Home Novel Fantasi Pada Suatu Masa Hadapan
Pada Suatu Masa Hadapan
Syaida Ilmuna Ismail
24/10/2014 18:17:35
17,103
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
06

ANAS mencampakkan beg sekolahnya ke atas katil. Nafasnya dihela kasar. Pintu kamar pula dihempas kuat. Hatinya panas bagai disalai. Selera makannya pun sudah punah setelah bertegang urat dengan Amanina tadi.

Memang nasib dia dan ibunya selalu begini. Anas tidak menyangka begitu buruk pandangan orang kampung terhadap dia dan ibunya. Sanggup ayah Amanina menggelarkan dia anak luar nikah dan ibunya perempuan jahat? Mereka menilai tanpa usul periksa!

Sungguhpun begitu, Anas masih curiga terhadap apa yang menimpa dirinya. Kata Amanina ada benarnya juga. Mengapa dia tidak pernah diberitahu hal yang sebenar? Siapa ayah? Bagaimana rupanya? Mengapa ibu katakan ayah tiada tanpa menjelaskan ke mana ayah pergi? Mengapa pula nenek selalu mengatakan yang ayahnya seorang lelaki tak guna dan penjenayah?

Ya ALLAH! Anas hanya mampu meluahkan segala isi hatinya kepada TUHAN yang satu. TUHAN yang memahami isi hatinya yang sering bergolak ingin mengetahui segala rahsia yang telah dihindar darinya.

Kalaulah ibu lebih terbuka mengenai hal ini… Malangnya ibu bukan begitu. Wanita itu selalu bertindak mengikut kata hati. Ibu lebih suka menyimpan rahsia ini dari meluahkannya. Mungkin memang begitu agaknya sikap ibu yang telah diasuh menjadi gadis kampung sejati.

Pintu bilik Anas diketuk lembut dari luar. Kedengaran suara Zara memanggil Anas. Tanpa berlengah, Anas bingkas bangun dan membenarkan ibunya masuk ke dalam bilik.

“Anas? Kenapa lambat balik ni? Dah pukul 3.30 petang. Ada kelas tambahan ke?” soal Zara sambil tersenyum manis.

Anas menggeleng laju. Dia berjalan ke almari bajunya dan mengeluarkan seluar tracksuit dan t-shirt putih.

“Dah makan? Kalau belum ibu sediakan…” tanya Zara lagi. Dalam diam, dia sudah dapat mengesan perubahan sikap Anas yang kelihatan hiba dan kurang selesa secara tiba-tiba.

“Anas kenyang,” jawab Anas sepatah tanpa menoleh ke arah Zara.

“Kenapa Anas? Anas sakit? Tak sihat?” Dahi Anas disentuh Zara lembut. Biasa-biasa saja. Suhu tidak menaik atau menurun mendadak.

Anas menggeleng lagi. Dia seterusnya duduk di birai katil bersama baju dan seluar tracksuit di tangan.

“Kalau ada masalah beritahu ibu, sayang…” pujuk Zara.

Akhirnya Anas mendongak ke wajah ibunya yang jernih itu. Wanita yang berusia 39 tahun ini masih lagi sabar berdiri di hadapan Anas demi melayan sikap keanak-anakannya yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

“Masalahnya ibu. Ibu masalah Anas sekarang ni.”

Zara tercengang mendengar bicara anak terunanya. Apa salah dia pula kali ini?

“Kalau ibu boleh beritahu Anas… siapa ayah Anas. Mungkin masalah Anas boleh selesai,” sambung Anas lagi.

“Ya ALLAH, Anas. Kenapa dengan Anas ni?” soal Zara buat-buat tidak mengerti.

“Ibu! Anas cuma mahukan jawapan. Bukannya soalan.”

“Berapa kali ibu nak beritahu? Ibu tak tahu!” selindung Zara. Dahinya mula merindik peluh.

“Ibu tipu Anas… Ataupun memang betul Anas ni… anak luar nikah?” bicara Anas lancang.

Mata Zara menjegil terhadap Anas. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menampar wajah anaknya itu. Ikut sedap mulut saja berbicara!

“Anas! Anas ingat ibu ni apa? Ya ALLAH… kenapa sampai boleh berfikiran macam ni? Ibu dan ayah berkahwin sebelum Anas dilahirkan. Kami tak pernah buat hubungan yang tak senonoh,” tegas Zara. Wajahnya panas menahan pedih di dada.

“Kalau macam tu… mana ayah Anas ibu? Mana? Dia duduk mana sekarang? Kenapa dia tak datang jenguk kita dan bawa kita pergi dari neraka ni, ibu?” soal Anas tanpa mengira perasaan ibunya lagi. Di dalam hatinya cuma teringatkan Amanina . Dia tidak mahu kehilangan gadis itu.

