Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,317
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

Bab 9

ARMAN dan isterinya sampai di kediaman milik ibunya, Puan Murni tepat pukul 9 malam. Kedatangan mereka disambut Fida yang mempunyai seribu satu cerita yang ingin dikongsikan dengan Patricia Abdullah atau Paty, isteri Arman yang seorang muallaf Cina. Paty adalah seorang wanita yang sangat bersopan santun dan lemah lembut. Dia sering memakai tudung bawal yang labuh sehingga menutupi dadanya. Namun disebalik sisi baiknya, Paty amat dibenci Arissa yang menganggap Paty sebagai ketinggalan zaman dan tidak kena dengan taraf hidup keluarga Arman yang kaya-raya dan suka bersosial. Oleh sebab itulah Arman berpindah keluar dari rumah agam ibunya. Sebelum ini, semua masalah ini tidak timbul sehinggalah Adam berkahwin dengan Arissa. Arissa boleh dikatakan telah mengubah 99% kehidupan Adam dan keluarganya.

Fida menjemput mereka ke ruang tamu. Mereka semua duduk di sofa dan mula bersembang antara satu sama lain. Topik utama dalam perbincangan mereka sudah semestinya mengenai Arissa.

“Paty, apa khabar? Sihat ke?” tanya Fida. Fida pula adalah seorang gadis yang karektornya berubah mengikut keadaan. Disamping itu, dia mempunyai tahap panas baran yang tinggi. Wajahnya cantik dan kulitnya mulus. Dia juga tidak kurang hebat bergaya. Namun sikap panas barannya telah merosakkan segala-galanya.

“Sihat, Alhamdulillah..” kata Paty yang masih mempunyai sisa-sisa kepelatan berbahasa Cina.

“Arissa dah balik ke?” Arman mula bersuara. Arman seperti adiknya, Adam adalah seorang yang kacak dan segak. Dia tidak menyimpan misai mahupun janggut.

“Dah tadi .. tapi aku tak jumpa dengan dia lagi,” jawab Fida dengan nada benci.

“Aku malas betullah bila perempuan tu dah balik. Adam pun dah tahu kan yang aku memang tak suka isteri dia tu. Lagi diajak aku datang makan malam dengan perempuan tu!” Arman mula terasa panas.

“Abang.. sudahlah tu, lagi pun Adam cakap kita gathering malam ni nak bincang pasal mama kan?” kata Paty. Walaupun Arissa membencinya, dia tetap tidak suka bermusuhan dengan orang lain. Mengapa api harus dibalas dengan api?

“Paty, you tak kenal lagi perempuan tu.. kalau you duduk sini lama-lama baru you tahu..” tambah Fida pula.

Paty hanya terdiam mendengar kata-kata Fida dan suaminya. Walaubagaimanapun, dia tetap berpendirian yang manusia akan berubah, begitu juga Arissa.

****

ARLISA sedang menyisir rambutnya ke tepi. Mekap sudah lengkap dipakai tetapi kali ini dia hanya membuat solekan tipis sahaja. Penatlah kalau tiap-tiap kali nak letak foundation, bedak two way cake dan mascara setiap masa. Kedengaran pintu biliknya diketuk perlahan. Arlisa lalu bangun untuk melihat siapakah gerangan diluar biliknya.

“You Adam?” Hati Arlisa berdebar sedikit. Kali ini tangannya tidak lagi menggeletar namun dia tetap berselawat di dalam hatinya.

“Yes it’s me!” Adam mengerut dahinya. Arissa memang pelik sejak balik dari Penang. Dia semacam terkejut saja kalau nampak aku kan?

“Masuklah..” Nafas Arlisa tersekat di dada.

“You dah siap? Tadi Siti bagi tahu, abang I dengan isteri dia dah ada kat bawah,” jelas Adam.

“Emm dah siap dah. Jomlah turun!” Arlisa tidak mahu berlamaan di kamarnya. Dia akan cuba sedaya upaya untuk mengelak Adam dari melakukan sebarang perkara yang tidak enak pada dirinya.

“Okey,” putus Adam yang hanya menuruti kata Arlisa.

Pasangan tersebut menuruni tangga utama dan terus ke ruang tamu rumah. Apabila Arlisa menjejakkan kakinya ke ruang tamu tersebut, dia disambut oleh wajah masam mencuka Arman dan Fida. Manakala Paty pula seperti takut-takut untuk memandang tepat ke wajahnya. Arlisa cuba untuk mengukir senyuman dengan seikhlasnya. Walaupun sebenarnya di dalam hati dia amat takut untuk berhadapan dengan mereka semua. Dia takut akan tindak balas mereka terhadap dirinya yang sangat berbeza dari Arissa.

“Arman!” Adam mendakapi abangnya.

“Yeah Adam. Aku tak sangka pulak isteri kau dah balik kan…” Arman mempamerkan wajah ketidakpuasan hatinya. Dia menjeling tajam terhadap Arlisa.

