Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 19

SEMALAMAN Ainul Mardhiah tidak dapat melelapkan mata. Ini semua gara-gara usikan panas Syed Badiuzzaman. Dia memang hendak tidur, namun rasa bimbang pula yang bertamu di mata dan hati. Mudah-mudahan Syed Badiuzzaman hanya berjenaka. Perlahan-lahan Ainul Mardhiah bangkit dari katil yang menjadi peraduannya. Dia berjalan menuju ke arah jendela. Pagi di Kota Paris yang tak pernah mati. Kotaraya ini bermandikan cahaya, malah masih tertangkap dek bebola matanya kenderaan yang bertali arus di atas jalan walaupun jam sudah melewati angka empat pagi.

Aku di Paris? Tanya Ainul Mardhiah sendirian.

“Terima kasih kepada Syed Badiuzzaman kerana membawa aku ke sini. Jika bukan kerana kerja, aku tak akan sampai ke mari.”

“Tidurlah Ain, tidurlah! Kau perlukan tenaga untuk bergerak pagi nanti selepas perjalanan yang sangat panjang.”

“Tidur Ain, tidur.” Ainul Mardhiah memujuk lagi mata yang degil.

Dia duduk di atas sofa, cuba untuk memejam mata yang degil. Perlahan-lahan dia mengatup kelopak mata sehingga terdengar sayup-sayup bunyi pintu bilik diketuk.

“Ain..oh Ain! Bukak pintu ni.”

Suara itu makin jelas kedengaran. Ainul Mardhiah berusaha membuka kelopak mata. Mengantuk dan malas adalah acuan paling sempurna untuk menyambung lena. Tatkala bunyi pintu kedengaran diketuk, Ainul Mardhiah pantas bertanya pada diri sendiri.

“Aku di mana?” Dia cuba mengingat. Matanya hanya menangkap gambar sebuah katil kosong. Wajah Haji Karim dan Hajah Sareema melambai-lambai dari jauh.

“Ain, kau dengar tak aku panggil ni? Bukak pintu ni!”

“Alamak, Tuan Syed!” Ain bingkas bangun. Dia menerpa ke pintu, cuba untuk berbincang dengan Syed Badiuzzaman tanpa membuka pintu.

“Tuan Muda Syed Badi, Ain baru bangun. Maaf. Malam tadi tak dapat tidur. Boleh tak Tuan Muda Syed Badi bagi Ain setengah jam lagi?” Jelas Ain dengan suara kuat. Mudah-mudahan Syed Badiuzzaman mendengar suaranya, tak perlulah dia mengulang siaran sekali lagi.

“Kalau setengah jam lagi kau tak siap, jaga ya!”

“Ya, Ain janji!” Jawab Ainul Mardhiah penuh yakin. Sebaik suara itu tidak kedengaran lagi, Ainul Mardhiah bergegas ke bilik mandi. Dia cuba untuk bersiap pantas.


JANGAN tak percaya! Syed Badiuzzaman kuat berleter. Teruk juga Ainul Mardhiah dibambu Syed Badiuzzaman selepas sarapan pagi tadi. Ainul Mardhiah ingatkan dia terlepas daripada marah lelaki itu, rupanya Syed Badiuzzaman ingat sangat. Sengaja disimpan marahnya selepas makan. Kalau marah sebelum makan, hilang selera hendak makan pagi. Itu kata Syed Badiuzzaman sendiri kepadanya selepas Ain dibambu lelaki itu.

Mereka kini berada di Paris 18th, tempat menjual segala macam fabrik, daripada pakaian hinggalah kepada sapu tangan!

“Sini banyak pencopet, hati-hati!” Sempat Syed Badiuzzaman berpesan kepadanya.

“Mari sini, rapat sikit dengan aku.” Dia menambah pesanan. Ainul Mardhiah tidak banyak bicara, sedar yang dirinya di tempat orang, dia merapati Syed Badiuzzaman di sebelah. Beberapa kedai di sepanjang jalan itu telah mereka lepasi, namun masih tiada satu pun yang hendak dijelajahi Syed Badiuzzaman.

Akhirnya, Ainul Mardhiah membuat keputusan sendiri. Tatkala Syed Badiuzzaman terus melangkah ke hadapan, dia melangkah ke kiri lalu masuk ke dalam sebuah kedai. Entah bagaimana sebutan kedai tersebut Marche Saint Pierre. Kedai itu besar, setinggi lima tingkat.

