Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 16

Bab 16

“Salah tu, jari-jari sebelah kiri ni untuk A, S, D, F saja. Jari kanan jangan usik huruf-huruf yang tu. Saya tengok pergerakan jari awak ni lintang-pukang, Rima.” Tegur Saodah, guru kelas menaip di tempat Rima dan Salwa belajar. Sementara menanti panggilan untuk menyambung pelajaran, Rima tidak mahu membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

“Alaaa, maaflah Kak Odah. Degil jari saya ni. Langsung tak nak dengar arahan dari otak saya ni,” balas Rima yang sudah biasa dengan Saodah. Saodah memang mesra dengan semua pelajar. Dia mahu para pelajar memanggilnya dengan gelaran kakak. Salwa yang duduk di sebelah Rima cuba mengintai Rima yang terlindung dek tubuh Saodah yang ‘rendang’.

“Ada-ada saja kamu ni Rima. Ingat ya, kalau kepantasan kamu menaip tidak menepati dengan syarat yang diperlukan, kamu akan gagal peperiksaan nanti.” Sambung Saodah dengan lemah-lembut.

“Yalah Kak Odah, jari saya ni memang keras. Nanti latih kat rumah ya kak.” Saodah mengangguk mendengar janji Rima itu.

“Kat rumah engkau ada mesin taip ke Rima?” sampuk Salwa yang sudah teleng akibat terlalu lama mencuri-curi pandang. Saodah beralih sedikit agar Salwa dapat melihat Rima dengan jelas. Pelajar-pelajar lain sedang khusyuk melatih jari-jari mereka yang masih keras seperti jari Rima. Rima tersengih sebentar sebelum menggeleng dengan laju.

“Habis tu?”

“Buat gerakan jari tak perlu guna mesin taiplah, Salwa. Ni ha...ha, gini aku buat nanti.” Jawab Rima sambil menunjukkan jarinya yang bergerak-gerak di atas meja. Salwa ketawa, Saodah tumpang senyum.

 

“Husshh, tengok tu! Tengok tu! Dia lalu lagi.” Tiba-tiba Salwa memberi amaran. Rima dan Saodah serentak berpaling memandang ke arah tingkap rumah kedai yang disewa sebagai kelas bimbingan menaip. Seorang lelaki berjanggut sejemput lalu di belakang kedai. Seperti biasa dia akan menoleh dengan agak lama.

“Biarlah dia! Sibuklah engkau ni!” Tempelak Rima. Saodah yang sudah memahami situasi itu turut memerhati lelaki berjanggut sejemput yang mengambil tong gas dari belakang sebuah kedai.

“Aku bukan apa, saja nak tengok madu Ziman. Kesian Ziman, handsome jugak saingan dia yang ni.” Sakat Salwa yang membuat Saodah tergelak besar. Mukanya yang tembam membuat matanya menyepet bila dia ketawa. Pelajar-pelajar lain tumpang sengih.

“Apa yang engkau merepek ni Salwa? Ke engkau tu yang dah syokkan abang janggut tu.” Kali ini Rima pula mentertawakan Salwa.

“Masalahnya setiap kali dia lalu, dia asyik pandang engkau aje. Aku ni langsung dia tak nampak. Kan Kak Odah.” Salwa mahukan sokongan Saodah. Saodah hanya mengangkat bahu. Ada lucu di hatinya bila melihat ragam remaja yang bermacam-macam kerenah. Terhibur pun ada juga. Sayangnya masa untuknya sudah berlalu bersama kenangan yang tidak semanis mana. Mungkin bahagiannya berbeza dengan keadaan Rima dan Salwa.

“Kak Odah malas campur. Sembang-sembang jugak, jari tu mahirkan lagi. Jangan berhenti.” Saodah memberi ingatan sebelum berlalu.

Selepas Saodah pergi, Rima mencubit tangan Salwa yang sedang asyik menaip dengan lambat. “Adoi! Sakitlah!” jelingan maut Salwa disambut dengan sengihan oleh Rima.

“Padan muka! Tulah asyik nak kenenkan aku dengan semua orang! Engkau ingat aku ni apa. Rasakan!” balas Rima dengan geram.

