CERPEN : JULIET
Aidan
ligat berlari mengejar kelibat hitam di hadapannya. Peluh mulai merindik di
dahi dan jantungnya berdegup kencang dari kebiasaan. Penjenayah yang dikejarnya
ini sangat licik. Tak kurang juga pantas berlari. Pasti seorang jaguhan semasa
di zaman sekolahnya. Sesaat dia terasa tidak terhambat dengan kelajuan si
penjenayah ini. Namun disebabkan dia seorang anggota polis yang
bertanggungjawab, si pencopek wang orang tua di jalanan tadi harus diberkas!
Hambatan Aidan terhadap penjenayah
itu membawa ke satu lorong yang hujungnya diakhiri pagar besi yang
berketinggian tujuh kaki. Lelaki yang dikejarnya memanjat pagar besi tersebut dengan
lincah. Hanya dengan satu lompatan, kedua-dua tangannya tersauk di puncak pagar
dan badannya ditolak naik untuk merangkak turun ke kawasan sebelah sana.
Aidan melepaskan tembakan dari
pistol elektronnya. Tujahan elektrik yang beribu-ribu kilowatt itu tidak
mengenai tubuh penjenayah.
“Cis! Tak guna!” rungut Aidan. Dia ikut
memanjat pagar besi tersebut. Walaubagaimana cara sekalipun, dia harus
menumpaskan lelaki itu.
Kelibat
si penjenayah semakin menjauh. Aidan mula merasakan urat-urat dan tulang
temulang badannya lenguh-lenguh. Jarang sekali dia berlari sejauh ini. Anggota
polis di Putrapolitan selalu dimanjakan. Hal ini kerana kes-kes kecurian dan
menyamun jarang sekali berlaku di bandar ini. Hampir 99% dari penduduknya
adalah orang yang berkedudukan tinggi.
Prap!
Muncul seorang lagi kelibat menggelecek dari celah kanan bangunan dan sekaligus
membuat tendangan sudut ke penjenayah yang sedang dikejar Aidan. Seterusnya, kelibat
manusia kedua itu menendang perut si penjenayah sehingga badannya terlambung ke
dinding bangunan pejabat pos yang berwarna biru.
Tergamam
seketika Aidan melihat kejadian tersebut. Siapa pula yang nak tunjuk hero
mencatas penjenayah yang sepatutnya tumpas di tangannya?
“Hoi!”
sergah Aidan. Dia yang tercungap-cungap berlari mula memerlahankan langkah dan
mendekati kelibat yang telah berjaya menumpaskan penjenayah tadi.
Kelibat
itu mula menampakkan keseluruhan bentuk fizikalnya setelah terkena limpahan
lampu jalan yang kian malap. Lagak gayanya seperti ninja dan wajahnya pula
berhijab. Pakaiannya serba hitam dan disarungkan jubah kembang yang kelihatan seakan-akan
kain pelayang apabila terbang ditolak angin kasar.
“Kau
siapa? Kenapa tendang dia?” soal Aidan tidak puas hati. Wajahnya merah disimbah
amarah. Sebagai seorang pegawai polis yang berpangkat sarjan, dia terasa
tercabar!
Melalui
gerak mata yang dipamerkan manusia di sebalik hijab misteri itu, matanya
kelihatan tersenyum. Ada muslihat yang ingin dimainkannya. Aidan berprasangka
buruk. Manusia zaman kini mahukan imbalan di atas segala pertolongan yang
dihulurkan. Tiada lagi manusia berhati mulia wujud di era ini.
Kelibat
itu hanya berdiam. Membiarkan Aidan mendekatinya.
“Kenapa
diam?” Aidan masih tidak berputus asa bertanya. Pistol elektronnya dikeluarkan.
Manakala anak matanya sempat mengerling ke arah penjenayah yang sudah
terjelepok tidak sedarkan diri di tanah.
Kelibat
misteri itu mula membuka kuda-kuda seni mempertahankan diri. Bersedia untuk
bertempur dengan Aidan jikalau pistol elektron itu ditekan picunya.
