Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 18

CUTI hujung minggu Aira berehat di rumah sahaja. Walaupun Kak Sha dan rakan yang lain ada juga mengajaknya keluar bertemu mereka, namun Aira memang malas hendak berjalan-jalan. Dia memang jarang keluar kecuali ada hal mustahak atau pun kerana ada barang penting yang perlu dibeli.

Sedang Aira asyik melayan cerita di kaca televisyen, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia tersenyum apabila tertera nombor telefon rumah di kampung. 'Pasti ibu yang menelefon,' detiknya.

“Assalamualaikum ibu,” ucap Aira memulakan bicara. Sudah lama juga dia tidak bercakap dengan ibunya. Terasa sayu apabila ibunya pula yang menelefon. Padahal anaklah yang sepatutnya kena bertanya khabar ibu di kampung.

“Waalaikumussalam, anak ibu sihat?” tanya Puan Ainun. Suaranya kedengaran begitu ceria.

“Aira sentiasa sihat, ibu macam mana?” 

“Alhamdulillah ibu sihat. Aira bila nak balik kampung? Tak rindu pada ibu ke?” tanya Puan Ainun buat Aira terkedu mendengarnya. Hampir sahaja air matanya menitis.

“Hmm…mestilah rindu tapi sekarang ni banyak kerja la ibu,” jawab Aira sambil cuba untuk tidak bersedih.

“Yalah… kalau ada cuti tu, baliklah jenguk ibu. Ibu hendak ke sana dah tak larat nak naik turun bas.”

“Baiklah ibu. Tengoklah macam mana.” Sebak pula hati Aira mendengar bicara ibunya. Teringat ibunya pernah datang menjenguknya dengan menaiki bas kerana Abang Long sibuk dan tidak ada masa hendak menghantanya.

“Ibu sebenarnya ada hal nak cakap sikit dengan Aira...”

“Pasal apa ibu?” potong Aira bagai tidak sabar-sabar pula.

“Pasal Airalah.” Jawapan Puan Ainun buat Aira tertanya-tanya pula.

“Ibu ni,cakaplah betul-betul buat Aira saspens saja,” ujar Aira sambil cuba mententeramkan dada yang tiba-tiba rasa berdebar-debar.

“Sebenarnya petang tadi ada orang datang merisik Aira.” Puan Ainun memberitahu dengan tenang, namun Aira pula yang terkejut mendengarnya. Hampir sahaja telefon dalam pegangannya terlepas.

“Apa, merisik Aira? Siapa?” Rasa macam hendak luruh jantung Aira mendengarnya. Ini yang dia tidak sedap hati dan tertanya-tanya.

“Alah, anak Mak Cik Bedah yang baru kematian isteri tu…” terang Puan Ainun.

“Anak Mak Cik Bedah?” tanya Aira. Mak Cik Bedah yang mana pula ni? Apabila sudah lama duduk di Kajang, dia sudah lupa pula siapa yang ibunya maksudkan. Siapakah gerangannya?

"Mak Cik Bedah yang mana lagi kalau bukan emak si Lokman tu.” 

Jawapan Puan Ainun buat Aira terduduk. “Maksud ibu, Abang Lokman?”

“Hmm…siapa lagi?”

“Kalau Abang Lokman, minta maaf banyak-banyak. Kalau orang lain boleh juga Aira pertimbangkan.” Saja Aira memberi alasan padahal andai orang lain pun Aira masih belum bersedia.

“Ini yang susah ibu nak cakap pada Aira,” tutur Puan Ainun bagai berteka-teki pula.

“Susah apa pula? Cakap ajelah,” balas Aira pula walau sebenarnya diri sudah tidak tentu arah.

“Abang Long dah cakap dengan ibu. Kalau boleh Abang Long nak cepat-cepat kahwinkan Aira, risau bila Aira duduk jauh-jauh ni,” terang Puan Ainun.

“Eh! Abang Long ni, apa maksud dia?” tanya Aira yang sudah mula risau.

“Maksudnya, andai Aira tak ada calon lagi, Abang Long akan terima Lokman sebagai adik iparnya,” jawab Puan Ainun.

