Home Novel Keluarga Dia Yang Mengerti
Bab 10

10


OSMAN hanya merenung kosong seraut wajah Suriyana. Sejalur cahaya yang terbias masuk dari bawah pintu bagai memberi sedikit kecerahan di dalam bilik itu. Sudah sejam dia terbaring di sebelah Suriyana yang kembali lena.

Rasa mengantuknya sudah hilang. Meskipun puas memaksa mata untuk pejam, namun kelopak matanya berdegil untuk berbuat demikian. Puas sudah dia mengiring ke kiri ke kanan, namun sebuku rasa resah ternyata menyesak dadanya. Ada satu perasaan kecewa menyelinap ke kamar hati membuatkan rasa curiga bersatu emosi marah, resah, bimbang dan takut. Segalanya ada.

Osman berzikir panjang, cuba membuang segala rasa yang membuatkan jiwanya terus-terusan dihambat gelisah.

Puas sudah cuba disingkir perasaan yang tak enak itu. Namun, selagi itulah benaknya terus berputar ligat. Otaknya benar-benar tepu. Ternyata dia tidak berdaya menipu diri sendiri untuk melupakan apa yang ditulis Wardina Amni dalam buku catatannya tadi. Sedikit sebanyak akalnya mula terhasut untuk mencari kebenaran akan setiap inci perkataan yang dicoret oleh anak bongsunya tadi.

“Man, akak nak cakap sikit ni. Tapi, Man jangan marah ya?” Suatu hari, Ainon jiran di sebelah rumahnya datang. Ketika itu, dia baru saja tiba di pekarangan rumah setelah seminggu ke Kulim atas urusan perniagaan.

“Ya, kak... kenapa?” soal Osman tak faham.

Perkataan marah yang disebut Ainon membuatkan dia diterpa perasaan ingin tahu. Perlakuan Ainon yang bercakap seperti berbisik-bisik membuatkan Osman faham seperti ada rahsia yang ingin disampaikan. Osman yakin Ainon tidak mahu orang lain mendengarnya sementelah mata jirannya itu tidak berhenti daripada terus melilau ke kiri ke kanan. Ainon seperti khuatirkan seseorang.

“Apa dia, kak? Cakaplah!” soal Osman separuh mendesak. Dia sudah tak sabar ingin mendengar perkhabaran daripada wanita yang lebih 10 tahun berusia daripadanya.

“Akak pun serba salah nak cakap ni, Man. Tapi kalau tak cakap, akak lagi rasa bersalah,” luah Ainon dengan suara tersekat-sekat.

“Yalah, kak! Apa dia?” Osman bersuara tegas, mahukan jawapan segera daripada wanita itu.

“Maaf ya Man, akak cakap. Akak tengok selama ketiadaan Man di rumah, Suri tu kerap benar keluar lewat malam. Ada lelaki datang jemput dan hantar dia. Pulak tu akak selalu nampak Suri pulang lewat pagi...”

“Akak cakap apa ni?” pintas Osman akan kata-kata Ainon dengan wajah merah padam. Matanya mencerun tajam ke mata Ainon. Nada suaranya keras dan menekan. Terpempan Ainon dengan riak wajah Osman yang tiba-tiba nampak garang menyinga.

“Kak Ainon tahu tak, yang fitnah itu lebih buruk daripada membunuh? Sebab lidah orang-orang seperti Kak Ainonlah banyak rumah tangga porak-peranda. Banyak masjid patah tiang, pecah dinding. Akhirnya runtuh, tak dapat diselamatkan lagi.” Osman melempar kata-kata itu dengan perasaan marah yang meluap-luap. Menggigil-gigil tubuhnya.

“Astaghfirullahalazim, Man! Kau jangan anggap akak reka cerita semua ni. Sungguh, akak berniat baik Man.” Ainon cuba menenangkan perasaan Osman.

“Niat baik apanya? Akak, jangan sampai saya tak hormat akak sebab mulut jahat akak tu!”

“Ya ALLAH… Man. Sungguh, mata akak ni jadi saksinya. Akak tak menipu, sebesar zarah pun tidak. Niat akak supaya Man boleh bertindak sebelum sesuatu yang tak diingini berlaku. Akak kasihankan Man dan anak-anak,” kata Ainon bersungguh.

“Sudahlah, kak... sudah! Suri seorang isteri yang baik dan sempurna untuk saya. Dia seorang ibu yang penyayang terhadap anak-anak kami. Rasanya saya takkan termakan dengan kata-kata akak yang penuh racun ni. Hah, ada apa-apa lagi ke akak nak cakap?!”

“Terpulanglah pada kau, Man! Akak pun tak tahu dah cara nak buat Man percaya. Jangan suatu hari, baru kau sedar yang cakap akak ni benar belaka. Tolonglah percaya, Man...”

“Eh, ayah! Ayah dah balik? Yeay, yeay... ayah dah balik!” Suara jeritan Wardina Amni membuatkan kata-kata Ainon terbantut.

“Dina…” Osman tersenyum manis melihat wajah ceria Wardina Amni yang berlari mendapatkannya di halaman rumah. Hilang sudah kelat di wajahnya dengan cerita Ainon tadi. Ternyata kehadiran anak itu bisa memadamkan api yang sedang panas menyala di dadanya.

“Ayah!” Wardina Amni lantas merangkul tubuh ayahnya. Mereka berpelukan mesra, melepaskan rindu yang sarat di dada.

“Anak ayah apa khabar?” tanya Osman sambil mencium pipi anak bongsunya bertalu-talu.

