Home Novel Fantasi HARIS SI KUCING JADIAN
BAB 9

KOLEJ DELTA

 

Haris dan Razif bermalas-malasan di atas katil masing-masing sementara menunggu waktu makan malam. Tumpuan Haris lebih kepada buku yang sedang dibacanya iaitu buku yang berjudul The Zombie Survival Guide karya Max Brooks. Buku yang harganya menurut anggapan Razif mahal macam bedil itu dibeli oleh Haris di sebuah kedai buku ketika dia dan Razif keluar merayau-rayau di pusat membeli belah Mid Valley dua minggu yang lalu.

 “Sheikh, kau jadi ke balik Shah Alam esok?”Tanya Razif sambil membelek majalah Meksim. Majalah Meksim yang pada kulit hadapannya menampilkan aksi model iras-iras Selena Gomez memeluk patung beruang kutub sambil memakai bikini corak bendera Amerika itu selalu saja berpindah bilik. Kali ini singgah pula di bilik mereka berdua.

“Ah-ah, aku ingat nak bertolak lepas makan tengahari.”

“Birthday kau macam mana, mama kau buat parti ke?”

“Parti apa ke benda. Kalau buat pun nak ajak siapa, aku bukannya ada kawan berjuta.”

“Eh,buat ler majlis doa selamat ke, marhaban ke.”

“Ah, aku bukannya suka benda tu semua. Mama aku pun takde cakap apa-apa.”

“Takkanlah sepotong kek pun tak ada?”

“Kek tu ada ler. Eh, kalau kau nak makan kek jomlah ikut aku balik Shah Alam.”

“Tak boleh ler. Esok aku nak pergi Kerinci, rumah Rizal, ada group discussion. Aku satu group dengan Rizal. Nak kena prepare, Selasa ni ada presentation.”

“Rugilah kau, tapi nak buat camne, kan? Eh, apa kata kita makan kat luar malam ni? Hari tu kau belanja aku, hari ni aku belanja kau pulak. Okey tak?”

“Heh, aku kalau pasal makan on je. Nak makan kat mana? Kalau dekat warung Kartini Penyet Ayam macam hari tu pun best jugak. Masih terbayang-bayang lagi rasa ayam penyet yang lembut manis. Lagipun Tini dah kenal kita. Kau tak rindu ke nak jumpa dia?”

“Err..kita pergi lain kalilah warung Ayam Penyet Tini tu. Aku mengidam nak makan beef steaklah. Elaine, classmate aku tu cakap, ada kedai makan Western baru buka kat Keramat. Masa dia pergi dengan boyfriend dia hari tu diorang order beef steak dengan lamb chop. Dia cakap beef steak tu lembut, enak rasa daging lembunya. Diorang punya black pepper sauce pun sedap, harga pulak taklah mahal sangat. Tu yang buat aku nak cuba rasa tu.”

“Apa nama kedai Western tu? Senang ke nak cari?”

“Tak silap aku nama dia I Chop You Grill. Kedai dia sebelah restoran Mek Aunt Tom Yam.”

“I Chop You Grill? Nama Western apa macam tu, macam suruh kita masak sendiri je.”

“Saja je tu, nak bagi kita senang ingat.”

“Puku lberapa nak pergi?”

“Kalau pukul lapan camne?”

“Aku okey jer. Nak pakai tema apa?”

“Tema apa pulak, bukannya aku nak pergi kahwin.”

“Ishh…sekarang ni sambut harijadi pun ada tema tau. Kalau black metal, boleh?”

“Boleh jugak. Kau ada baju band black metal ke?”

“Kalau baju Mayhem, Darkthrone, Emperor semua tu takde. Black Sabbath tu ada ler.”

“Bolehlah tu, Black Sabbath kan granddaddy of black metal. Aku pulak ada baju Celtic Frost. Celtic Frost ni kira macam daddy of black metal. Tak kisahlah, nak suka-suka je.”    

 

RESTORAN I CHOP YOU GRILL, KERAMAT                                                                                                

 

Sudah lebih setengah jam berlalu sejak Haris dan Razif memesan hidangan beef steak special dengan sos black pepper. Rasa bosan menunggu mula menguasai mereka.Masing-masing sudah kehabisan mangsa untuk dijadikan bahan cerita. Jus oren dan jus epal juga sudah mula hilang rasa.

Haris dan Razif tahu mereka perlu mencari mangsa baru untuk dijadikan bahan perbualan bagi mengisi masa yang terluang. Mangsa itu mestilah seorang perempuan kerana tiada cerita yang lebih menarik selain daripada cerita tentang perempuan. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki seorang perempuan itu, ada saja yang boleh dijadikan bahan perbualan.

