CERPEN:
KAHWIN LARI KARYA: SYAIDA ILMUNA
PAGAR
yang menghadang bahagian hadapan balkoni itu dipanjat. Aryani menjenguk ke
bawah. Tingginya! Bagaimana dia mahu terjun dari sini?
Baju kurung moden putih yang dihiasi
labuci berwarna merah jambu itu dijingkatkan kainnya. Ia memudahkan Aryani
untuk memanjat pagar balkoni itu dengan lebih tinggi. Aduh! Kenapa tinggi
sangat ni? Dahlah aku gayat!
Aryani turun semula dari pagar
balkoni. Dia mundar-mandir sambil mencari akal. Sesuatu harus dilakukannya.
Sesuatu yang mudah dan dapat menyelesaikan masalah. Jikalau dia lambat bertindak,
ini bermaksud dia bakal ditinggalkan.
Tiara serta kain selendang yang
terhias indah di atas kepala segera ditanggalkan. Rimas pula rasanya. Otak
seperti sempit untuk berfikir. Setelah mundar-mandir lebih dari lima kali,
Aryani mengambil keputusan untuk masuk ke dalam kamarnya semula. Duduk di atas
katil empuk yang bercadar satin merah.
Matanya meliar ke seluruh pelosok
bilik. Mencari sesuatu yang dapat membantunya turun dari balkoni ini. PAP!
Jarinya dipetik. Langsir berwarna putih itu dapat dijadikan mangsa. Tanpa
berlengah lagi, Aryani menurunkan kedua-dua belah langsir jendelanya dan mula
menghubungkan kedua-dua langsir tersebut dengan mengikat kedua-dua pangkalnya
bersama.
Hasil ikatan langsir itu dibawa ke
balkoni dan hujung langsir tersebut diikat pula pada batang besi balkoni.
Bahagian langsir yang selebihnya kemudian dicampak ke luar balkoni. Aryani
meninjau suasana di bawah. Kosong. Inilah masanya! Matanya dipejamkan.
“Haiqal,
awak tunggu sekejap je lagi ya!”
***
BAU
mawar harum semerbak menusuk ke rongga hidungnya sebaik sahaja dia menolak
pintu kaca Kafe Flora yang sudah sedia terkenal dengan tema romantis dan penuh
dengan dekorasi bunga itu. Aryani mencari-cari sebatang tubuh yang dia
nanti-nantikan pertemuan bersama. Nampaknya jejaka itu tidak juga kelihatan di
mana-mana. Lambat lagilah tu!
“Cik Aryani?’ tegur seorang gadis
dari arah belakang.
“Ya, saya?” jawab Aryani.
“Meja cik di belakang sana ya..”
Gadis tersebut menuding jarinya ke arah sebuah meja yang dihiasi kelopak mawar
putih bertebaran di atas pelapik meja yang berwarna perak.
“Oh okay! Terima kasih.” Aryani
tersenyum kecil sambil bergerak ke arah meja tersebut. Nampaknya sangkaan
Aryani kali ini meleset. Ternyata si dia sudah bersedia jauh lebih awal dari
yang disangkakan.
Haiqal.. Dia memang berbeza dari
semua jejaka yang pernah aku kenali. Disaat mereka semua cuba memenangi
sekeping hati ini, dia telah mencuri dan membawanya pergi. Kehilangan hati ini
telah membuatkan jiwaku tidak begitu waras seperti selalu. Benarlah kata Paulo
Coelho, hanya ada tiga perkara saja yang dapat mengubah diri seseorang. Impian,
penderitaan hidup dan cinta. Oleh kerana cinta inilah aku nekad untuk melakukan
hal sebegini.
Jemari Aryani mengutip salah satu
dari kelopak mawar putih yang bertaburan di atas alas meja tersebut. Kelopak
itu ditekapkan ke hidungnya lalu aroma mawar itu disedut. Wangi. Terasa seperti
jatuh cinta berkali-kali apabila menghidunya.
“Tahu tak kenapa I gelar you ni
mawar dan I ni kumbang yang selalu tergila-gilakan you?” Aryani segera berkalih
dan kelihatan seorang jejaka yang berkumis nipis sedang memegang sejambak mawar
merah.
“Jangan nak mengadalah! I nak kena
cepat ni.” Aryani tidak mahu melayani perasaan yang bertandang di hatinya.
