Home Novel Seram/Misteri TITIS DARAH DI HATI KAIRA
TITIS DARAH DI HATI KAIRA
Raihan Zaffya
11/10/2015 17:35:29
17,196
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 16

16

“Kak Ara nak ke mana cantik cantik ni?” Niza yang diamanahkan oleh Zaki untuk menjaga Kaira berasa hairan melihat kakak iparnya itu.

“Ermmm… cantik kan?” tanya Kaira pula dengan yakin. Niza angguk lalu mengerutkan muka.

“Nak ke mana?” Ulangnya.

“Entah… JJ kot. Dengan Sufian.” Diikuti oleh senyum semanis gula batu.

“Hahhh! Sufian!” Getah penyedut vakum terlepas dari pegangan Niza.

Kaira memandang sekali lalu, kemudian membetul-betulkan rambut beralunnya. Seluar jeans biru muda diamati. Akhir sekali dia membuka beg tangan untuk memastikan ada wallet di dalamnya.

“Dah call abang, beritau Kak Ara keluar dengan Sufian?” Sesudah selamat menelan air liur, Niza bertanya lagi.

Diam. Kaira berjalan menuju ke muka pintu. Meninjau ke luar untuk memastikan Sufian sudah sampai atau belum. Niza membuntuti dengan pelbagai perasaan yang teradun menjadi satu. Perasaan yang kurang sebati dengan kemahuannya.

“Kak Ara sedar tak apa yang Kak Ara buat?” Bauan cemburu dapat dihidu melalui getar suara.

“Kenapa? Salah?” soal Kaira keras. Tanpa menoleh memandang Niza. Niza bungkam seketika. Geram! Sakit hatinya.

“Memanglah salah. Kak Ara isteri orang, dia bujang.” Sesudah lama diam, Niza tidak mahu membatu lagi.

“Hahaha… abang yang nak Sufian jaga Kak Ara. So… Sufian jalankan tanggungjawabnya.”

‘Apa dah jadi dengan dia ni? Aku yang kurang siuman ke, dia?’ bisik Niza yang sejak awal tadi seakan tidak percaya dengan perubahan mendadak Kaira.

Ekor matanya masih tertala pada belakang Kaira yang tidak sabar menunggu kedatangan Sufian. Tidak ubah seperti menanti seorang kekasih hati. Sudah tentu hatinya panas melihat keadaan itu.

“Kak Ara…” Termati di situ.

“Apa?” Kaira berpaling dengan jawapan kurang menyenangkan. Matanya juga agak melotot merenung Niza.

“Errr… Kak… Kak Ara kan sakit… tap…”

“Apa tap, tap?” jegil Kaira.

“Tapi pagi ni Niza tengok Kak Ara sihat, segar… macam tak sakit.” Jerkahan Kaira membuat jawapan Niza meluncur dengan laju. Mujur tidak mencungap. Selepas itu Niza menarik nafas panjang.

“Hahaha…” Persoalan Niza hanya disambut dengan ketawa kuat Kaira. Tegak bulu roma Niza.

“Kak Ara okey?” Rasa cemburunya berganti dengan khuatir. Kalau dia tidak menjaga Kaira dengan baik sudah tentu Zaki akan memerahinya.

“Okeylah… okey.” Sebaliknya Kaira kurang yakin.

Penat menunggu orang yang tak kunjung datang, Kaira menuju ke taman. Sewaktu tiba di hadapan banglo tinggal, dia mendongak melihat bilik utama banglo itu. Tidak ada apa-apa yang kelihatan. Tidak terasa ada mata yang memandang. Juga tidak terlihat langsir bergerak ditiup angin.

“Tak penat ke mengekor dari tadi?” Tanpa menoleh, Kaira tahu Niza masih tetap membuntutinya.

“Tak nak abang marah,” sahut Niza separuh hati.

“Pedulilah dengan abang awak tu. Dia bukan nampak pun. Kak Ara bukan budak budak, asyik diawasi 24 jam.” Bosan.

‘Isyyy… lainnya dia! Sejak bila dia pandai tak peduli dengan abang?’ Niza semakin buntu.

“Apa yang berlaku masa abang tak ada, jangan beritau dia. Kalau tak nak kena kerat 14… hahaha,” lalu Kaira duduk di bangku batu.

