Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku Cantik?
Bab 4

Bab 4

 

Kelapa tua yang sudah berubah warna kulitnya perlu dikopek dengan cepat. Takut-takut nanti isi kelapa akan membusuk. Pak Nuar selalu saja tidak kecukupan masa untuk melakukannya. Terlalu banyak kerja-kerja kebun yang lain juga perlu diuruskan selain menoreh getah pada waktu pagi. Kalaulah dia ada anak lelaki tentu akan jadi lebih ringan bebannya. Takdir telah ditulis yang dia hanya ada tiga orang anak perempuan. Mereka tidak boleh diharapkan, lebih-lebih lagi Rima si budak nakal.

Petang itu Pak Nuar mencuri-curi masa untuk mengopek kulit kelapa. Buah kopi yang dipetik lebih awal sudah pun dijual di kedai Sin Ah. Satu-satunya pembeli buah kopi dan kelapa di Kampung Bukit Cheraka itu. Jukilah yang membantunya menghantar seguni besar buah kopi ke kedai. Sudah pasti upahnya membuat senyuman Juki melebar sampai ke telinga.

“Sekejap lagi siaplah ni. Cepat jugak sudahnya.” Pak Nuar bercekak pinggang sambil memerhati beberapa biji kelapa yang masih belum berkopek kulitnya. Peluh mengalir laju. Walaupun cuaca tidak begitu panas pada petang itu tetapi angin malas mahu bertiup. Berbahang.

“Ayah nampak macam penat je,” tegur Suhana yang membantu memasukkan buah kelapa yang sudah dibuang kulitnya ke dalam guni.

 “Pening sikit kepala ayah ni.”

 “Rehatlah, ayah.” Saran Suhana.

 “Kalau rehat bila nak sudahnya. Sikit je lagi ni. Bila dah jual nanti, legalah sikit. Tak payah ayah nak fikirkan pasal buah kelapa ni lagi,” lalu Pak Nuar meneruskan tugasnya.

 “Adik mana?” soal Pak Nuar dengan gerakan tangan yang laju untuk mengopek beberapa biji kelapa lagi.

 “Atas rumah. Buat kerja sekolah agaknya,” sahut Suhana lalu kedua-duanya diam.

Buah kelapa yang sudah dibuang sabutnya segera dimasukkan ke dalam sebuah guni besar oleh Suhana. Selesai semuanya, Pak Nuar meletakkan guni itu di tempat barang basikal tua berpalangnya. Guni itu diikat kuat agar tidak bergoyang apabila basikal ditunggang. Sebaik sahaja Pak Nuar melangkahkan kaki kanannya ke palang basikal, pandangannya kelam tiba-tiba. Terasa mahu pitam.

 “Ayah! Ayah tak apa-apa ke?” Anak keduanya itu bertanya dengan cemas. Suhana segera menahan basikal yang mahu tumbang.

 “Kepala ayah ni rasa pusing tiba-tiba.”

“Biar kak ngah tongkat basikal ni, yah. Ayah duduk kat pangkin sana ya. Nanti kak ngah ambilkan ayah minyak cap Kaki Tiga.” Suhana yang baru berumur 15 tahun mahu Pak Nuar berehat. Pucat wajah ayahnya. Mungkin keletihan akibat hampir seharian melakukan kerja-kerja di kebun.

 Orang tua itu merebahkan badannya pada pangkin kayu besar yang sengaja dibina untuk berehat-rehat setelah penat bekerja. Suhana melaung Rima yang berada di atas rumah supaya Rima mengambilkan minyak cap Kaki Tiga untuk Pak Nuar.

 “Adik, cepatlah sikit. Ayah dah berpeluh-peluh ni. Ambil air masak sekali ya.” Pinta Suhana.

 Rima menjenguk dari muka tingkap untuk melihat keadaan Pak Nuar. Suhana bercekak pinggang.

“Tak payah jenguk-jenguk! Ambik aje minyak angin tu cepat. Buang masalah adik ni!” marah Suhana.

“Nak turunlah ni.”

 “Hah! Cepat!” arah Suahana.

 “Siapa yang nak jual kelapa tu, yah?” tanya Rima sebaik sampai.

 “Adik ni kan, ayah tengah pening tu janganlah tanya banyak-banyak. Kejap lagi kita pergi jual kat kedai.” Bukan Pak Nuar yang menyahut tetapi Suhana. Pak Nuar memejamkan mata rapat-rapat untuk menghilangkan rasa pusingnya. Suhana meletakkan minyak angin pada dahi ayahnya.

“Panggil ibu baliklah kak ngah. Ayah sakit ni.” Rima mengingatkan.