“Sheikh, tuh cuba kau tengok barang baik baru sampai kat meja hujung tu.” Razif memuncungkan mulutnya ke arah yang dimaksudkan. Mata Haris pantas mengekori muncung Razif.

“Huiihh…ramainya awek Gothik. Siap dengan gaun hitam, lipstick hitam semua. Tapi nampak macam something wronglah. Gothik apa benda muka sorang-sorang macam model majalah. Ni mesti Gothik menyamar ni.” Haris membangkitkan rasa curiganya.

“Woi, takkanlah kalau nak layan Gothik muka pun kena macam Hantu Mat Gobeng. Muka cantik pun boleh layan Gothik apa. Macam kitalah, muka hensem tapi layan Black Metal. Takkan muka pecah rumah je boleh layan Black Metal.”

“Itu aku taulah. Tapi cuba kau perhati betul-betul diorang tu, dengan bentuk muka,body langsing macam tu. Aku rasa diorang ni modellah. Tapi bukan model catwalk, sebab model catwalk biasanya lagi kurus dan lagi tinggi daripada diorang. Paling bodoh pun aku rasa diorang ni model pil kuruskan badan.”

“TakBkisahlah model apapun. Model jamu kurus ke, model ubat jerawat ke, model kilang budu ke, yang penting kita boleh buat senaman mata.”

Sedang Haris dan Razif sibuk bertukar-tukar pendapat tentang awek-awek Gothik itu,kelihatan seorang pelayan restoran menolak troli yang di atasnya terdapat sebiji kek. Tiba di meja kumpulan awek Gothik itu, dia memindahkan kek itu ke atas meja, menyalakan lilin-lilin pada kek itu dan kemudian kembali menolak troli beredar dari situ.

“Ooo…diorang nak sambut hari jadi kat sini rupanya. Tak sangka ek, ingatkan kita-kita je.”  Kata Haris.

“Ha’ah, yang mana satu agaknya birthday girl.”

“Aku rasa yang menghadap kita tu, yang pakai jaket hitam. Pada aku, dalam ramai-ramai tu dia yang paling cun.” 

 Keenam-enam awek Gothik itu kemudian kelihatan berdiri seperti bersedia untuk menyanyikan lagu Negaraku.

“Eh, diorang nak start nyanyi dah! Jom kita nyanyi sama-sama.” Razif tiba-tiba turut bangun berdiri. Dia kelihatan begitu bersemangat.

“Woi! Kau jangan buat gila! Lagipun, kau nak nyanyi lagu apa? Lagu Negaraku?” Haris tunjuk muka bengang.

“Lagu Happy Birthdaylah bengong, lagu Negaraku orang nyanyi time tengok bola je. Cepatlah bangun!”

“Kaulah bengong! Nanti diorang ingat kita main-mainkan diorang. Aku tak nak cari pasal dengan pompuan cantik. Otak aku jadi blur bila kena marah dengan pompuan cantik.” Dalam kepala Haris terbayang-bayang wajah Amelia.

“Kau ni macam-macam fiillah. Okey, kau tak payah nyanyi, biar aku sorang je nyanyi.Lagipun ini birthday kau, kan? Tapi kau kena bangun berdiri. Kalau tak, aku jerit kuat-kuat kau raba konek aku.”

“Setan kau Razif.” Haris dengan penuh malas bangun berdiri. 

Ketika Haris bangun berdiri lagu Happy Birthday nyanyian awek-awek Gothik baru memasuki rangkap pertama. Razif menguatkan suaranya mengikuti nyanyian awek-awek Gothik. Apabila masuk rangkap ketiga, Razif memasukkan nama Haris pada penghujung rangkap berkenaan.

Semua pelanggan di dalam restoran itu memandang ke arah mereka berdua. Masing-masing berkerut muka tak faham apa cerita. Awek-awek Gothik juga sambil menyanyi sambil berkerut muka memandang mereka. Lebih-lebih lagi si dia, the birthday girl.

Selesai menyanyi the birthday girl meniup lilin-lilin di hadapannya sambil matanya mengerling ke arah Haris dan Razif berdua. Razif tersengih-sengih, Haris pula memalingkan muka. Setelah lilin habis ditiup semua, awek-awek Gothik bertepuk tangan bersuka ria. Razif turut serta menepuk tangannya sementara Haris tunduk tak buat apa-apa.

Sebaik saja Haris dan Razif duduk semula di kerusi mereka, beef steak special akhirnya tiba di meja mereka berdua. Sedang Haris dan Razif leka menjamu selera, the birthday girl kelihatan berjalan menuju ke arah mereka.

“Alamak, birthday girl tu nak datang sinilah. Habislah kau Ris, aku tak tau.” Razif buat muka gelabah.