Irama jantung Niza tidak menentu. Hendak dikata Kaira bergurau di penghujung kata-katanya, mukanya nampak bersungguh. Hendak dikata bersungguh, ketawa pula. Biar bagaimana, tetap ada ketakutan dalam diri Niza. Juga perasaan mahu melindungi. Dia tahu Kaira adalah amanah yang ditinggalkan Zaki.

“Boleh janji?” Minta Kaira sebaik terhenti ketawanya. Niza geleng cepat. Dia tidak mahu bersubahat dengan Kaira.

“Kenapa tak boleh?” Kaira mendekatkan bibirnya pada cuping telinga Niza.

Mulut Niza terkunci. Sememangnya dia tidak ada jawapan yang Kaira mahukan. Dia tidak mahu menempah bala dengan mengkhianati Zaki. Satu kesalahan besar dilakukan, Zaki sanggup menghantarnya balik kampong. Satu perkara yang cuba dielakkan selama ini.

“Tak apa… Kak Ara tak kisah pun kalau abang tau.” Diiringi senyum sinis. Dia berdiri betul-betul di depan Niza. Mereka bertatapan.

“Niza tak faham.” Mata masih bertentang.

“Apa yang Niza tak faham?”

“Entah… sebaik abang tinggalkan Kak Ara, Kak Ara terus sihat. Macam tak ada apa-apa berlaku sebelum ni. Muka pun segar, tak pucat macam selalu.” Niza memberanikan diri meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Kami tak serasi.” Selamba.

Niza terpempan. Jawapan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut Kaira dapat didengar dengan jelas. Sudah tentu dia tidak menyenangi jawapan itu. Jawapan yang langsung tak dapat diterima akal waras.

“Mudahnya!” Panas pula telinga Niza. Rasa gerunnya kepada Kaira sebentar tadi lenyap begitu saja.

“Tak perlulah nak mengadu ya.” Sinis Kaira.

“Dah kenapa dengan Kak Ara? Berubah dalam sekelip mata. Kak Ara sedar tak?” Niza tidak mahu kakak iparnya melakukan kesilapan sebesar itu.

“Apa yang berubah? Tak ada apalah! Sudahlah, pergi masuk. Sekejap lagi Sufian datang.”

Ketegasan Kaira tidak diendahkan oleh Niza. Dia tidak mahu berganjak dari situ. Selain tidak mahu rumahtangga abang dan kakak iparnya berantakan, dia juga cemburu terhadap Kaira. Sufian sudah mula menghuni hatinya.

“Tak dengar ya Kak Ara cakap apa?” Kaira melenting. Merah padam muka Niza.

“Tak payah nak jeritkan Nizalah kak! Niza pun bukan budak kecil lagi. Lagi pun apa yang Kak Ara buat tu salah! Mana boleh isteri orang keluar dengan lelaki lain masa suami tak ada di rumah!” suara Niza juga agak tegang. Tercabar benar dengan sikap keras Kaira.

“Ahhh! Sudahlah! Membebel je!”

Kaira cepat menjauh daripada Niza. Dia berjalan laju ke pintu pagar utama. Lebih baik dia menunggu Sufian di situ. Lebih lama berdepan dengan Niza akan membakar hatinya yang sedang hangat.

“Eiii… degilnya! Lantaklah! Tak kuasa aku!” Niza menghentak kaki dengan geram. Dia berpusing dengan kasar lalu masuk ke dalam rumah semula.

Mengawasi kanak-kanak jauh lebih mudah berbanding menjaga seorang dewasa yang tidak menentu emosinya. Kalau begini keadaannya, dia tidak peduli lagi kalau Zaki akan menghantarnya balik kampong. Itu lebih baik daripada terpaksa berdepan dengan kerenah Kaira yang pelik sejak akhir-akhir ini.

“Sufian dah sampai.” Sebaliknya dia masih mengintai dari sebalik langsir tingkap.

“Lambatnya youuu,” sungut Kaira sebaik Sufian turun daripada motosikalnya.

“Lambat ke? Tak sabar jumpa I ya?” Usik Sufian.

“You niii.” Kaira tersenyum manja.

“I pun rindu you lah,” sambil Sufian menghulurkan helmet fullface kepada Kaira. Kaira menyambut dengan pantas. Sufian membantunya mengenakan helmet itu.