Aidan
pantas mengangkat kaki kirinya untuk menujah wajah kelibat itu. Namun belum
sempat kakinya dipanjangkan, kelibat itu dengan pantas melompat dan menendang
tulang belakang Aidan. Seluruh tubuh Aidan terasa kejang dan lumpuh seketika.
Dia terjelepok ke tanah dan mengalami nasib yang sama seperti penjenayah tadi.
Kelibat
itu memalingkan badan Aidan dari meniarap. Bebola mata si kelibat berhijab yang
berwarna perang itu menjadi tumpuan Aidan walaupun pandangannya masih
berpinar-pinar.
“Ingat
namaku. Juliet,” bicara kelibat itu dengan lembut walaupun terselit sedikit
ketegasan pada nadanya. Alunan suara tersebut bergema di telinga Aidan
sehinggalah dia perlahan-lahan terlelap di dalam kesakitan yang dialami.
***
“Id…
Id…”
Nelissa menepuk lengan Aidan. Sudah
hampir seharian Aidan tidak sedarkan diri. Suaminya itu telah dijumpai pengsan
di belakang bangunan pejabat pos Putrapolitan bersama seorang lagi lelaki yang
tidak dikenali.
“Id… bangunlah. Awak dah sehari
tidur macam ni. Saya risaulah,” bisik Nelissa ke telinga Aidan. Dahi suaminya
diurut-urut. Kemudian dikucup lembut.
Nelissa kembali duduk di kerusinya.
Melepaskan keluhan berat. Bibirnya diketap kuat. Bimbang jikalau Aidan tidak sedarkan
dirinya langsung walhal doktor ada mengatakan kepadanya tadi yang keadaan Aidan
tidaklah begitu serius.
“Nely…” Suara serak Aidan mula
berbicara.
“Id! Awak dah jaga!” Nelissa bingkas
bangun dari kerusinya dan memanggil doktor yang bertugas.
Setelah Aidan diperiksa, doktor dan
jururawat meninggalkan mereka berdua bersendirian. Aidan didudukkan dan diberi
minum serta makan oleh Nelissa. Wajahnya yang pucat lesi semasa pengsan tadi
perlahan-lahan berubah menjadi merah dan bertenaga.
“Awak nak makan apa-apa lagi?” soal
Nelissa sambil mengerling ke arah bakul buah-buahan yang berada di atas meja
tepi katil.
Aidan menggeleng. Dia melebarkan
senyumannya sambil menggengam erat telapak tangan Nelissa.
“Awak mesti risaukan?” tanyanya
prihatin.
Nelissa mencebik. Matanya
dijelingkan. “Mestilah! Sebab tu saya tak suka awak jadi polis. Kalau awak tak
sedarkan diri langsung tadi macam mana?”
Aidan ketawa kecil. Rungutan Nelissa
hanyalah kicauan burung di telinga. Dia sudah biasa dengan teguran Nelissa
seperti itu sejak hampir setahun menjadi isterinya.
“Nely, kalau awak nak tahu… jadi
polis kat Putrapolitanlah yang paling tak bahaya tau. Kat sini mana ada
jenayah. Semua orang baik-baik. Kecualilah…” Aidan terdiam dan menelan air
liurnya. Dia tahu Nelissa pasti tidak akan menyukai bicaranya tentang hal itu.
“Kecualilah mereka orang luar
Putrapolitan? Saya dah agak awak akan cakap macam tu. Saya masih kurang setuju!
Awak pun tahu yang saya berasal dari daerah luar Putrapolitan.” Nelissa
menyambung kata-kata Aidan dengan nada yang tidak puas hati. Sudah berkali-kali
mereka berbincang tentang hal ini. Fahaman politik yang berbeza di antara dia
dan suaminya itu selalu menjadi masalah. Sedangkan mereka saling mencintai
antara satu sama lain.
“Awak berbeza.” Aidan menguis hidung
Nelissa.
“Kerajaan
Putra sepatutnya lebih ketat dalam melaksanakan sistem segregasi ni. Orang
berkedudukan tidak boleh hidup dengan mereka berdarjat rendah. Bila rakyat
daerah luar mulai masuk ke Putrapolitan, mereka akan membuat kacau. Contohnya
macam apa yang terjadi semalam. Orang tua pun nak dirompaknya. Lepas tu entah
siapa-siapa dari mana entah dia datang, tiba-tiba saja serang saya. Cuba kalau
saya betul-betul tak sedarkan diri tadi. Macam mana?” sambung Aidan panjang
lebar.
