arah tingkap. Tingkap yang terbuka daunnya telah membenarkan angin malam menumpang masuk ke dalam ruang tamu itu. Angin dingin yang diharap-harapkan akan dapat menyejukkan hatinya telah menghampakan. Hatinya masih tetap membahang.
“Maafkan adik ya kak ngah.” Tanpa rasa putus asa, Rima masih mahu memulihkan keadaan.
“Eh! Jangan kacau boleh tak?...memang dasar...” kata-kata Suhana terhenti di situ. Dia sedang berusaha mengawal emosinya. Terasa-rasa ada aliran panas sedang melingkari dadanya. Kalau boleh Suhana tidak mahu ada letusan gunung berapi yang terjadi. Malangnya ada lahar yang sedang menggelodak dalam hatinya. Hanya menunggu masa untuk dimuntahkan.
“Apa yang kak ngah nak kata?...dasar apa?...dasar adik ni anak pungut?” kata-kata Suhana dapat ditangkap dengan mudah oleh Rima. Walaupun menyakitkan Rima tetap mahu bersabar.
“Baguslah kalau tau...tak payah susah-susah nak jelaskan lagi. Apa yang kamu dah pakai hah, sampai semua lelaki terkejar-kejarkan kamu? Apa kurangnya aku ni?...hmmm, kalau dah keturunan tak elok, tak eloklah jadinya!” Akhirnya letusan gunung berapi berlaku juga. Sekarang ini dalam kepala Suhana hanya ada yang buruk-buruk saja. Begitulah kalau makhluk bertanduk dua sudah menyusup masuk ke otak. Otak jadi hilang kawalan.
“Allah...beratnya tuduhan kak ngah!” keluh Rima lemah. Badannya menggeletar. Ruang tamu seakan berpusing ligat. Rima bergerak ke kerusi rotan lalu punggungnya diletakkan dengan perlahan. Entah kenapa tiba-tiba saja Rima hilang maya.
“Tolong kak ngah...kalau kak ngah nak hina adik, kak ngah hinalah...tolong jangan hina keturunan adik. Jangan libatkan mereka.” Rima sangat berharap. Dia seakan sudah tidak kenal Suhana lagi. Suhana sudah bertukar 360 darjah. Perlakuannya sangat berbeza dari biasa.
“Betullah aku kata, kalau kamu tu keluar dari perut ibu, tak adalah jadi macam ni. Perampas! Aku benci kamu...kamu tau tak?” Suhana seperti sudah kena sampuk. Hantu apakah yang telah berjaya merasuknya hingga dia terlupa Rima adalah adiknya selama 22 tahun ini.
“Sampai hati kak ngah...kak ngah tau kan, adik tak pernah ada hati kat Zulkarnain. Tak pernah! Adik tak nak dialah kak ngah.” Dalam rasa kecil hatinya Rima masih juga mahu berlembut. Dia sedar dirinya hanya menumpang di rumah itu.
“Sudahlah! Depan aku bolehlah cakap macam tu. Belakang aku entah apa yang dibuatnya! Hipokrit! Eh, kamu tu dah sama je dengan perempan tepi jalan, tau tak? Semua lelaki kamu nak sebat!” herdik Suhana yang memang sudah kerasukan.
“Kak ngah dah melampau!...cuma sebab seorang lelaki, sanggup kak ngah layan adik kak ngah macam ni?” pertimbangan Rima hilang juga. Suhana sedang memijak-mijak kepalanya, takkan dia hendak membatu saja.
“Kamu bukan adik aku!...aku tak ada adik!” jerit Suhana memecah malam yang sunyi.
Kata-kata Suhana seperti sedang menyiat-nyiat hati Rima. Setelah disiat-siat kecil ditabur pula garam dan cuka, perit dan sakitnya tidak terkira. Kalaulah yang sedang berdepan dengannya bukan kakaknya selama 22 tahun ini, mahu saja dia berlari ke dapur dan mengambil cili api untuk disumbatkan ke dalam mulut Suhana. Dia akan memaksa Suhana mengunyahnya hingga lumat sebelum ditelan. Biar berasap telinganya. Barulah dia tahu langit itu tinggi atau rendah.
“Dah Zulkarnain tu tak nakkan kak ngah, apa adik nak buat?” untuk terus diherdik-herdik bukan Rima orangnya. Bukan dia tidak hormatkan Suhana tapi dirinya pun ada maruah. Bila dirinya disamakan seperti perempuan tepi jalan, itu adalah penghinaan. Mana mungkin Rima akan diam seperti tunggul kayu yang bersepah-sepah di kebun belakang rumah.
