Bab 16
ARLISA
selesai menyempurnakan pembentangannya dengan kemas. Slide-slide yang dia
pertontonkan kepada ahli utama syarikat dilihat sebagai suatu yang
memberangsangkan. Ramai yang bersetuju dengan pendapatnya serta idea bahawa
mereka perlu mengetengahkan fesyen berunsurkan Islam. Fesyen mulimah kini sudah
semakin mendapat tempat. Tidak dapat disangkalkan juga, gadis-gadis bertudung
adalah di antara wanita yang paling bergaya.
Arlisa juga mengusulkan supaya
Fashionista perlu mengambil lebih ramai graduan yang baru keluar dari
universiti. Idea-idea graduan muda dan masih bertenaga dapat membantu dalam
menghasilkan fesyen yang lebih menarik. Gabungan idea orang muda dan baru juga
mungkin dapat menghasilkan gabungan fesyen yang menarik.
Puan Murni yang melihat Arlisa
lincah dalam mempersembahkan ideanya sudah tidak dapat membendung perasaannya
lagi. Apa yang disyakinya sudah benar. Gadis ini adalah seorang seorang
penyamar. Penyamar yang mungkin dihantar atau dipaksa Arissa untuk menggantikan
tempatnya untuk seketika waktu. Dia tidak mahu meletakkan harapan mengatakan
bahawa Arlisa memang benar-benar seorang penyamar. Namun sebagai langkah
berjaga-jaga dia harus memantau dan menguji gadis ini lagi. Mungkin Arlisa
seorang gadis yang baik, mungkin juga akan membawa keburukan dan mempunyai
pelan yang tersendiri yang bakal menghancurkan seluruh ahli keluarganya.
Semua orang memberi respon positif
kepada pembentangan Arlisa. Ada yang memuji dan ada yang sempat bergurau dengan
Adam sambil mengatakan ‘Kalau aku ada isteri macam kau, aku dah tak cari yang
lain!’. Adam tersenyum mendengar gurauan tersebut. Namun, jauh disudut hatinya
dia sedang berduka. Duka dengan ulah Arissa yang seperti ingin menjauhkan diri
daripadanya.
Arlisa yang berbaju blouse putih
dengan cuff di kedua-dua belah tangan dan dipadankan dengan kain kuning mustard
tirus sedang bersalaman dengan beberapa orang pekerja. Setelah semua orang
keluar dari bilik mesyuarat, termasuklah Adam sendiri, Puan Murni mendekati
Arlisa.
“Tahniah. Mama suka apa yang Rissa
bentangkan tadi. Cuma.. mama hendak bertanya..” Puan Murni memulakan
langkahnya.
“Ada apa Mama?” Arlisa sedia
mendengar soalan.
“Seorang pekerja kelab malam, Rissa
juga tidak pernah ke universiti, bagaimana boleh membentangkan sesuatu idea
dengan baik?” Puan Murni juga menambah kata-katanya. “Rissa juga nampak seperti
seorang yang sudah biasa melakukan pembentangan. Perkataan yang digunakan tak
macam orang yang berkelulusan SPM.”
Arlisa menelan air liur beberapa
kali.
“Mama sebenarnya tak pernah
menyangka Arissa sehebat ini. Atau mungkin…”
“Mama, Arissa buat apa lagi di
dalam?” Tiba-tiba Adam masuk ke ruang mesyuarat. Soalan Puan Murni jadi
tergantung.
“Adam..?” Puan Murni berkalih
melihat anaknya.
“Jomlah..”Arlisa terus melangkah
keluar dari bilik mesyuarat tanpa menghiraukan persoalan Puan Murni yang
tergantung sebentar tadi.
****
KAMAL
dan Sofea memasuki ruang legar bangunan Fashionista yang tersergam indah.
