17
"YOU tahu tak, I tengah tension
ni!” rungut Suriyana apabila Zack endah tak endah akan percakapannya.
“Tension? Tension kenapa,
sayang?” Zack cuba bertanya, mengambil tahu akan masalah Suriyana.
“Macam-macamlah... sampai serabut
kepala I ni!” luah Suriyana dengan suara kasar.
“Relakslah you, dah lama kan suami
you meninggal. Dah lebih 40 hari. Takkan sedih lagi kut!”
“I bukan sedihlah, Zack. I cakap I
serabut, tension! Abang ipar dengan mentua I, bolot habis harta
peninggalan suami I,” ujar Suriyana tidak berpuas hati.
“Oh, ya ke?! Tak sangka I,
jahatnya mereka tu. Sanggup buat semua ni kat you.” Zack bereaksi.
“You temankan I malam ni, boleh?
Kita pergi makan angin kat Genting ke?”
“Malam ni? Alahai… sorry,
sayang. Malam ni sebenarnya I dah atur program lain dengan kawan-kawan I. I nak
pergi piknik kat PD. Tak seronoklah kalau I mungkir janji.”
“You... malam ni aje. Takkan tak
boleh luang masa dengan I? Dah lama kita tak jumpa, kan? Dah lebih 40 hari.”
Suriyana bersuara penuh kecewa.
“I tahu, tapi I tak sangka pulak
you ajak jumpa malam ni. I ingat kejap-kejap lagi dah nak bertolak ke PD. Atau
you nak ikut sekali?” ajak Zack memujuk Suriyana.
“Hisy, malaslah I! Takkan I nak ke
PD dengan kawan-kawan you. Tak privasi langsung.”
“Hmm… sorry ya, sayang.
Lagi dua hari I balik, kita jumpa ya?” pujuk Zack menyedari nada suara Suriyana
berbunyi rajuk.
“Suka hati youlah.”
“Jangan macam ni, sayang. You
berehat aje kat rumah. Jangan pergi kelab atau keluar ke mana-mana lagi. Dah
malam ni. Bahaya kalau you keluar sorang-sorang,” pesan Zack
bersungguh-sungguh.
“Eh, kalau I nak keluar jugak?!
You apa peduli!” Suriyana menghempas gagang telefon sekuat hati.
SURIYANA memakir kereta
betul-betul di depan premis pusat hiburan itu. Biarpun tanpa Zack yang selalu
menemaninya seperti hari-hari yang lalu, namun hatinya bergelojak mahu ke situ.
Biarpun dia kurang berminat untuk ke tempat yang bising dan ramai orang, namun
hati kecilnya berkata yang dia masih punya pilihan untuk mencari kenalan baru
di situ.
Dia yakin, pasti ada yang berminat
mahu berkenalan dengannya. Paling tidak, dia punya teman yang boleh diajak
bersembang. Sebelum ini pun, bukan main ramai lelaki kacak yang ingin
memikatnya meskipun dia dalam pelukan Zack. Cuma dia sengaja buat endah tak
endah hanya kerana Zack ada di sisinya.
Tombol pintu kelab malam itu
ditarik Suriyana. Dia melangkah masuk menyertai ke ruang yang agak malap, namun
sesekali diterangi cahaya lampu disko yang berwarna-warni. Kelab malam itu
seperti mana biasa amat membingitkan. Ramai penghuni di dalamnya yang terdiri
daripada golongan remaja.
Alunan muzik berirama dangdut mula
menerjah masuk ke corong telinga. Kebanyakan yang ada di dalam kelab itu mula
menggoyangkan tubuh mengikut tarian penyanyi yang berdarah kacukan Melayu dan
Arab Lubnan itu. Sudah biasa sangat Suriyana ke sana, maka dia kenal akan
penyanyi cantik yang bertubuh montok itu.
“Hai, sayang! Mari menari?” sapa
seorang lelaki muda apabila Suriyana seperti tercari-cari tempat duduk untuk
dia melabuhkan punggung.
Malam itu, Suriyana berkebaya
ketat ala nyonya berwarna jingga dipadankan dengan seluar daripada material
bergetah yang menampakkan susuk tubuhnya yang langsing.
Suriyana tersenyum sambil
menggelengkan kepala. Sememangnya dia bukan suka menari. Dia cuma mahu
melepaskan tekanan dengan menyertai mereka di situ. Bersama dengan Zack sebelum
ini pun, mereka tidak pernah menari bersama.