Nelissa
terdiam. Dia tahu bicara Aidan ada benarnya. Namun bandar-bandar lain yang
diluar lingkaran Putrapolitan juga adalah sebahagian dari daerah negara Putra.
Mengapa mereka dilayan seperti rakyat asing? Kemudahan serta pembangunan juga
tidak dijalankan secara menyeluruh. Seluruh harta dan kemewahan negara
dicurahkan ke Putrapolitan selaku bandar utama negara Putra. Manakala rakyat di
daerah lain hidup melarat dan nasib mereka tidak dibela!
“Saya
masih tak bersetuju. Bukan sebab saya berasal dari Ixora Putra, tetapi
disebabkan tindakan pemerintah yang tidak adil. Oleh sebab itulah daerah lain
memberontak. Kita tak boleh terus-terusan membezakan serta memisahkan setiap
daerah mengikut darjat dan kekayaan semata-mata. Maafkan saya,” tingkah
Nelissa. Dia bangun dari kerusi yang didudukinya dan mulai menapak ke pintu
kamar.
Aidan
pula hanya mampu mengeluh. Segala hal mengenai Nelissa adalah yang terbaik dan
tidak dapat ditemuinya pada mana-mana gadis di Putrapolitan yang dianggapnya
murah dan tiada maruah diri lagi. Namun hanya satu hal ini sajalah yang
sentiasa membuatkan dia kurang senang dengan sikap Nelissa. Kadang-kadang Aidan
kehilangan kata-kata dalam bertingkah soal politik bersama Nelissa. Ternyata
isterinya itu bukan saja seorang isteri yang pandai menguruskan hal rumah
tangga tetapi bijak juga dalam melontarkan ideanya.
***
Tepukan
bergemuruh dari dalam La Galleria saat persembahan akrobatik hologram mengenai
pusat membeli belah ini mula ditayangkan. Aidan seperti biasa bertugas sebagai
pengawal peribadi Datuk Megat Shahbudin, Datuk Bandar Putrapolitan yang juga
selaku perasmi La Galleria pada hari ini.
Pusat
membeli belah yang terbesar di negara Putra ini merupakan hasil ilham ahli
perniagaan terkenal, Puan Sri Zalea dan anaknya, Audra. Ia telah menelan
belanja sebanyak 5 billion Ringgit Putra (RP 5 billion) dan siap setelah hampir
dua tahun pembinaan. 90% hasil binaannya pula daripada kaca yang membuatkan ia
100% tembus pandang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang menjadi
tumpuan penduduk bandar Putrapolitan.
Aidan
dan beberapa orang anggota polis berkawal di sekeliling pentas utama. Semenjak
kejadian yang menimpanya hampir tiga hari lalu, kesemua pengawal serta anggota
polis diberi peringatan untuk berjaga-jaga. Takut-takut keselamatan yang telah
mereka genggam hampir sepuluh tahun ini tergugat. Ada juga ura-ura mengatakan
bahawa pengintip dari daerah Ixora Putra sudah menyusup ke Putrapolitan tanpa
mereka sedar. Pengintip-pengintip ini bercadang untuk menumpaskan pemerintahan totalitarian Putra yang mereka kecam sebagai tidak
adil.
“Sebagai
Datuk Bandar Putrapolitan, saya amat berbangga dengan usaha dan kejayaan yang
telah ditonjolkan Puan Sri Zalea dan anaknya, Cik Audra Izani,” ucap Datuk
Megat Shahbudin sambil sempat mengerling ke arah Puan Sri Zalea.
Mereka
berdua berbalas senyuman namun tidak pula pada Audra Izani yang mula meronyokkan
wajah. Datuk Bandar itu ada hati pada ibunya! Oleh sebab itulah projek yang
menelan belanja berbillion ini lulus dengan mudah tanpa kerenah birokrasi.
“Dengan
itu… saya selaku Datuk Bandar Putrapolitan merasmikan La Galleria!”
