Bab 6
RAMBUTNYA
dipotong hingga ke paras bahu persis Arissa. KRAP KRAP KRAP! Rambut-rambut
tersebut berderai jatuh ke lantai. Kemudian dia menyapu sedikit bedak asas yang
terdapat dari dalam beg tangan kakaknya. Semua barangan alat solek Arissa
berjenama terkenal. Maybeline, Loreal, Clinique dan juga Revlon. Arlisa
kadang-kadang menjadi takut untuk menggunakannya. Takut membazir dan takut
salah penggunaan. Inilah kali pertama dalam hidupnya dia memakai mekap dengan
sangat tebal. Walaupun sebenarnya tidaklah begitu tebal. Sedikit solekan telah
cukup untuk mencantikkan wajah Arlisa yang sudah mempunyai ‘natural beauty’
yang tersendiri.
Arlisa menyelongkar beg pakaian
Arissa. Kebanyakan seleksi pakaian Arissa berwarna gelap dan kegemarannya
adalah warna hitam. Namun di antara pakaian berwarna gelap ini, terdapat
sehelai blouse berwarna putih. Tanpa berfikir panjang Arlisa memilihnya. Dia
memadankan blouse tersebut dengan slack hitam dari Zara. Arlisa merasakan
dirinya sedang berubah sedikit demi sedikit. Tidak pernah seumur hidupnya
memakai pakaian berjenama. Dan inilah kali pertama.
Terakhir sekali, inilah kali
pertamanya dia memakai cincin emas bertatahkan permata. Arwah ayah dan ibunya
dulu tidak meninggalkan sebarang harta. Makcik Sue juga tidak pernah membelikan
dia barangan kemas. Cincin yang dipakainya ini adalah cincin perkahwinan
Arissa. Arlisa menatap dirinya pada cermin panjang yang tergantung di bilik.
Dari atas sampailah ke bawah, dia saling tak tumpah seperti Arissa. Cuma satu
sahaja perkara yang dapat membezakan mereka berdua iaitu tingkah laku di antara
kedua-dua beradik tersebut. Dengan ini secara fizikalnya, dia adalah Arissa.
****
KERETA
Suzuki Swift dipandu laju meluncur jalan menuju ke KLIA. Arlisa menatap wajah
lelaki yang memandu kereta tersebut. Kata hatinya sering tertanya-tanya,
siapakah lelaki ini? Kenapa dia tahu banyak hal tentang Arissa? Kenapa dia
hendak tolong aku secara tiba-tiba?
“Apa nama kau?” Tiba-tiba Arlisa
bersuara. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.
“Kau tak perlu tahu,” jawab lelaki
itu ringkas.
“Aku kena tahu. Aku tak suka dengan
sikap kau yang penuh rahsia ni.”
“Kenapa? Kau takut aku ni penipu?
Huh.. aku bukan macam kau,” jawab lelaki itu selamba.
“Selagi lagi aku nak tegaskan di
sini, aku tak bunuh Arissa. Apa yang kau buat dengan mayat kakak aku?” Arlisa
bertanya lagi. Terlalu banyak persoalan yang melingkar di minda.
“Kan aku cakap itu masalah aku! Kau
tak faham lagi ke?” Lelaki itu mulai naik berang.
“Okey, aku ada satu soalan lagi..”
Arlisa masih berani bertanya.
“Kau dan kakak kau adalah dua
manusia yang berbeza.. kau berani, kau ada otak.. tapi malangnya…. Sudahlah,
apa yang kau nak tanya?” Lelaki itu mengeluh. Mungkin dia ada sekelumit
perasaan simpati terhadap Arlisa.
“Sampai bila aku kena jadi Arissa?”
“Hanya untuk setahun. Selepas semua
hal dah reda, keadaan kau dah selamat, kau boleh kembali ke tempat asal kau,”
jawab lelaki itu serius.
“Kau yakin yang aku boleh bertahan
selama setahun kat situ? Aku tak rasa keluarga suami kakak aku tu bodoh dan
untuk alasan apa yang aku perlu buat untuk tinggalkan keluarga tu nanti?”
Arlisa bingung. Kadang-kadang dia merasakan seperti dia mahu patah kembali ke
masa lalu dan hanya menyerah diri terhadap apa yang telah berlaku. Namun
apabila mengenangkan Makcik Sue dan dia tidak punya duit untuk mengambil peguam
untuk mempertahan kes ini nanti, dia terpaksa pilih jalan ini.
“Hah.. Arlisa.. Arlisa.. aku tahu
kau ni bijak orangnya. Semua ini terpulang pada kau. Kalau kau tak mahu
menyumbatkan diri kau tu masuk dalam penjara, kau kena berusaha. Jadi Arissa
yang sebenarnya. Kau sendiri pun tahukan perangai dan tingkah laku kakak kau tu
macam mana. Sedikit kesalahan yang kau
lakukan, ia adalah selangkah untuk menjerat diri kau masuk ke penjara.