Zara menundukkan wajahnya. Lidahnya kelu dari berkata-kata. Bukan sengaja dia ingin merahsiakan segala-galanya pada Anas. Dia cuma… tidak tahu. Dia sejujur tidak tahu ke mana Azaryl pergi dan mengapa dia ditinggalkan suaminya. Oleh sebab itulah dia setia menanti selama 18 tahun dan berharap janji Azaryl itu akan ditepati. Suaminya pasti akan kembali.

“Ibu tak boleh jawab soalan Anas kan…” ujar Anas perlahan.

“Anas…” Bahu anak lelakinya itu disentuh lembut.

“Keluarlah ibu… Anas nak berehat,” arah Anas dengan nada perlahan. Kesal hatinya sungguh kesal!

Zara berjalan perlahan keluar dari kamar anak lelakinya. Hatinya berdetak kencang. Kalau inipun mendatangkan masalah besar buat mereka… bagaimanapula dengan perancangan mak dan ayah yang ingin mengahwinkan dia dengan Zahri? Hanya TUHAN saja tahu bagaimana bergolaknya perasaan dia kini.

***

MALAM menimpa Kampung Selamat dengan limpahan hujan yang dianggap rahmat bagi seluruh penduduk kampung. Sudah tiga minggu kampung mereka tidak ditimpa hujan. Disebabkan itu, tanaman mulai melayu dan ada yang sudah tunjuk tanda-tanda bakal rosak dan mati. Namun begitu, pada malam ini doa-doa para petani dikabulkan ALLAH. Hujan rahmat turun menyelamatkan segalanya.

Bagi Anas, hujan pada malam ini bagaikan memahami perasaan hatinya yang sayu. Rasa berdosanya dia pada si ibu pagi tadipun masih belum terhapus. Memang Anas anak derhaka. Lancang mulutnya akibat perasaan marah sudah membuatkan hati ibunya terguris.

Oleh kerana itu, Anas paksakan dirinya untuk turun makan pada malam ini. Tentang soal nenek, dia harus pekakkan telinga saja. Biarlah apa orang tua itu hendak melalut. Dia hanya ingin makan dan memuaskan hati ibu. Itu saja. Titik!

Sebaik saja Anas keluar dari kamarnya, kelihatan Zara sedang menghidang makanan yang sudah dipanaskan. Mata bengkak dan hidung merah Zara terserlah apabila Anas cuba mencuri-curi pandang ke arah ibunya. Perasaan ego Anas masih berkalang di hati. Dia tidak mahu menegur ibunya walhal di dalam hati dia merintih sedih melihat keadaan ibu yang kemungkinan menangis sepanjang petang tadi.

Pak Mustapha dan Mak Zaiton keluar dari kamar mereka. Pasangan suami isteri itu mengambil tempat duduk dan mula menjamu selera.

Zara langsung tidak bersuara ketika menikmati makan pada malam itu. Wajah Anas pun tidak mahu ditatapnya. Terluka sungguh hatinya setelah apa yang berlaku petang tadi.

Mak Zaiton dapat mengesan perubahan tingkah laku Zara pada malam ini. Lalu hati jahatnya mula berbisik. Sengaja ingin dia mencucuk api-api kebencian pada Zara dan Anas supaya bertengkar. Biar suaminya rasa tertekan dan dikahwinkan Zara dengan segera. Menyampah sungguh dia melihat wajah Zara yang berlagak lugu ini berada di rumah.

“Anas, nenek dan atuk sebenarnya ada hal yang dicakapkan dengan kamu.” Mak Zaiton mula menyusun kata.

Anas mengangkat wajahnya dari pinggan nasi yang separa penuh. “Tentang apa, nek?”

Mak Zaiton mengerling ke wajah Pak Mustapha yang ternganga mulutnya. Manakala buat Zara yang sedang sibuk mengulit nasi di pinggan, dilontarkannya senyuman sinis.

“Nenek dan atuk dah fikir masak-masak. Bulan depan kami nak kahwinkan mak kamu dengan Zahri arkitek tu,” kata Mak Zaiton.

Terbeliak mata Anas apabila mendengar patah kata Mak Zaiton. Kepalanya dikalihkan ke Zara yang juga terkejut mendengar pernyataan ibunya.

“Kahwinkan ibu? Dengan Pak Cik Zahri? Tapi kenapa?” soal Anas terkejut.

