Bab 3
ARISSA
mengintai Puan Murni dari celah pintu yang tidak ditutup rapat. Dia memang tak
senang duduk kalau melihat Puan Murni mulai segar sedikit. Semenjak kematian
suaminya beberapa bulan lalu, Puan Murni lebih suka menyendiri. Dia tidak lagi
berpersatuan ataupun bersosial bersama rakan-rakannya seperti dahulu. Dia juga
sudah tidak ke pejabat.
Arissa memang suka akan keadaan Puan
Murni yang sebegitu. Perempuan tua itu dianggap penghalang dalam apa sahaja
kegiatannya setiap hari. Ini tidak boleh itu tidak boleh. Kalau salah sedikit
mesti hendak dilaporkan ke Adam. Jadi anggap sahajalah sekarang masa pembalasan
buat Puan Murni. Arissa menolak pintu
bilik Puan Murni dan masuk ke dalam. Kemudian dia mengunci pintu bilik tersebut
dari dalam.
Arissa berjalan dengan langkah liuk
lentoknya itu sambil memandang Puan Murni dengan gerak laku sinis dan mengejek.
Puan Murni yang sibuk memandang ke tingkap tidak sedar akan kehadiran Arissa ke
dalam biliknya.
“Bangun awal nampaknya.. Murni,”
Memang tiada lagi rasa hormat Arissa kepada ibu mertuanya ini.
“Kau buat apa masuk dalam bilik
aku?? Keluar! Keluarrrr!” Puan Murni bingkas bangun dan cuba menolak Arissa
keluar. Arissa menepis tangan Puan Murni dan kemudian mengelap tempat tangan
Puan Murni memegang dirinya. Jijik!
“Eh! Eh! Aku boleh keluar
sendirilah.. kau tak payah nak tolak-tolak aku. Aku datang jenguk kau pun sebab
nak check.. kau ni hidup ke tak ke? Asyik terperap dalam bilik ni je.. Anak kau
pun dah tak berani nak masuk bilik kau ni.” Arissa bersuara.
Sejak sikap Puan Murni berubah,
anak-anaknya jarang sekali menjenguk. Puan Murni mempunyai tiga orang anak. Dua
orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Fida, anak perempuannya itu
tinggal di rumah ini bersama Adam dan Arissa. Manakala abang sulung mereka,
Arman pula tinggal berasingan bersama isterinya, Paty di Damansara. Adam
merupakan anak tengah dari tiga orang adik beradik.
Dahulu, Adam ada berkahwin dengan
seorang perempuan bernama Bella. Mereka mempunyai seorang anak perempuan
bernama Ameera. Namun selepas dua tahun berkahwin, Bella meninggal dunia akibat
kemalangan. Adam menduda selama hampir tiga tahun sehinggalah dia bertemu
dengan Arissa, gadis kelab malam yang menambat hatinya.
“Kau diam!” Puan Murni membetulkan
rambutnya yang galak bertumbuh uban.
“Okey aku diam. Tapi aku datang ni
cuma nak bagi tahu kau kebenaran mengenai hidup kau, Murni!” Arissa keluar dari
bilik tersebut setelah dia berjaya merobek hati ibu mertuanya. Ketawanya
menyelubungi koridor bilik Puan Murni. Asalkan kau tak bahagia Murni… Asalkan
kau derita, aku yang gembira!
****
ADAM
melangkah masuk ke pejabatnya dengan penuh perasaan marah. Mungkin sisa marah
semalam bersama Arissa yang masih belum reda. Fail di tangannya dihempas
sehingga mengejutkan Arman yang sedang duduk di kerusi berhadapan dengan meja
tersebut.
“Kau okey ke Adam?” Arman bertanya.
“Aku okey,” Adam membalas dengan
penekanan terhadap perkataan ‘okey’.
“Gaduh dengan Arissa?”
“Dengan sapa lagi kan?” Adam
bertanya kembali.
“Kau tanya dia tak pasal hari tu
yang aku nampak dia dengan..”
“Sudahlah.. aku tak mau cerita pasal
tu. Aku percaya kan dia,” pintas Adam.
“Aku ni rasa kadang-kadang Arissa
dah bomohkan kau tahu tak?”