“Dah memang abang janggut tu macam suka kat engkau, aku tolong bagitau engkau aje.” Salwa mengusap bekas cubitan Rima yang merah. Dia tidak marah dengan tindakan Rima, sebaliknya berasa gelihati bila melihat muncung Rima yang panjang sedepa.

Rima membetulkan duduk. Sakit punggungnya akibat duduk lama di atas kerusi yang keras. Jarinya yang masih terkial-kial mencari huruf, direhatkan sebentar. Lenguh rasanya. Jari-jari itu dikembang kuncupkan untuk menghilangkan lenguh. Sehelai kertas A4 yang baru diambil untuk menggantikan kertas yang berada pada mesin taip. Rima tidak puas hati kerana terlalu banyak kesilapan sewaktu menekan huruf-huruf. Kertas yang tidak kemas diramas lalu dimasukkan ke dalam laci meja. Malas mahu berjalan ke tong sampah. Huh! Rupanya Rima masih dengan bermalas-malasnya.

“Hei Salwa! Kalau muka macam dia tu, sah-sah dah ada anak dua ke tiga ke. Engkau jangan main-main ya.” Ucap Rima tanpa memandang Salwa. Tangannya sedang memasukkan kertas A4 yang baru ke dalam mesin taip.

“Mana engkau tau?” duga Salwa.

“Alah, engkau tengok betul-betul, kan dah macam dalam umur-umur Abang Long Daud aku aje. Engkau ni memang rabunlah. Lain kali kalau engkau sebut lagi tentang abang janggut tu, siap engkau!”

“Waahhh! Garangnya mak nenek ni!” lidah Salwa dijelirkan panjang. Dia mengejek Rima yang telah memberinya amaran sebentar tadi. Rima membalas ejekan Salwa. Mereka menjadi sepeti kanak-kanak yang saling ejek-mengejek. Saodah yang memerhati daripada meja depan kelas tidak menunjukkan muka marah.

“Cik kak dua orang tu, tolong senyap ya. Kak Odah nak kamu hantar kerja yang Kak Odah beri dalam masa 20 minit lagi. Masa belajar untuk petang ni dah nak tamat ya.” Suara nyaring Saodah telah mengingatkan mereka.

“Ha, kan! Semua engkau punya pasal.” Marah Rima dengan perlahan. Takut Saodah akan mendengar. Dia harus menghormati arahan gurunya walaupun Saodah tidak pernah kisah dengan sikap gila-gila para pelajarnya.

“Syhhh, sudah! Diam!” balas Salwa yang semakin laju menaip. Rima juga terpaksa memberi tumpuan walaupun jari-jarinya semakin susah untuk digerakkan. Bila keadaan cemas, Rima selalu cepat hilang kawalan tubuh. Kesemua jarinya akan bergetar seperti pesakit parkinson. Itu adalah salah satu daripada kelemahan dalam diri Rima. Sukar untuk mengawalnya. Degup jantungnya juga akan bergerak lebih laju...dug dag dug dag tidak keruan.

“Lima minit lagi ya.” Saodah memberi ingatan.

“Huuu...haaa...huuu...haaa...tenang, tenang...ni cuma latihan aje. Bukan periksa.” Rima menarik dan melepaskan nafas dengan kuat. Dia sedang cuba memujuk diri supaya tenang. Salwa yang sudah menyiapkan latihannya, menahan ketawa. Kasihan sungguh temannya yang berdarah gemuruh itu.

“Rileks la kawan.” Ujar Salwa perlahan.

“Diamlah!” spontan sahutan Rima yang garang. Salwa tergelak sendirian. Rima tidak ada kesempatan mahu melayan usikan Salwa.

“Kenapa tu, Rima?” saoal Saodah yang mendengar suara kuat Rima.

“Errr...tak ada apa Kak Odah. Salwa ni ha, dia kacau saya kak.” Rima serius. Salwa tersengih-sengih tidak sudah.

“Sudah! Berhenti semua. Saya akan kutip latihan kamu semua sekarang.” Guru menaip berbadan rendang itu sudah bersedia untuk mengambil kertasa latihan mereka.

“Adoilahhh! Tak siap jugak aku!” keluh Rima dengan hati yang hampa. Dia meramas-ramas buku lima dengan muka cemberut. Geram dengan jari-jarinya yang keras dan kaku bila mahu menekan huruf-huruf pada mesin taip.