“Tak payahlah adik. Ayah pening sikit je. Bukan selalu pun ibu kamu tu ke rumah pak andak.” Pak Nuar melarang. Rima duduk di tepi pangkin berhampiran Pak Nuar. Jarinya menyentuh dahi ayahnya itu. Terasa denyut pada urat di dahi itu.

“Nilah urat pening agaknya, gerak-gerak je adik rasa.” Rima yakin.

“Yalah tu,” sahut Suhana malas.

“Dah sudah, dah sudah, tak payah picit lagi. Bertambah lagi sakit ayah ni...biar ayah rehat je.” Pak Nuar menolak lembut tangan Rima. Rima bukan menambah lega sakitnya tetapi picitannya hanya menambah tidak selesa.

“Ayah ni kan, adik nak picit tak nak pulak. Pelan je adik picit ni.” Rima menjauhkan tangannya. Suhana menjelirkan lidahnya, mengejek Rima. Rima membalas berkali-kali.

“Aiii...masa ayah sakit pun nak gaduh jugak?” sungut Pak Nuar. Kedua-duanya terus diam.

“Maaf ya ayah,” ujar Rima. Biarpun Rima nakal tetapi hatinya lembut dan cepat terasa. Pak Nuar senyum dan angguk.

Orang tua yang berusia awal 40an itu cuba memejamkan mata. Suhana memandang langit. Hari sudah bergerak semakin petang. Kalau Pak Nuar tertidur sudah tentu seguni buah kelapa tidak dapat dijual. Untuk disimpan lama, takut pula tempurung kelapa akan retak dipanah terik matahari esok hari.

“Adik, ayah dah tertidur ni. Kita jual kelapa ni, nak?” soal Suhana bersungguh.

 “Boleh ke kak ngah tunggang basikal ni? Kedai bukan dekat. Penatlah...”

“Alaaa, kalau adik tu memang semuanya tak boleh. Pemalas!” Cepat-cepat Suahana memotong kata-kata Rima. Rima menjeling dengan muka masam.

“Kita tolaklah pelan-pelan...kak ngah pegang handle, adik tolak dari belakang. Hmmm, tak pun kita mintak tolong Juki, nak?” lalu Rima memberi cadangan lain.

 Mendengar saja nama Juki, semakin mencuka muka Rima. Kenapalah semua orang suka sangat pada budak lelaki yang kurang sempurna pembesarannya itu? Paling Rima tidak suka setiap kali itu juga Juki akan mendapat upah yang banyak. Hissh! Tidak boleh jadi!

“Jomlah kak ngah, kita berdua aje. Adik tolak dari belakang.”

“Nak pun...penat nanti jangan nak bersungut pulak. Kak ngah pelik jugak adik ni, kalau panjat pokok, tenggek kat kandang kambing pak andak dan buat macam-macam benda tu tak ada pulak rasa penat. Buat kerja yang berfaedah sikit dah sibuk penat.” Bebel Suhana tiba-tiba.

 Tersumbat lagi telinga Rima. Tidak cukup dengan Pak Nuar dan Mak Lijah, ada masanya Suhana pun tumpang sekaki meleterinya. Berkerut-kerut muka Rima menahan sabar. Malas bertengkar lagi, takut Pak Nuar akan terjaga.

“Dah?” soal Rima sebaik saja Suhana berhenti bercakap.

“Dah!” sahut Suhana pula.

“Kalau dah, jom pergi sekarang. Kalau adik tukar fikiran susah nanti.” Rima berjalan ke arah basikal tua berpalang milik Pak Nuar.

 “Eleh...,” ejek Suhana.

 “Apa eleh, eleh?”

“Tak ada apalah!” Malas untuk Suhana memanjangkan. Entah mengapa bila hanya mereka berdua, selalu saja tidak sebulu. Kadang-kadang Suhana yang buat hal. Ada masanya Rima pula yang mencari pasal. Sebab itu Suhana lebih suka menghabiskan masanya di kedai pak long mereka. Dapat juga upah untuk disimpan di dalam tabung ayamnya.

 Perlahan-lahan basikal tua ditegakkan. Tongkat basikal ditolak ke belakang. Suhana memegang handle dengan kuat. Rima pula memegang guni yang sudah siap diikat sambil menolak basikal dengan berhati-hati. Basikal bergerak meninggalkan halaman rumah lalu membelok memasuki jalan tanah merah di hadapan rumah mereka.

 “Rimaaa!” Mendengar suara yang belum pecah itu membuat bulu roma Rima naik tinggi.

“Bencinyaaa! Ada je dia tulah! Jalan je kak ngah! Jangan menoleh!” amaran keras diberikan kepada Suhana. Kelihatan di hujung jalan, Juki sedang berlari-lari anak mengejar mereka. Hati Rima bengkak lagi.

