Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,305
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1

ARLISA menanggalkan apron yang dipakainya. Kemudian, dia menyidai kain buruk yang digunakan untuk mengelap meja di dapur kedai kek tersebut. Sebelum melangkah keluar dari kedai kek yang menjadi tempat kerjanya hampir dua bulan yang lalu, Arlisa sempat melayang-layangkan lipstik nipis pada bibir mungilnya. Pintu kedai dikuak buka dan dia meninggalkan kedai tersebut. Shifnya sampai pukul 4 petang sahaja. Manakala yang selebihnya akan disambung Nida, rakan baiknya.

Beginilah rutin seharian Arlisa. Bekerja di kedai kek Crown Pastries dari seawal jam 8 pagi sehingga 4 petang. Masa yang selebihnya akan digunakan untuk berjumpa si jantung hati yang bernama Kamal. Kadang-kadang dia akan pulang terus ke rumah jikalau tiada temujanji bersama Kamal. Di rumah, Arlisa tinggal bersama Makcik Sue. Ibu bapanya sudah lama meninggal dunia akibat kemalangan semasa dia dan kakaknya baru berumur lima tahun.

Kakak? Ya dia punya seorang kakak. Kakak kembar. Wajah mereka hampir 99.9% sama. Cuma apa yang membezakan mereka adalah sikap masing-masing. Arlisa adalah gadis yang sedikit lembut berbanding Arissa yang kasar tingkah lakunya. Namun hampir sudah dua tahun dia tidak berjumpa dengan Arissa. Entah kemana kakaknya itu pergi.

Arlisa meneruskan perjalanannya sehingga dia sampai di sebuah stesen bas yang berhampiran. Di sinilah dia dan Kamal selalu bertemu. Hari ini Kamal ada mengatakan kepadanya bahawa ada perkara yang ingin dibincangkan. Harap-haraplah dia akan mengajak aku berkahwin. Sudah lama cinta berputik namun bilanya hendak bersatu? Hanya tuhan sahaja yang tahu debar di hati ini.

Dia duduk di kerusi panjang khas yang disediakan di stesen bas tersebut. Terdapat banyak kereta yang masih melalui Jalan Greenlane ini. Mungkin kerana esok hari Sabtu, jadi ramai yang hendak pulang awal dan ada pula yang mungkin bercadang untuk keluar dari Pulau Mutiara ini untuk bercuti pada hujung minggu. Sedang Arlisa melayan perasaan dengan keadaan sekeliling, telefon bimbitnya bergetar perlahan menandakan peti mesej diisi. Arlisa menatap telefon bimbit Nokia 3310nya dengan hati berdebar. Mesej dibuka dan dibaca.

“Awak dah ada di situ?”

Arlisa melepaskan keluhan panjang. Kamal rupanya. Dia termenung seketika. Kenapa sebenarnya dengan Kamal ini?

****

ADAM mundar mandir. Sudah hampir setengah jam dia menunggu. Apa yang lama sangat ini? Berdandan apa hampir dekat sejam? Kalau tak kerana cinta memang tidaklah dia menunggu.

Cinta. Cinta inilah yang hampir-hampir menghancurkan dirinya sendiri. Entah apa yang ada pada wanita ini. Sesuatu yang sangat istimewa sehingga dia tak mungkin boleh melepaskannya walaupun seluruh dunia membenci wanita ini.

Adam Farhan menatap jam tangan Bell and Ross miliknya sekali lagi. Tepat jam 4.30 petang. Dia mengeluh. Kemudian mindanya terbang mengingatkan suatu peristiwa yang telah berlaku hampir setahun yang lalu.

****

Imbas Kembali

“PEREMPUAN tu yang kau nak kahwin?” tanya Puan Murni kepada Adam dengan wajah yang serius.

Bagi Puan Murni, anak lelakinya itu sudah mabuk kepayang. Jatuh cinta dengan pekerja kelab malam. Entah mana-mana asal perempuan itu. Kemudian nak dijadikan isteri. Bolehkah dia menjaga Ameera, cucunya? Bolehkah perempuan itu menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka yang mewah ini?

“Ma.. kalau ma tengok dari segi hartanya, memang dia tiada apa-apa. Tapi dia miliki hati saya. Dan saya memang cintakan dia,”. Mata Adam telah dibutakan oleh kecantikan wanita tersebut. Memang betul kata Puan Murni, anaknya ini memang sudah mabuk kepayang bercinta dengan si pelayan kelab malam itu.

“Kau ni Adam dah gila.. mabukkan perempuan tu! Kau rasa dia boleh jaga anak kau? Dia boleh jadi ibu yang baik untuk Ameera??”

****

“ADAM?”. Suara lunak seorang wanita yang memanggilnya dari belakang telah mengejutkan Adam dari lamunan.

