Bab 13
MALAM
itu sungguh sunyi. Adam sedang berehat di katilnya. Dia tidak tahu tahu nak
berbuat apa. Duduk tak kena, tidur tak kena dan berjalan juga tidak kena.
Pemikirannya terarah pada Arissa. Wanita itu sangat mengagumkan. Tambahan pula,
sejak Arissa pulang dari percutiannya, isterinya berubah menjadi wanita yang
lebih baik dari sebelumnya. Namun, Adam juga dapat merasakan yang Arissa sedang
menjauhkan diri daripadanya. Sentuh sedikit pun tidak boleh. Kalau nak mendekat
sedikit pun Arissa akan cuba cari jalan untuk menjauhkan diri. Arissa dulu
tidak begitu. Mengapa dia berubah? Apa yang membuatkan dia berubah sampai
begitu?
Adam bangun dari pembaringan. Dia
keluar dari biliknya dan menuju ke bilik Arissa. Pintu bilik isterinya tidak
berkunci. Dia memulas tombol pintu dan apabila pintu terbuka, kelihatan Arlisa
sedang tidur bersama majalah-majalah fesyen dan iPhone di tangannya. Keadaan
bilik agak berselerak. Penuh dengan kertas dan alatan tulis.
Adam menyimpan semua peralatan tulis
dan majalah-majalah fesyen yang berselerak di atas katil di suatu sudut. Dia kemudian
mengambil iPhone dari tangan Arlisa. Terpapar di skrin iPhone tersebut enjin
carian Google.
Kata hati Adam berbisik. ‘Dia sedang buat research kah? This is
unbelievable!’
Adam mengangkat tubuh Arlisa untu
dibawa ke tengah katil. Kemudian dia mengambil selimut dan menyelimuti badan
isterinya dari kesejukan. Adam memberi ciuman di dahi Arlisa tanpa wanita itu
sedari. Selepas itu, Adam terus keluar dari kamar Arissa.
****
PUAN
Murni bangun awal pagi dan bersiap-siap untuk ke taman kecil di halaman rumah.
Hari ini dia berasa sedikit cergas dari selalunya. Terperap di dalam bilik
semata-mata, tidak memberikan apa-apa kelebihan. Lalu hari ini, Puan Murni
bercadang untuk turun ke bawah dan mencergaskan diri dengan apa-apa aktiviti
yang menarik perhatiannya.
Mak Jah yang sedang sibuk di dapur
terkesima melihat Puan Murni tiba-tiba turun ke ruang tersebut. Bersemangat
pulak Puan Murni hari ini!
“Mak Jah sibuk ke?” tanya Puan
Murni.
“Eh tak adalah Puan.. ni tengokkan
si Siti ni memasak..” jawab Mak Jah sambil cuba menghidupkan dapur gasnya.
“Saya nak ajak kamu ke taman kecil
saya tu. Nak tengok pokok bunga matahari yang Mak Jah tanam hari tu,” kata Puan
Murni sambil tersenyum.
“Oh marilah Puan kalau macam tu.
Lagipun saya ada hal sikit nak cerita dengan Puan,” tambah Mak Jah.
Siti yang berada bersama mereka
ketika itu menjeling dan cuba pasang telinga. Ni mesti pasal Puan Arissa lah
tu!
Mak Jah menjeling Siti yang sedang
curi-curi dengar perbualannya dan Puan Murni.
“Siti, kamu tolong tengokkan dapur.
Tak boleh pulak nak hidupkan api ni. Gas dah abis kot. Pegi telepon orang gas
tu,” kata Mak Jah. Wanita itu sengaja memberi Siti tugas lain untuk dibuat.
Jangan jaga tepi kain orang!
“Mak Jah, gas ni baru hari khamis
ari tu je dah tukar… tak pelah saya guna mancis lah nak hidupkan api dapur ni.”
Ish! Mak Jah ni sengaja je tau.
“Baik-baik pakai mancis tu. Karang
tersambar pulak dengan api!” nasihat Mak Jah. Lalu Puan Murni dan Mak Jah
berlalu pergi.
“Elehh dia ingat kita tak tahu dia
nak cerita pasal Puan Arissa,” bebel Siti. Siti cuba melaraskan api dapur.
Namun tidak juga hidup-hidup api dapur tersebut.
“Nak kena guna mancis jugak la ni…”
bisik Siti sendirian.