Selepas itu Kaira bertenggek di belakang motosikal. Sufian memecut laju meninggalkan banglo mewah Zaki. Kaira berpaut kuat pada pinggang Sufian.

“Aduhhh, tunggang motosikal!” Niza yang melihat hanya mampu mengetap bibir. Rasa mahu dijerit pasangan yang tidak sedar diri itu.

“Oh mak kau!” Niza terkejut sebaik mendengar dering telefon bimbit di tangannya minta diangkat.

“Assalamualaikum, dik.” Lalu Niza membalas salam Zaki dengan lemah.

“Kak Ara tak bangun lagi ke? Call banyak kali dia tak angkat. Macam mana dia? Sihat? Niza ada masak untuk Kak Ara tak? Lena tak tidur malam Kak Ara?” Bertalu-talu pertanyaan Zaki. Baru sehari berjauhan daripada Kaira, tidak menentu hatinya.

“Mana satu yang Niza nak jawab dulu ni abang?” Niza cuba mengawal suara. Cuba berlagak seperti biasa. Dia tidak mahu abang kesayangannya susah hati kalau dia menceritakan tentang apa yang berlaku.

“Okey… okey… jawab mana-mana dulu pun boleh. Bukan apa Niza, abang rindulah pada Kak Ara.” Disusuli ketawa kecil. Niza yang mendengar hanya mampu mengurut dada.

“Semuanya okey. Abang call tak angkat sebab Kak Ara tidur lagi.” Terpaksa berbohong kerana itu yang dirasakan lebih selamat.

“Apa yang penting, abang sudahkan kerja abang cepat-cepat. Lepas tu balik jumpa Kak Ara. Kak Ara pun rindukan abang.” Pedih hatinya terpaksa terus membohongi Zaki.

“Yesss, yesss, yesss. Kaira rindu Zakiii!”

“Apa abang ni? Bingit telinga Niza. Kalau ea pun janganlah jerit macam ni.” Niza menjauhkan telefon bimbit daripada cupingnya. Telunjuknya mengorek lubang telinga yang berdesing, kemudian meletakkan telebon bimbit ke cuping semula.

“Kenapa senyap?”

“Korek telinga. Bingitlah suara abang. Nasib baik Niza tak jadi pekak.”

“Hahaha… sampaikan salam sayang abang pada Kak Ara ya. Beritau dia abang akan balik secepat mungkin. Selesai je meeting hari ketiga, abang akan terus fly balik Malaysia. Pesan juga, jangan fikirkan sangat abang kat sini. Takut bertambah buruk kesihatannya.” Pesan Zaki.

“Baik, abang.” Sahutan Niza kedengaran lemah.

“Kesian abang,” gumamnya sebaik talian diputuskan oleh Zaki.

“Maafkan adik, abang.” Perasaan bersalah tidak dapat disembunyikan lagi.



“Hati-hatiii… ada orang!” Jerit Kaira tiba-tiba, sebaik melihat ada seseorang mahu melintas jalan.

Secepat kilat Sufian menekan brek motosikalnya. Badannya terdorong ke depan sehingga perutnya hampir mengenai handle motosikal. Badan Kaira pula menindih belakang badannya dek brek ditekan dengan mengejut.

“Kenapa you jerit? Mujur I dapat imbang badan.” Tegur Sufian tidak senang hati.

“You tak nampak ke? Lelaki baju putih tu nak melintas. Errr… lelaki yang selalu I nampak.”

‘Dia muncul lagi! Kenapa dia muncul hari ni? Kenapa?’ bisik Kaira menahan geram. Dia merasakan lelaki itu telah mengganggu keseronokannya bersama Sufian.

“Mana ada orang? You mimpi ke?” Puas mata Sufian meligas ke sana ke mari, tidak ada sesiapa yang dilihatnya.

“Ada! Itu!” tegas Kaira lalu bergegas turun dari punggung motosikal.

Dia menghampiri pemuda berpakaian serba putih yang sejak tadi asyik memandangnya. Seperti ada tarikan magnet yang membawanya mendekati pemuda misteri itu.

“Awak! Awak buat apa sini?” sapa Kaira. Untuk seketika dia terlupa pada Sufian yang ralit memerhati gerak-gerinya.