“Aku tak suka kau cakap benda tak
elok pasal isteri aku!” Adam mulai berang.
“Kalau kau dah fikir macam tu, apa
boleh aku buat kan?” Arman bangun dari kerusi dan terus keluar dari pejabat.
Lelaki macam Adam in sudah diguna-gunakan.
****
ARLISA
seperti biasa bekerja di kedai kek Crown Pastries pada hari ini. Walaupun
hatinya masih lagi terluka akibat kejadian semalam, dia tidak mahu terus
terbawa-bawa. Mungkin apa kata Makcik Sue itu benar. Kalau Kamal seorang lelaki
yang baik, sudah lama dia mengajak Arlisa berkahwin. Namun Kamal sudah beberapa
kali menangguhkan hasrat berkahwin dengannya dan kadang-kadang cuba mengelak
daripada berbicara soal perkahwinan.
KLING KLING! Loceng kedai kek itu
berbunyi tanda ada pelanggan masuk ke kedai. Arlisa yang sedang sibuk menyusun
cupcakes di ceruk dapur kek menjenguk ke kaunter tanpa membuka sarung tangan
kain yang dipakainya.
Kelihatan Kamal yang berkemeja biru
belang putih berdiri tegak di hadapan kaunter. Dia membawa beg sandang
bersamanya. Mungkin dia ingin berjumpa dengan Arlisa buat kali yang terakhir.
Arlisa terkejut dengan kehadiran
Kamal di tempat kerjanya seawal 9 pagi. Selalunya kalau Kamal hendak bertemu,
dia akan membuat temujanji selepas pukul 4 petang. Arlisa menghela nafas
panjang lalu menanggalkan sarung tangan yang dipakainya. Mereka berdiam buat
beberapa saat sehingga Kamal memulakan bicara dahulu.
“Arlisa, saya dah nak pergi..” kata
Kamal.
“Pergilah.. tiada siapa yang berhak
menghalang awak, walaupun saya.” Arlisa tiba-tiba menyibukkan diri dengan
kertas-kertas resit di atas meja kaunter. Dia hanya mampu menjeruk rasa.
“Saya nak minta maaf.”
“Awak tak bersalah dengan saya. Kita
memang tak ada jodoh kan?” Arlisa masih mampu mengukirkan senyuman. Dia tidak
mahu perpisahan ini memberi impak yang buruk pada suatu masa nanti. Biarlah,
sudah tiada jodoh.
“Saya buat ni semua untuk kebaikan
kita. Awak pun tahukan.. kita tak boleh hidup semata-mata dengan cinta.”
Kata-kata Kamal membuatkan Arlisa terpempan seketika. Apa maksudnya? Tak boleh
hidup hanya dengan cinta?
“Saya tak faham Kamal.” Arlisa
meletakkan semua resit-resit yang dipegangnya ke atas meja.
“Saya rasa dunia sekarang ni, duit
adalah segala-galanya, bukannya cinta. Cinta tidak boleh memberi jaminan untuk
kita terus hidup, Arlisa.” Sekali lagi kata-kata Kamal mengguris hatinya.
Barulah dia faham. Semua ini hanya kerana dia orang miskin, tak punya harta
atau duit berbukit-bukit di bank. Dia cuma hidup berbekalkan budi dan kudrat.
Manakala lelaki ini mahukan lebih dari itu.
“Saya faham.. Tapi satu saja nasihat
saya, hidup ini jangan bertuhan duit Kamal. Duit semata-mata tak boleh beri
kita kebahagiaan.” Arlisa mulai sebak. Kamal pula seakan-akan keliru dengan apa
yang baru dikatakannya. Dia berkalih dari memandang wajah Arlisa. Takut-takut
hatinya akan cair pula.
“Saya dah lambat. Kena pergi
sekarang. Bye.” Kamal terus keluar dari kedai kek tersebut dengan pantas.
Arlisa pula ditinggalkannya begitu sahaja. Gadis itu terduduk di kerusi kaunter
tersebut sambil mengenang nasib hidupnya.