“Sebab kami berdua ni dah tak larat nak tanggung hidup mak kamu dah kamu tu, Anas. Haa eloklah mak kamu tu berkahwin. Ada laki boleh jaga makan pakai dia.” Mak Zaiton sedap menambah perisa dalam bicaranya. Biar pedas terasa hingga ke hujung lidah.

“Ibu?” Anas memegang tangan Zara yang berada di sebelahnya. Matanya terkelip-kelip melihat ibunya yang diam tidak terkata apa-apa seperti membenarkan kata nenek.

“Tak payah sibuk-sibuk tanya ibu kamu tu. Kami yang buat keputusan. Kami dah putuskan!” Mak Zaiton bangun dari kerusi yang didudukinya. Langkah diatur masuk ke dapur.

Anas juga ikut bangun. Hatinya membara. Nafasnya naik turun menahan amarah di hati. Itu saja yang ibu tahu. Menurut kata nenek! Ikut saja apa yang nenek suruh.

“Ibu setuju ke?” tanya Anas perlahan.

Bibir Zara diketap kuat. Dia memandang sayu ke wajah Anas. “Ibu pilih apa yang terbaik buat Anas. Kalau ini terbaik untuk kehidupan Anas nanti… ibu setuju.”

Anas mengangkat pinggannya dari meja. Wajah si ibu yang lembut makin membuatkan hatinya sakit. Ibu terlalu lemah! Kenapa ibu perlu menjadi gadis kampung tipikal yang hanya menurut? Sekarangkan zaman sudah moden. Ibu ada hak untuk membantah!

“Anas tak setuju!” tingkahnya tegas.

Mak Zaiton yang naik ke ruang makan sambil tersenyum meleret mendengar bicara cucunya. Pak Mustapha pula tidak mahu ikut campur. Dia cepat-cepat turun ke dapur.

“Siapa kamu nak beri persetujuan dalam hal ni?” potong Mak Zaiton sambil mencekak pinggang.

“Saya anak dia. Saya juga ada hak. Anas tak setuju nek.”

“Eh… eh budak ni! Mulut celupar! Makin pandai menjawab. Sebab itulah aku rasakan Zara… anak kau ni kurang didikan!” tengking Mak Zaiton kasar.

Zara bangun dari kerusinya. “Anas sudah… pergi masuk bilik.”

“Tak nak! Anas tak nak masuk bilik. Anas tak suka dengan sikap ibu macam ni. Ibu kena katakan kepada nenek yang ibu tak setuju! Ibu tak relakan?” bangkang Anas.

“Huh! Kau tengok tu… dia dah pandai menjawab cakap kau Zara. Sebab itulah mak kata… dia kena ada ayah yang boleh patah-patahkan sikap biadap dia ni. Kena dengan si Zahri tu baru duduk diam gamaknya!” Mak Zaiton seronok membakar api kebencian di hati Anas kepada Zara. Memang sejak dari dulu lagi dia bencikan Zara. Budak ini memalukan keluarga! Naik bingit telinganya dengar kutukan orang kampung.

“Anas! Dengar cakap ibu… pergi masuk bilik sekarang!” arah Zara. Tangan Anas ditariknya keluar dari ruangan makan. Pinggan di tangan Anas pula diletakkan ke atas meja semula.

Namun Anas mengeraskan badannya. Dia merenung wajah Mak Zaiton tajam. Sudah lama dia menahan amarah ini. Semenjak dari kecil lagi sehinggalah kini.

“Nenek… Anas tak setuju. Anas tak nak ibu kahwin dengan Pak Cik Zahri yang berlagak kaya tu. Kami lebih rela hidup merempat kat luar sana dari nenek nak jualkan ibu pada lelaki macam tu demi harta dan duit yang bakal nenek dan atuk dapat. Nenek ingat Anas tak tahu?” luah Anas. Segala yang terbuku di hatinya ingin dia keluarkan habis-habisan. Biarlah apa nak jadi. Dia tidak sanggup lagi hidup di dalam rumah neraka ini.

“Kurang ajar!” Pang! Tamparan kuat dihayunkan ke muka Anas.

Mak Zaiton menarik kolar baju Anas lalu menamparnya kali kedua. Seperti biasa, badan cucunya itu ditabuh kuat. Anas diperlakukannya sehingga jatuh meniarap di atas lantai. Budak lelaki itu tidak berani melawan kerana tidak mahu ibunya pula menjadi mangsa pukulan nenek.

Zara menangis semahu-mahunya. Matanya tidak sanggup lagi melihat derita Anas menanggung kesakitan itu. Telinga berdesing apabila mendengar rayuan dan tangisan Anas. Dia cuba menghalang namun Mak Zaiton menolak badannya tersungkur jatuh ke tepi kamar Anas. Orang tua itu bertindak gila dengan mengambil rotan buluh di dalam bilik lalu dihalakan ke muka Anas.