“Tak apalah...ni cuma latihan aje kan.” Salwa mahu menyejukkan hati Rima. Rima diam saja. Masih duduk tegak. Salwa sudah bersiap sedia untuk keluar. Dia mengemas sampah yang ada di dalam laci meja. Dijelingnya Rima yang masih masam. Apabila Saodah sampai ke mejanya untuk mengambil latihan Rima, remaja itu cepat-cepat memaniskan muka. Tidak elok menunjukkan muka yang kelat kepada orang yang sepatutnya dihormati.

“Kamu tak siap Rima?” soal Saodah.

“Tak, Kak Odah. Jari saya ni lambat bergerak, geram saya.”

Saodah menggeleng, baginya jawapan Rima memang nakal dan kelakar. Sebelum berlalu, sempat juga Saodah ketawa kecil. Salwa cepat-cepat tumpang sekaki. Mentertawakan Rima yang masih terkebil-kebil.

“Bukan main, engkau ya!” marah Rima. Salwa bangun menghampiri Rima yang masih belum mengemas mejanya.

“Aku tengok engkau panas je hari ni. Suhu badan mesti naik tinggi ni.” Tidak serik-serik Salwa mengusik Rima. Rima mencebek sambil mengajuk gerak bibir Salwa. Salwa ketawa kuat. Tidak tahan melihat mimik muka Rima yang berlebihan.

“Apa kata aku belanja engkau ABC gunung. Mesti sejuk sekujur badan engkau nanti. Nak tak?” Cepat-cepat Rima menoleh. Tersenyum lebar. Dia memegang kedua pipi Salwa lalu ditarik perlahan.

 

“Ni yang aku sayang engkau ni, tiba-tiba aku tengok engkau comel aje hari ni.” Rima bermain-main dengan pipi tembam Salwa yang kuning langsat.

“Sudahlah, sakit pipi aku! Pandai pun engkau senyum ya.”

“Siapa yang tak seronok kalau ada orang nak belanja ABC gunung. Huuu...sedappp!” sahut Rima.

Mereka senyap seketika apabila Saodah mahu keluar. Saodah berpesan supaya mereka terus melatih jari dengan lebih kerap. Dia juga menawarkan kursus trengkas kepada sesiapa yang berminat. Beberapa orang pelajar telah memberi nama kepadanya. Selepas itu Saodah mengarahkan mereka segera keluar kerana mahu mengunci pintu kelas.

 

 

 

“Panasnya kat luar ni...nasib baiklah kejap lagi nak menikmati ABC gunung. Cepat! Tak ada kereta lalu, tak sabar aku ni.” Tangan Salwa ditarik kuat untuk melintas jalan. Terkedek-kedek langkah Salwa yang terpaksa mengikut pergerakan Rima.

Gerai ABC yang terletak bersebelahan perhentian bas Kuala Selangor memang sentiasa ramai pengunjungnya. Lebih-lebih lagi pada musim panas yang terik. Sampai saja di depan gerai, mata Rima liar mencari meja yang kosong.

“Situ! Situ.” Memang Rima suka gelabah. Sekali lagi tangan Salwa ditarik. Salwa mengikut saja.

 

“Lega aku...nasib baik ada meja kosong,” ujar Rima gembira. Salwa tersenyum kerana telah berjaya membuat Rima gembira. Seringgit lima puluh sen yang akan dikeluarkan untuk Rima tidak sebesar nilai persahabatan mereka selama enam tahun ini. Mereka telah menjadi teman akrab sejak di tingkatan satu lagi.

“Oder dik.” Seorang pembantu gerai datang mengambil pesanan.

 

“Dua ABC gunung, kak.” Sahut Salwa.

“Pisang goreng, cempedak goreng...tak nak?” soal pembantu gerai lagi.

“Engkau nak ke Rima? Aku nak ABC aje...kalau engkau nak, mintak kat akak ni.”

 

“Aku pun nak ABC aje...tak rasa nak makan. Tak apa, kak. Dua ABC ya.” Rima menolak untuk makan.

Sementara menanti pesanan sampai, Rima dan Salwa mencuci mata memerhati ragam orang-orang yang sedang menunggu bas di perhentian bas. Juga para pelanggan yang menikmati hidangan ABC gunung dan makanan goreng panas yang disediakan di gerai itu. Rima menopang dagu sambil matanya merayau-rayau ke sekeliling.