Arlisa hanya menunduk. Dia takut untuk memandang tepat ke wajah Arman. Takut dijeling lagi. Gaya pandangan Arman macam nak makan orang. Namun Arlisa cuba menegur Paty dan Fida. Dia tidak mahu dilabel sombong. Dia hanya mahu menghabiskan tempoh masa setahun ini dengan melakukan kebaikan dan berbaik-baik dengan orang di sekeliling sahaja. Dia akan membersihkan nama Arissa.

“Hai Paty, Fida.. Arman.. semua sihat?” Arlisa menghulurkan salamnya kepada Paty dan salaman itu bersambut walaupun dengan gerak tangan Paty yang teragak-agak. Dia seperti meragui salaman yang dihulurkan Arlisa.

Arlisa kemudian menghulurkan salamnya pada Fida, namun malangnya tidak bersambut. Wanita itu hanya memandang lesu terhadap huluran tangan Arlisa dan berpeluk tubuh. Dia juga ikut sama menjeling Arlisa seperti Arman.

“Fida..” Adam berdehem dan kemudian bersuara tegas. Dia menegur tindakan buruk Fida terhadap Arlisa. Namun Fida tetap juga dengan sikap degilnya.

“Tak apalah Adam. Paty dan Arman mesti dah laparkan? Jom kita semua ke ruang makanlah..” ajak Arlisa. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk.

“Huh.. jom!” Adam sedikit tidak sedang duduk melihat tingkah laku Fida. Dia juga terkejut sebenarnya melihat tingkah laku Arissa yang berlainan hari ini. Arlisa tidak bertikam lidah dengan Fida? Ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

****

MEREKA semua ke ruang makan. Ameera juga sudah berada di ruang makan siap berbaju gaun berwarna merah. Arlisa jadi geli hati melihat kanak-kanak ini. Sungguh comel! Namun sangat nakal juga pada masa yang sama. Ameera sedang bermain-main dengan sudu dan garpu di atas meja. Fida yang tidak senang hati mendengar bunyi bising PANG PONG PANG itu mula bersuara.

“Ameera! Diam sikit boleh tak?” jerkah Fida.

“Fida.. ini meja makan kan? Boleh tak tolong jangan menjerit?” tegur Adam.

Arlisa yang melihat keadaan tersebut terus bangun dan pergi ke kerusi Ameera. Dia mengambil sudu dan garpu tersebut dari tangan kanak-kanak itu. Lalu dibawanya Ameera ke kerusinya dan duduk bersamanya. Pada pemikiran Arlisa, kalau hanya ditegur dan dimarah tanpa mengambil apa-apa langkah, ia tidak akan merubah apa-apa pun pada kanak-kanak berkenaan. Ameera masih kecil dan dia harus diajar untuk beradab. Lebih baik budak itu bersamanya dari dibiar makan sendiri tanpa kawalan.

Semua yang berada di meja makan berkenaan tergamam melihat tingkah laku Arlisa. Begitu juga Mak Jah dan Siti yang sedang menyediakan makanan. Apa yang sudah terjadi pada Arissa?

“Dear, you selesa ke macam tu?” tanya Adam. Dia takut benar jikalau Arissa tiba-tiba mengamuk tak selesa dengan perangai Ameera yang macam-macam.

“I’m okey Adam.. I rasa biar Ameera makan dengan I. I suapkan dia.” Wajah Arlisa tampak tenang. Dia sudah biasa dengan kanak-kanak. Dulu dia pernah bekerja di taska sebelum dia berkerja di kedai kek Crown Pastries.

“Mak Jah, mama tak turun ke? Saya tadi suruh Mak Jah ajak dia turun kan?” tanya Adam.

“Tuan Adam, Puan Murni tak mahu turun.. Tuan pun tahu sebab apa kan..” jawab Mak Jah sambil menjeling ke arah Arlisa.

Arlisa terkejut dengan tindakan Mak Jah. Dia jadi tak senang. Kali ini apa pula? Kenapa Mak Jah pandang aku macam tu? Puan Murni tak nak turun sebab aku atau lebih tepat Arissa ada kat bawah ke?

“Mak Jah, kenapa Puan Murni tak mahu turun?” tanya Arlisa. Dia mahu tahu apa sebabnya.

“Kau tak sepatutnya bertanya! Kau sendiri penyebab kepada masalah ni.. jangan nak buat-buat tak tahu pulak..” celah Arman. Adam mula memandang abangnya dengan pandangan tajam.

Arlisa tidak mahu adik beradik ini bertumbuk, lalu dia bangun dan memberikan Ameera kepada Mak Jah.

“Mak Jah tengokkan Ameera.. biar saya sendiri yang pujuk Puan Murni..” Arlisa bergerak meninggalkan meja makan tersebut dengan tiba-tiba.

Arman bingkas bangun untuk menahan tindakan Arlisa. Namun dia ditahan isterinya, Paty dan Adam. Keadaan makan malam ini tidak mencapai matlamat seperti yang dijangkakan Adam. Dia sudah mengagak dari awal. Memang kehadiran Arissa hanya akan merosakkan keadaan. Ditambah pula oleh sikap Arman yang pemarah dan mulut celupar Fida. Lingkup semuanya!

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.