Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 3

HANYA tinggal dua bar sahaja sebelum tangki minyak benar-benar kosong. Syed Badiuzzaman tercari-cari juga papan tanda stesyen minyak di hadapan. Menyesal pula dia tidak mengisi minyak penuh ketika singgah di Bukit Merah sebentar tadi. Papan tanda hentian rehat masih juga belum kelihatan. 160km/j terlalu laju untuk baki minyak yang ada lalu dia memperlahankan lagi kenderaannya, sehingga mencecah angka 120km/j, sebuah Audi di belakang memancar lampu tinggi, memaksa Syed Badiuzzaman beralah lalu memberi isyarat untuk masuk ke lorong kiri.

“Setakat R8, apa kelas? Tunggu aku isi minyak penuh dulu. Kita tengok siapa hebat.” Soalnya sendiri. Kemudian, dia membuang keluh apabila papan tanda stesyen minyak masih belum kelihatan. Rasanya, semenjak dia terperasankan paras minyak dalam tangki yang makin berkurangan, dua puluh kilometer telah diredah dengan hati yang sebal.

Rembang senja mulai kelihatan. Syed Badiuzzaman kian bengang, kereta yang dipandunya terpaksa diperlahankan lagi sehingga mencecah paras 90km/j. Hari ini bagai hari melakar sejarah. Tidak pernah dalam sejarah hidupnya membawa kereta seperlahan itu, sama seperti kelajuan yang dibawa oleh kenderaan-kenderaan biasa lain di atas jalan. Namun, perasaan susah itu tidak lama. Dia kembali ceria apabila dia melihat papan tanda Hentian Rehat Gunung Semanggol sejauh lima kilometer di hadapan. Dia terus menambah pecutan sehingga menghampiri lorong masuk ke Stesyen Minyak Gunung Semanggol.


KERETA mewah yang menghampiri pam kelima diperhatikan dengan penuh minat. Kereta seperti itu tidak pernah dilihatnya seumur hidup, lalu dia mendekati. Berhajat untuk membantu pelanggan mengisi minyak, sekaligus mengintai jenama kereta itu.

“Saya tolong encik.” Ain menawarkan diri untuk membantu. Lelaki bercermin mata hitam itu menoleh ke arahnya. Gadis yang menawar bantuan itu diperhatikan atas hingga ke bawah. Comel! Body mantap! Boleh buat stok awek kalau belajar tinggi, tapi kenapa kerja kat stesyen minyak ni?Aiseh! Jatuh standard aku! Omel Syed Badiuzzaman sendiri.

“Ya, boleh! Tolong belikan aku air mineral, Wrigley’s chewing gum dan roti.” Pesan Syed Badiuzzaman lalu menghulur not lima puluh kepada Ain. Ain terpinga-pinga, namun dia menyambut juga duit itu apabila dihulur lebih dekat dengannya.

“Roti apa, encik?”

“Apa saja.” Ain mengangguk lalu beredar untuk masuk ke dalam kedai. Dia mendapatkan Hairi yang bertugas di bahagian kaunter.

Customer tu nak roti, Wrigley’s chewing gum dan air mineral.”

“Ain, Ain!” Hairi menggeleng, dalam masa yang sama menyambut juga not lima puluh yang dihulur Ainul Mardhiah. Badannya pantas bergerak, menyediakan tiga barang yang diminta pelanggan mereka itu.

“Kenapa?”

“Ain ni baik hati sangatlah. Customer tu saja nak kenakan kita. Mentang-mentanglah kita kerja di stesyen minyak dan dia pakai kereta mewah, terus dikulinya kita.”

Terang Hairi sambil membungkus pesanan lelaki berkereta mewah itu. Ainul Mardhiah senyum sahaja, selebihnya dia tidak mahu menjawab. Kata babah, tak salah kita tolong orang. Asalkan kita tolong dengan ikhlas, kita akan dapat pahala.

Ketika Ainul Mardhiah keluar dari kedai itu, kereta mewah itu sudah menanti di hadapan pintu. Cepat-cepat Ain mendekati kereta itu.

“Ini pesanan encik dan ini bakinya. Terima kasih kerana sudi berbelanja di stesyen minyak kami.”

“Panjangnya ceramah kau. Balance tu upah, ambillah!”

“Tak perlu-”

“Tak apa. Aku sedekah.” Lelaki itu menyambung tanpa menunggu Ainul Mardhiah habis bicara. Cermin tingkap pantas dinaikkan secara automatik, membuatkan Ain terus mengundur ke belakang. Duit yang berada di tangan Ain, dipandang silih berganti dengan kereta mewah yang telah hilang itu.

“Tabung kedai ada?” Tanya Ain, kembali mendapatkan Hairi.

“Nak buat apa?”

“Ni...dia tak nak balance.” Beritahu Ainul Mardhiah, jujur.

Hairi tertawa sambil menggeleng. Memang dasar orang kaya, memandang rendah pada orang miskin yang menghulur bantuan. Tak mahu terhutang budi gamaknya!

“Lucu ya, Hairi?”

“Iya. Lucu jugak. Masuk dalam tabung wakaf ajelah Ain.” Tunjuk Hairi ke arah tabung wakaf di depannya. Dia tidak mahu memanjangkan buah fikirannya. Biarlah dia seorang yang punya prasangka itu. Kasihan Aiunul Mardhiah yang nampak polos itu.

Ainul Mardhiah akur lalu memasukkan sekeping not dua puluh dan beberapa keping not seringgit ke dalamnya. Kemudian, dia meminta diri untuk kembali meneruskan kerja di bahagian pam.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.