“Kurang ajarrr!” herdik Suhana sambil mengangkat tangan kanannya.
“Suhana!” suara dari arah tengah rumah telah menghalang Suhana daripada menampar Rima.
Rima yang sudah bersedia dengan sebarang risiko menoleh ke arah Pak Nuar. Lega hatinya. Kalau tidak sudah tentu sebelah pipinya akan bercop lima jari, atau mungkin Suhana yang akan mendapat penangannya. Ketika Pak Nuar memandang Suhana, dia tunduk memandang lantai.
“Apa yang digaduhkan malam-malam ni hah? Kamu berdua bukan budak hingusan lagi. Masing-masing dah besar panjang. Ayah malu dengan perangai kamu berdua ni!” marah Pak Nuar yang memang jarang marah.
“Ayah...maafkan adik.” Cepat-cepat Rima meminta maaf. Dia tidak mahu Pak Nuar susah hati dengan perlakuan mereka berdua.
“Kak ngah sakit hati, yah. Semua salah dia! Dia ni depan kita aje tunjuk baik, yah. Kat belakang kita entah apa-apa dibuatnya.” Berbeza dengan Rima, Suhana masih juga tidak puas hati. Dia tetap meletakkan kesalahan pada bahu Rima.
Memikirkan di depannya adalah seorang lelaki tua yang sudah banyak berkorban untuknya, Rima diam saja. Biarlah Suhana berkata apa saja, dia tidak sanggup lagi melukai hati satu-satunya orang yang dikenali sebagai ayah.
“Sudahlah kak ngah, semuanya kan salah faham. Tak ada siapa yang bersalah dalam hal ni. Pergilah tidur.” Arah Pak Nuar malas memanjangkan lagi perkara yang sudah berlalu. Dia mahu berlaku adil. Kedua-duanya adalah anak yang dibesarkan olehnya dan Mak Jah sejak sebesar tapak tangan lagi.
“Ayahhh!...ayah selalu sebelahkan anak pungut ni. Dia tu siapa yah?...kak ngah ni siapa?” panggg! Tanpa sedar tapak tangan kanan Pak Nuar telah singgah di pipi Suhana. Terasa perit dan pijar. Serta-merta air mata menderu keluar dari mata Suhana. Rima juga sudah lemah. Bukan lemah kerana tamparan tapi kerana mendengar Suhana telah menggelarnya anak pungut.
“Diam! Kamu jangan ulang lagi perkataan tu!” Amaran keras diberi oleh Pak Nuar. Suhana terkedu dengan suara keras Pak Nuar.
‘Anak pungut!...anak pungut!...kamu anak pungut!’ Sementara itu, fikiran Rima sudah jauh daripada dirinya. Melayang-layang entah ke mana. Suara Suhana seakan bergema di mana-mana saja, di segenap ruang rumah. Dalam masa yang sama hati Rima sudah begitu jauh dan terus jauh. Ya, dia sedang betul-betul jauh hati.
“Ayah tak adil!” Biarpun perlahan, Suhana masih juga mahu bersungut.
“Ayah kata, sudah...sudahlah kak ngah.” Pinta Pak Nuar yang sudah tidak tahan hati dengan tuduhan Suhana. Kalaulah Suhana tahu betapa sayangnya dia terhadap kedua mereka, tanpa ada lebih dan kurang, sudah tentu Suhana tidak akan berkata begitu.
“Esok kak ngah nak balik Perak yah. Sakit mata kak ngah selagi ada kulat ni kat sini!” ujar Suhana lalu memusingkan badannya untuk pergi dari situ.
“Cuti masih ada lagi kan?”
“Tak apalah yah, rumah ni panas!” ucap Rima terus berlalu.
Gelagat Suhana membuat Pak Nuar menggelangkan kepala. Dia tidak menyangka tingkahlaku Suhana akan berubah secepat itu. Semuanya gara-gara seorang lelaki. Kerana cinta! Hishhh tidak faham sungguh anak muda zaman ini.
“Adik...tutup tingkap tu. Pergi tidur...dah malam ni. Ibu kamu dah lama lena.” Tidak sampai hati untuk Pak Nuar meninggalkan Rima yang sedang sedih. Rima tidak memandang Pak Nuar. Takut orang tua itu akan melihat betapa banyaknya air mata yang sedang keluar.
“Jangan menangis lagi adik...pergi tidur.” Anehnya, seorang ayah akan tetap tahu apa yang sedang berlaku kepada anaknya.
