Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,314
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Bab 4

HARI itu hari Sabtu dan Arlisa bekerja separuh hari. Namun dia belum pulang kerana dia telah berjanji dengan rakannya Nida untuk ke Queensbay, berjalan-jalan melepaskan stress setelah hampir seminggu bekerja. Manakala Makcik Sue pula ke Seberang Perai. Katanya hendak bertemu dengan kawan lama di Kepala Batas sampai hari Ahad ini. Jadi tinggallah Arlisa seorang di rumah. Dia tidak berapa kisah tinggal berseorangan kerana dia sudah terbiasa. Sejak ketiadaan Arissa, dia sudah banyak berdikari.

Arlisa sampai rumah dalam pukul 5 petang. Sesampai sahaja di pintu pagar rumah, dia terlihat mangga rumahnya tidak berkunci. Arlisa jadi sedikit panik. Tidak menghiraukan keadaan pintu tersebut dia terus menuju ke pintu utama rumah. Tombol dipusing dengan mudah menandakan pintu itu juga tidak berkunci. Hatinya berasa sedikit gundah. Mungkinkah rumahnya telah dirompak?

Arlisa memandang keadaan sekeliling rumah. Semuanya seperti biasa. Tiada ciri-ciri seperti rumah sudah dirompak. Barangan dalam rumah Makcik Sue masih tersusun rapi. Namun hatinya tetap juga masih berdebar-debar. Tak mungkin Makcik Sue lupa hendak mengunci rumah. Wanita itu adalah seorang yang sangat mementingkan keselamatan. Kalau ada sedikit bunyi pun di dapur pasti dia akan terus ke bawah untuk memeriksa keadaan. Sedang Arlisa dibuai rasional dalam pemikirannya sendiri, datang seorang wanita dari belakang menegurnya.

“Lambat kau balik?” suara lunak tersebut berkata-kata.

Arlisa berpaling. Hampir-hampir nak luruh jantung Arlisa melihat sekujur tubuh di hadapannya. Wanita yang berskirt merah dan dipadankan dengan blouse hitam serta berkasut tumit tinggi berwarna merah darah ini sungguh dikenalinya. Melihat wanita ini adalah seperti melihat dirinya di dalam cermin. Cuma yang membezakannya ialah solekan di wajah wanita di hadapannya ini. Berlipstik merah pekat, memakai bulu mata palsu dan berpipi merah tebal. Wanita itu tersenyum sumbing padanya.

“Bila kau balik? Kenapa.. kau tak cakap nak balik Arissa?” Arlisa sedikit gagap dan terpana melihat keadaan kakaknya. Arissa kelihatan begitu bergaya.

“Alahai! Aku nak balik pun kena bagi tahu kau ke? Nasib baik aku simpan lagi kunci ni..” Arissa menayangkan kunci rumah miliknya. Dia kemudiannya duduk di salah satu sofa yang tidak begitu empuk itu. Sofa yang sama semasa dia berada di situ dua tahun lalu.

“Aku rindu kau.. Arissa..” Arlisa duduk di sebelah kakaknya dan memeluk wanita itu dari sisi. Arissa mula mempamerkan wajah yang menjengkelkan. Dia berasa lemas dengan tindakan Arlisa lalu bangun dari sofa tersebut.

“Ya.. ya aku tahu.” Arissa menjeling.

“Kau sihat? Kau nak aku masak apa-apa kat kau Rissa?” tanya Arlisa. Airmata si adik sedikit bergenang. Dia berasa gembira dengan kembalinya Arissa di sini bersamanya.

“Hmm.. aku tak nak kau masaklah. Aku nak kau beli nanti kat luar. Tapi bukan sekarang.” Sekali lagi mimik muka menjengkelkan itu ditonjolkan. Arissa sudah jadi geli dengan keadaan sekeliling. Euww! Habuk sana sini. Macam mana dia orang ni hidup?

“Oh… Okey.. Kau duduk mana sekarang? Kau..” Mata Arlisa tertancap pada cincin yang dipakai Arissa. Cincin kahwin?

“Kau tengok ni?” Arissa mengangkat tangan kanannya lalu menayangkan cincin tersebut pada Arlisa.

“Cantik..” puji Arlisa. Dia terpegun melihat cincin emas bertatahkan permata yang berkilau-kilau itu.

“Ni suami aku yang bagi.. cincin kahwin aku.”

“Kau dah kawin?” Arlisa sekali lagi terpana.