Mereka kemudiannya menuju ke bahagian lif. Hari ini ramai orang yang keluar
masuk. Staf-staf tampak begitu sibuk sekali. Ada juga cameraman yang membawa
peralatan untuk photoshoot sedang menunggu untuk memasuki lif. Kamal dan Sofea
juga di antara beberapa manusia yang menunggu untuk menaiki lif.
Manakala pada masa yang sama,
Arlisa, Adam dan Puan Murni berada di dalam lif. Lif tersebut menuju ke tingkat
yang paling bawah iaitu ruang legar utama Fashionista. Suasana di dalam lif
yang dinaiki Arlisa, Adam dan Puan Murni boleh tahan penuh. Kesemuanya seperti
tidak sabar untuk keluar dan melepaskan diri masing-masing dari kotak empat
segi yang kecil itu.
TING! Lif terbuka. Sama ada yang di
luar atau di dalam semuanya terkocoh kacah untuk keluar masuk. Adam memegang
erat tangan Arlisa untuk melepaskan diri mereka keluar. Manakala Puan Murni
sudah keluar dahulu kerana dia berada di hadapan mereka. Kamal dan Sofea pula
menunggu semua penumpang di dalam untuk keluar dahulu kerana mereka tidak mahu
berasak-asak.
Di
dalam kesibukan tersebut, Kamal sempat terperasankan susuk tubuh yang dia
seakan-akan mengenali. Wanita berblouse putih dan berkain mustard bersama
seorang jejaka tampan memakai kaca mata hitam RayBan. Kedua-dua pasangan itu
berpegangan tangan dan keluar dari kawasan lif yang sempit itu.
Kamal sempat mengalihkan
pandangannya yang terakhir terhadap pasangan tersebut terutama wanita itu
sebelum dia memasuki lif. Benar! Dia adalah wanita itu. Namun dia ragu-ragu
yang mana satukah di antara kedua-duanya? Arlisa ataupun Arissa?
‘Arlisa?
Oh bukan. Dia berada di Pulau Pinang sekarang. Mungkinkah kakak kembarnya,
Arissa? Tetapi dari gaya dan gerak lakunya dia kelihatan seperti Arlisa. Hanya aku
sahaja yang dapat membezakan mereka dari dahulu hingga sekarang. Lima tahun aku
bersama Arlisa, sejak dari sebelum Arissa melarikan dari rumah lagi. Aku tahu
gerak laku Arlisa, bagaimana cara dia berjalan, tingkah lakunya dan sikapnya.
Arlisa kelihatan begitu lembut dalam gerak laku namun Arissa sangat kasar dan
menggiurkan perilakunya. Wanita yang aku lihat tadi, sangat berlemah lembut dan
pakaiannya tidak begitu menonjol, walaupun dia kelihatan sangat bergaya dan
memakai mekap. Siapakah di antara mereka? Arissa atau Arlisa, bekas kekaksih
ku?’bisik hati Kamal sendirian.
Sofea yang melihat ulah Kamal yang
agak pendiam menegur kekasihnya. Sudah bisu kah? Masuk-masuk lif terus jadi
patung!
“Kamal! Kamal!” Sofea menepuk-nepuk
bahu Kamal.
“Oh Sofea!” Kamal tersedar dari
lamunannya.
“You okay?” tanya Sofea.
“Okay, I’m fine,” jelas Kamal yang
mahu menutup kekhilafannya. Namun hatinya tetap berbisik kuat. Wanita itu
Arlisa. Dan jika benar Arlisa, bagaimana dan kenapa dia berada di sini? Siapa
pula lelaki tampan yang memegang erat tangannya? Arlisa juga kini tak seperti
dulu. Lebih cantik dari kebiasaannya!
****
KEADAAN
di dalam kenderaan Mercedes E250 begitu sunyi. Tiada siapa yang berani
berbicara. Semuanya diam melayan perasaan. Adam dengan kedukaannya memikirkan
tentang perhubungan dia dan Arissa yang makin kecundang. Arlisa pula memikirkan
tentang sikap Puan Murni yang seringkali mencari kesalahan dan seakan-akan
mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Manakala Puan Murni dengan buah-buah
ideanya bagaimana hendak mempastikan Arlisa benar-benar seorang penyamar di
dalam rumahnya.