Walaupun hakikatnya pipi ini sudah mulai memerah.
“Mawar mempunyai madu di dalamnya. Dan
madu itu I kiaskan sebagai hati you. Manis, indah dan membuatkan I ketagih dan
bercita-cita memilikinya. Tanpa madu, kumbang tidak akan mempunyai sebab
mengapa dia harus terbang ke udara. Tanpa Aryani, Haiqal tidak mempunyai sebab
mengapa dia perlu berdiri tegak di sini.” Jejaka itu menoktahkan kata-katanya
dengan menyerahkan sejambak mawar yang dipegangnya tadi kepada Aryani.
“Thank you anyway, Haiqal.” Aryani
mengetap bibirnya kuat. Bagaimanalah dia ingin lari dari cinta ini?
Bagaimanalah dia mampu menangkis kata-kata indah yang keluar bibir Haiqal? Dia
tahu itu tulus dan dia juga tahu jikalau semua ini tidak berjaya, dia bakal
melukakan hati jejaka ini.
“You ni memang tak ada perasaan
kan?” Haiqal mengambil tempat duduknya. Untuk sejenak dia tertawa kecil dengan
tingkah laku Aryani yang sengaja buat-buat tidak endah itu.
“Dahlah, kita boleh romantis di lain
hari tapi hari ini penting sangat! I nak kahwin lagi tiga hari tahu tak? Dan
you masih sempat beli bunga dan buat reservation untuk this romantic lunch? Oh my god!” leter Aryani. Panas pula hatinya.
Haiqal ni suka main-main!
“Okay. I tahu… I tengah fikirlah ni.
Lagipun semua dokumen dah ready kan? Anyway you yakin ke yang you
betul-betul nak larikan diri?”
Aryani terdiam seketika. Tiba-tiba
mindanya dipenuhi wajah mama, adik perempuannya serta suasana rumah yang bakal
dia rindukan. “I don’t know. Apa yang
I tahu, I tak nak kahwin dengan Hisyam!”
“You ada try cakap dengan mama you tentang kita?” Haiqal sempat memesan minuman
daripada pelayan. Kemudian, tangan Aryani digenggam erat. Dia tahu Aryani sudah
lama menahan beban di hatinya. Datin Haryati terlalu menekan dan memaksa.
Sampaikan dia pun hilang keyakinan diri untuk memperkenalkan dirinya kepada ibu
Aryani itu.
“Nope. Dia bukannya nak dengar.”
“Lepas tu macam mana? Yang ini
sajalah option kita.”
“You tak rasa ke kita ni berdosa
sebab buat benda macam ni? Nanti kalau kita kahwin, tak bertahan lama tahu
tak?” rungut Aryani lagi.
Haiqal menggaru-garu kepalanya yang
sudah mulai merengsa. Aryani oh Aryani! Apa sebenarnya yang awak mahu ni? Kita
dah bukan main merancang sebelum ini. Tup.. tup awak nak batalkan saja?
“Diam je ke? Bagilah I idea!”
“I dah kekeringan idea. Sama ada you
beritahu mama you tentang kita atau…”
“Atau apa?”
“Macam
nilah.. Hari Jumaat ni, I tunggu kat pagar belakang rumah you pukul 10 pagi.
Kalau you tak datang dalam masa 15 minit, I anggap yang kita dah batalkan
rancangan ni okay?” jelas Haiqal. Dia kemudiannya bangun dan meninggalkan Flora
Kafe tanpa menyentuh langsung minuman yang dipesannya tadi.
Aryani tercengang dengan tindakan
drastik Haiqal. Tinggalkan aku macam tu je? Takkan nak merajuk kot? Alahai apa
yang aku nak buat ni… Benci!
***
DUA
hari sebelum ke gerbang perkahwinan. Aryani jadi tak senang duduk. Haiqal hanya
berdiam dan mengambil langkah ‘blackout’
langsung darinya. Takkanlah dia terasa hati dengan kata-kata aku tempoh hari?
Aryani bercakap mengenai kebenaran, bukannya hal yang mendustakan. Memang
mereka harus berfikir dan melihat hal ini ke depan. Banyak marabahaya dari
citra indah yang mereka dambakan. Takkanlah bercakap benar pun telah menjadi
suatu kesalahan?