“Bukan kat sini. Jalan lagi.” Tegur Syed Badiuzzaman. Terkejut Ainul disapa suara lelaki Melayu. Ingatkan siapa? Syed Badiuzzaman rupanya.

“Kau nak hilang jejak, ya? Berani buat keputusan sendiri.” Tanya Syed Badiuzzaman kembali.

Tadi, dia tercari-cari Ainul Mardhiah yang terpisah darinya. Beberapa kali juga berpusing mencari Ainul Mardhiah, nasib baiklah bayangnya dapat dilihat dari pintu utama kedai. Panik Syed Badiuzzaman sekejap! Hilang anak dara orang, mana aku nak cari di Kota Paris nan besar ni?

“Jom!” Kali ini Syed Badiuzzaman menarik tangan Ainul Mardhiah.

Tersentak dan meronta-ronta Ainul Mardhiah dibuatnya. Syed Badiuzzaman tak peduli jika Ainul Mardhiah marah sekalipun. Siapa suruh pandai-pandai buat keputusan? Aku ikut dia, atau dia ikut aku?

“Tuan Muda Syed Badi, lepas tangan saya boleh tak?”

“Boleh, asal kau ikut cakap aku. Boleh?”

“Saya masuk ke dalam, kan nak cari fabrik yang sesuai dengan Tuan Muda Syed Badi jugak?” Jawab Ainul Mardhiah, masih lagi berusaha melepaskan tangannya dari genggaman lelaki itu. Banyak dosa Syed Badiuzzaman dengan aku. Dia nak merangkak cari aku kat akhirat ke ni?

“Tak payah! Aku tahu mana nak tuju, kau jangan nak memandai. Dah sampai kedai tu, baru aku izinkan kau pilih.” Kata Syed Badiuzzaman, terus membawa Ainul Mardhiah berjalan di sisinya. Ainul Mardhiah menoleh majikannya di sisi. Geramnya! Rasa nak sekeh aje kepala dia! Apa dia ingat dia bos, dan boleh pegang tangan aku sesuka hati? Kali ini Ainul Mardhiah menyentak tangannya dari genggaman Syed Badiuzzaman. Berjaya! Yeay! Syed Badiuzzaman menoleh ke arahnya, sambil tersenyum.

“Mesti kau tak pernah pegang tangan lelaki?”

“Buat apa? Tambah dosa?” Soalnya sinis. Tiada jawapan daripada majikannya melainkan senyuman nakalnya. Ainul Mardhiah menggeleng. Hairan dengan keletah Syed Badiuzzaman. Kadang-kadang cengeh, kadang-kadang nakal, dan kadang-kadang menyakitkan hati.

Jalan sesak dipenuhi manusia pelbagai ragam itu terus mereka tempuhi sehingga tiba di sebuah kedai dengan papan tanda berwarna hijau. Maupiou. Henri Maupiou.

“Fabrik yang dijual kat sini baru suit dengan aku.” Kata Syed Badiuzzaman lalu menolak pintu cermin tersebut. Ainul Mardhiah masih berdiri di belakang. Ketika cuaca dingin menyapa tubuh, dia masih setia berdiri di hadapan cermin yang mendindingi kedai itu. Dia tekap kedua-dua jarinya, membentuk hati lalu meniup beberapa kali ke arah acuan tersebut. Dia tersenyum melihat bentuk hati pada dinding kaca tersebut. Namun, senyumannya mati tatkala wajah Syed Badiuzzaman berada di sebalik kaca tersebut, tepat memandangnya. Dia nampak lelaki itu tulis sesuatu di dinding kaca tersebut.

“I”

“N”

“In?” Baca Ain dengan dahi yang keruh. Dalam? Kemudian, baru dia mengerti. Syed Badiuzzaman mengarahkannya masuk ke dalam kedai tersebut.

“Degil!” Sergah Syed Badiuzzaman dengan muka cengehnya. Ainul Mardhiah tidak menjawab tetapi deras melangkah mengikut rentak majikannya. Bila dia melihat fabrik di kedai itu, baru dia sedar, Syed Badiuzzaman membawanya masuk ke sebuah kedai kain ekslusif, yang menjual “haute couture” daripada pelbagai jenama mewah. Chanel, Dior, Valentino!

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.