Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 18

LIMA keping not lima puluh terpaksa Ainul Mardhiah korbankan kepada mata wang Euro untuk perjalanan ke Paris. Jumlahnya hanya Euro lima puluh tujuh  dan empat puluh sen?Sen ke? Ini semua Syed Badiuzzaman punya pasal. Tergesa-gesa membuat keputusan semata-mata kerana kain. Dia tak apa, beratus kali boleh terbang ke Paris kerana dia orang kaya sedangkan aku? Gaji pertama pun aku belum merasa lagi. Kalau aku guna duit yang babah kirim sewenang-wenangnya, apa aku nak makan dalam tempoh sebulan ini? Ainul Mardhiah berasa sedih. Sedih kerana terpaksa menggunakan duit sebanyak itu kerana kain Syed Badiuzzaman.

Ainul Mardhiah menoleh ke arah Syed Badiuzzaman yang leka membaca akhbar. Mamat ni memang poyo! Dia boleh buat keputusan begitu sedangkan dia belum mencuba lagi corak yang ada di kedai fabrik semalam. Tetapi adakah Syed Badiuzzaman kisah? Syed Badiuzzaman tentu tak kisah asalkan kehendak hatinya tercapai. Akhirnya, Ainul Mardhiah mengeluarkan telefon bimbit. Dia hendak bertanya khabar Haji Karim dan keluarga di Kampung Gunung Semanggol, sekaligus memberitahu mereka yang dia akan ke Paris. Terkejutkah mereka? Pasti mereka terkejut kerana sederas itu kerjanya berkembang.

“Assalammualaikum... Babah, Ain ni.” Ucap Ainul Mardhiah, menekup mulutnya di telefon bimbit itu, namun tindakannya sempat dijeling Syed Badiuzzaman.

“Waalaikumussalam warahmatullah. Ain sihat? Seronok kerja di KL?”

“Babah...babah jangan marah Ain, ya?”

“Ain ada buat salah ke?” tanya Haji Karim, tenang.

Baginya, selagi Ainul Mardhiah belum bercerita hal yang sebenar, marahnya tidak datang tiba-tiba. Malah dia bukan pemarah. Ainul Mardhiah dan kakak-kakanya juga tahu hal itu. Cuma, mungkin didikan. Mereka telah dididik untuk berlaku sopan dan berkata benar setiap masa.

“Ya, Ain tengah tunggu flight ke Paris. Tuan Muda Syed Badi nak bawa Ain beli fabrik kat sana.”

“Habis tu, di mana salahnya?” Tanya Haji Karim, ketawa dihujungnya. Ainul Mardhiah memang anak yang menyenangkan hatinya. Mudah-mudahan Ainul Mardhiah selamat di tempat orang.

“Babah tak marah ke?”

“Bukan Ainul Mardhiah dah sign kontrak untuk jadi designer peribadi Syed Badi? Babah tak boleh campur tangan hal kerja Ain.”

“Ya...Ain nak beritahu babah. Nanti babah cari Ain, tak dapat pulak. Babah doakan Ain selamat di tempat orang, ya?” Pohon Ainul Mardhiah, sayu.

Jauh kali ini kepergiannya. Lebih jauh dari Kak Ngah barangkali. Yang pasti Ainul Mardhiah tidak berasa bahagia. Barangkali kerana terpaksa membelanjakan duit pemberian babah ke jalan yang tidak sepatutnya.

“InsyaAllah, babah akan doakan Ain. Ain jaga diri baik-baik, ya? Sampaikan salam babah pada Tuan Syed Ain tu.”

“Babah pun...jaga kesihatan babah tu. Sampaikan salam Ain pada umi dan Kak Long.” Pesan Ainul Mardhiah sebelum menamatkan perbualan. Telefon bimbit itu masih digenggamnya. Sempat dia mengerling ke arah jam digital yang terpapar di sudut atas telefon bimbit tersebut.

“Dah?”

“Dah apa?” Ainul Mardhiah bertanya kembali. Dia menoleh ke arah lelaki yang sedang duduk bersilang kaki itu.

“Dah cakap dengan Tuan Haji?”

“Mana Tuan Muda Syed Badi tahu?”

“Kau anak ayah, kan?” Tanya Syed Badiuzzaman, bagai mengejek. Sengaja tidak dijawab soalan Ainul Mardhiah itu.

“Babah sampaikan salam pada Tuan Muda Syed Badi. Katanya, tolong jaga anaknya baik-baik.” Ainul Mardhiah menyampaikan pesanan Haji Karim, malah sempat pula memalsukan pesanan terakhir itu.

“Aku musykil.” Kata-kata Syed Badiuzzaman terhenti di situ. Benarkah Haji Karim berpesan demikian kepadanya, atau Ainul Mardhiah sengaja menambah? Namun, bila terdengar sahaja panggilan untuk menaiki pesawat, Syed Badiuzzaman segera bangun

“Jom.” Ajak Syed Badiuzzaman. Dia menggalas sebuah beg sandang kulit. Ainul Mardhiah juga mengikut langkahnya dari belakang. Usai menyerahkan passport dan boarding pass kepada pramugara yang bertugas, mereka berbaris untuk menaiki pesawat.

“Kita honeymoon di Paris.” Usik Syed Badiuzzaman ke telinga Ainul Mardhiah. Dia menanti tindak balas rona kemerahan dari wajah itu dan bila dapat apa yang dinanti, Syed Badiuzzaman ketawa senang hati.

Lain pula bagi Ainul Mardhiah, jenaka Syed Badiuzzaman menggusarkan hati perempuannya. Sudahlah Syed Badiuzzaman baharu dikenali. Berani pula dia berkata begitu kepada Ainul Mardhiah. Dia hendak carai pasalkah?

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.