Mata Suriyana kemudian menujah ke
segenap ruang kelab malam itu. Tempat biasa di mana dia dan Zack selalu melepak
kini diduduki sepasang kekasih yang sedang berdakapan mesra. Buntang mata
Suriyana seketika. Lelaki yang sedang memeluk gadis muda itu amat dikenalinya.
Suriyana bingkas bangun lalu berjalan mendekati mereka.
“Kurang ajar kau, Zack!” sumpah
Suriyana. Rasa marah meluap-luap.
‘Aku ingat kau betul-betul tak free
malam ni sebab pergi PD, rupa-rupanya berkepit dengan betina lain. Beraninya
kau, Zack! Dahlah tu, langsung tak rasa bersalah bercengkerama di tempat biasa
kita.’
Suriyana berdiri di belakang
tiang, bersebelahan cuma dengan kerusi panjang itu. Hasratnya mahu menyerang
Zack terbantut. Tak guna kalau dia mengamuk di situ. Zack pasti mereka pelbagai
alasan dan dia dengan begitu mudah akan cair dengan pujukan lelaki itu. Paling
tidak, kontroversi pergaduhan di kelab itu hanya mendedahkan identiti dirinya.
Suriyana mahu terus menyaksikan dengan
lebih lama akan perlakuan Zack. Zack yang sedang membelakanginya, langsung tidak
menyedari kehadirannya. Kemesraan Zack bersama gadis itu cukup membakar
perasaan Suriyana. Cemburu dan benci makin beraja di hati mewujudkan dendam
yang bukan sedikit.
“You buat alasan apa?” tanya gadis
itu kepada Zack.
“Apa? You tanya apa? I tak
dengar!” Zack bertanya kepada gadis itu lantaran irama muzik terlalu kuat. Zack
menarik tangan gadis itu dan keluar dari premis yang membingitkan itu. Mereka
berjalan berdakapan mesra menuju ke tempat parkir kereta. Samada Zack mahupun
gadis itu, kedua-duanya langsung tidak sedar yang Suriyana mengekori langkah
mereka.
Suriyana bersembunyi di sebalik
tiang semasa Zack dan gadis itu melabuhkan punggung di sebuah bangku, di kaki
lima premis itu, berdekatan dengan kawasan parkir kereta.
“I cakap, I ke PD dengan
kawan-kawan.”
Suriyana mendengar dengan jelas
Zack bercerita dengan gadis itu.
“Perempuan tua tu, senangnya
percayakan you, kan?” Gadis itu tergelak manja.
‘Perempuan tua? Adakah mereka
sedang bercerita pasal aku?’ Suriyana bercakap dalam dirinya.
“Tengok oranglah, handsome
ke tak?”
“Perasan!”
“Dia tu perempuan yang kesunyian.
I temankan dia bukan setakat suka-suka, tapi I ada plan untuk masa depan
kita juga,” cerita Zack lagi sambil menyalakan puntung rokok di bibirnya.
“Apa planyou dengan dia?
Apa planyouuntuk kita?”
“I ada plan baik punya
untuk kita. Selepas I dapat semua harta dia, I tinggalkan dia. Cuma I perlukan
masa untuk dia serahkan segala kepercayaan dia terhadap I. Bila dia betul-betul
percaya, semuanya akan menjadi milik kita. Masa tu you cakap saja apa you nak,
I boleh bagi,” balas Zack dengan suara lantang. Terbahak-bahak tawanya.
“Kenapa lama sangat, Zack? Sampai
bila kita nak jumpa sembunyi-sembunyi macam ni?”
“Alah, you... relaks, be
sporting okay? Lagipun, I baru saja dapat sesuatu yang bernilai. Yang boleh
bikin kita kaya.”
“Kaya? Apa dia, Zack?” tanya gadis
itu dengan penuh teruja.
“Rahsia. Tapi I berterima kasih
dengan perempuan tu sebab dia yang bagitahu tentang rantai berlian tu.”
“Hah, apa dia Zack?! Rantai
berlian? Wow!” Suara gadis itu hampir menjerit.
“Syhhh!” Zack mengisyaratkan gadis
itu diam. Sesekali Zack melilau ke kiri dan ke kanan khuatir perbualan mereka
didengari sesiapa.