Datuk
Megat Shahbudin menekan butang pen yang memantulkan laser merah daripada hujung
matanya. Tujahan laser itu mengenai bongkah ais kecil yang diletakkan di tengah
bumbung yang berbentuk kubah. Perlahan-lahan bongkah ais itu mencair dan
pantulan hologramyang membentuk perkataan La Galleria
mulai terkeluar darinya. Seraya pengunjung di dalam pusat membeli belah
tersebut memberi tepukan gemuruh. Teruja melihat kecanggihan serta gimik yang
dipamerkan pada hari pelancaran pusat membeli belah ini.
Puan
Sri Zalea, Audra Izani dan Datuk Megat Shahbudin mulai turun dari pentas.
Mereka bersalaman dengan ahli-ahli korporat serta golongan aristokrat yang dijemput menghadiri majlis pelancaran
ini. Aidan mengiringi mereka bertiga. Pada saat itu juga beberapa anggota polis
di arah berkawal di pintu hadapan La Galleria.
Puff!
Suatu letupan kecil dari kubah bangunan membeli belah ini meletus secara
tiba-tiba. Pengunjung mulai panik. Beberapa botol gas yang melemaskanpula dicampak ke lantai.
Aidan
mendongak ke atas. Kelihatan lima orang lelaki yang berpakaian ala ninja yang
berhijab mulai terjun ke lantai menggunakan tali halus berwarna putih dari
pelbagai arah. Salah seorang darinya memakai jubah hitam seperti kelibat yang
dilihat Aidan tiga hari lalu.
Ketiga-ketiga
orang ahli kehormat yang di bawah jagaan Aidan dibawa keluar dari La Galleria
dengan pantas. Manakala pengunjung lain mulai lari bertempiaran keluar. Ada
yang sesak nafas dan ada juga yang mengambil keputusan untuk menyorok di
celah-celah dinding kaca yang tembus pandang itu kerana terlalu takut untuk bergerak.
Aidan
melepaskan tembakan dari pistol elektronnya ke arah ninja yang berjubah itu.
Tenaga elektrik yang keluar dari muncung pistol itu tersasar lalu mengenai
dinding kaca bangunan La Galleria.
Ninja
berjubah itu mengibaskan kain pelayangnya sehingga mengenai wajah Aidan. Lalu
dada Aidan ditolaknya ke belakang sehingga tubuh Aidan tersandar ke dinding.
Ninja tersebut seterusnya berlari ke arah pintu utama dan mula mengejar tetamu
kehormat yang dikawal oleh beberapa anggota polis untuk masuk ke dalam kenderaan
mereka.
Namun
Aidan bertindak pantas dengan merentap kain pelayang ninja berjubah itu
sehingga tubuhnya terlentang ke lantai. Pistol elektron
diacu dahi ninja durjana itu.
Matanya
si ninja tersenyum. Dia bertempur tanpa sebarang senjata di tangan. Walhal
Aidan serta anggota polis lain mempunyai kelengkapan senjata moden lagi unik
yang dengan mudah mampu menumpaskan mereka. Sungguhpun begitu mereka masih
gagal!
“Juliet?” tutur Aidan perlahan. Dia
tidak jadi untuk menekan picu pistolnya. Namun leher ninja yang disangka
seorang lelaki ini dicekik.
“Kau perempuan kan?” soal Aidan
lagi. Dia tidak berpuas hati.
Pemilik mata yang berwarna perang
ini hanya mengerdipkan matanya tanda mengiyakan persoalan Aidan.
“Kenapa serang kami? Apa yang kau
orang nak?” tengking Aidan. Pistol kembali diacu ke dahi namun dia tidak
berhajat untuk menembak. Baginya wanita adalah insan yang lemah. Mana mungkin
dia menyakiti seorang wanita walaupun wanita itu bertindak untuk
mencederakannya.
Juliet
menatap tepat ke mata Aidan. Ada terselit sedikit hiba pada pandangannya
terhadap anggota polis itu. Aidan juga tidak lepas dari memandang bebola mata
perang milik Juliet. Dia terpaku seketika.
“Aduh!” Aidan mengerang kesakitan.
