Bab 20
“KAU
yakin ke yang tu Encik Adam Farhan, boss tempat kau kerja dulu?” tanya Nida.
Bagaikan tidak percaya, Fisya sebenarnya kenal dengan lelaki yang bersama
Arlisa atau Arissa tadi.
“Iyaaa aku kenal! Ya Allah! Dulu aku
kerja kat situ jadi kerani. Encik Adam tu duda anak sorang. Family dia memang
kaya giler! Rumah macam istana.” Fisya kelihatan bersungguh-sungguh bercerita.
Manakala Makcik Sue dan Nida pula sekadar mendengar.
“Ohh ye ke? Tapi yang perempuan tadi
tu, kau sure nama dia Arissa bukan Arlisa?” Nida bertanya lagi. Dia mahukan
kepastian. Ini adalah kerana pengecaman Nida amat bercanggah dengan apa yang
Fisya katakan. Arissa? Tapi nampak gaya perempuan itu macam Arlisa. Tetapi bila
difikirkan semula, ia agak mustahil wanita itu adalah Arlisa.
“Aku yakin nama dia Arissa! Puan
Arissa tu semua orang kenal dalam pejabat. Tiap-tiap hari staf-staf kat situ
bergosip pasal dia. Itulah inilah. Tambah-tambah lagi masa Encik Adam nak
kahwin dengan dia. Katanya, Puan Arissa tu background dia tak berapa baik
sikit…” kata-kata Fisya mula mengendur apabila mahu berbicara pasal keburukan
orang. Dia mendiamkan diri seketika.
Makcik Sue yang tidak puas hati akan
kediaman Fisya mula bertanya. “Apa yang
tak berapa baik? Ceritalah.. makcik tak kisah..”. Makcik Sue cuba untuk
memberanikan dirinya mendengar segala baik buruk perangai anak saudaranya. Dia
tahu Arissa itu memang liar sikit budaknya. Memang tidak disangkal lagi itulah
Arissa dan bukan Arlisa.
“Macam ni, Encik Adam tu dulu kahwin
dengan sorang perempuan. Nama dia Bella. Puan Bella meninggal dunia sebab
accident dalam 2 tahun lepas. Sejak tu, hidup Encik Adam memang tak berapa
stabil. Ada banyak girlfriend dan di antara girlfriend yang dia paling rapat
ialah Arissa. Puan Arissa ni dulu dia orang cerita.. kerja kelab malam!” Fisya
menoktahkan ceritanya dengan nada memeranjatkan.
Makcik Sue mengurut-ngurut dadanya.
Mahu terputus saja urat di jantung ini apabila mendengar penceritaan Fisya. Dia
semakin yakin memang benar wanita itu Arissa. Sepanjang hidupnya dengan Arlisa,
gadis itu adalah gadis yang pandai menjaga sopan santun dan berhati mulia.
Tidak seperti kakaknya, suka keluar malam dan suka berdengki dengan kecantikan
yang dimiliki Arlisa.
“ Makcik Sue okey tak ni?” Fisya
bertanya. Takut-takut pengsan pulak makcik ni.
“Okey.. okey… sambunglah cerita kamu
tu.. lepas tu apa jadi..” Makcik Sue tersandar di kerusi seketika. Melepaskan
segala keluhan di dada.
“Lepas tu apalagi.. kahwinlah Encik
Adam dengan Puan Arissa tu. Tapi dengar-dengar ceritalah kan.. Puan Murni, mak
kepada Encik Adam tu memang anti Arissa. Dia tak suka menantu dia tu. Semua
orang pun sebenarnya tak suka kat dia..” kata Fisya sambil menjegilkan matanya.
Unsur dramatik diselitkan dalam penceritaan.
“Kenapa tak suka?” Nida bertanya.
Dia bagaikan tidak percaya mendengarkan cerita-cerita Fisya.
“Sebab Puan Arissa tu jahat! Dia
layan Puan Murni, mak mertua dia, macam kawan-kawan dia je. Kami ni semua..
kalau dia datang office, habis kena marah! Ish! Kalau diingatkan balik.. mau
geram jugak. Sebab tu lah aku berhenti keja kat situ. Adik Encik Adam tu pun
satu hal jugak.. garang, cerewet tak bertempat! Serik akuuu…” jelas Fisya
dengan nada amarah yang menjalar-jalar di hatinya. Memang dia dah takkan
kembali berkerja di Fashionista lagi.