“Muka tembok! Muka tak malu! Muka...muka...muka? hah! Muka apa-apalah. Tak suka!” sungutan Rima yang perlahan membuat Suhana gelihati. Mereka terus juga menolak basikal tua Pak Nuar. Juki pula sudah semakin dekat setelah dia berlari dengan lebih laju.

“Marah nampak!” sakat Suhana.

 “Diamlah!” balas Rima dengan muka merah. Bunyi Juki berlari merimaskan Rima.

 “Hey! Berhentilah! Penat aku kejar...korang nak jual kelapa ya. Sini aku tolong.” Juki tetap dengan muka tidak tahu malunya. Muka Rima yang seperti udang dibakar direnung dengan rasa gembira. Sedangkan Rima sedang menyumpah-nyumpahnya dalam hati.

“Aku dengan kak ngah boleh buatlah Juki! Sibuk aje kau ni! Mana-mana ada je muka kau!”

bidas Rima yang telah mengisytiharkan Juki sebagai musuh ketat sejak Juki memberitahu dia sukakan Rima.

 “Engkau ni kan adik, tau asyik nak marah aku je. Aku kahwin dengan engkau, taulah engkau nanti.”

“Eeiii...siapa nak kahwin dengan kau. Gatal! Budak-budak lagi dah sibuk cerita pasal kahwin!” tempelak Rima meluat. Suhana ketawa. Bila ada Juki, suasana mesti akan berubah. Seronok juga bila melihat Juki dan Rima bertengkar, hilang penat Suhana menolak basikal.

“Tunggu jelah adik.” Juki yakin. Rima mencebek.

“Ko jalan jauh sikit dari adik boleh tak Juki?” marah Rima lagi.

 “Suka akulah. Aku berjalan bukan pinjam kaki ko pun adik.” Juki tidak mahu kalah.

Jalan tanah merah dan berdebu yang bersaiz kecil terus dilalui. Kedai Sin Ah masih jauh lagi. Mereka baru melepasi tiga lorong dan masih ada tiga lorong lagi yang perlu dilalui. Suhana menyeka peluh di dahi. Penat juga menolak basikal besar yang membawa bebanan yang berat.

 “Korang ni tak payah gaduh boleh tak? Menambah penat aku aje!” Akhirnya Suhana bersuara. Sudahlah perjalanan masih jauh dengan tekak yang kering, Rima dan Juki pula asyik bercakar. Suhana agak menyesal kerana tidak membawa botol air minuman.

Juki dan Rima terdiam. Bukan sebab takutkan Suhana tetapi mereka pun sama-sama penat. Masing-masing terus berjalan. Ketika Juki berjalan semakin hampir, Rima cuba mengelak. Dengan tidak sengaja dia telah menolak belakang basikal dengan kuat. Handle basikal terlepas dari pegangan Suhana yang ketika itu memegang handle dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi sedang mengesat peluh yang meleleh ke muka.

Basikal yang ditolak kuat oleh Rima telah senget, terlepas dari pegangan Suhana lalu tumbang di atas jalan tanah merah. Ikatan guni yang agak kuat terlerai dan guni berisi kelapa tua terlepas dari basikal. Pucat muka Rima.

“Adik tak sengaja, kak ngah. Nasib baik kak ngah tak jatuh sekali.” Sebelum Suhana marah, cepat-cepat Rima mengakui salahnya. Juki membantu menegakkan semula basikal yang tumbang. Basikal ditongkat di tepi jalan.

“Itulah! Asyik nak bercakar je! Cepat kita angkat guni ni sama-sama!” Marah Suhana “Ni semua kau punya pasallah Juki! Selalu buat kacau! Kalau adik dengan kak ngah je tadi, mesti tak jadi hal!” Kemarahan Suhana ditambah dengan kemarahan Rima. Bezanya Rima lebih suka meletakkan kesalahan pada bahu Juki seorang. Baginya memang Juki layak dimarahi sebab dia selalu ada pada masa dia tidak diperlukan. Sudahlah hidung Juki tidak mancung, pipinya pula tersorong-sorong.

“Yalah, semua salah aku! Apa je yang jadi semua salah aku, adik tu betul je semua.” Sukar untuk melihat Juki berkecil hati tetapi untuk kali ini dia memang sedang terasa hati. Mukanya nampak muram seperti langit yang mula mendung. Ah! Begitu bencinya Rima pada Juki.

“Sudahlah!...adik pegang basikal ni jangan bagi goyang. Juki, engkau tolong aku angkat guni kelapa ni. Kita dah lambat ni. Hari macam dah redup je.” Suhana membongkok lalu memegang dua bucu guni, Juki pula memegang dua bucu yang bertentangan. Mereka cuba mengangkat guni itu dengan berhati-hati. Huh! Boleh tahan beratnya!