Tangannya dipulas Juliet. Lalu badannya ditepis ke tepi.
Juliet bersama empat lagi lelaki
yang berhijab itu melemparkan beberapa biji bebola metalik yang melepaskan asap
tebal menyelubungi seluruh bangunan La Galleria. Lalu mereka berlima melompat
ke kubah bangunan dan terus menghilang diri dari pandangan.
***
Datuk
Megat Shahbudin menepuk meja deras. Dia malu dengan apa yang terjadi. Sebegitu
banyak anggota polis yang datang berkawal, namun tiada satupun yang berjaya
menangkap penceroboh di La Galleria pagi tadi.
“Kamu semua ni perlukan lebih banyak
latihan! Selalu saja dimanjakan. Sekarang bila ada masalah yang melibatkan
nyawa saya, Puan Sri Zalea dan Audra… nampak sangat kredibiliti polis-polis
Putapolitan makin merosot!” tengking Datuk Megat Shahbudin yang sempat
mengerling pada Puan Sri Zalea. Wanita berusaia akhir 40an itu hanya menunduk memandang
meja.
Aidan menelan air liurnya perit.
Kesakitan akibat tangannya dipulas sebentar tadi pun masih terasa. Ditambah
lagi dengan hamun Datuk Megat Shahbudin. Dia terasa terhina.
“Datuk, saya berjanji yang kami akan
mencari siapa pelakunya,” balas Aidan perlahan.
“Ya. Saya memang nak kamu semua cari
siapa penceroboh tadi dan tangkap mereka hidup-hidup! Dan satu lagi… saya
kecewa dengan kamu Aidan!” tutur Datuk Megat Shahbudin sambil memalingkan
wajahnya ke tepi. Amarahnya yang membuak-buak membuatkan dia langsung tidak
mampu menatap wajah anggota polis yang menjadi kebanggaannya ini.
Aidan memejamkan mata. Dia juga
memekakkan telinga. Teguran Datuk Megat Shahbudin memakan isi dalam hatinya.
Datuk Megat bangun dari kerusinya
dan berlalu keluar dari bilik operasi Putra Polis bersama Puan Sri Zalea dan
Audra. Sejurus itu, Aidan mengumpul anggota-anggota polis yang lain dan mereka
bermesyuarat di dalam bilik operasi tersebut.
“Saya nak semua rakaman-rakaman
kamera litar tertutup di La Galleria diperiksa. Kemudian laporannya hendaklah
diberikan kepada saya pada hari Isnin nanti!” tegas Aidan. Kesemua anggota
polis yang masih muda belia itu ditatapnya dengan tajam. Mereka tidak boleh
lagi diberi muka.
***
Nellisa
meletakkan dulang besi berisi air kopi dan dua keping donut berbentuk tiga segi
ke atas meja. Dia menatap wajah Aidan yang murung. Tidak mahu berbicara
langsung dengannya sejak pulang dari rumah sebentar tadi.
“Biar saya tengok tangan awak tu…”
Tangan Nelissa menghulur ke arah Aidan. Namun Aidan tetap berdiam dan menarik
tangannya erat ke dada.
“Nurse
tadi dah balut elok-elok tak?” Nelissa berkerut. Dia risau dengan sikap endah
tak endah Aidan kepadanya. Hatinya terasa tidak tenang.
“Tak payahlah. Awak tak payah
susah-susah tengokkan tangan saya ni. Doktor dan nurse-nurse tadi letakkan ubat. Sejam dua lagi eloklah dia.” Aidan
menjeling. Hatinya masih lagi pedih dengan insiden tiga hari lepas.
Pertengkaran mereka mengenai suasana politik Putrapolitan.
“Baiklah. Kalau macam tu saya nak minta
izin awak. Saya nak keluar sekejap malam ni. Jumpa Pak Cik Harris,” tutur
Nelissa dalam nada kesal. Dia tidak senang diperlakukan begini.
“Keluarlah… tapi make sure balik sebelum Isyak. Saya tak
nak makan malam seorang.”
Nelissa menguntum senyuman. Dia tahu
Aidan tidak betah tanpanya. Harap-harap cinta Aidan kekal seperti ini selalu.