Jendela biliknya dibuka luas. Pagi
ini agak mendung. Dari malam sampailah ke pagi, asyik hujan saja. Mungkin cuaca
pun tahu hatinya kini sedang dilanda badai.
“Aryani..” Pintu biliknya dikuak.
Kelihatan Datin Haryati menyuakan kepalanya masuk ke dalam bilik.
“Mama? Kenapa ya?”
“Hisyam datang. Dia nak berjumpa
dengan kamu. Mama ingat tadi kamu tak bangun lagi.” Datin Haryati menolak pintu
bilik tersebut dengan sepenuhnya. Dia mula melangkah masuk dan mendekati
Aryani.
“Oh.. dia nak apa?”
“Entah, katanya ada hal yang nak
dibincangkan.”
“Saya malaslah ma nak jumpa dia.”
“Eh? Kesian dengan budak tu, mama
tahu kamu tak cintakan dia. Tapi lepas kahwin nanti belajarlah cintakan dia ya.
Benda ni semua take time. Untung kamu dapat dia. Bapanya pemilik syarikat kapal
yang terbesar kat semenanjung ni tau,” ujar Datin Haryati.
Aryani mencebik. Mama hanya pandang
harta dan pangkat. Bagaimana pula dengan lelaki yang tiada apa-apa tetapi dia
memiliki sekeping hati yang mulia dengan budi pekerti? Jauh lebih mulia dari
hati kita yang penuh dengan emas dan permata ini.
Oleh kerana tidak tahan mendengar
leteran ibunya, Aryani turun ke bawah. Hisyam dilihat sedang duduk sambil
menyilangkan kakinya ke atas meja kopi di ruang tamu. Sebaik saja mendengar
derap kaki Aryani, dia dengan pantas menurunkan kakinya itu semula ke lantai.
“Eh Aryani! I ingat you tidur lagi,”
bicara Hisyam sambil tersengih bagai kerang busuk.
“Tidur apanya? Matahari dah terpacak
atas kepala.” Bara di hati Aryani kian meningkat suhu. Tinggal nak meletop jadi
bom saja.
“Well, I minta maaf ganggu you
pagi-pagi ni. Sebenarnya I ada hal penting nak bincang dengan you.” Hisyam
dengan tiba-tiba berdiri tegak dan melakarkan wajah serius.
Aryani
jadi seram melihat perilakunya. Selama dua kali mereka bertemu sebelum ini,
lelaki itu tidak pernah membuat mimik serius. Malah bicaranya hanya sampah
semata-mata. Asyik saja berbicara tentang kemegahan keluarganya.
“Cepatlah
cakap.”
“I
actually… well.. hmm..” Hisyam masih lagi bingung dengan apa yang dia bakal
perkatakan. Dia takut apa yang difikirkan Aryani, belum tentu sama dengan apa
yang dia difikirkan.
“Cakaplah!”
Aryani sudah hilang kesabarannya. Dah bagi peluang, terkulat-kulat pula dia di
situ.
“Takpelah
Yani. Kita cakap di lain hari.” Hisyam meminta diri untuk pulang. Mungkin dia
belum cukup kuat untuk menyatakan apa yang terbuku di hati.
Tiba-tiba
saja lelaki itu berubah sikap. Aryani cuba untuk menelah perilaku bakal
suaminya itu tetapi dia gagal. Mungkin dia cuba nak berbaik dengan aku kot.
Mungkinlah kan…
***
“ALHAMDULILLAH!
Akhirnya berjaya juga aku dapat kerja ni.” Haiqal mengemaskan beberapa fail
lalu memasukkan ia ke dalam beg sandang yang bawanya. Hari ini nasib
menyelebelahinya. Setelah melalui saringan temuduga sebanyak dua kali, akhirnya
pihak Petronas memutuskan bahawa dia telah diterima bekerja bersama mereka di
bahagian Perhubungan Korporat. Syukurlah kini dia tidak menganggur lagi.
Sebelum pulang ke rumah, Haiqal
meluangkan sedikit masa dengan berjalan-jalan di sekitar kompleks membeli-belah
KLCC. Meluangkan masa bersendirian sebegini dapat memberikannya peluang untuk
berfikir dengan lebih jelas. Haiqal bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana telah
menjawab hampir kesemua doanya selama ini. Namun jauh disudut hatinya, ingatan
ini sentiasa terlekat kepada gadis itu.
Aryani.