“Kenapa?” tanya gadis itu tidak
faham.
“Syhhh!” Zack masih lagi
mengisyaratkan agar gadis itu diam daripada berkata-kata.
“Oh, laki perempuan tu mati sebab
ditikam perompak kan?! Jangan-jangan, you terlibat ya Zack?” tebak gadis tadi
membuatkan wajah Zack merah padam.
“I cakap you diam, diamlah! Hisy,
bahaya!” marah Zack sambil menarik tangan gadis itu menuju ke kereta.
Tidak lama kemudian, kereta
Mitsubishi putih milik Zack menderam pergi.
Suriyana menelan liur pahit.
Bahang di dadanya menjadi marak menyala. Kemarahannya kian menjulang. Tubuhnya
menggigil-gigil menahan segala rasa yang berbaur di hati. Kalau ikutkan amarah
di jiwa, masa tu juga dia ingin merodok perut Zack.
Sungguh tak disangka, lelaki
belaannya itu telah pandai menikam di belakang tuannya. Sungguh tak disangka,
Zack berpaling tadah dan punya pacar lain. Selama ini, fikir Suriyana, Zack
setia kepadanya. Kata Zack, dia tak pernah punya mana-mana teman wanita. Zack
pernah mengakuinya sebelum ini yang dia hanya menjalin kasih dengannya.
‘Cis, dasar jantan lidah
bercabang! Jangan-jangan perompak yang dicari polis tu, Zack? Jangan-jangan
Zack yang menikam Osman? Benarkah semua ini?’ marah Suriyana mengenangkan yang
dia pernah bercerita dengan Zack tentang rantai berlian yang bakal dihadiahi
Osman sempena ulang tahun perkahwinan mereka suatu ketika dulu.
‘Nanti kau, Zack. Kau yang rompak
rantai berlian tu ya? Nanti kau. Sekali aku dikhianati, aku bersumpah akan buat
orang tu sengsara. Kau dan perempuan itu akan dapat pembalasan daripada aku.
Walau apa pun caranya!’ bentak Suriyana dalam hati seraya berlalu ke keretanya.
SURIYANA mengupah orang untuk mengintip
pergerakan Zack. Dia mahukan kepastian samada Zack pernah berurusan dengan
mana-mana pihak menjual rantai berlian. Suriyana tidak pernah melihat rantai
berlian itu tetapi cakap-cakap Zack terhadap gadis itu memberi kelu yang rantai
berlian itu kini dalam genggaman lelaki itu.
Marah di
dada Suriyana tidak bisa dipadam lagi. Suriyana nekad, mahu menghapuskan Zack
setelah terbukti lelaki itu memang terlibat dengan urusan jual beli berlian.
Dari mana Zack dapat berlian itu kalau bukan dari hasil rompakan suaminya?
Suriyana membuat rancangannya sendiri.
Zack tidak
perlu dihukum mengikut undang-undang Negara Malaysia tetapi dia perlu
dilupuskan di muka bumi ini dengan cara yang dikehendaki Suriyana. Begitu juga
dengan perempuan jalang yang menemani Zack malam itu. Perempuan itu juga harus
diajar. Biar dia tahu, dengan siapa dia bersaing.
Beberapa
hari kemudian, berita di akhbar dan tv
melaporkan pertemuan mayat seorang pemuda yang mati dibunuh. Pemuda yang
dipercayai meninggal sejak 2 hari lepas dikenali sebagai Zakri bin Zakaria.
Mayatnya yang mempunyai kesan tikaman di seluruh badan, di temui mati lemas di
dalam sebatang kali, di tepi hutan dengan keadaan tangan dan anggota badan
terikat.
Suara
lancar pembaca berita itu membaca berita, membuatkan Suriyana jelas akan
perkhabaran itu. Dia mendengar berita
kematian Zack dengan senyum puas.
“You
can go to the hell, Zack! Good bye to all our the sweet memories together.”Suriyana bercakap sendirian. Di
hujung perkataannya, dia ketawa berdekah-dekah. “Puas hati aku. Dan
kau, perempuan jalang, lepas ni, giliran kau pulak. Kau ingat, kau tu cantik
sangat?” kata Suriyana lagi sambil mengilai panjang. Dia kegembiraan
membayangkan wajah gadis gedik itu akan bertukar hodoh sebaik saja disimbah
cuka getah.