“Ya.. kau nak tengok gambar suami aku dan anak aku? Nah ambil ni.” Arissa memberi iPhone 4snya kepada Arlisa. Tertera gambar Adam dan Ameera tertancap di skrin. Adam seperti biasa kelihatan kacak dengan janggut dan misai yang dicukur rapi. Manakala Ameera, kanak-kanak berusia empat tahun itu kelihatan begitu comel bermeksi kuning.

“Ini anak kau? Comelnya dia. Suami kau pun hensem,” Arlisa memuji bersungguh-sungguh. Untunglah kau Arissa! Harap-harap aku juga akan bahagia macam kau, Arissa. Insya Allah, adalah jodohku nanti di mana-mana…

“Dah jangan tengok lama-lama,” Arissa merentap telefon tersebut dari tangan Arlisa. Kemudian dilap-lapnya beberapa kali. Kotor terkena cap jari tangan Arlisa.

“Budak tadi tu nama dia Ameera. Dia anak suami aku dengan isterinya sebelum ni. Suami aku namanya Adam. Adam Farhan.” Arissa menjelaskan beberapa butir mengenai keluarganya dengan nada serius.

“Kenapa kau tak bawak dia orang datang sekali?” Kejujuran terserlah melalui nada suara Arlisa. Dia ingin juga berkenalan dengan mereka.

“Eh? Kau ingat dia orang semua tu boleh ke duduk kat umah kau yang macam ni? Suami aku tu orang kaya.. Dia tak suka semua ni. Lagi pun, aku tak pernah cerita pasal kau dengan dia orang semua,” jawab Arlisa dengan penuh keangkuhan. Kau ingat kau siapa nak bawa suami aku kenalkan dengan kau?

“Ohh ye lah kan.. Kenapa kau tak cakap nak datang awal? Boleh aku cakap dengan Mak Sue. Dia mesti masak sedap-sedap kat kau.” Arlisa masih mampu lagi tersenyum. Sindiran Arissa tidak menjadi kudis di hatinya. Itu perangai Arissa, biarkan jelah. Aku pun dah terbiasa.

“Ehhh.. perempuan tu tak ada lagi bagus! Aku tak suka dia. Lagipun esok aku nak balik dah. Tiket pun dah beli. Aku datang ni sebenarnya ada hal.” Arissa tiba-tiba bangun dari sofa.

“Hal ape?” tanya Arlisa.

“Aku sebenarnya nak mintak tolong dengan kau..”

“Tolong? Kau cakap je la ape.. Insya Allah aku tolong.”

“Kita cakap nanti malam lah. Sekarang aku bagi kau duit, kau keluar pegi beli makanan favorite aku. Pasembor! Cepat!” Arissa mengeluarkan RM50 dari beg tangan Gucci seraya diberikan kepada Arlisa. Arlisa berkerut melihat nilai wang yang diberikan Arissa. Memang dia orang berada sekarang. Tak macam dulu. Tapi aku senang melihat kau Arissa.

Namun dalam senyum tawa Arissa, dia sudah ada pelan baik untuk dirinya dan Arlisa. Mungkin sesuatu yang tidak terjangkau oleh imaginasi Arlisa dan juga dirinya bakal berlaku nanti tanpa Arissa sendiri sedari.

****

FIDA menuruni tangga dan terus ke ruang makan. Hari ini hari yang paling indah buat dirinya. Arissa tiada di rumah! Weehoo! Jadi tak payahlah dia berkurung di dalam bilik sepanjang masa dek kerana tidak mahu bertembung langsung dengan kakak iparnya itu. Wanita itu menjengkelkan! Tiada satu perkara pun mengenai wanita itu yang dia sukai. Perempuan kelab malam memang macam itu. Dia tidak tahulah bagaimana Adam boleh jatuh hati dengan Arissa.

Fida duduk menanti makanan disediakan. Ameera anak perempuan Adam juga di situ kecuali Adam dan ibunya, Puan Murni yang sering berkurung di dalam bilik. Sudah malas dia nak memujuk ibunya lagi. Kalau masuk bilik mama silap waktu, mahu saja kena tengking percuma. Kali ini dia bercadang untuk menyuruh Adam pergi memujuk Puan Murni turun. Mungkin kali ini mamanya mendengar, siapa tahu?

Ameera menolak-menolak pinggan di hadapannya sambil bermain dengan sudu dan garpu yang tersusun rapi di atas meja. Pelbagai bunyi dikeluarkannya akibat ketukan di pinggan kosong tersebut. TANG TONG TING! Buat kepala Fida pening. Akhirnya dia bersuara.