Itulah impian utamanya. Memiliki segalanya tanpa memiliki hati Aryani adalah seperti
kehilangan semangat untuk terus maju ke hadapan. Astaghfirullah! Sampai begitu
sekali dalamnya cinta dia terhadap Aryani. Jikalau dia bukanlah jodohku Ya
ALLAH, jauhkanlah dia dari diriku, pinta hati kecil Haiqal.
Setelah puas berpusing-pusing
sekitar KLCC, Haiqal bercadang untuk pulang ke rumah. Kereta yang berada di
tempat letak kenderaan dihidupkan enjinnya. Namun belum sempat pedal minyak
ditekan, Haiqal terdengar jeritan seorang wanita dari ceruk sebelah kanan
tempat letak kenderaan tersebut.
“Tolong!!
Arghhh!” rintih wanita itu lagi.
Haiqal mematikan enjin kereta dan
bergegas ke arah dari mana datangnya jeritan tersebut. Kelihatan dua orang
individu sedang bergelut di antara satu sama lain. Sepantasnya Haiqal merentap
kolar pakaian lelaki yang sedang sibuk merampas beg tangan wanita itu dan
membawanya ke tepi. Lelaki durjana itu ditumbuk di pipi serta perut.
Darah
mula menyeruak keluar dari bibir lelaki tersebut. Belum sempat Hakim membalas
tumbukan kedua, lelaki itu dengan pantas meloloskan dirinya dari cengkaman
Hakim dan berlari meninggalkan tempat letak kenderaan bersama beg tangan wanita
itu. Haiqal yang tidak sempat mengejar dari belakang hanya mampu membiarkan penjenayah
itu melepaskan diri dengan begitu sahaja.
Wanita
yang berusia 50-an itu duduk bersimpuh di atas lantai sambil menggosok-gosok
tangannya yang mungkin terseliuh. Haiqal yang kasihan melihat nasib wanita itu
mendekatinya.
“Makcik
okay?” Haiqal seakan-akan kenal dengan wajah wanita yang berada di hadapannya.
Kalau tak silap ini…. Tak mungkin!
“Aduh
sakitnya tangan saya ni… terima kasihlah encik sebab tolong saya,” ujar wanita
itu sambil cuba bangun untuk berdiri.
“Takpe
biar saya tolong.. umm..” Haiqal tidak tahu dengan panggilan apa yang dia harus
memanggil nama wanita ini sebenarnya. Kalau salah panggil nanti dia marah pula.
“Saya
Datin Haryati.”
Betullah
tekaan aku tadi! Ini memang mama Aryani. Aduhai, macam mana pula boleh terlibat
dalam situasi macam ni!
“Ahaa
datin.. Anyway saya nak mintak maaf, tak sempat nak kejar peragut tu. Beg
tangan datin dah dibawa lari..” Nada suara Haiqal tersekat-sekat. Jumpa bakal
mak mertualah katakan.
“Oh
takpalah. Asalkan saya selamat, awak pun selamat. Sekarang ni manalah si
Aryani, anak saya ni?” Datin Haryati meliar-liarkan matanya jikalau terlihat
kelibat Aryani di mana-mana. Manakala Haiqal pula jadi tak senang duduk. Aryani
pun ada dekat sini?
“Anak
datin pergi mana?” Haiqal ikut meliarkan matanya di sekeliling tempat meletak
kenderaan itu untuk mencari kelibat Aryani. Habislah nanti kalau dia tahu aku
ada kat sini.
“Haa
tu pun dia! Yani!”
Aryani
berlari-lari anak sebaik saja melihat ibunya bersama seseorang yang dia kurang
pasti siapakah gerangannya. Lelaki mana pulak tu?
“Ma!
Kenapa ni?” Aryani menoleh ke arah lelaki yang sedang dipaut mama. Eh? Haiqal!
Tak semena-mena kerisauan dan gundah gulana yang bertandang di hati terbang
dengan serta merta.
“Ni tadi ada orang ragut beg mama! Encik ni
lah yang tolong mama tadi.. Eh lupa pula nak tanya, nama encik apa ya?” tanya
Datin Haryati tanpa menyedari yang Haiqal dan Aryani sedang bermain mata dalam
diam. Saling bertukar-tukar isyarat wajah tanda tidak percaya akan keberadaan
diri masing-masing di tempat ini.
“Ah,
nama saya? Haiqal.”