Kalau
semua perkara ini terbongkar, kaulah yang akan menanggung akibatnya. Aku yakin,
mereka takkan tahu kalau kau pandai memainkan watak. Satu lagi, nanti bila dah
cukup setahun tempoh kau jadi Arissa, aku pasti akan hubungi kau. Yang itu kau
tak perlu risau,” jelas lelaki itu. Lelaki tersebut tampak begitu yakin.
Seperti dia sudah merancang perkara ini berbulan-bulan sebelum ia dilaksanakan.
Adakah
aku sudah terperangkap? Arlisa cuma mampu bermohon kepada tuhan untuk
melindungi dirinya. Hanya tuhan sahaja yang memahami dirinya sekarang. Dia
begitu lemah dan tidak berdaya untuk memikirkan cara lain untuk menyelesaikan
masalah ini. Terkadang dia merasakan dia sedang melakukan kesalahan yang amat
besar. Dia bakal melakukan sebuah penipuan dan selangkah mendekatkan dirinya
dengan maksiat. Bagaimana dia harus menangani keluarga suami Arissa nanti,
terutamanya suami kakaknya, Adam Farhan? Bagaimana jikalau mereka sudah
mengetahui hal yang sebenar? Oh Tuhan, aku hanya ada DiriMu untukku bergantung
hidup dan harapan, berikanlahku kekuatan Ya Allah!
****
MAKCIK Sue memusing tombol pintu rumahnya lalu
masuk ke dalam rumah. Kosong dan sunyi. Dia sempat meletakkan barang di atas
meja kecil bersebelahan dengan sofa. Di mana Arlisa?
“Arlisa! Arlisa.. oo Arlisa,” jerit
Makcik Sue.
Dia mengerutkan dahi dan mula
menggaru-garu kepalanya. Mana pulak si anak dara ni?
“Keluar agaknya kot budak ni. Tapi
ni baru pukul 10 pagi. Nak pergi mana..?”
Makcik Sue mencapai telefon Nokia
miliknya dan mendail nombor telefon Arlisa. Tiba-tiba deringan telefon itu
berbunyi di dalam rumah. Makcik Sue curiga. Arlisa tidak membawa telefonnya
bersama. Makcik Sue menuju ke bilik anak dara tersebut dan kelihatan telefon
bimbit itu berbunyi di atas meja solek gadis itu.
“Eh ni telepon dia.. mana pulak
budak ni pi?? Eh ni surat apa?” Mata Makcik Sue tertancap pada sampul surat
putih terselit kemas di bawah bedak Baby Johnson milik Arlisa. Surat itu
dicapai dan diluahkan isinya. Makcik Sue mengatup bibirnya dengan tangan kiri
setelah membaca beberapa baris ayat di dalam surat tersebut. Kemudian dia
terduduk dan jatuh pengsan di atas lantai bersama surat tersebut yang masih
terlekat di tangannya.
****
“NAH
ambik iPhone ni. Telefon ni penting. Ada macam-macam dalam ni. Ada
gambar-gambar keluarga Arissa, ada notes-notes penting dalam tu. Kau pergi je
dekat icon notes tu and dalam tu ada lebih kurang macam diari hidup Arissa.
Kalau kau tak tahu apa-apa, kau rujuk saja situ,” jelas lelaki tersebut. Dia
memang tahu benar tentang segala perkara mengenai diri Arissa. Dari kisah hidup
hinggalah ke barangan peribadi milik kakaknya. Siapa lelaki ini?
“Okey.” Arlisa cuba untuk mendalami
pengetahuannya mengenai cara penggunaan telefon tersebut. Dia tidak begitu
pandai menggunakan iPhone. Namun dia juga tidak buta IT. Dia masih mengetahui
cara-cara untuk menghubungi orang lain dan bermain dengan aplikasi Whatsapp dan
lain-lain.
“Lagi satu, kau boleh panggil aku
Zik,” kata lelaki itu.
“Zik saja?” tanya Arlisa.
“Cukup itu. Kau tak perlu tahu
banyak hal tentang aku. Aku rasa kau kena gerak sekarang,” Zik mengulurkan beg
tangan dan beg tarik Arissa kepada Arlisa.
Arlisa mulai berjalan ke hadapan
menuju ke pintu berlepas. Hatinya jadi rawan. Dia tidak tahu apa yang dia
sedang lakukan ini benar atau tidak. Tiba-tiba dia berpaling semula kepada Zik.
“Tunggu! Hanya untuk setahun saja
kan?” tanya Arlisa. Dia menahan Zik sebelum lelaki itu pergi lebih jauh.
“Ya,” jawab Zik ringkas. Kemudian
dia terus berpaling dari Arlisa dan meneruskan perjalanannya.
Arlisa dengan keadaan terpaksa
berpaling semula ke arah perjalanannya. Kaki, tangan, dan hatinya berkata ini
semua tidak patut dilakukan. Namun mindanya tetap berkeras dengan mengatakan
dia harus berpijak kepada realiti. Inilah realiti hidupnya mulai sekarang.