Akhirnya, Puan Murni memecah
kesunyian tersebut. “Arissa, mulai esok kamu akan bekerja di Fashionista. Bantu
Adam uruskan syarikat.”
Arlisa tersentak apabila mendengar
kata-kata Puan Murni. Eh? Tiba-tiba pulak dia nak aku kerja situ.
“Macam mana dengan Fida dan Arman?”
tanya Arlisa.
“Itu jangan dirisaukan. Tahulah mama
nak katakan apa pada mereka. Adam? Kamu okey dengan cadangan mama?” Puan Murni
tersedar bahawa anaknya diam sahaja dari tadi.
“Adam?” Arlisa mula menegur Adam.
“Ya??” Adam tersedar dari lamunannya
yang panjang.
“Kamu dengar tak apa yang mama
katakan ni?” kata Puan Murni. Mengelamun budak ni!
“Ya.. ya.. Arissa esok kerja dengan
Fashionista.” Adam jawab acuh tidak acuh. Kemudian dia kembali berdiam.
Arlisa jadi serba salah. Adakah
kerana dirinya Adam jadi begitu? Maafkan dirinya Adam. Dia tidak bermaksud
untuk melukai sesiapa. Dia dalam keterpaksaan. Kalau dia diberikan pilihan,
Adam adalah orang yang dia tidak mahu lukakan hatinya. Kerana baginya Adam..
sangat istimewa di hatinya. Ya, istimewa. Kemungkinan dia juga telah… jatuh
cinta. Maafkanlah aku Ya Tuhan. Maafkanlah aku dan bantuilah aku dari menjauhi
cinta terlarang ini. Dia adalah abang iparku. Walaupun Arissa sudah tiada, ini
bukan bermaksud ia suatu jalan mudah baginya untuk mendekati Adam. Lelaki itu
juga belum tentu mencintainya jikalau dia mengetahui hal yang sebenar. Malahan,
Adam bakal membenci Arlisa seumur hidupnya.
****
SOFEA
dan Kamal menyinggah ke pejabat milik Fida atau nama penuhnya Afida Iskandar.
Afida merupakan puteri tunggal dan anak bongsu kepada pasangan Puan Murni Hakim
dan Encik Iskandar Rauf. Fida seorang yang cepat naik angin dan sukar dikawal
kemarahannya jikalau ia sudah memuncak. Namun wanita yang berusia 24 tahun ini
iaitu lebih kurang sama umurnya dengan kakak iparnya, Arissa sangat jelita
tetapi masih belum mempunyai kekasih hati oleh kerana sifat amarahnya yang
melampau.
Fida menjemput pasangan yang bakal
bernikah itu untuk duduk. Lalu diarahkannya Vivian, sekeritarinya untuk
menyediakan kopi buat para tetamu.
“Lamanya tak jumpa you Fida!” kata
Sofea sambil memeluk rakan baiknya itu.
“Haha.. lama jugaklah dekat setahun
lebih macam tu! Kau tulah menghilangkan diri..” sambut Fida.
“Hmm hal tu tak payahlah nak
diceritakan,” kata Sofea sambil melirik pada Kamal. Kamal pula seperti sedar
tidak sedar akan perbualan Sofea dan Fida. Dia masih teringatkan kejadian di
lif tadi.
“So you ke sini ada hajat apa?”
Perbualan utama dimulakan.
“I sebenarnya nak minta tolong you.
Ni bakal suami I.. Kamal..” Sofea memperkenalkan Kamal. Kamal yang masih di
dalam khayalan tiba-tiba terkejut. Dia cepat-cepat menghulurkan tangan kepada
Fida.
“Ohh I see. Akhirnya jumpa juga
pengganti..” perli Fida.