“Astaghfirullah…” Makcik Sue
menggelengkan kepalanya. “Arissa tu memang perangai dia macam tu.. makcik tak
tahu lah kalau dah salah didik dia ke ape.. entahlah.” Makci Sue mengeluh berat
dan berkata dengan nada penyesalan. Alangkah baiknya kalau masa dapat
diputarkan kembali.
“Tapi… betul ke yang tu kembar yang
korang cari ni?? Arissa kakak si Arlisa kan? Arlisa tu yang hilang sekarang
kan?” Fisya membuat pengesahan sekali lagi. Bagai tak percaya pula.
“Kita orang ni sebenarnye cari
Arlisa, tapi Makcik Sue cakap kalau jumpa dua-dua orang pun bagus. Cuma
sekarang ni lepas dengar cerita kau.. memang betullah tadi tu Arissa. Tapi…”
Nida memberhentikan kata-katanya. Dia masih ada keraguan. Mengapa sikap dan
gaya yang dipertonjolkan Arissa tadi tidak seperti Arissa?
“Tapi apanya?” Fisya musykil.
“Aku ni masih tak percaya yang aku
tengok tadi tu Arissa!”
“Laaa aku berani sumpah! Yang tulah
Arissa!” kata Fisya sambil mengangkat tangan kanannya tegak ke paras bahu.
“Berapa kali kau jumpa Arissa tu?”
tanya Fisya.
“Adalah sekali dua…”
“Haa? Tengok? Aku dengan makcik dah
jumpa dia orang tu hampir separuh dari hidup kita orang tauuu!” Nida bangun
sambil menepuk-nepuk dadanya. Kemudian dia kembali duduk semula di sebelah
Fisya.
Makcik Sue pula terkebil-kebil
mengulangi ingatannya semasa di klinik tadi. Memang ada kebenarannya pada
kata-kata Nida. Tidak mungkin wanita tadi tu Arissa.
“Okey aku ada cadangan! Apa kata..
kalau kau buat-buat macam kau nak bekerja kat Fashionista? Kau keje la dalam
dua bulan macam tu untuk kau betul-betul pasti sama ada perempuan tu Arissa ke
Arlisa ke…” kata Fisya sambil tersenyum. Idea bernas betul!
“Tapi.. sama ada Arissa ke Arlisa
ke, dua-dua orang tu dah cam muka aku…” Nida menundukkan wajahnya.
“Takkanlah pulak Makcik Sue yang nak
kerja kat situ….” Makcik Sue berkata perlahan dalam nada memerli. Aduhai budak
ni!
“Hehehe.. Makcik Sue kan special
kes…” Nida tersengih-sengih.
“Macam nilah.. pasal tu kau jangan
risau. Nanti aku akan ubah kau menjadi orang lain! Haa.. aku akan renovate kan
sikit muka kau tu.. kau jangan risau!” kata Nida dengan penuh semangat. Masa
untuk menunjukkan bakat terpendam ni!
“Betul kau boleh buat?”
Fisya mengangguk laju.
“Si Kamal ni pulak macam mana?”
tanya Makcik Sue dengan tiba-tiba. Dia teringat akan Arlisa. Yang dicari Arlisa
tapi yang dijumpa Arissa. Aduhai!
“Kamal tu… tak pa, tak pa.. Malam ni
saya janji akan contact kawan saya tu,” kata Nida dengan nada bersungguh.
****
MALAM
menjengah dengan cuaca yang lebih tenang. Namun ia tidak setenang hati Puan
Murni yang seperti dilanggar garuda. Anak perempuannya Fida masih belum pulang.
Dari pagi tadi, sehinggalah malam yang tidak lama lagi bakal menjelang satu
pagi, Fida masih belum pulang.
Puan Murni mudar-mandir di ruang
tamu. Matanya tidak boleh lelap selagi Fida belum pulang. Sudahlah itu seorang
saja bunga di antara kumbang, bunga itu jualah yang mengharumkan malah bunga
itu jualah yang penuh berduri. Puan Murni runsing memikirkan Fida. Kemanakah
mungkin puteri kesayangannya ini pergi?