“Assalamualaikum.” Sapaan berbalas salam.

“Errr… waalaikumussalam.” Kaira tersipu malu. Terlupa pula mahu memberi salam terlebih dahulu.

“Awak tanya saya, buat apa saya di sini?” Pemuda itu mengulangi soalan Kaira yang diajukan kepadanya. Kaira angguk.

“Kau lupa?”

“Lupa? Lupa apa?” Kaira bingung.

“Tentang kita. Tentang rasa rindu kita.” Diiringi senyuman yang diukir buat Kaira.

“Tak! Aku tak pernah lupa. Sebab tu aku cepat-cepat dekati kau,” balas Kaira sambil sesekali menoleh memandang Sufian yang seperti sedang kehairanan memerhatikan gerak gerinya.

“Aku tak suka kau bersama lelaki tu. Jauhi dia.” Lelaki berpakaian serba putih bersungguh.

“Tapi kenapa?” Kaira serba salah.

“Kalau kau mau terus bersama aku, merindui aku… jauhi dia. Kalau kau enggan, aku terpaksa pergi. Kita tak akan pernah berjumpa lagi.

“Tapiii…” Berat untuk Kaira membuat keputusan.

“Kau tak ada pilihan… dan tak perlu ada jawapan ‘tidak’.” Ketegasan pemuda itu membuat Kaira terdiam.

“Ara! Cepatlah. Apa buat tu?” Panggil Sufian yang berasa hairan melihat Kaira bercakap seorang diri.

“A… aaa.” Kaira gugup.

“Kau tak perlu patuh pada dia.” Cepat pemuda berpakaian serba putih itu memberi ingatan.

“Kairaaa!” Panggil Sufian lagi. Kaira memusingkan badan, mahu mendapatkan Sufian.

“Jangan Kaira. Jangan.” Halang pemuda berpakaian serba putih pula.

Sudahnya Kaira mematung tidak bergerak. Buntu fikirannya. Air matanya terasa mahu luruh. Sebak tiba-tiba. Serentak dengan itu bayangan Zaki menerjah di depan mata. Melihat Kaira yang gelisah, Sufian menghampiri. Mulut Sufian kumat-kamit membaca sesuatu lalu ditiup ke arah Kaira. Tanpa Kaira sedari.

“Kau tak akan tinggalkan aku?” Kaira masih sempat bertanya pemuda berpakaian putih.

“Aku selalu ada. Tak pernah pergi. Hanya, kadang-kadang kau yang tak menyedari,” sahut pemuda itu.

“Kaira… you bercakap dengan siapa?” Sufian agak sebal.

“Sufian… tinggalkan I. I nak bersendiri.” Keputusan Kaira memberi kejutan kepada Sufian. Hampa. Anehnya dia akur. Meningalkan Kaira seorang diri.

‘Tak mengapa wahai Kaira, Zaki dah amanahkan aku jaga kau. Maka aku akan jaga kau dengan sepenuh hati aku. Aku cuma perlu berkasar… hehehe,’ lalu motosikal Sufian beredar dari situ.

“Kekasih, kau dah buat pilihan yang tepat.” Pemuda berpakaian putih gembira.

“Kekasih?” Bulat mata Kaira.

“Ya… kekasih. Kerana aku akan selalu bersama kau.”

“Betul?” Kaira mahu kepastian. Pemuda itu angguk.

“Aku akan terus bersama kau dan kau mesti terus bersama Zaki,” tokoknya.

“Zaki?”

“Zaki… suamimu.” Serentak dengan itu Kaira menekup muka. Berjejeran air matanya. Bagaimana dia boleh terlupakan Zaki?

“Abang… ampunkan Ara,” rintihnya. Nafasnya ditarik dalam-dalam untuk melegakan perasaan.

“Hmmm… te…” Suaranya terhenti di situ. Sebaik memandang ke hadapan, pemuda berpakaian putih telah menghilang daripada pandangan.

“Ohhh…” Kaira kecewa kerana ditinggalkan sekali lagi.

Dengan langkah lemah Kaira berjalan berpatah balik menuju ke bangle mewahnya. Mujur masih tidak terlalu jauh untuk pulang ke rumah. Di sepanjang jalan, minda dan memorinya bertindan tindih. Sukar dikawal.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.