Walaupun badai bakal melanda di antara mereka pada masa akan datang.
***
Setelah
Nelissa keluar dari rumah, Aidan mengambil masa untuk melelapkan mata. Dia
penat dengan hambatan masalah yang menghurunginya. Datuk Megat Shahbudin
mahukan yang terbaik. Manakala prestasi dia dan pasukan anggota polis
Putrapolitan pula hanya diparas suam-suam kuku. Mungkin Datuk Megat benar,
pasukan polis Putrapolitan perlukan latihan baru. Mereka harus jadi sehebat
lima orang penceroboh ninja pagi tadi.
Tak semena-mena ingatan Aidan
beralih kepada Juliet. Gadis bermata perang. Entah bagaimana rupanya. Cantik
ataupun biasa-biasa saja? Hijab yang mengabui sebahagian wajah Juliet membuatkan
minda Aidan sering tertanya-tanya.
Astaghfirullah! Aidan
menggeleng-geleng. Ingatannya terhadap Juliet membuatkannya terlupa akan
Nelissa. Aidan yakin yang isterinya jauh lebih cantik dari Juliet. Mengapa
harus dibezakan mereka berdua? Dia mencintai Nelissa dan bukannya… Juliet!
Alat komunikasi yang dipanggil
Beeper itu bergetar di pinggang Aidan. Ia kemudiannya ditarik keluar dan
diamati skrin tembus pandangnya.
“Panggilan
dari pejabat Putra Polis?” Aidan tergaru-garu kepala. Informasi yang dia
mahukan itu sudah mereka dapati? Pantas sungguh!
Aidan bergegas ke pejabat Putra
Polis tanpa memaklumkan kepada Nelissa terlebih dahulu. Sesampainya dia di sana,
kelihatan beberapa orang anggota polis serta bos besar, General Haizren sedang
melihat skrin besar di bilik operasi. Mereka tersentak melihat kehadiran Aidan
yang tercungap-cungap masuk ke dalam bilik tersebut tanpa memberi salam.
“Aidan?” tegur General Haizren. Dia
mematikan layar skrin yang menjadi tontonan mereka sebentar tadi.
“Tuan, maafkan saya sebab tak sedar
ada panggilan dari pejabat tadi. Ada apa hal? Kita dah dapat kesan identiti
kesemua penceroboh tadi ke?” soal Aidan lugu.
General Haizren mendekati Aidan dan menepuk-nepuk
bahu protégé yang dia banggakan ini. Sarjan Aidan adalah seorang yang
berdedikasi terhadap kerjayanya. Dia tidak mahu berita yang bakal diberitahunya
nanti bakal memberi kesan buruk kepada prestasi kerja Aidan pada masa akan
datang.
“Saya nak awak tengok video ni
betul-betul. Kemudian nyatakan kepada saya sama ada awak mengenali atau tidak
mereka-mereka ini,” ujar General Haizren.
Rakaman kamera litar tertutup
dimainkan. Kelihatan empat orang lelaki yang tidak dikenali sedang serius
berdiskusi di dalam tandas awam. Mereka kemudiannya menyarungkan pakaian ninja
dan menghijabkan wajah mereka.
Aidan menggeleng-geleng. Dia
langsung tidak mengenali keempat-empat lelaki itu. Lalu General Haizren
menyuruh salah seorang anggota polis yang bertugas di layar skrin memainkan
sebuah lagi rakaman.
Rakaman yang kedua ini
memperlihatkan seorang wanita dari sudut pandangan atas. Wanita itu bertocang
tinggi dan memakai jubah yang berbentuk pelayang. Aidan jadi tidak keruan untuk
melihat wajah wanita tersebut. Dia yakin ini adalah Juliet. Namun begitu,
wanita ini masih lagi menunduk. Dia memakai sarung kepala dan rambutnya yang
panjang berjurai tadi diikat menjadi sanggul.
Saat hijab wajah ingin disarungkan,
wanita itu mendongak. Dia tersenyum pada kamera litar tertutup yang sedang
merakam wajahnya. Lalu sejenis penyembur berwarna dikeluarkan dari beg
sandangnya dan disemburkan ke cermin kamera tersebut. Dengan itu, layar skrin
berubah menjadi hitam.