“Gila, kan aku dah cakap tadi, mesti dia dah tersinggung. Nak sangat jadi Raja Lawak, sekarang kau melawaklah dengan dia. Aku tak nak campur.”

“Assalamualaikum, boleh I duduk sini?” Sapa birthday girl dengan suara halus manja sejurus tiba di meja mereka. Walau dengan celak hitam, eyeliner hitam dan lipstick hitam, kejelitaan wajahnya masih jelas terserlah.

“Waalaikumsalam. Silalah duduk.” Razif menghulurkan kerusi kepada birthday girl.

“Sorry, nama I Ezrina.” Ezrina berjabat tangan dengan Razif dan Haris.

“Saya Razif, dia ni Haris.” Razif tersengih manakala Haris tersenyum kelat.

“Sorry, sebenarnya I nak tanya, you berdua kenal I ke? Sebab honestly, I memang tak kenal you berdua. So, I jadi very confuse. You nyanyi tadi untuk I ke atau you saja nak buat lawak?”

Ezrina memandang tepat muka Razif, kemudian beralih pula ke muka Haris. Haris pandang muka Razif. Razif pandang muka Ezrina.

“Err…sebenarnya kitorang pun sambut birthday jugak. Birthday dia nilah (Razif menuding jari telunjuknya kepada Haris). So bila saya tengok kawan-kawan you nyanyi, saya pun rasa macam nak nyanyi sama. Kira macam saya nyanyi untuk you dan jugak untuk dia ni (Sekali lagi jari telunjuk Razif menuding kepada Haris). Macam dua dalam satu gitu.”

“Ooo…macam tu ceritanya. Eh, jomlah join kitorang, boleh celebrate sama-sama.” Ezrina senyum sambil memandang muka Razif. Kemudian memandang pula muka Haris. Haris pandang muka Razif. Razif sengih sampai ke telinga. Dia mengenyit matanya memberi isyarat kepada Haris supaya bersetuju dengan pelawaan Ezrina.

“Tak apalah Cik Ezrina, nanti apa pulak kata kawan-kawan you. Itu pun dah nampak crowded meja you.” Haris mengerling muka Razif. Razif membeliakkan biji matanya memprotes tindakan Haris.

“Eh, takde hal, diorang okey. Lagipun I kan birthday girl, diorang kena ikut cakap I. Jomlah!”

“Tak apalah, lain kalilah. Kitorang pun dah nak balik ni. Ada nak jumpa kawan, dia dah lama tunggu.”

“Hmm…okeylah kalau macam tu. Dah birthday boy sendiri yang bagi jawapan, nak buat macam mana.Tapi you berdua tunggu sekejap ya.” Ezrina melangkah kaki kembali menuju ke mejanya.

“Eh,kau ni apa hal? Kau ingat senang ke nak dapat peluang lepak dengan awek-awek cun macam tu. Saja je tolak rezeki. Dah la tu, pandai pulak cakap bohong, nak jumpa kawan konon. Apa nak jadi dengan kau ni hah?” Kata Razif dengan muka tak puas hati.

“Kau ni betul lurus bendullah Zip. Kau tak reti nak beza ke ajak ikhlas dengan ajak-ajak ayam? Dia ajak kita sebab dia nak cover keterlanjuran dia datang sini. Dalam hati dia memang harap kita tolak ajakan dia. Kau nampak meja diorang tu, kita nak duduk kat mana? Bawah meja? Pikir logiklah.”

“Ah, aku tak percayalah teori ajak-ajak ayam kau tu. Kau memang tak pandai baca air muka orang. Air muka dia yang cute macam anak patung tu memang nampak ikhlas.Kau tu saja je, tebal sangat dengan sifat kemaluan. Malu tak kena dengan tempat.”

“Lantak kaulah Zip, susah cakap dengan otak meroyan macam kau ni.”

“Kalau aku meroyan, kau tu the grandfather of meroyan. Hah, kalau berani jawablah.”

“Kalau aku jawab nanti, kang nangis pulak kau. Kesian pulak rasanya.”

“Eleh, cakap jelah tak berani nak jawab. Kesian konon.”

Sedang Haris dan Razif asyik berbual mesra, Ezrina kembali ke meja mereka bersama dua potong kek yang di alas dengan dua biji piring.

“Guys, ni ada kek butterscotch topping dengan toasted walnut. Makanlah.” Ezrina meletakkan piring-piring kek itu di hadapan Haris dan Razif.

“So, err…apa nama you tadi, Haris, kan? Haris senyum sambil menganggukkan kepala.

“So,Haris, Happy birthday to you. Semoga apa saja yang you hajatkan akan jadi kenyataan.” Ezrina menghulurkan tangannya. Haris menyambut tangan Ezrina.

