Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 4

“TENGOK ni, Ain! Fashion designer peribadi diperlukan.” Beritahu Kak Long Aqilah sambil menunjukkan keratan akhbar kepada Ainul Mardhiah yang sedang mengemas ruang tamu. Ainul Mardhiah mengambil keratan akhbar yang dihulur kepadanya.

Fashion designer peribadi, syarat mesti wanita, berumur tidak lebih dua puluh tujuh tahun, bujang serta mampu memberi komitmen kerja yang baik. Kerja tetap serta pendapatan lumayan menanti anda!” Ainul Mardhiah membaca perlahan syarat kelayakan yang tercatat di ruangan tersebut. Dia melihat tarikh tutup perrmohonan serta nombor telefon untuk dihubungi.

“Sesuailah dengan Ain. Umur Ain baru dua puluh empat tahun, perempuan dan bujang. Kerja tetap tu, Ain!” Kak Long Aqilah bagai memberi galakan, seolah-olah mahu Ain mendapatkan pekerjaan itu.

Ainul Mardhiah hanya senyum. Yang tergambar di mindanya hanya penolakan, seperti pengalaman yang pernah dilalui sewaktu menjalani temuduga dengan pemilik LiLy Andrew Couture sebelum ini.

“Kenapa, Ain takut gagal ke?”

Ainul Mardhiah tidak menjawab. Dia senyum sahaja.

“Gagal itu kan pengalaman, dan mengajar Ain erti hidup. Mana ada orang yang sekali cuba, terus berjaya?”

Ya. Kak Long Aqilah betul! Aku sahaja yang takut gagal. Bukankah cita-citaku semenjak dahulu hendak menjadi seorang pereka fesyen. Aku gigih belajar hingga berjaya menggondol Anugerah Seri Dekan di hujung pengajian. Lalu, mengapa aku takut untuk ditolak? Bukankah mencuba itu satu perjuangan? Akhirnya dia mengangkat muka, kemudian memeluk Kak Long Aqilah yang kerap memberi semangat kepadanya.

“Ain cuba nanti, ya! Ain akan cuba. Kak Long ada dengan Ain, kan?”

“Sentiasa ada dengan Ain. InsyaAllah!”

“Hah, ini kenapa peluk-peluk tengah rumah ni. Ain, Aqilah?” Soal umi Hajah Sareema yang kebetulan melalui ruang tamu rumah itu. Dia duduk di atas sofa apabila berasa dirinya perlu berada di situ. Barangkali, ada yang ingin dikongsi oleh anak-anak dengan dirinya sebagai ibu.

“Aqilah dah jumpa Ain yang dulu. Yang tak mengenal erti putus asa.”

“Umi pun nampak begitu. Umi nampak, Ain macam ‘hilang’ selepas gagal dalam temuduga pertama tu, tapi umi belum berniat hendak menegur...Bagi umi, mungkin Ain perlukan masa.”

“Ain nampak sedih ya, umi, Kak Long?” Tanya Ain, mengharapkan jawapan jujur.

Kak Long Aqilah dan umi saling berpandangan. Kemudian, mereka memberi respon yang sama. Masing-masing tersenyum.

“Ain jujur, tak pandai nak simpan perasaan Ain. Kalau Ain sedih, nampak sangat...walaupun waktu itu Ain tengah ketawa.” Cerita Kak Long Aqilah.

Ain itu darah dagingnya. Dia kenal Ain sebaik-baiknya. Ketawanya cuma kerana tak mahu ahli keluarga tahu isi hatinya yang sedang berduka.

“Ya, Kak Long betul! Ain tak pandai menipu.” Hajah Sameera pula menambah.

Ainul Mardhiah mengangkat wajahnya, kemudian dia senyum lagi. Kak Long Aqilah meraih bahunya, kemudian menepuk mesra bahu Ainul Mardhiah. Sesungguhnya Ainul Mardhiah sangat bersyukur, kerana dianugerahkan sebuah keluarga yang sangat memahami dirinya.

“Sudahlah, jangan sedih-sedih lagi. Kalau ada kerja kosong, Ain boleh cuba lagi. Nanti umi beritahu pada babah.”

Ainul Mardhiah mengangguk. Dia bangun lalu memeluk erat Hajah Sameera. Punyai ibu yang memahami seperti Hajah Sameera buat Ainul Mardhiah bersyukur lagi. Apalah sangat rasa sedih kerana gagal yang sedikit itu berbanding melihat senyuman umi dan babah.

“Umi understanding sangat! Sayang umi! Terima kasih, umi!”

“Kak Long?” sampuk Kak Long Aqilah, bertanya tentang dirinya yang bagai dilupakan.

“Kak Long sooo sporting. Good suppoter! Kalau dapat kerja ni, Ain belanja semua orang tau.”

Jawab Ain, kembali ceria. Mereka bertiga tertawa bersama sebelum kedengaran salam di luar rumah.

“Babah lah tu!” Beritahu Hajah Sameera, yakin.

Ainul Mardhiah bingkas bangun, begitu juga dengan Kak Long Aqilah. Mereka menyambut kepulangan Haji Karim dari masjid di tepi daun pintu.

“Eh, ramainya orang menyambut babah hari ni. Ada apa-apa ke?” Tanya Haji Karim, hairan melihat isteri serta dua anaknya di tepi daun pintu. Senyuman mereka menggambarkan segalanya. Haji Karim ikut senyum juga. Hati tuanya berasa bahagia dengan gelagat anak-anak dan isteri. Di hujung usianya, dia hanya berdoa agar kebahagiaan itu berpanjangan hingga ke Jannah. Aminn.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.