Aidan tersentak. Dadanya berdegup
kencang. Tak semena-mena tangannya berpeluh. Dia bakal pitam tidak lama lagi. Wanita
itu… tidak mungkin wanita itu Juliet!
***
Aidan
dan beberapa anggota polis yang bertugas pada malam itu bergegas ke kediaman
Datuk Megat Shahbudin. Daripada laporan yang mereka terima, rumah Datuk Bandar
Putrapolitan telah diceroboh.
Pasukan Putra Polis mengepung
halaman banglo empat tingkat milik Datuk Megat. Manakala Aidan serta beberapa
orang pegawai polis yang terpilih menyusup masuk ke dalam ruang tamu rumah.
Mereka seterusnya mengorak langkah terus ke pejabat Datuk Megat Shahbudin yang
terletak di tingkat paling atas banglo ini.
Pintu pejabat tersebut ditendang kuat.
Aidan bersama lima orang anggota polis masuk ke dalam ruangan itu dalam keadaan
berjaga-jaga. Kelihatan Datuk Megat sedang duduk di meja kerja dengan lehernya
dicangkuk kuat oleh lengan ninja berjubah yang diyakini Juliet oleh Aidan.
“Sign
kertas tu cepat!” tengking Juliet apabila menyedari yang ruangan pejabat
itu telah dikepung. Tiga orang ninja yang berpakaian hampir sama dengannya
berkawal di hadapan Datuk Bandar. Mereka bertiga menghunus pedang samurai ke
arah Aidan dan lima orang anggota polis yang lain.
Aidan merengus kencang. Datuk Megat
Shahbudin terpaksa menurut kata Juliet dengan mula menandatangani kertas
perjanjian yang tidak diketahui apa isinya. Setelah kertas itu selesai
ditandatangani, Juliet dan tiga orang ninja lain mula menyerang Aidan dan
anggota polis yang lain. Pertempuran ini kelihatan berat sebelah. Dua orang
ninja berhijab telah berjaya ditumpaskan dengan hanya satu tembakan pistol
elektron milik Aidan.
Kini hanya tinggal Juliet dan
seorang lagi ninja yang masih kuat mempertahankan diri. Juliet dan ninja itu
mula membuka kuda-kuda seni mempertahankan diri mereka. Aidan diajak bertempur.
Namun lelaki itu memilih untuk setia dengan pistol elektronnya. Sedas tembakan
disasar ke dada ninja berhijab yang melindungi Juliet. Ninja itu rebah.
Manakala Juliet pula kelihatan panik.
Wanita itu mula mendekati jendela
yang terbuka luas di sebelah kanan ruangan pejabat. Aidan menghirup nafas
dalam-dalam. Tangannya yang berisi pistol diacukan ke arah dada Juliet.
“Lebih baik awak menyerah saja,
Juliet. Dah tak ada jalan keluar. Dalam kiraan tiga, saya akan lepaskan
tembakan terhadap awak!” ugut Aidan.
Juliet sudah bersedia untuk melompat
turun ke bawah dengan mengangkat kaki kanannya ke jeriji jendela. Surat yang
telah ditandatangani Datuk Bandar dikeluarkan dari dalam jubahnya lalu
dilayangkan ke muka Aidan.
“Satu…” Aidan sudah mulai mengira.
Hatinya berat dengan keputusan gila yang bakal dilakukannya ini. Ia bakal
merenggut nyawa Juliet. Dia juga tahu ketinggian dari tingkat atas banglo ini
sangat merbahaya. Jarang sekali manusia bisa mendarat dengan baik kecualilah
dia seorang yang terlatih.
“Dua…” Jari telunjuk Aidan berada
pada picu pistol elektronnya. Manakala Juliet pula sudah mengangkat kaki
kirinya naik ke atas jeriji. Dia sudah bersedia untuk terjun turun dari banglo
ini lagak seorang pelakon stuntyang
berpengalaman.
“Tiga!” Pom! Picu pistol elektron
ditekan. Renjatan elektrik yang beribu kilowatt itu mengenai lengan Juliet.