****
ARLISA
duduk di atas katil sambil menatap iPhonenya. Semalam dia langsung tidak sedar bilamana
dia tertidur dan siapa yang mengemas semua barang-barang yang berselerak di
atas katilnya. Tetapi Arlisa sudah dapat mengagak. Ini pasti kerja Adam!
Ah, lelaki itu! Orangnya tampan,
menghormati wanita dan sangat ‘gentleman’. Malangnya, sudah berkahwin. Abang
iparnya pulak tu! Kalaulah dia dapat memiliki lelaki sebaik Adam… aduhai!
Bahagianya hidup. Rugi Arissa kerana mempersiakan kehidupan yang dia ada. Tapi
siapalah dia hendak berkata begitu pada Arissa bukan? Kakaknya itu sudah jauh
entah ke mana. Semoga tuhan sentiasa menempatkan dia di tempat yang baik-baik
dan bersama orang-orang yang soleh, walaupun dia tahu Arissa tidak layak
mendapatkan itu semua.
iPhone itu ditatap lagi. Makcik Sue, Lisa
rindukan Makcik Sue! Mungkin jikalau telefon dia sekali tidak apa bukan? Arlisa
mendail number telefon rumah Makcik Sue dan telefon diletakkan di telinga.
Terdengar bunyi deringan di sebelah sana.
TUTT TUTT TUTT…
“Assalamualaikum…” Suara Makcik Sue
kedengaran.
Arlisa terdiam seribu kata. Dia tak
mampu nak meluahkan apa-apa.
“Siapa tu? Hello..” Makcik Sue masih
di talian.
Arlisa cuba untuk mengeluarkan
sepatah perkataan. Namun dia tidak mampu. Dia berasa sangat bersalah. Dia
merasakan tindakannya akan membawa masalah kepada Makcik Sue.
“Arlisa ke tu nak?? Kamu ke tu?
Jawab lah Arlisa.. Makcik tau tu kamu kan..?” Makcik Sue bersuara perlahan.
Airmata Arlisa berguguran. Dia
menekap mulutnya supaya bunyi tangisan tidak kedengaran.
“Lisa.. kalau itu kamu, kamu
baliklah nak.. Makcik tak marah kamu. Kamu baliklah, Makcik rindukan kamu..
Arlisaaa…”
Airmata Arlisa turun makin deras.
Dia tak sanggup lagi mendengar kata-kata Makcik Sue yang memujuknya. Dia
cepat-cepat menekan tanda merah untuk menamatkan panggilannya.
****
SITI
menyalakan mancis. Mancis yang bernyala tersebut disuluhkan kepada penunu
dapur. WRAP! Api naik dengan tingginya. Siti jadi cemas. Dia tidak tahu
bagaimana hendak melaraskan api itu supaya menjadi perlahan. Api yang naik
tinggi tersebut mengenai langsir yang berdekatan lalu mula membakar keseluruhan
langsir tersebut dengan pantas.
“AHHHHH!” jerit Siti. Dia terus
larikan diri dari dapur.
Mak Jah dan Puan Murni yang
mendengar jeritan Siti terus menuju ke dapur. Mereka yang sampai di dapur
terkejut keadaan api yang sedang marak membakar langsir di dapur dan mula untuk
merebak ke bahagian yang berdekatan.
“Siti! Apa yang kamu dah buat ni?!’
jerit Mak Jah.
“Saya tak tahu Mak Jah! Tak tahu!”
Siti jadi bingung seketika.
“Mak Jah pergi telepon bomba. Saya
nak telefon Adam,” arah Puan Murni. Wajahnya yang ceria tadi, tiba-tiba berubah
menjadi risau.
“Baik puan,” Mak Jah berlari ke telefon.
Manakala Siti pula menawarkan
dirinya untuk memanggil Puan Arissa.
“Puan Murni, saya panggilkan Puan
Arlissa turun,” kata Siti.
“Buat apa kamu panggil dia turun?
Tak ada kegunaan pun. Dia bukan boleh buat apa-apa!” Puan Murni sedikit emosi.
Perempuan tu apa pun tak tahu!
“Tak pe saya panggilkan jugak!” Siti
terus meluru naik ke atas tanpa menghiraukan Puan Murni.
****
PINTU
bilik Arlisa diketuk kuat. Terdengar jeritan Siti dari luar biliknya. Arlisa
cepat-cepat mengelap airmata yang membasahi pipi lalu membuka pintu bilik.