Adam memalingkan kepalanya ke arah suara tersebut. Seorang wanita yang memakai maxi hitam paras lutut tersenyum sipi. Bentuk wajahnya hampir seratus peratus sama dengan Arlisa. Cuma yang membezakannya adalah mekap dan lipstick merah menyala yang melekat di bibirnya. Dialah wanita yang menjadi kegilaan Adam. Dia Arissa.

****

“ARLISA.. saya harap perkara yang saya ingin katakan kepada awak ini sesuatu yang awak akan menerima dengan hati yang terbuka…”

Kamal menunduk pemandangan ke lantai. Hari sudah semakin gelap. Awan hitam bergumpalan tanda hujan bakal turun tidak lama lagi. Lebat mungkin, berserta ribut kalau tidak bernasib baik. Namun siapa tahu ribut di hati pasangan kekasih ini nanti?

“Kamal? Awak nampak serius.. kenapa ni?” Arlisa mula tidak senang duduk. Kamal tidak selalunya begini.

“Arlisa, saya akan ke KL esok.”

“Ke KL? Awak dapat kerja baru ke?” Wajah Arlisa yang berkerut itu mulai tersenyum.

“Bukan.” Hanya sepatah jawapan Kamal. Lelaki itu mula bermain-main dengan jarinya lalu tangan dimasukkan ke dalam poket.

“Lepas tu? Awak pergi KL untuk apa?” Dada Arlisa berdegup kencang. Ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya… kita putus!” Kamal berpaling dan terus berjalan laju. Guruh dilangit mula berdentum kuat. Arlisa pula masih lagi tercengang dengan kata-kata yang baru diucapkan Kamal tadi.

“Kamal.. apa semua ni?” Arlisa berlari mengekori Kamal. Dia merasakan dirinya seperti masih berhalusinasi. Semuanya kelihatan seperti dalam mimpi ngeri.

“Tolong jangan ikut saya lagi Lisa. Lupakan saya! Saya tak cintakan awak.” Kamal berlari menyeberangi jalan. Dia tidak mahu Arlisa mengekorinya lagi. Sudah-sudahlah. Gadis ini tidak diperlukannya lagi. Gadis ini cuma gadis mentah yang tidak punya apa-apa berbanding Sofea. Ya, Sofea yang jauh lebih jelita dan berwang.

Hujan rintik-rintik mulai turun, kemudian bertukar lebat. Arlisa masih lagi terpempan dengan tindakan Kamal. Dia masih berdiri kaku di stesen bas tersebut. Air matanya lebat mengalir seperti hujan yang sedang mencurah-curah turun ini. Apalah nasibnya sehingga diperlakukan sebegini rupa. Mengapa dia ditinggalkan?

****

ADAM dan Arissa turun dari tangga sambil berpautan tangan. Arissa sempat memperbetulkan rambutnya yang pendek hingga ke paras bahu. Kalau dibandingkan dengan Arlisa, wanita itu mempunyai rambut yang lebih panjang iaitu hingga ke paras dada. Pergerakan badan Arissa kelihatan lebih tajam dan mengghairahkan. Dia wanita yang lebih mementingkan gaya dan kecantikan. Bagi Arissa, mekap adalah set utama dalam kehidupan. Tanpa mekap dunianya tidak bernyawa. Dia lebih rela berkurung di dalam bilik dari keluar menikmati udara segar.

Pasangan suami isteri itu turun ke ruang tamu dan bertembung dengan Fida, adik kepada Adam yang sedang ralit membaca majalah. Sebaik saja mendengarkan derap tapak kaki suami isteri itu, Fida menurunkan majalah Her World yang dibacanya. Lalu dipandang sipi-sipi susuk tubuh Arissa dengan penuh kebencian. Wanita perosak. Abang aku menjadi dungu sejak berkahwin dengan kau!

“Fida.. you tak keluar ke?” Arissa menegur Fida yang curi-curi memandang dirinya.

“Oh! Are you talking to me?” Fida buat-buat terkejut dengan panggilan Arissa. Kemudian dia meneruskan pembacaannya.

“Oh.. I see. I rasa macam I bercakap dengan temboklah sayang…” Arissa berkalih kepada Adam. Adam cuma menggelengkan kepala. Bukan sekali benda ini terjadi.

“Hah? Tembok? Kalau I jadi tembok tu, tak ingin I nak bercakap dengan you!” Fida bingkas bangun dan terus mendaki tangga naik ke atas biliknya. Kalau dilayan boleh jadi bertumbuk nanti.

“You tengok perangai adik you? Sekarang ni you nak salahkan siapa, kalau I tampar muka dia hari tu?” Arissa menjeling tajam. Kemudian dia terus melangkah keluar dari ruang tamu rumah. Manakala Adam pula masih memicit-micit dahinya. Boleh gila kalau tiap-tiap hari macam ini.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.