“Oh,
Haiqal… ni pula anak makcik, namanya Aryani.”
Aryani
tersenyum simpul. Dah kenal nak diperkenalkan lagi ke? Aryani dengan segera
menghulurkan salam manakala Haiqal pula teragak-agak untuk menyambut salam
Aryani. Bukankah sepatutnya Datin Haryati tidak boleh mengenali dirinya?
“Emm
datin, saya rasa datin kena pergi klinik ni.. nanti tangan tu bertambah sakit.”
Haiqal cepat-cepat menukar fokusnya terhadap Datin Haryati. Aryani pula
dibiarkan melayani perasaan sendirian.
Huh!
Sombong bukan main! Merajuklah tu lagi. “A’ah mama. Jomlah Yani bawak ma pergi
klinik,” ujar Aryani pula.
“Nak
pergi macam mana Yani? Kunci kereta ada dalam beg tangan mama yang kena ragut
tu.”
Aryani
membeliakkan matanya tanda tidak percaya. “What?! Jadi sekarang kita nak balik
naik apa ni ma?”
Haiqal
menyedari dirinya kini menjadi harapan dua wanita ini. Lalu dia berdehem dan
mula bersuara, “Takpe, biar saya yang bawa datin dan Cik Aryani pergi klinik
dan hantar balik rumah. Itu pun kalau datin…”
“Okay!
Boleh-boleh!” Belum sempat Haiqal menoktahkan kata-katanya, Aryani terlebih
dahulu memberi kata putus.
Datin
Haryati yang berada di antara mereka berdua pula jadi pelik melihat tingkah
laku dua muda ini. Dah buang tabiat apa si Aryani ni, getus hatinya.
***
“SAYANG,
thank you sangat-sangat sebab tolong my mom tadi!” Aryani menyeringaikan
senyuman. Senyuman paling ikhlas yang pernah dia berikan.
“Hmm okay..” Sepatah itu saja
perkataan yang keluar dari mulut Haiqal. Dia seperti kehilangan mood. Takut nanti kalau dia terlebih
melayan perasaan, dia juga yang kecundang. Walaupun sesungguhnya, hanya TUHAN
saja yang tahu betapa dia ingin meluahkan segala isi hatinya ini kepada Aryani.
“You ni… asyik merajuk je. You tak
kesian kat I ke?”
“Nak kesian buat apa? You kan dah
nak kahwin.”
“Hey! Apa cakap macam tu! Kan kita
dah plan… kita akan tetap teruskan dengan plan kita!” Aryani merengus kencang.
Tanda protes terhadap kata-kata Haiqal tadi. Lagaknya macam orang yang dah
putus harapan.
“Plan? You cakap hari tu apa yang
kita buat ni salah. Dan.. Bila difikirkan semula, kata-kata you tu ada juga
kebenarannya. So, I rasa adalah lebih baik kalau you teruskan dengan rancangan
you untk berkahwin and let me move on?”
“Move
on? You… maksud you… kita putus?” Berderau darah yang sedang mengalir di
dalam badan ini apabila mendengar kata-kata tajam dari Haiqal. Dia ni serius
ke?
“Entahlah.”
“Apa maksud you entahlah?”
Haiqal mendiamkan dirinya. Jawapan
itu tiada pada dirinya. Apa yang dia tahu, dia mencintai Aryani namun dia tidak
akan dapat memilikinya.
“Sayang…” Aryani dihimpit perasaan
curiga secara tiba-tiba. “You datang KLCC buat apa eh? Don’t tell me that the
interview is today..”
Haiqal menghela nafas kecil. Ini
lagi satu masalah. Nak beritahu ke tak?
“Dear, you pergi interview tu kan?
You dapat kerja tu tak?” Aryani masih tidak berputus asa. Soalan ditanya
bertubi-tubi walaupun dia tahu Haiqal hanya akan membalas dengan keluhan yang
tidak bernoktah.
“Yes I dapat.”
“Oh my goddd!” Aryani menjerit
dengan sepenuh hatinya tanpa mengira keadaan di sekitar klinik di mana mereka
berada. Tiada kata yang dapat mendefinisikan betapa gembiranya hati Aryani pada
ketika ini.
“Syyy! Aryani! Perlahan sikit.”
Haiqal menepuk dahi. Dia sepatutnya sudah dapat mengagak keadaan ini akan
berlaku.