Arlisa yang berada di biliknya juga
masih belum tidur. Dia semenjak tinggal di rumah besar ini, memang tidak dapat
tidur dengan nyenyak. Semuanya kerana Adam. Ia kadang-kadang menjadi igauan
dalam mimpi-mimpinya. Dia takut jikalau Adam menyelinap masuk ke dalam biliknya
walaupun sudah berkunci. Sampai bila lagi dia harus bertahan dalam situasi ini?
Dia sendiri tidak tahu. Apa yang dia ketahui sekarang ialah dia sedang mendera
jiwa dan hati seorang lelaki yang sedang mendambakan cinta seorang isteri.
Sungguh bersalah dirinya ini. Tapi apakan daya. Dia tidak mampu melakukan
apa-apa kecuali berdoa semoga perkara ini berakhir secepat mungkin. Jangka masa
setahun itu terlalu lama untuk dia lalui keseorangan.
Arlisa yang tidak dapat melelapkan
matanya bercadang untuk turun ke dapur. Namun apabila dia sampai di tingkat
bawah, kelihatan ruang tamu masih bercahaya. Lalu dia menapak ke sana.
Kelihatan Puan Murni sedang mundar-mandir dalam kegelisahan.
“Mama.. kenapa tak tidur lagi?”
tegur Arlisa perlahan. Dia tidak mahu mengejutkan wanita separa umur itu.
Puan Murni berpaling. Ternyata ia
adalah si penyamar itu. “Oh Arissa? Kamu pun tak tidur lagi?” Soalan itu
berbalik semula kepada Arlisa.
“Belum.. saya dahaga. Turun minum
air sekejap.”
“Adam dah tidur?” tanya Puan Murni.
Dia tetap bertanya walaupun dia mengagak mereka pasti tidak tidur sebilik.
Arlisa tergaru-garu kepalanya. “Ahh
dah rasanya…” Dia kemudian menundukkan kepalanya memandang corak di carpet yang
kelihatan lebih menarik dari persoalan Puan Murni tadi.
“Ohh..” Puan Murni merasakan
telahannya benar. Perempuan ini sangat berhati-hati dalam menjaga
perhubungannya dengan Adam. Puan Murni dalam masa yang sama merasakan dia
sedang menghalalkan sesuatu yang haram. Astaghfirullah!
“Mama sebenarnya buat apa
malam-malam kat sini?” Arlisa cuba mengalihkan topik perbualan. Dia tidak mahu
Puan Murni berterusan bertanyakan dia mengenai Adam.
“Tunggu Fida.. tak balik-balik lagi
ni.” Puan Murni mengeluh panjang. Kelihatan kerisauan pada nada pertuturannya.
“Dia tak balik lagi? Dia masih
marahkan saya agaknya,” kata Arlisa sambil mengetap bibirnya. Dia tahu Fida
benci benar dengan dia.
“Kamu tak bersalah.. dia tu.. memang
macam tu. Susah nak mengawal perasaan dia. Kalau dia tak suka, dia akan
membenci sampai mati. Sebab tu dia tak kawin-kawin.” Puan Murni berkalih ke
jendela. Dia kemudian mengalihkan langsir meninjau keadaan di luar. Mana tahu,
Fida sudah pulang.
“Sebab tu dia tak kawin?” Arlisa
semakin berminat untuk mengenali diri Fida. Mungkin dia dapat membantu.
“Dulu dia ada cintakan seorang
lelaki ini..” kata Puan Murni sambil memaniskan wajah. “Tapi.. dia orang putus
cinta. Sejak dari tu.. dia dah tak mahu bercinta lagi.. Dan! Menghindarkan
dirinya dari cinta!” kata Puan Murni lagi sambil bertukar emosi menjadi
melankolik.
“Ohh begitu… jangan risaulah ye
Mama.. Insya Allah, nanti dia baliklah tu. Jom kita tidur dulu. Nanti mama
sakit, lagi susah tau.” Arlisa mendekat dirinya dengan Puan Murni. Tangannya
yang masih berbalut itu mengusap bahu Puan Murni. Lalu dipimpinnya wanita itu
ke kamar wanita tersebut.
Di hadapan pintu bilik, Puan Murni
memberhentikan langkahnya. Dia memegang wajah Arlisa dengan kedua-dua telapak
tangannya.
“Terima kasih, Arissa,” ucap Puan
Murni dengan seleret senyuman. Lalu dia masuk ke biliknya meninggalkan Arlisa
keseorangan di hadapan pintu.