“Pegang kuat, adik!” dengan tidak sengaja Juki yang terasa hati masih bercakap dengan Rima yang garang.

 “Taulah, tau! Kuatlah ni!” sahut Rima lantang. Juki menarik nafas, lemah semangatnya untuk terus bersabar dengan Rima. Tidak padan dengan muka Rima yang comel, garangnya bukan main!

 ‘Agaknya besar nanti dia akan berubah,’ desis hati Juki.

 “Aaa, lega dapat angkat guni ni.” Suhana tersenyum sendiri. Dia tidak menghiraukan apa yang berlaku di antara Rima dan Juki. Tidak ada hasilnya kalau dia masuk campur. Silap haribulan dia yang akan pitam seperti Pak Nuar yang sedang pening-pening lalat.

 “Juki!” ujar Rima tanpa menoleh ke arah Juki. Sebaliknya Juki yang menoleh memandang Rima. Untuk menyahut, mulutnya terasa berat. Rajuknya belum hilang lagi.

“Kalau dah jual kelapa ni, jangan nak mintak upah kat ayah! Kami tak ajak kau ikut pun.” Soal duit memang Rima tak pernah lupa. Dia sengaja mengingatkan Juki tentang hal yang satu itu. Mentang-mentang Pak Nuar sukakan Juki, Juki seakan suka ambil kesempatan.

Tidak ada sahutan dari Juki. Kalau boleh dia mahu meletakkan gam pada bibirnya supaya tidak akan bercakap-cakap dengan Rima lagi. Rima selalu memandang serong padanya. Suka menuduh bukan-bukan. Arghhh! Kenapalah orang seperti Rima yang dia suka?

“Kau dengar tak adik cakap?” ulang Rima.

“Apa ni adik? Tak baiklah buat Juki macam tu. Kesian dia.” Suhana tidak boleh berdiam lagi.

Dia tidak sampai hati melihat muka Juki yang seperti tikus mondok. Muncungnya mulai tajam dan mukanya masam kecut. Lemah air mukanya.

“Dah memang ya pun. Tolong ayah sikit, dapat upah, tolong sikit, dapat upah. Sebab tu dia asyik ada je kalau kita buat kerja.” Serangan Rima semakin membuat Juki patah hati. Mungkin hati Juki yang selalunya kebal dengan setiap kata-kata Rima sudah mulai terkulai, terbang melayang semangat juangnya untuk membuat Rima sukakannya.

“Aku tak pernah mintaklah, atuk yang nak bagi. Atuk kata dia tak ada anak lelaki sebab tu selalu mintak aku tolong buat kerja-kerja kebun. Salah ke? Lagi pun atuk kata adik langsung tak boleh membantu, cuma tau memanjat pokok dan ganggu kambing tok andak.” Sengaja Juki mahu melepaskan geramnya pada Rima. Walaupun dia suka pada Rima tetapi dia masih ada perasaan untuk marah.

Apa yang membuat Juki selalu tidak puas hati, rasa marahnya terhadap Rima selalunya akan lenyap begitu saja apabila memandang muka Rima senyum. Mana boleh jadi! Dia selalu kalah dengan Rima walaupun kalah dalam diam. Rima tidak pernah tahu semua itu. Sebaliknya Rima akan menempelak dengan perkataan, gatal! Budak-budak lagi nak bercinta, nak suka, sibuk tentang kahwin dan bla...bla...bla...bla.

‘Enam belas tahun masih budak-budak ke?’ bisik Juki yang kadang-kadang bingung.

“Kalau ayah aku bagi, tak payahlah ambik.” Rima sedar dia tidak ada alasan untuk terus memarahi Juki tetapi entah kenapa dia tetap melakukannya juga. Juki yang sedang berkhayal tidak mendengar kata-kata Rima.

“Beranganlah tu, tak ada lain!” suara nyaring Rima mengejutkan lamunan Juki.

“Dahlah adik!” Halang Suhana. Kepalanya sudah pusing dengan kerenah Rima.

“Errr...apa dia?” terpinga-pinga Juki dibuatnya.

“Kalau ayah adik bagi duit jangan ambiklah adik kata.” Ulang Rima tanpa menghiraukan teguran Suhana.

“Orang kata rezeki jangan ditolak. Atuk sendiri pun cakap macam tu. Tu rezeki aku jadi aku ambiklah.” Kali ini Juki tidak mahu beralah. Rima menjeling tajam. Suhana malas mahu masuk campur. Akhirnya masing-masing terdiam sehinggalah mereka sudah berada di hadapan kedai Sin Ah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.