“Abang Long ni, suka-suka dia saja nak buat keputusan. Ini tentang masa depan Aira,” sungut Aira.

“Sekarang ni ayah dah tak ada. Aira kena ingat, Abang Long adalah wali Aira. Ibu nak cakap banyak pun tak boleh juga.” Puan Ainun mengingatkan Aira.

“Ibu kenalah tolong Aira. Aira memang tak nak kahwin dengan Abang Lokman tu,” rayunya. Biarlah tidak berkahwin langsung.

“Ibu okey aje, tapi kali ini Abang Long akan bertegas melainkan Aira dah ada calon sendiri,” jawab Puan Ainun buat Aira bertambah tertekan. Bayang orang itu pun tiada, inikan pula hendak bawa calon.

“Calon sendiri…” ujar Aira seakan bertanya pula. 'Siapa pulak calon yang hendak dibawa? Boyfriend pun tak ada,' desis Aira.

“Aira kena cepatlah bawa calon sebelum cuti merdeka ni. Andai tak ada apa-apa hal, keluarga Mak Cik Bedah hendak terus mengikat Aira.” 

Jawapan Puan Ainun buat Aira benar-benar tidak senang duduk. Perkataan mengikat itu yang buat Aira gerun mendengarnya.

“Aira?” panggil Puan Ainun apabila mendapati anaknya senyap sahaja.

“Ya ibu…” Aira bersuara menandakan dia masih di talian.

“Macam mana ni? Aira kena beritahu ibu cepat sebelum keluarga Mak Cik Bedah datang sekali lagi,” ujar Puan Ainun sambil menanti jawapan si anak.

“Okeylah nanti Aira telefon ibu balik,” janji Aira. Padahal dia langsung tiada calon untuk dibawa berjumpa ibunya dan abang long.

Panggilan dari ibunya sebentar tadi buat Aira seperti orang sasau pula. Apa yang Aira risaukan, kini benar-benar terjadi. Sungguh tidak Aira duga rupanya Abang Lokman benar-benar maksudkan apa yang pernah dia katakan kepadanya semasa di Anjung, Putrajaya suatu ketika dahulu.

Patutlah tempoh hari Abang Lokman beria-ia mengajaknya keluar makan. Ini yang membuat Aira jadi tidak keruan malah fikiran turut berserabut.

Berdiri salah, duduk pun tidak kena. Ingatkan cuti hujung minggu begini bolehlah rehatkan badan dan minda dari masalah yang sering datang bersilih-ganti malah bertambah kusut pula.

Aira sedar, siapalah dirinya hendak menolak takdir. Andai diberi pilihan, dia lebih memilih hidup sendiri dari menerima Abang Lokman. Pilih pasangan bukan macam beli buah di pasar. Tidak suka buah masam, beli buah yang manis. Andai buah yang dibeli berasa masam juga boleh tukar dan ambil yang lain pula.

Dia bukanlah memilih sangat, tetapi sebolehnya tidak mahu menambah masalah. Andai Abang Lokman tiada anak, mungkin dia boleh pertimbangkan. Malangnya Abang Lokman sudah ada tiga orang anak. Elok-elok hidup selesa tanpa masalah anak-anak, tidak pasal-pasal sakit jiwa dengan anak tiri pula. Memilih lelaki yang bujang pun ada masalahnya inikan pula yang sudah beranak-pinak.

Aira pun baru tahu rupanya isteri Abang Lokman meninggal dunia tidak berapa lama selepas dia terserempak dengan abang Lokman. Entahlah, hidup ini memang pelik. Jodoh yang kita tunggu dan pasangan yang kita cari tidak jumpa-jumpa. Namun perkara yang kita hendak lari daripadanya, itu pula yang datang mengejar. Itu pula yang muncul menghimpit ruang yang sedia sempit.

Sebelum ianya semakin dekat menghampiri, baik Aira pecut laju-laju. Tidak kiralah apa hendak jadi, tidak kisahlah apa cabaran yang kena ditempuh, yang penting dia tidak berkahwin dengan Abang Lokman.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.