“Tell me dear.. ceritalah sikit apa
yang jadi masa kat dalam bilik interview tu…”
“Aryani, mak you kat belakang tu!”
Haiqal mengisyaratkan supaya Aryani mengawal dirinya. Memang dia juga gembira
dan mahu meraikannya bersama Aryani, namun ada banyak lagi hal yang tersekat di
kepalanya ini. Semuanya membuatkan perlakuan Haiqal terbantut.
Datin Haryati datang menjengah dari
belakang sambil membawa beberapa plastik ubat-ubatan. Tangannya sudah dibalut
kemas. Kemungkinan telahan Haiqal benar, tangan Datin Haryati hanya terseliuh.
“Yani, Haiqal..”
Aryani bingkas bangun dengan
secepatnya. Tersentap rasa jantung ini apabila mendengar suara Datin Haryati.
“Mama
dah okay?” tanya Aryani basa-basi. Fokusnya masih tertumpu pada Haiqal yang
baginya merajuk tak tentu pasal.
“Dah.. Alhamdulillah. Nasib baiklah
ada Haiqal ni. Kalau tak.. tak tahulah apa yang jadi dengan mama. Haih,
sayangnya… kalaulah mama ada lagi seorang anak perempuan, boleh mama kahwinkan dia
dengan Haiqal ni.”
“Apa?!” tanya Haiqal dan Aryani
serentak. Memang pernyataan mama yang ini betul-betul merentap jantung mereka.
Kenapa mama tak cakap dari awal? Alahai!
“Kenapa? Mama ada cakap benda salah
ke?” jawab Datin Haryati dalam keadaan terpinga-pinga. Kenapa pelik sangat
mereka berdua ni? Dari tadi lagi aku perasan. Macam ada yang tak kena.
Aryani dan Haiqal hanya tersenyum
kelat. Kalaulah kata-kata mama itu dilontarkannya sebulan sebelum perkara ini
berlaku. Kalaulah!
***
ARYANI
masih menjenguk ke luar balkoni. Ya ALLAH, kenapalah aku boleh terjerat sampai
ke tahap ini? Aku tahu tindakan ini tidak akan mengubah apa-apa pun masalah
yang sedang kami lalui kecualilah jikalau aku dan Haiqal bersemuka dengan mama
dan menceritakan hal yang sebenar.
Aku tak mencintai Hisyam. Aku tidak
mengenalinya. Malah aku sendiri pun tidak tahu nama penuhnya. Namun Haiqal, aku
mengenali lelaki itu jauh lebih dari aku mengenali diriku sendiri. Bukannya aku
tak mahu memberitahu mama akan hal ini, namun mama tidak mahu aku membuat
pilihan jodohku sendiri. Dia fikir apa yang terbaik untuk dirinya, adalah yang
terbaik untukku.
Aryani mula mengalirkan air matanya.
Hatinya pedih. Hatinya terasa sakit. Jadi apakah kesudahan kepada kerja gila
yang dia dan Haiqal rancang ini? Kahwin larikah penyelesaian masalahnya?
Bunyi deringan telefon Samsung Note
II miliknya memecah keheningan di hati. Nama Haiqal tertulis terang-terangan
pada senarai nombor pemanggil.
“Hello Haiqal.”
“Aryani. Dah pukul 10 pagi ni. I
menantikan you di tempat biasa. 15 minit dari sekarang kalau you tak datang, I
anggap yang kita tiada jodoh.”
“Qal, tolong jangan fikir macam tu…
I janji yang I akan datang.”
“Okay, I tunggu. Tapi cepat tau. You have 15 minutes only. And… I love you,” ujarnya lagi sebelum
mematikan telefon.
“I
love you too!”
Aryani nekad. Kakinya memanjat pagar
balkoni tersebut. Sebelah dari kakinya telah terkeluar ke bahagian luar pagar
dengan tangannya memaut erat pada langsir yang telah diikat pada salah satu
batang besi balkoni. Aryani kini sedang duduk di atas pagar balkoni dengan kaki
kirinya di dalam balkoni dan kaki kanannya pula terjuntai ke luar balkoni.
“Okay,
now.”
“Yaniiii, Aryaniiii!” Kedengaran
suara Datin Haryati dari dalam biliknya. Laaa! Mama nak apa pulak tu? Macam
mana aku nak turun ni?