Darah Rima berderau sewaktu bertembung pandang dengan sepasang mata lelaki yang sedang memerhatikannya. Cepat-cepat Rima buat-buat tidak pandang. Entah kenapa, mata nakalnya mencuri pandang lagi apabila lelaki itu memandang ke tempat lain. Bila lelaki itu memandangnya lagi, Rima pula akan mengalih pandangan sekali lagi. Begitulah lagi dan lagi.

Anak muda berambut panjang paras bahu dan bermuka bujur sirih itu nampak lawa dengan T-Shirt merah hatinya. Dia sedang sedap-sedap mengunyah pisang goreng panas. Di depannya ada semangkuk ABC gunung yang tinggal separuh isinya. Sambil mengunyah pisang goreng, dia berbual-bual dengan temannya yang berambut gondrong dan berbadan gempal.

“Engkau nampak gelisah aje ni kenapa, Rima?” tegur Salwa.

“Errr...mana ada...aku, aku biasa aje.” Dalih Rima pula. Sedangkan ekor matanya masih lagi mencuri-curi pandang lelaki lawa bermua bujur sirih. Salwa mengamati pergerakan mata Rima. Apa yang sedang dilihatnya, ke mana hala tuju anak mata coklat kepunyaan Rima.

 

“Haaa! Dah tertangkap! Mata engkau tu tak duduk diam! Bukan main engkau ni ya.” Salwa sangat pasti lelaki berT-Shirt merah di depan meja mereka yang menjadi tumpuan anak mata teman baiknya itu. Rima cepat-cepat menekup mulut Salwa yang bercakap agak kuat. Bimbang akan didengari oleh mangsa curi-curi pandangnya.

“Syhhh...kecohlah!” marah Rima dengan muka merah.

“Okey-okey, aku diam.” Selepas tangan Rima ditolak kuat, Salwa bersuara perlahan. Dia tersengih-sengih memandang lelaki bermuka bujur sirih itu. Ibu jari kanannya diangkat sebagai isyarat untuk Rima. Rima mencebek.

“Lawa.” Tidak puas hati dengan respon Rima yang mengacuhkan isyaratnya, Salwa memuji dengan kata-kata. Semakin panjang muncung Rima. Konon-kononnya dia menafikan kata-kata Salwa sedangkan dalam hatinya sedang mengangguk laju, mengiakan pendapat Salwa. Memang lawa! Eh! Tidaklah terlalu lawa tapi ada daya tarik yang membuat Rima memandangnya berkali-kali.

Anak muda berambut lurus paras bahu itu tinggi, tidak seperti Juki yang tingginya hanya lebih sedikit saja daripada Rima. Mukanya ada tarikan walaupun tidak selawa Zulkarnain, bekas ketua murid di sekolah dulu. Dengan Ziman seperti tidak ada persamaan. Mulutnya? Jangan-jangan dia bermulut longkang seperti Ziman. Huh! Jauhnya berfikir. Anak muda itu bermulut longkang atau tidak bukan urusan Rima. Langsung tidak kena-mengena. Kenal pun tidak.

 

‘Ah! Malaslah nak fikir. Ada faedahnya ke? Dia tak fikir pasal adik, adik pulak sibuk meneka-neka dia tu orang yang macam mana. Apalah nak jadi.’ Rima mentertawakan diri sendiri.

‘Cutenya dia! Matanya cantik. Bila dia senyum...hmmm, cair aku.’ Tanpa Rima tahu, anak muda itu juga sedang memikirkan tentang dirinya.

“Sulaiman! Engkau dengar tak apa aku cakap ni? Khayal aje engkau!” teman berambut gondrong menepuk bahu Sulaiman yang seperti sedang melamun.

“Eh! Engkau cakap apa tadi, Jai?” soal Sulaiman sambil menggaru kepala.

“Kan dah betul, tak dengar rupanya!” sungut temannya.

 

“Sorrylah...cuba ulang.”

 

“Hisshhh...buat kering air liur je cakap dengan engkau. Aku tanya tadi, benih padi bila nak beli. Boleh aku pergi sekali, guna lori engkau. Boleh?” ulang Jai.

 

“Aku bila-bila boleh. Memang selama ni engkau guna lori aku kan? Lagi mau tanya.” Sulaiman mentertawakan Jai. Jai turut ketawa.