Arlisa bingung seketika dengan sikap
Puan Murni. Dahulu Puan Murni amat membenci dirinya, sekarang Puan Murni
seakan-akan sayang akan dirinya. Manusia berubah, begitu juga dirinya.
****
FISYA
memperbetulkan rambut palsu yang melekap di kepala Nida. Rambut tersebut pendek
dan mengembung serta berwarna hitam. Kemudian diberinya Nida cermin mata
bersegi empat dengan bingkainya berwarna hitam untuk dipakai. Kalau sekilas
pandangan, Nida kelihatan seperti ‘Ugly Betty’ dengan baju kurung polos yang
bercorak bunga-bunga kecil ala-ala vintage.
“Oh my god! Renovation aku menjadi!”
kata Fisya sambil mengipas-ngipas wajahnya dengan tangan kiri.
“Kau ingat aku rumah!
Renovate-renovate! Dah okey dah kan? Makcik Sue macam mana?” kata Nida sambil
berkali ke kerusi belakang kereta Perodua Kancil itu.
“Ahaha.. Macam Ugly Betty dah aku tengok.”
Makcik Sue terkekek-kekek tertawakan Nida. Macam pelawak dah!
“Makcik Sue ni….” Nida mencebik. Dia
merasakan dirinya bagaikan ‘clown’.
“Dah-dah.. dekat pukul 9 pagi ni..
cepat keluar. Nanti lift tu penuh.” Fisya menolak-nolak badan Nida untuk
keluar. Kemudian Fisya turun dari kereta dan bukakkan pintu untuk Nida.
“Okey.. okey aku keluar ni..” Nida
menelan air liur. Kuatkan semangat Nida! Kuatkan semangat. Dia kemudian menapak
beberapa langkah ke hadapan.
“Good luck!” jerit Fisya dari
belakang.
Nida memasuki ruang legar antara
bangunan fesyen yang terbesar di Malaysia ini. Dia melihat kawasan sekitarnya.
Ramai sungguh orang yang pelik-pelik. Fesyennya pun pelik-pelik. Seksi meksi
bagai. Terbelah sana, terbelah sini. Seram! Lalu dia melurukan perjalanannya ke
arah lif yang kelihatan mulai sesak.
Nida bersama staf-staf disekeliling
menunggu lif. Kemudian setelah beberapa lama menunggu, orang-orang disekitarnya
secara tiba-tiba beralih ke tepi seakan-akan memberi laluan kepada seseorang.
Dia berkalih dan melihat seorang lelaki kacak bercermin mata hitam bersama
pasangannya yang cantik lagi jelita iaitu sudah semestinya orang yang dicari-cari,
Arissa.
Arlisa bercemin mata hitam dan
berbaju dress peach berlengan panjang. Dia sengaja memakai lengan panjang pada
hari ini supaya kecelaan akibat terkena air panas dapat ditutupi. Nida cuba
untuk mendekatkan dirinya bersama pasangan tersebut. Dia ingin melihat wanita
yang dianggap Arissa itu dari dekat.
Fizikal wanita ini serupa. Sama ada
Arlisa ataupun Arissa, sama saja. Tiada sedikit beza pun. Kali ini dia cuba
pula untuk memicing telinga, mendengar perbualan kedua pasangan itu. Tidak
sempat hendak berbuat apa-apa tiba-tiba lif yang ditunggu-tunggu sudah
meluahkan isinya dan menanti isi baru untuk dimasuki. TING! Semua orang
bergegas masuk ke dalam. Namun mereka tetap memberi penghormatan kepada Encik
Adam dan Puan Arissa untuk menaiki lif tersebut dahulu.
Manakala Nida cuba menyelitkan
dirinya dalam situasi tersebut. Walaupun terpaksa berkusuk-kasak bersama
staf-staf lain, dia harus juga memasuki lif tersebut bersama Arissa dan
suaminya, Adam. Perilaku Nida menimbulkan amarah beberapa staf wanita. Mereka
memerli dengan nada perlahan. Namun Nida tidak mengendahkannya kerana dia telah
berjaya berada di dalam lif!
Nida cuba untuk memicing telinga
sekali lagi untuk mendengarkan perbualan pasangan yang disangka suami isteri
ini.