Aryani mengangkat semula kaki
kanannya masuk ke dalam balkoni. Baju serta rambutnya diperkemaskan semula.
Alamak tiara dengan selendang dah tertanggal! Macam mana ni?
“Yani… mana pulak budak ni? Dalam
hal-hal penting macam ni lah dia hilang entah ke mana..” Datin Haryati
menjengah ke balkoni. “Eh mana pergi langsir ni? Yani!”
“Mama, Yani ada sini ni.. pengantin
laki dah sampai ke?” jawab Aryani yang secara tiba-tiba keluar dari ceruk
balkoni. Dia cepat-cepat menutup pintu kaca balkoni dari dimasuki Datin Haryati.
Takut-takut mamanya ternampak kain langsir yang tergantung di pagar balkoni.
“Yani… pengantin lelaki… tak jadi
datang.”
Aryani terasa bagai bermimpi
seketika. Tak datang? Mama tengah berjenaka mungkin. Ke aku yang salah dengar?
“Tak datang ke dah datang ni mama?”
“Hmm macam ni, tadi ayahnya Hisyam
call mama. Dia cakap Hisyam menghilangkan diri. Dah puas mereka cari tapi tak
jumpa-jumpa sampai sekarang. Mereka minta kita batalkan perkahwinan ni,” kata Datin
Haryati dalam nada simpati terhadap Aryani.
Aryani masih menahan perasaannya.
Ketawa? Nanti mama sangka aku gila. Nak menangis? Takut air mata pula tak
terkeluar.
“Oh… okay. Nak buat macam mana kan?
Orang dah tak sudi.”
“Kamu tak sedih ke? Mama, sedih
sangat sebab tak sangka hari bahagia anak mama dicemari dengan perkara buruk
macam ini. Tak sangka, Hisyam tu…! Ish!” Datin Haryati seperti kehilangan
kata-kata lagi. Sakit pula hatinya.
“Sedih. Tapi, kumbang bukan seekor
kan?”
“Betul tu Yani. Mungkin dia bukan
jodoh kamu. Mama tinggalkan kamu dulu ya.”
Sebaik saja Datin Haryati keluar
dari kamarnya, Aryani dengan pantas memeriksa jam di tangan. Sudah 10.40 pagi! Mungkinkah
Haiqal sudah pergi meninggalkannya?
***
ARYANI
duduk termenung menatap jendela yang dibasahi percikkan air hujan. Musim
tengkujuh masih belum berakhir. Tanah bumi masih lembab dan langit juga masih
tak kering dengan air mata.
Hatinya dilambung ombak. Kelopak
mawar merah dicarik satu persatu tanpa sebarang erti. Entah sampai bila dia harus
begini. Derita menahan pedih di hati yang kian lama kian memakan seluruh jiwanya.
Haiqal sudah lama menghilangkan
diri. Entah kemana lelaki itu pergi. Kata orang, Haiqal telah merantau ke
negeri orang semenjak bekerja dengan Petronas. Ada juga rakan-rakan Aryani yang
menyiasat, kata mereka Haiqal sudah bertemu wanita idaman hati dan bakal
berkahwin tidak lama lagi. Ah kusut pulak minda Aryani mendengarnya!
Semenjak
dari tragedi pagi itu, Aryani disangka pengkhianat oleh Haiqal kerana telah
memungkiri janji untuk bertemu. Haiqal pergi tanpa sebarang pamitan. Tanpa mendengar
langsung penjelasan yang ingin dia nyatakan. Sedangkan perkara itu hanya
sekecil zarah kesalahannya. Aryani tidak menikahi siapa-siapa. Malahan dia yang
ditinggal Hisyam di saat-saat akhir oleh kerana lelaki itu telah mempunyai
pilihan hatinya sendiri.
Kini semuanya hanya tinggal kenangan.
Memang benar kahwin lari ini tiada berkatnya dimana-mana. Kalau benar Haiqal
sayangkan dia, awal-awal lagi lelaki itu akan bertemu dengan mama. Awal-awal
lagi Haiqal akan berusaha dan bukan hanya menunggu Aryani seorang menjelaskan
hal ini kepada mamanya.
Biarlah duka ini menjadi pengajaran
buat dirinya dan wanita-wanita lain. ALLAH lebih mengetahui akan siapa jodoh
yang terbaik untuk kita. Yang pasti kahwin lari bukanlah jalan penyelesaiannya!