Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 6

SEBAIK pulang dari tapak pembinaan, Aira berehat sebentar di tempatnya. Selepas itu dia membuka internet pula. Saja hendak membaca e-mel yang masuk. Sudah dua hari dia tidak memeriksanya. Semalam kerja banyak di tapak pembinaan sampai tidak sempat Aira duduk di tempatnya.

Tiba-tiba kedengaran siaran radio terpasang dengan sendirinya. Terpaksalah Aira tadah telinga mendengarnya.

“Awak tu dalam bidang perlandskapan, masakan tak reti-reti? Cinta akan tumbuh macam pokok, membesar dan menghijau. Kalau tak dipupuk dan dibaja akhirnya akan layu dan mati. Renung-renungkan.”

Kedengaran Kak Leha memberi nasihat entah kepada Aira, entah kepada orang lain. Aira pun tidak pasti. Dengar cara Kak Leha bercakap seperti ditujukan kepadanya, tetapi Kak Leha sibuk menghadap mesin fotostat.

Ini yang Aira susah hendak kata. Mungkinkah Kak Leha membebel sorang-sorang sebab tension dengan kerja yang macam biskut? Sekejap ada sekejap tiada, tetapi selalunya ada memanjang sampai tidak menang tangan.

“Sekali-sekala tidak salah andai seorang perempuan memberi bunga kepada lelaki,” ujar Kak Leha.

Sambil itu dia meneruskan kerja-kerja membuat salinan dokumen. Kejap-kejap kertas A4 tersangkut pula. Bersusah payah Kak Leha mengeluarkan kertas yang tersangkut sampai berpeluh-peluh. Yalah, angin pengahawa dingin tidak menghala ke situ.

Amboi, Kak Leha ini mimpi apa malam tadi? Aira sendiri tidak hairan pun dengan bunga yang banyak di site, inikan pula orang lelaki. Aira hendak ketawa mendengarnya. 

“Tidak janggal andai tiba-tiba buat kejutan dengan meletakkan bunga di atas mejanya. Kak Leha tengok di site ada berbagai bunga yang cantik-cantik, tinggal nak petik saja,” cadang Kak Leha pula. 

Aira tunjuk muka tidak reti walau seperti faham apa yang Kak Leha cuba sampaikan.

“Rasanya bila ternampak bunga itu pasti dia terpempan seketika. Namun tak sukar untuk meneka siapa yang meletakkannya,” sambung Kak Leha.

Aduhai, ada sambungan lagi? Kak Leha ini beri ceramah atau mengigau? Namun Aira masih buat muka bodoh dan pura-pura tidak mengerti. 

Hello, Im talking to you Cik Aira Latisha…” tegur Kak Leha apabila dia berpaling ke arah Aira. Sementara Aira pula masih termenung dan bagai berada di dunianya sendiri.

“Cik Aira Latisha,” panggil Kak Leha sambil mengetuk meja Aira.

“Ya Kak Leha, Puan Aishah nak jumpa Aira ke?” Saja dia mengubah topik. Namun, akhirnya Aira mengaduh sakit apabila Kak Leha mencubit lengannya.

“Penat aje Kak Leha bagi hint panjang berjela, Aira buat tak reti pulak.” Kak Leha sudah memarahi Aira.

“Mana nak tahu Kak Leha cakap dengan Aira.” Sengaja Aira memberi alasan.

“Aira ni kan, sengaja buat tak tahu. Saja nak bagi Kak Leha berangin.”

“Tak baik marah-marah nanti rezeki lari,” usik Aira pula.

“Malaslah Kak Leha nak bercakap dengan orang yang tak reti bahasa ni,” balas Kak Leha.

Sudahnya Kak Leha berlalu menuju ke tempatnya. Geram sungguh hatinya apabila Aira sengaja buat tidak faham. Kalau ikutkan hati, Kak Leha hendak cekik-cekik sahaja si Aira ini.

Entah apalah mimpi Kak Leha bercakap pasal hati dan perasaan dengan Aira, namun dia hanya tersenyum mendengarnya. Ingatkan Kak Sha seorang sahaja yang rajin menegur dan memberi nasihat kepada diri Aira yang tidak berapa baik ini. Rupanya ramai pula yang prihatin dan mengambil berat tentang dirinya.