Arlisa menatap wajah Adam dengan
serius. Dia cuba untuk mengatur kata-kata. Adam pula kelihatan tegang dengan
situasi lif yang agak padat.
“Adam.. kenapa you batalkan meeting
semalam?” tanya Arlisa perlahan.
“You tak ade, jadi I tak boleh nak
handle meeting. Lagi pun semua orang macam tak ada idea yang brilliant je untuk
our festival fashion tu..” Adam menjawab dengan nada acuh tidak acuh.
“Kan I dah cakap semalam…”
Kata-kata Arlisa dipintas. “Yes I
know.. lagi pun kejap lagi je kan meeting.”
TING! Lif berbunyi dan beberapa
manusia keluar dari isi perut lif. Yang tinggal cuma Arlisa, Adam, dua orang
staf dan Nida.
“You risau kan Fida sebab tak
balik-balik lagi?” Arlisa menduga. Memang Adam tampak risau dari malam tadi
lagi, lantas lelaki itu masuk awal ke bilik miliknya.
“Yeah..” Adam membalas soalan Arlisa sambil
menundukkan wajahnya.
“Semua ni salah I kan?” Arlisa
merasakan dirinya yang harus dipersalahkan. Kalau bukan kerananya Fida tidak
akan jadi begini.
TING! Sekali lagi lif memuntahkan
isinya. Dua orang staf keluar. Kini tinggal Nida, Arlisa dan Adam. Nida menelan
air liurnya. Dia tidak tahu di tingkat berapa dia harus turun. Dia juga takut
Arissa akan mengecam wajahnya.
Adam pula tidak membalas pertanyaan
Arlisa. Sesekali dia merasakan tindakannya mengahwini Arissa memang suatu
kesalahan besar. Dia meletakkan keluarganya di bahagian yang paling bawah
semasa dia membuat keputusan untuk mengahwini Arissa. Kini padahnya, dia yang
terima.
Arlisa mengerling ke belakang lif.
Dia melihat Nida dengan wajah penuh curiga. Kemudian memalingkan wajahnya
semula ke hadapan. Silap aras ke budak ni? Muka macam familiar..
Arlisa berkalih semula wajahnya ke
belakang. “Cik ni dah sesat ke?”
Nida menelan air liurnya. Ya Allah!
Dia bercakap dengan aku. Lemah lembut macam Arlisa!
“Ahh saya.. saya..” Nida
menggaru-garu kepalanya. Aduhai! Nak jawab apa ni?
“Cari kerja ke?” Arlisa menggaris
senyuman ringkas.
“Iya! Saya sebenarnya nak minta
kerja.” Nida cepat-cepat mengiyakan kata Arlisa untuk mengelak dirinya
disyakwasangka.
“Okey then, awak ikut saya lah,”
kata Arlisa yang sempat mengerling ke arah Adam. Lelaki itu tiada reaksi.
Sesuatu yang kurang Arlisa gemari, Adam seorang yang sombong apabila berhadapan
dengan orang yang tidak setaraf dengan dirinya.
TING! Lif terbuka dan ketiga-tiga
mereka keluar dari perut lif tersebut. Arlisa mengisyaratkan Adam untuk ke
bilik mesyuarat dahulu manakala dia akan menyusul nanti. Nida pula mengekori
Arlisa hingga ke meja Vivian, sekretari Adam.
“Vivian, you tolong tengokkan kalau
ada kerja kosong lagi untuk Cik ni..” Kemudian Arlisa berkalih kepada Nida.
“Kerja apa pun awak tak kisah kan?” tanya Arlisa dengan berhati-hati.
“Saya okey je!” kata Nida sambil
berseloroh.
“Okey kalau macam tu kita jumpa
lagi,” kata Arlisa sambil mengorak langkah pantas ke bilik mesyuarat.
Nida tenganga melihat tingkah laku
Arissa yang tidak langsung sama dengan apa yang digambarkan Fisya. Berbeza
sungguh! Ternyata kalau inilah Arissa, memang kakak rakan baiknya ini telah
berubah. Tetapi kalau wanita ini Arlisa kelihatan lebih logik sebenarnya. Hal
ini kerana memang begitulah sifat Arlisa dari azali.
“Cik… jom ikut saya,” kata Vivian
yang mematikan lamunan Nida secara tiba-tiba.
****