“I pun samalah. Happy birthday to you and...thanks for the cake.”

“Sama-sama. And Razif, thank you for the Happy Birthday song walaupun terpaksa berkongsi dengan Haris.” Ezrina menghulurkan tangannya. Razif menyambut tangan Ezrina.

“Hehe..sorrylah sebab buat you jadi terconfuse. Honest, takde niat pun nak buat macam tu.”

“Takpe,perkara kecik je. Well guys, I mintak diri dulu. See you.” Ezrina mengukir senyum lalu berlalu pergi.

Razif memandang tepat ke muka Haris. Keningnya diangkat-angkat dengan penuh keangkuhan.

“Macam mana sekarang? Dah dapat kek banyak gini kau masih lagi nak cakap dia tak ikhlas?”

“Alah, kau tengoklah body diorang tu betul-betul. Kau ingat pompuan suka makan kek boleh dapat body macam gitu? Kek tu untuk ritual je. Dah sambut harijadi, kenalah ada kek. Macam orang buat doa selamat, kena ada pulut kuning. Kalau diorang makan pun, diorang makan sikit je. Sebab tu diorang tak kisah bagi kat kita potongan besar macam ni.”

“Eh, kau ni kena rasuk histeria ke apa? Habis dengan bahasa lemah lembut, dengan senyum manis macam madu kelulut semua tu tak ikhlaslah, palsulah?”

Haris buat tak peduli dengan pertanyaan Razif. Kalau dilayan sampai esok pagi pun tak akan habis. Perhatiannya kembali tertumpu kepada beef steak special yang masih lagi bersisa. Haris mencucuk daging beef steak dengan garfu lalu dihiris-hiris dengan pisau menjadi cebisan-cebisan kecil. Perbuatan Haris kemudian diikuti oleh Razif. Masing-masing menghabiskan sisa-sisa beef steak tanpa berkata apa-apa.

Habis saja beefsteak ditelan, kek butterscotch pula diterkam.

“Sedap jugak kek ni. Ringan je. Makan pun rasa tak muak.” Kata Haris.

“Ah-ah,first time aku makan kek butterscotch. Aku sukalah rasa dia.”

Keadaan kembali senyap. Haris dan Razif masing-masing menikmati kek harijadi Ezrina dengan penuh khusyuk.

“Aiseyman,lupalah nak mintak nombor si Ezrina tadi. Nak pergi mintak sekarang segan pulak rasanya.” Razif pula bersuara.

“Aikk? Baru jumpa awek Gothik cun dah lupa awek kat kampung? Balqis tu kau nak letak kat mana?”

“Ini yang aku nak marah nih. Bukan untuk akulah wei, untuk kau! Sampai bila kau nak jadi Lone Ranger? Dah tiba masanya untuk kau ada girlfriend. Aku rasa si Ezrina tu dah lebih dari cukup untuk kau. Aku percaya kau takkan jumpa lagi yang lebih sempurna daripada dia.”

“Itulah masalahnya Zip. Dia terlalu sempurna untuk aku. Pompuan macam tu bukan standard kita. Mesti high maintenance punya. Make up saja dah tentu beratus ringgit sebulan. Lagipun aku yakin dia dah ada boyfriend. Mesti anak orang kaya,ataupun kerabat diraja. Buang masa je nak ejas dia.”

“Yalah,tapi sekurang-kurangnya tak salah kalau kau mencuba. Mungkin dia dah ada boyfriend, tapi mungkin jugak dia masih single. Mungkin dia seorang yang high maintenance, tapi mungkin jugak dia seorang yang don’t care what to maintain. Kebarangkalian untuk dia jadi girlfriend kau tetap ada. Kau cakap je. Kalau kau nak nombor dia, sekarang jugak aku pergi tanya.”

“Tak payahlah Zip, lupakan je. Baik kita fokus kat kampus je. Tak payah nak pening-pening kepala pikir pasal dia.”

“Suka hati kaulah Ris. Peluang dah ada kau lepaskan. Kalau aku jadi kau, aku takkan lepaskan si Ezrina tu. Bukan senang nak jumpa pompuan cantik yang ada karekter macam tu. Lemah lembut, pemurah, friendly. Yang pasti, siapa yang dapat dia tentu takkan rugi.”

Haris tak memberi sebarang reaksi kepada kenyataan Razif. Dia melambai tangan memanggil pelayan. Setelah membayar semua harga beefsteak dan minuman, Haris dan Razif melambai tangan kepada Ezrina dan kawan-kawan. Lambaian berbalas lambaian, diikuti dengan senyuman Ezrina dan kawan-kawan.    

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh JACK EL JAMILY