****
CINCIN
emas bertatahkan sebentuk permata yang berkilau di atas meja solek itu dicapai
dan dipakai. Itu adalah cincin perkahwinan Arissa dan Adam. Namun pasangan
suami isteri ini adalah satu di antara sejuta pasangan yang pelik di Malaysia.
Mereka tidak berkongsi bilik. Arissa mempunyai kamar miliknya yang tersendiri,
manakala Adam mempunyai bilik khas untuk dirinya sendiri. Alasan Arissa yang
mengatakan barangnya yang terlalu banyak dan tidak boleh berkongsi satu bilik
dengan Adam membuatkan dia memiliki biliknya sendiri. Adam dilihat sebagai
seorang lelaki yang bagai lembu dicucuk hidung kerana menuruti apa sahaja
kehendak Arissa.
Yang sebenarnya, Arissa cuma mahukan
privasi untuk dirinya sendiri. Dia tidak suka diganggu dan lebih suka membuat
hal sendiri di dalam kamarnya. Adam juga kadang-kadang dianggap sebagai
gangguan di dalam hidupnya. Dia hanya berkahwin dengan Adam untuk kepentingan
masa depan iaitu sudah semestinya kepentingan kewangan dan bukannya kerana
cinta. Oleh sebab itulah, hampir semua orang di dalam rumah tersebut
termasuklah pembantu rumah iaitu Mak Jah sangat membenci Arissa. Arissa hanya
parasit pada keluarga Adam. Cuma Adam sahaja yang masih buta dalam soal ini.
Arissa keluar dari biliknya dan
menuju ke bilik Adam. Tombol pintu ditolak ke bawah dan kelihatan Adam sedang
terbaring di atas katil. Adam kemudian bingkas bangun dan duduk di hujung
katil.
“I ingat you tidur..” Arissa duduk
di sebelah suaminya sambil membelai rambut hadapan Adam yang terjuntai ke dahi.
“Tak.. kejap lagi I nak mandi. I
rehat dulu. Kenapa?” Adam menatap wajah isterinya dengan penuh kasih sayang dan
kemudian tersenyum. Kulit wajah Adam sedikit coklat atau garing dan dia
mempunyai misai yang bersambung dengan janggutnya. Namun janggut dan misainya
itu dicukur rapi dan kemas. Buat wanita yang pertama kali terpandang akan
wajahnya, mereka pasti akan jatuh hati dengan kekacakan Adam Farhan.
“Sebenarnya, I ada perkara nak cakap
dengan you…” Arissa bangun dan berjalan ke cermin panjang yang tergantung di
bilik Adam. Dia menatap wajahnya sendiri dan kemudian berkalih semula ke Adam.
“Cakap apa? Bagitahulah I..” Adam
juga bangun mendekati Arissa.
“I…” Arlisa seperti main tarik tali.
Dia beralih semula memadang biasan wajahnya di cermin.
“You..?” Adam mula berkerut dahinya.
Dia menyentuh bahu Arissa lembut.
“I nak pergi bercuti.”
“Bercuti? Ke mana?”
“Penang.. Boleh?”
Sebaik saja mendengar pertanyaan
Arissa, Adam pula yang berkalih dan membelakangkan Arissa. Dia berfikir
sejenak. Penang? Kenapa tiba-tiba?
“I need a time out Adam. Lagipun
kita tiap-tiap hari gaduh kan?” Arissa mendakapi pinggang Adam perlahan.
“You nak pergi dengan siapa?” Adam
masih lagi berfikir akan keputusan yang bakal diberinya.
“Sorang,” jawab Arissa singkat.
“Okey. Tapi nak minta sesuatu dengan you,”
putus Adam.
“Apa dia sayang?” Arissa mula
bermanja dengan Adam. Dia membelai rambut Adam dengan jejari manisnya.
“Masa cuti nanti I nak you fikirkan
yang terbaik untuk keluarga kita. Tolonglah berubah. Please?” Adam menatap
wajah Arissa dengan penuh pengharapan. Wanita itu memberikan senyuman ringkas.
“I janji I berubah. I janji akan
jadi isteri yang terbaik untuk you. I pergi sehari dua je. You jangan risau
okey?” Arissa tersenyum sinis. Mission accomplished! Akhirnya dia berjaya
mendapatkan pelepasan daripada Adam.
****