“Okey, sihat. Dina rindukan ayah. Sangat, sangat!” balas Wardina Amni.

“Eh, mana semua orang?” soal Osman kehairanan menyedari hanya Wardina Amni yang menyambut kepulangannya.

“Keluar pergi jalan-jalan,” jawab Wardina Amni.

“Ke mana?” soal Mahmud lagi.

“Entah, tak tahu!” balas Wardina Amni ringkas.

“Kenapa tak ikut?”

“Mak tak ajak,” adu Wardina Amni membuatkan Osman membuang pandang ke seraut wajah Ainon yang masih tercegat di antara mereka. Sesaat dua mata mereka beradu.

“Sejak bila keluarnya? Ni dah pukul lima.”

“Dalam pukul 10.00 pagi tadi,” cerita Wardina Amni dengan jujur.

“Pagi tadi Mak Cik Kiah datang ke tak?”

“Hari ni, Mak Cik Kiah tak datang, ayah.”

“Habis, dah makan ke belum ni?” tanya Osman lagi sambil menatap jam tangannya.

“Dah. Mak Cik Ainon hantar nasi ayam dengan bubur kacang tengah hari tadi. Kenyang perut Dina sampai sekarang ni,” jawab Wardina Amni akan pertanyaan ayahnya. Sesekali matanya beralih ke seraut wajah Ainon.

“Terima kasih ya, mak cik. Dari dulu lagi, mak cik baik hati sangat dengan Dina.” Wardina Amni memuji sambil menarik hujung lengan baju Ainon.

Ainon tersenyum, senang dengan kata Wardina Amni itu. Osman hanya melirik pandang kedua mereka tanpa berkata apa-apa lagi.

“Jom, ayah! Kita naik rumah. Jom, mak cik...” pelawa Wardina Amni.

“Hmm... tak apalah, Dina. Mak cik balik dulu. Man, akak balik dulu.” Ainon meminta izin dan terus berlalu dari situ. Nada suaranya sedikit pun tak menceritakan perasaan yang tergores dengan kata-kata Osman tadi.

Tetapi seharian itu, Osman langsung tidak memikirkan lagi akan kata-kata jirannya itu. Kepulangan Suriyana dan anak-anaknya maghrib itu bagaikan mengubat rindu pada mereka setelah berminggu-minggu tidak pulang ke rumah. Tambahan pula, Osman tidak melihat sebarang perubahan negatif akan layanan Suriyana terhadap dirinya. Disebabkan Osman sudah lali mendengar cakap-cakap orang akan buruk perangai isterinya itu, maka segala cerita Ainon dianggap sebagai khabar angin semata-mata. Penat orang bercakap, maka cerita itu akan berhenti dengan sendiri.

Osman mengheret nafas berat. Mengenangkan kata-kata Ainon beberapa tahun dulu, dia teringat akan kata-kata abangnya, Mahmud. Cerita Mahmud yang cuba memburuk-burukkan isterinya beberapa minggu lalu membuatkan dia berang. Malah, hubungan akrab adik-beradik, tiba-tiba bertukar dingin. Osman percaya, Mahmud telah termakan hasutan fitnah orang yang mencemburui isterinya.

Kejelitaan Suriyana selalu dianggap mengganggu rumah angga orang. Baik teruna, suami orang, duda mahupun yang tua kerepot pasti terpesona dengan isterinya itu. Osman sedar, para isteri pasti berasa terancam apabila suami masing-masing terpikat dengan Suriyana. Disebabkan itu, fitnah mula berleluasa.

Namun bagi Osman, dia meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Suriyana. Dia tidak pernah mempertikaikan kesetiaan dan pengorbanan isterinya itu. Perasaannya tiba-tiba merusuh hebat. Bukan dia sewenang-wenangnya mahu menyimpan prasangka buruk terhadap isteri kesayangannya itu, tetapi menghayati luahan rasa seorang anak membuatkan dia terfikir-fikir bahawa semua itu tidak mungkin reka cerita.

Apakah Suriyana hanya melayan baik Wardina Amni di depannya saja? Apakah perubahan sikap Suriyana terhadap Wardina Amni kerana perubahan mood isterinya itu? Setiap baris perkataan yang tertulis di buku catatan anaknya itu perlahan-lahan telah menyiat perasaannya. Hatinya hancur berkecai. Benarkah semua ini? Benarkah, Ya ALLAH... Yang Maha Mengetahui? Siapakah yang perlu aku dahulukan dalam senarai orang-orang kepercayaanku? Wardina Amni atau Suriyana? Adakah Ainon dan Abang Mahmud berkata benar?

Apa yang harus aku buat, Ya ALLAH? Aku tidak mahu Suriyana teraniaya andai kata dia hanya menjadi mangsa fitnah. Pengorbanan dan kesetiaan Suriyana terhadapku dan anak-anak terlalu besar untuk aku dustakan. Aku tahu, selama ini Suriyana terlalu banyak memendam perasaan. Dia juga menderita kerana kelemahanku sebagai seorang suami di bilik tidur kami.

Pun begitu, Suriyana tidak pernah merungut jauh sekali merendah-rendahkan kemampuanku. Aku sedar, Ya ALLAH... kekurangan diriku sebagai seorang suami perkasa membuatkan aku gagal untuk melunaskan tanggungjawabku terhadapnya. Namun, janganlah ENGKAU palingkan hatinya Ya ALLAH untuk menduakanku. Sungguh, aku tak sanggup kehilangan cintanya!

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.