“Ameera! Diam sikit boleh tak?!” Fida sudah naik angin. Budak ini memang dari dulu kurang diajar. Sudahlah ada mak tiri yang sibuk dengan dunianya sendiri saja. Ayahnya pula dah mabuk kepayang dengan isteri baru. Anak terbiar macam tak ada ibubapa. Kasihan!

“Acik Fida ni sibuk je!” Ameera mula memberontak.

“Eh eh eh.. aku pulak yang sibuk. Mak Jah! Mak Jah! Tengokkan budak ni! Saya tak tahan dah dia asyik berpong pang pong pang main sudu garpu ni!” Fida mengarah Mak Jah supaya tengokkan perangai Ameera. Makin menjadi-jadi budak ni! Tensionlah!

“Baik cik!” Mak Jah dengan serta merta mengangkat Ameera turun dari kerusi dan membawa budak tersebut masuk ke dapur.

Mendengarkan jerita Fida sebentar tadi, Adam terkocah-kacah turun ke ruang makan. Dia menggelengkan kepala melihat tingkah laku Fida terhadap anaknya.

“Fida? Apa ni?” tanya Adam Farhan.

“You dengan isteri you tu memang tak reti jaga anak! Memekak je budak tu memanjang,” Fida merungut.

“Amboi sedapnya mulut you..”

“Betullah kan I cakap? Mana isteri kesayangan you tu? Sibuk bercuti je? Aman dunia dia tak ada,” tempelak Fida.

“Dia ada pun kau bising. Dia tak ada pun kau bising…” Adam menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia sudah pening dengan masalah dalam rumah ini.

“Adam, I pun tak suka tau nak bercakap sangat pasal dia. Ni, mama tak turun?”

“Tak.”

“You tengokkanlah dia. Lagi pun you bukannya ada isteri nak entertain bagai.” Fida sekali lagi menyindir. Biar kau sedar sikit!

“Apa kata you yang tengokkan?” Adam menghela nafas panjang. Dia malas nak bergerak ke atas kembali. Lagipun sikap Puan Murni tak menentu. Dia tidak mahu kena makian secara percuma.

“Lepas tu I pulak yang kena? Its your turn Adam!” protes Fida.

“Biar Mak Jah yang tengokkan,” putus Adam. Baginya hanya Mak Jah yang memahami Puan Murni.

Mak Jah yang mendengar perbualan kedua-dua adik beradik itu dari dapur hanya menggelengkan kepala. Betullah cakap orang tua-tua dahulu. Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak. Namun 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

****

JAM tepat pukul 9.30 malam. Arlisa sudah siap membeli pasembor yang diinginkan Arissa. Nasib baik tadi masih ada bas untuk pulang. Kalau tidak, penatlah dia harus berjalan kaki pulang ke rumah.

Arlisa berjalan memasuki rumah dengan hati senang. Hari ini dia dapat meluangkan masa yang lebih bersama kakaknya. Bukan senang nak berjumpa dengan Arissa. Walaupun Arissa sering bersikap angkuh terhadap dirinya, namun dia tidak kisah. Arissa memang begitu dari kecil lagi. Dia juga tidak kisah kalau Arissa mengejek atau membuli dirinya kerana itu sahajalah ahli keluarga yang dia ada selain Makcik Sue. Aku sayang kau, Arissa!

Namun sebaik saja Arlisa menjejakkan kaki ke ruang tamu, dia dapat merasakan keadaan rumah kelihatan pelik. Terdapat beberapa cebisan kaca di atas meja. Kemudian terdapat tompokan merah seperti darah di atas lantai. Hati Arlisa berdebar-debar. Fikirannya beralih kepada bagaimana keadaan Arissa sekarang dan di mana dia berada.

Setapak demi setapak kaki Arlisa melangkah. Kemudian dia terlihat sepasang telapak kaki milik manusia terlunjur di belakang meja makan di bahagian dapur. Jantungnya berdegup makin kencang. Ya Allah! Harap-harap itu bukan Arissa dan ia adalah sekadar khayalannya semata-mata.

Makin dia dekat dengan sekujur tubuh itu, makin kuat perasaannya mengatakan bahawa itu adalah Arissa. Dia tidak mahu mempercayainya dan berharap ini adalah mimpi ngeri dalam hidupnya. Bangunlah Arlisa dari tidurmu! Bangun!

Sekujur tubuh itu kelihatan jelas sekarang. Wanita berskirt merah dan berblouse hitam. Terdapat sedikit tompokan darah di mulut dan dahinya. Arlisa melutut dan tergamam. Ia adalah Arissa!

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.