 

Pisang goreng di dalam pinggan sudah habis licin. Air batu gunung pun hanya tinggal sisa. Sulaiman bangun lalu menuju ke tempat bayaran. Seperti biasa, dia membayar untuk temannya. Soal duit memang Sulaiman tidak pernah berkira. Lebih-lebih lagi terhadap teman dari kecilnya itu. Sulaiman mengeluarkan beberapa helai duit kertas. Jari telunjuknya menuding ke arah meja Rima tanpa Rima dan Salwa sedar. Selepas membayar, Sulaiman memberi isyarat untuk Jai supaya beredar dari gerai ABC gunung.

‘Hmmm...cepatnya dia pergi,” desis Rima yang baru menyedari Sulaiman sudah beredar. Dia hanya melihat Sulaiman dan temannya yang sudah melangkahkan kaki agak jauh dari gerai itu.

“Ehem...ehem.” Salwa buat-buat berdehem. Merah muka Rima. Malu kerana sudah tertangkap oleh teman baiknya itu.

“Hisshhh...tak ada apa-apalah!” ujar Rima.

 

“Aku tak cakap apa-apa puunnn...engkau pulak gelisah tak tentu pasal.” Salwa ketawa.

“Engkau ni kan! Malulah adik macam ni.” Paha Salwa dicubit kuat hingga Salwa terjerit kecil.

“Sakitlah!” Salwa mengusap pahanya.

“Padan muka!” puas hati Rima. Kemudian dia turut mengusap paha Salwa. Mereka sama-sama tersenyum. Persahabatan yang begitu lama membuat mereka tidak mudah berkecil hati di antara satu sama lain.

“Jom kita balik. Lama sangat dah ni. Risau ibu aku nanti.” Ajak Rima yang mulai terbayangmuka Mak Jah yang gelisah menunggunya di rumah.

 

“Aku bayar dulu ya, adik tunggu kejap.” Salwa bangun untuk membayar harga ABC gunung. Rima angguk. Matanya melihat ke perhentian bas, bas yang mahu dinaiki sebentar lagi sudah menunggu. Kebiasaannya ia akan bertolak pada jam 5.30 petang. Masih ada 15 minit lagi.

 

“Dah ada orang bayarkan, dik.” Jelas pemilik gerai apabila Salwa mahu membuat pembayaran.

 

“Siapa? Saya tak kenal siapa-siapa kat sini.” Salwa kurang yakin. Takut-takut pemilik gerai itu sudah tersilap orang.

“Baru sekejap tadi, pelanggan tetap gerai ni tolong bayarkan. Nama dia Sulaiman.” Jelas pemilik gerai itu lagi. Salwa berfikir sebentar untuk cuba meneka siapakah orangnya.

“Hmmm...abang yang rambut dia panjang bahu tadi ke pakcik?” soal Salwa untuk lebih yakin.

 

“Betullah...dialah orangnya.”

 

“Yang kawan dia rambutnya macam sarang tebuan tu?” spontan Salwa menyoal lagi. Untuk lebih meyakinkan diri. Pemilik gerai ketawa bila mendengar kata-kata Salwa. Salwa tersipu-sipu sebab terlepas cakap. Panas mukanya menahan malu. ‘Dasar mulut! Takde tapis-tapis pulak dia!’ lalu dia geram pada mulutnya sendiri.

“Ya, yang tulah.”

“Oooh...,” panjang muncung Salwa. Pemilik gerai berlalu untuk melayan pelanggan lain.

“Lambatnya, Salwa. Dah bayar ke belum ni?” tidak sabar menunggu, Rima menghampiri Salwa.

 

“Dah...dah. Sulaiman yang bayar.”

“Sulaiman? Siapa Sulaiman? Ke engkau mengigau ni Salwa?”

 

“Buah hati engkau yang tadi tulah. Nama dia Sulaiman. Dia yang bayar ABC kita hari ni. Untunglah engkau ni adik.” Usik Salwa.

“Apa pulak buah hati adik...ishhh, engkau ni kan!” jari Rima mahu mencubit Salwa lagi. Salwa cepat-cepat mengelak. ‘Nama dia Sulaiman...hmmm,” bisik Rima lalu tersenyum.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.