“Puan Arissa! Cepat turun!” kata
Siti dengan penuh cemas.
“Kenapa?” Arlisa terkejut melihat
reaksi wajah Siti.
“Dapur terbakar Puan!”
“Apa??!” Arlisa terkejut mendengar
jawapan Siti. Dia dengan pantasnya berlari menuruni tangga dan menuju ke dapur.
Sesampainya dia di dapur kelihatan
api sudah marak membakar hampir keseluruhan ruang dapur dan mula mengacah-acah
untuk mendekati peralatan elektrik yang berdekatan. Arlisa mengarahkan Siti
untuk memanggil pengawal dan membawa bersama alat pemadam api dengan pantas.
“Siti cepat sikit tau!” Arlisa
sempat bersuara mengingatkan Siti.
“Kau turun buat apa Rissa?” tanya
Puan Murni. Sempat lagi cari gaduh.
“Puan Murni, ini bukan masanya untuk
kita bertekak,” jawab Arlisa. Wanita ini sangat mementingkan diri sendiri.
Tolonglah bertekak lain hari. Kalau rumah dah terbakar, apa pun tak boleh buat!
Gigit jari sajalah.
“Eh aku tak kira! Kau ni jangan nak
tunjuk baik sangat.” Puan Murni sempat memerli Arlisa. Hatinya sakit saja kalau
terpandangkan Arissa.
Namun Arlisa hanya mendiamkan diri.
Bukan masanya untuk bertikam lidah.
“Puan! Ni mereka dah datang!” kata
Siti yang tercungap-cungap keletihan akibat berlari.
“Awak cepat semburkan pemadam api
tu!” arah Arlisa pada pengawal tersebut.
“Puan, saya tak tahu nak guna ni!”
jawab pengawal tersebut. Wajahnya tampak berserabut dan resah. Macam mana nak
guna pemadam api ni?
“Ya Allah!” Arlisa menggelengkan
kepalanya.
Dia terus meragut alat pemadam api
tersebut dari pengawal. Nasib baiklah aku masih ingat cara nak menggunakan alat
pemadam api ni masa kerja kat taska dulu. Arlisa kemudiannya terus menarik picu
keselamatan yang berada disalah satu pemegang alat tersebut. Selepas itu dia
menghalakan nozel alat pemadam api itu ke arah punca api yang sedang rakus
membakar. Pemegang lever ditekan dan pancutan debu keluar dari alat pemadam api
tersebut. Nozel itu kemudian dilayangkan ke bahagian-bahagian lain di mana api
itu merebak.
Arlisa juga mengambil risiko dengan
cuba memulas pelaras api dapur untuk ditutup sepenuhnya. Pada ketika itu hampir
50% api kebakaran sudah terpadam. Pengawal rumah serta Pak Mat datang membantu
dengan mencurahkan air di bahagian yang masih merebaknya api. Kesemua mereka
yang melihat kejadian tersebut jadi terpana dengan tindakan drastik Arlisa yang
disangka Arissa. Orang yang benar-benar terkesan dengan kejadian itu adalah
Puan Murni. Dia tidak menyangka Arissa seberani itu. Dia juga telah mengesyaki
sesuatu.
“Mak Jah..” bisik Puan Murni.
“Ye Puan..” Mak Jah menjawab.
“Dia bukan Arissa.. dia orang lain,”
bisik Puan Murni lagi.
“Aish! Tak adalah Puan. Ni helah dia
saja. Tiba-tiba berani macam tu.. tapi saya pun terkejut Puan.. dia dah
selamatkan kita semua!” jawab Mak Jah.
Puan Murni memerhatikan gerak tubuh
Arlisa yang mencampakkan alat pemadam api ke tepi dan terduduk di atas lantai
tak berdaya. Siti yang melihat keadaan majikannya yang semakin lemah itu cuba
untuk membangun Arlisa. Arlisa dibawa Pak Mat dan Siti ke bahagian yang lebih
luas ruang udaranya. Wajah Arlisa dipenuhi kotoran dari asap kebakaran tadi.
“Dia bukan Arissa Mak Jah, saya
yakin.. dari fizikalnya mungkin dia sama, tapi dia ada perangai yang berlainan..”
jelas Puan Murni.
“Mustahil Puan!” balas Mak Jah.
‘Tiada
apa yang mustahil… dan aku tahu macam mana caranya untuk uji kau, penyamar
Arissa!’ bisik Puan Murni di dalam hatinya.