Akibat renjatan tersebut, Juliet terjun dari jendela tingkat atas ini tanpa
kerelaannya.
Aidan bergegas lari ke arah jendela
tersebut sambil menjenguk ke bawah bangunan. Lantai bertar di sekeliling
halaman rumah Datuk Megat kelihatan kosong. Kelibat wanita itu tiada! Mana
mungkin dia pergi? Sekali lagi Aidan terasa bagai nak pitam!
***
Ibu
jari kanan Aidan ditekan ke sensor pengesan yang berada di sebelah kiri pintu
rumah. Selang beberapa saat bunyi ‘beep’ dan lampu hijau menyala berulang kali.
Aidan menolak pintu rumahnya lemah. Hatinya melayang entah ke mana. Hanya jasad
saja yang membawa roh yang semakin tidak bernyawa ini.
Dia menjenguk ke dapur. Tercari-cari
kelibat Nelissa. Namun begitu, pencariannya bertemu hampa. Nelissa tiada.
Nelissa entah hilang ke mana. Aidan mengeluh lalu mengatur langkah ke sofa yang
berhadapan dengan balkoni.
Permandangan bandar Putrapolitan
yang pesat membangun itu langsung tidak menarik perhatiannya. Minda Aidan masih
tersekat pada rakaman video litar tertutup yang memaparkan wajah Juliet.
Juliet.
Rambut hitamnya yang panjang mengurai. Bebola matanya pula berwarna perang.
Manakala tingkahnya lincah hingga mampu membuatkan Aidan terkalahkan. Ah! Aidan
jadi tidak tentu arah. Wajahnya ditekur rapat. Air mata mulai merembes keluar
mengenai pipi.
“Id…”
Aidan
mengangkat wajahnya. Bahunya terasa dicuit. Lalu dia mendongakkan kepala.
“Nely?”
soal Aidan. Matanya terbuntang melihat wajah Nelissa yang jelita walaupun
sedikit pucat dari kebiasaan.
“Id
dah lama balik?” Nelissa berusaha untuk tersenyum. Dia kemudian berjalan
kehadapan Aidan.
Aidan
menelan air liurnya dalam dan bingkas bangun dari sofa yang diduduki. Dia
seterusnya menatap tepat ke mata Nelissa. Kedua-dua lengan Nelissa dicengkam
kuat.
“Ah!”
Nelissa mengerang kesakitan. Dia menarik lengan kirinya menjauhi tangan Aidan.
Lengan itu digosok-gosok kuat.
Aidan
memejamkan mata. “Juliet. Kenapa awak tipu saya?” soal Aidan tanpa berselindung
lagi.
Nelissa
berpaling dari tubuh Aidan. Bibirnya diketap rapat.
“Maafkan
saya, Id. Saya lebih cintakan Ixora Putra dari awak.”
Aidan
menghela nafas berat. “Kalau macam tu, lebih baik awak pulang ke Ixora Putra
dan lupakan saya.”
“Tapi
saya…” Nelissa berkalih memandang Aidan semula. Air matanya mulai bergenang di
kolam mata.
“Lupakan
saya kerana saya juga mencintai Putrapolitan lebih dari saya mencintai awak,
Nelissa,” putus Aidan.
GLOSSARI
Segregasi
– pengasingan antara satu kelompok dengan kelompok yang lainnya
Elektron
– Isi bahagian atom yang bercas negatif
aristokrat
– kaum bangsawan
hologram
– imej fotografi tiga dimensi yang terbentuk oleh alur laser
birokrasi
– cara pentadbiran yang banyak melibatkan peringkat dan peraturan
totalitarian
– berkaitan dengan sistem pemerintahan yang dikuasai oleh seorang atau satu
parti sahaja dan kewujudan parti-parti pembangkang lain tidak dibenarkan
Jikalau
minat karya ini, like dan comment serta berikan pendapat anda untuk saya
memperbaiki hasil tulisan. Ada sambungan serta background story disebalik karya
ini. Cerpen ini juga adalah karya percubaan saya untuk menjebakkan diri ke
genre lain selain cinta romantik.
#karya
#variasi #Juliet
Thank
you...