Di pejabat, Aira sedar Fazril suka padanya namun Aira buat biasa sahaja. Biasa bagi Aira tetapi mungkin luar biasa bagi orang lain. Fazril tidak bekerja di bawah Puan Aishah sebaliknya di bawah Encik Rahman. Pengurus yang boleh tahan handsomenya, tetapi sudah beristeri dan punya anak lima.

Aira jarang berurusan dengan Fazril kerana dia lebih banyak terlibat dengan logistik dan perkhidmatan infra. Begitu pun, pusing-pusing jumpa juga sama ada sengaja atau pura-pura tidak sengaja. Biasalah, sekali-sekala Aira pun hendak berlakon juga. Jadi heroin dalam drama sendiri pun seronok juga.

Ada ketikanya memang Aira kena berjumpa dengan Fazril apabila ada kerja yang berkaitan dengan logistik. Tetapi Fazril pula macam segan dengan Aira. Aira sebenarnya tiada rasa apa-apa pun. Entah apa yang buat Fazril segan dengannya, dia pun tidak pasti.

Sudahnya Aira pun segan sama lalu lebih suka berurusan dengan Encik Nazli yang turut bekerja di bawah Encik Rahman. Ingatkan inilah peluang Aira hendak kenal lebih rapat dengan si jejaka, namun siang-siang lagi Fazril sudah menjauh pula.

Tidak dapatlah hendak tolong. Kalau sudah malam-malam lagilah tiada peluang. Elok-elok Aira hendak jatuh cinta langsung jatuh longkang sebab tidak nampak. Aira terpaksa senyum sendiri sebab tiada siapa-siapa yang tersenyum padanya.

Sebenarnya bukan sekali malah sudah berkali-kali rakan sepejabat mengusik Aira dengan Fazril. Cuma dia yang pura-pura tidak ambil pusing sangat. Paling-paling pun Aira buat pusingan U apabila bertembung dengan mereka yang suka mengusiknya. Apabila sudah tiap-tiap hari orang mengusik Aira, lama-lama hati berdetik juga.

Sudahnya dalam diam Aira menyimpan perasaan di dalam hati. Kalau tidak diam, satu dunia pulak tahu. Nanti dia juga yang malu, bukan ahli keluarga orang lain. Perasaan yang disimpan ala kadar sahaja agar tidak kecewa sangat seandainya hanya diri sendiri sahaja yang bertepuk sebelah tangan.

Tidak dinafikan Fazril ini boleh tahan juga orangnya. Meskipun begitu, sepuluh kali pandang pun Fazril tetap sama. Tall, dark and hondsome.Tetapi tidak tahulah apakah dia boleh tahan atau tidak dengan perangai Aira yang kepala angin.

Sewaktu serius, Aira asyik bekerja sahaja sampai tidak peduli orang lain. Namun, sekelip mata boleh berubah mengikut keadaan semasa. Ketika akhir bulan memang Aira seorang yang pemurah lagi dermawan. Tetapi kalau datang bulan, jangan kacau nanti tidak pasal-pasal lebam muka.

Aira bukan main peramah, tetapi si Fazril ini pendiam dan pemalu sangat. Kalah Aira yang apabila berjalan bagai bergegar lantai pejabat kabin di tapak pembinaan. Dengan safety boots yang besar gedabak, silap hari bulan mahu terperelus juga.

Setakat orang lain menyampaikan yang si Fazril ini suka padanya, Aira tidak boleh terima juga nanti orang lain sahaja yang lebih. Padahal Fazril tiada apa-apa pun sudahnya Aira sendiri juga yang malu. Dia kena menjaga air mukanya walaupun dirinya tidak selawa mana pun.

Inilah susahnya kalau sama-sama tidak hendak memulakan langkah. Aira pun tidak faham dengan si Fazril ini. Kalau betul sama-sama pendam perasaan nasiblah. Masakan Aira yang hendak mulakan, nanti nampak sangat diri bagai terdesak pula. Andai Aira sudah terdesak sekalipun, dia boleh saja cakap dengan si Fazril itu, tetapi takut dia pula yang pengsan terkejut.

Setahu Aira, biasanya seorang lelaki itu akan tahu kalau seorang perempuan ada hati padanya. Entah kenapa pula si Fazril ini blur sangat. Inilah akibatnya andai masing-masing mengharap yang sebelah sana mulakan dahulu. Sudahnya jodoh yang Aira cari dan tunggu tidak muncul-muncul, orang yang disukai pula sama-sama tidak memberi sebarang petanda dan respons. Entah sampai bilalah Aira kena tunggu.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.