Sofea mengalihkan cerita. “Anyway, I
nak you recommend Kamal ke Adam untuk jadi model pakaian. Ni ada portfolio
dia,” kata Sofea sambil menunjukkan fail tebal berwarna biru. Di dalam fail
tersebut mengandungi pelbagai gambar Kamal dengan pelbagai pose. Fida
menyelak-nyelak fail tersebut dan menutup semula dengan kemas.
“Boleh, nanti I cakapkan ke dia,”
kata Fida sambil mengangguk.
Tiba-tiba Kamal bersuara. “I mintak
diri nak ke washroom sekejap.” Dia kemudiannya terus keluar dari kamar pejabat
Fida.
Fida yang melihat Kamal keluar dari
biliknya itu cepat-cepat mendekati Sofea. Dia kemudian menarik Sofea ke sofa
berdekatan dengan jendela.
“Sofea.. you nak kahwin dengan dia?”
tanya Fida sambil membeliakkan mata.
“Yes..” jawab Sofea ringkas.
“Abang I?”
“Sudah-sudahlah. I dah lupakan dia.”
Sofea memandang ke arah jendela.
“Tipu! You dulu macam nak mati
cintakan dia. Tetiba lepas perempuan kelab malam tu datang habis semuanya!”
Fida tiba-tiba bangun dan mencekak pinggang.
“You nak I buat apa? I tak naklah
bersaing dengan Arissa. Lagi pun memang abang you tu tak cintakan I. I je
perasan sendiri. Walaupun.. dialah orang pertama yang buat aku lupakan Fendi.”
Sofea tiba-tiba berubah wajah. Dia seperti dalam keadaan menyesali suatu
perkara yang telah lama berlaku.
“Fendi? Si mekanik tu? Kau ni pun
tak munasabahlah jatuh cinta dengan mekanik tu..” Fida menggelengkan kepalanya.
Sofea ni memang macam tu. Dari dulu lagi suka bercinta dengan orang yang tak
setaraf dengannya.
“Abang kau kan dah bahagia sekarang dengan
isteri dia tu..” Sofea bercakap sambil memandang kukunya yang bercat merah
jambu.
“Bahagia apanya? Perosak tu dah bagi
banyak masalah tau kat keluarga I. Dia buat mama sakit, dia buat keluarga I
porak peranda sampai Arman kena keluar dari rumah tu. Adam pulak.. butalah dia
sampai bila-bila..” Fida mengeluh panjang. Oleh sebab itulah dia membenci
Arissa. Membenci dengan sepenuh hatinya.
“Tapi dia tak cintakan aku!” tegas
Sofea.
“Tapi kau cintakan dia kan..”
“Kau nak aku buat apa?” Sofea
memandang Fida sambil mengecilkan matanya.
“Hubungan dia sekarang dengan Arissa
tak berapa nak baik. Kau goda dia semula, ataupun kau buat dia cemburu
menggunakan Kamal.” Buah-buah idea kejahatan Fida kian mengembang. Dia sanggup
buat apa sahaja asalkan Arissa tewas.
“Hmm.. aku pun dah lama tak jumpa
dia.”
“Tadi dia ada dengan.. perempuan tu.
Si Arissa tu sekarang sibuk-sibuk pula nak ambil tahu hal syarikat. Yang paling
I sakit hati, Mama boleh terima idea dia bulat-bulat. Ni semua sebab dia buat
Mama terhutang budi lah tu,” kata Fida. Marahnya meluap-luap pada Arissa. Kalau
dia itu lesung batu, sudah dia tumbuk Arissa lumat-lumat.
“Terhutang budi? Hmm.. biar aku
fikirkan dulu macam mana. Nanti aku datang sini lagi sebab nak jumpa dengan
Adam,” putus Sofea.
“Okey then.. see you dear dan
fikirkan baik-baik..” kata Fida. Kali ini Arissa, kau bakal tumpas!