Serta- merta esakan Rima semakin ketara. Bergoyang-goyang bahunya. Bila sedang menangis hati akan lebih sayu bila ada yang memujuk. Mulalah perasaan bercampur aduk. Sedih yang bertambah sedih dan terharu dengan perhatian seorang ayah biarpun tidak ada darah Pak Nuar yang mengalir dalam badannya.
“Maafkan adik yah. Kalau bukan sebab adik, semua ni takkan jadi. Adik bawak malang dalam keluarga ni...hmmm, kan elok kalau adik tak ada dalam keluarga ni...kan ayah?” sedu sedan Rima diselangi dengan suara rajuk hatinya.
“Astaghfirullah...tak baik adik cakap macam tu. Macam orang tak ada iman tu adik. Tak baik. Ayah tak nak dengar lagi. Adik kan pelengkap dalam keluarga ni. Jangan ambil hati sangat dengan kak ngah kamu tu...hatinya tengah panas tu. Sabar ya nak.” Pujuk Pak Nuar. Rima hanya angguk. Tidak lama kemudian Pak Nuar berlalu, matanya sudah kelat.
“Ya Allah...ampunkan adik...ampunkan adik.” Rima menyesali kata-katanya sebentar lagi.
Malam sudah semakin larut, Rima masih lagi berdiri di muka tingkap. Sesekali nyamuk dan agas cuba untuk mencuri-curi hinggap pada badan Rima. Cepat-cepat ditepis oleh Rima. Di luar sudah gelap pekat tapi tidak ada sedikit pun perasaan takut dalam dirinya. Anak kampung tidak akan takut terhadap suasana gelap malam. Hanya satu perkara yang Rima amat takuti ketika ini, dia takut akan kehilangan kasih sayang keluarga Pak Nuar. Kalau itu berlaku, ke manakah dia hendak pergi. Seimbas lalu, bayangan Syidah menjelma lalu terfikir dalam kepala Rima, wajarkah dia tinggal saja dengan wanita itu?
‘Adoi, sakit dah kepala adik ni! Isyyy, sejak bila adik jadi lembik ni? Sikit-sikit nak menangis! Inilah masanya nak lalui apa yang orang dewasa lalui...hmmm, nilah namanya dewasa. Jadi...adik kena kuat!’ suara hati Rima tidak mahu kalah kepada ujian biarpun dadanya sudah sesak bila mengingati dia hanyalah seorang anak terbuang.
Yang pasti Rima sangat jauh hati apabila setelah 22 tahun dia hidup bersama keluarga itu, kini kewujudannya seakan cuba dinafikan oleh Suhana. Suhana tidak lagi menganggap Rima sebagai adiknya.
“Sulaiman!” Apabila seseorang itu sedang berdepan dengan tekanan, kadangkala seseorang yang lain sangat diperlukan untuk meluah dan melegakan perasaan. Pada ketika itu yang muncul di depan mata Rima, hanyalah Sulaiman.
‘Alaaa, jangan mengharap sangat pada orang lainlah Rima. Belum tentu dia akan faham apa engkau sedang tanggung. Kenal dia pun barus sehari dua!’ Larang sebahagian dirinya. Sedangkan orang yang menjadi saudaranya selama ini telah cuba meminggirkannya, inikan pula Sulaiman yang entah bagaimana orangnya.
‘Alahai...terasa bodoh pulak adik ni, bercinta dengan orang yang adik tak kenal hati budinya. Susahnyaaa!...tolak, campur, bahagi...maknanya adik tak ada sesiapa dalam dunia ni. Jadi adik ada siapa?’ ligatnya otak Rima berpusing. Entah apa saja yang difikirkan. Apa saja yang melintas dalam kepalanya, itulah yang dilayan oleh perasaannya. Perasaan pula terlalu suka dengan perkara yang melemahkan semangat dan badan.
‘Ah! Kalau dilayan, sewel adik nanti. Tidur lagi baiklah. Nak sedih esok jelah.’ Sudahnya Rima malas melayan perasaan sendiri. Memenatkan dan membosankan. Dengan lambat dia menutup daun tingkap. Berjalan lemah dan berbaring di sofa. Biarlah Suhana sendirian di dalam bilik tidur mereka. Mana tahu emosinya akan reda pada esok pagi. Itulah harapan Rima.
Setelah beberapa minit terkebil-kebil, akhirnya Rima terlena juga. Tanpa bantal, selimut dan ubat nyamuk. Malam itu tidurnya kosong tanpa didatangi oleh mimpi-mimpi. Mungkin otaknya sedang mahu berehat dan bersenang-senang untuk menghadapi hari esok.