Anas mengesotkan badannya ke belakang apabila rotan itu dihunuskan ke wajahnya. Mak Zaiton melibaskan mata rotan ke kiri dan ke kanan sambil tersenyum ke arah Zara.

“Mak sudahlah tu. Maafkan Anas mak,” rintih Zara.

“Heh… sekarang baru kau nak merayu kat aku. Anak kau ni patut diajar cara begini!” tengking Mak Zaiton semula.

Mak Zaiton tanpa teragak-agak melibas kayu rotan yang runcing itu ke pipi kiri Anas. Zap! Darah mula meleleh turun dari pipi ke mulut Anas.

Zara menekan dadanya. Hatinya sudah tidak tertanggung lagi. Lalu dia berlari laju masuk ke dalam kamar. Laci di meja solek dibuka dan bola yang permukaannya dilatari lekuk heksagon itu dikeluarkan. Zara membawa bola itu ke ruang makan.

Hatinya tekad. Dia harus percaya bahawa kata-kata Azaryl mungkin ada benarnya. Tekan butang merah itu apabila mereka dihimpit masalah berat. Setelah 18 tahun, inilah masanya untuk membuktikan bahawa janji suaminya itu benar ataupun palsu.

“Sudah mak! Sudah!” tahan Zara apabila Mak Zaiton cuba untuk melibaskan rotan buat kali yang kedua ke arah Anas.

Tangan Anas dipegang kuat. Bola berlekuk heksagon itu diangkat dengan tangan kanannya. Zara memejamkan mata dan menekan butang merah yang tersembul di atas bola tersebut dengan sepenuh hatinya.

Mak Zaiton memandang tingkah laku Zara sinis. Dah hilang akal apa budak ni?

Manakala Anas pula tercengang melihat tingkah laku ibunya. Apa yang ibu sedang lakukan ni? Mana pula ibu dapat bola golf tu?

Zara membuka matanya. Ibu jarinya yang menekan butang merah itu dilepaskan. Tiada apa yang berlaku. Tiada apa yang berubah. Bola ajaib yang dia sangka boleh menghubungkan dia dan Azaryl itu suatu penipuan. Lalu tangan Zara diturunkan ke bawah.

“Ya ALLAH…” Zara mula menangis. Air matanya merembes turun ke pipi. Dusta! Azaryl seorang pendusta! Sanggup Azaryl buat dia begini?

“Apa kena dengan kamu ni? Dah gila?” Mak Zaiton memandang Zara pelik. Bola apa pulalah yang dipegang anaknya itu…

Tangan Zara yang memegang bola tersebut mulai bergetar. Seakan-akan bola itu ingin dilepaskan. Lalu Zara mengangkat tangannya naik dan membaling bola itu naik ke atas. Seperti yang telah dia jangkakan, bola itu terapung-apung dan mula berpusing laju. Pusingan setempatnya itu berubah apabila ia mula mengelilingi Zara dan Anas. Makin lama makin laju sehinggakan Zara dan Anas terasa seperti mereka berada di dalam gelungan tornado yang bakal membelah bumi.

Anas mendakap Zara erat. Dia ketakutan. Manakala Zara pula hanya mampu berzikir di dalam hati. Keadaan yang sedang berlaku di sekelilingnya ini adalah dengan izin ALLAH. Dia tidak dapat menghalangnya malah dia juga berharap ia adalah untuk kebaikan dia dan Anas. Ia juga adalah janji Azaryl yang mungkin bakal ditunaikan.

Tornado kecil yang membawa Anas dan Zara di dalamnya itu mula menghentam pintu rumah kayu itu. Mak Zaiton yang tercengang melihat keadaan itu terasa bagai nak pitam. Pintu yang dihentam tornado itu terbuka dan ia berpusing-pusing laju di hadapan rumah. Kemudian, perlahan-lahan angin yang berputar itu memerlahankan kisarannya.

Setelah beberapa minit begitu, tornado kecil itu menghilang bersama angin malam. Zara dan Anas juga menghilang tanpa kesan.

“ALLAH!” Mak Zaiton jatuh terduduk di hadapan pintu rumah.

Pak Mustapha yang baru naik dari dapur terkejut melihat tingkah laku isterinya. “Eh apa yang terjadi ni? Mana Zara dan Anas?”

“Tu… tu… hilang!” jawab Mak Zaiton yang seperti orang kehilangan akal.

***

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail