SYED Badiuzzaman ni gila!
Diberinya aku dress tanpa lengan dan suruh aku pakai malam ni? Dia gila ke apa?
Takkan aku yang bertutup kepala ni nak pakai dress tanpa lengan? Ainul Mardhiah
terus menggeleng kepala apabila terbayang dirinya dengan dress tanpa lengan
sedang kepala berbalut tudung.
“Memanglah cantik.” Komen Ainul Mardhiah sambil memegang dress separuh
lutut itu. Dress itu berwarna krim.
“Atau mungkin lebih cantik kalau aku padankan dengan jaket dan jeans.”
Akhirnya dia membuat keputusan selepas lama menung di tepi jendela. Ya!
Begitulah nampaknya.
Ainul bangun menuju ke bilik air, menyegar diri supaya tidak berlaku lagi
sebarang kejadian yang memalukan diri seperti yang dialami siang tadi. Tidur
berbantalkan bahu Syed Badiuzzaman. Aduhai!
“NICE!” Puji Syed Badiuzzaman ketika dia menghampiri lelaki itu.
Ainul Mardhiah serba tak kena. Terasa dirinya dipandang atas hingga ke
bawah oleh majikannya. Ini yang aku tak suka ni! Semua lelaki beginikah?
“Tuan Muda Syed Badi nak ke mana? Kita jalan sekejap saja, boleh? Saya tak
sabar nak tidur ni.”
“Geram pulak aku dengan kau ni. Asyik nak tidur memanjang. Aku tak kira.
Kau ikut aku, bukan aku ikut kau.”
“Tahu, tapi saya pun nak tidur jugak. Tidur saya ni berharga Tuan Muda Syed
Badi.” Jawab Ainul Mardhiah, perlahan. Mereka menapak perlahan-lahan, berjalan
keluar dari perkarangan hotel itu, meniti bahu jalan raya.
“Berharga? Berapa harganya? Aku bayar.” Kata lelaki itu, serius.
Jika Ainul Mardhiah berkira akan masa yang dihabiskan malam itu, Syed
Badiuzzaman boleh saja membayarnya. Asalkan malam itu dia tidak sunyi sedangkan
punya teman yang cantik dan manis, biarpun hanya seorang designer.
“Tuan Muda Syed Badi serius ke?” Ainul Mardhiah bertanya kembali. Takkan
Syed Badiuzzaman gila begitu, hendak bayar masa orang dengan wang ringgitnya?
“Aku pandai jenaka?”
“He he he.” Dia sengih sendiri.
Baginya, soalan itu tak perlu dijawab kerana bimbang jika Syed Badiuzzaman
melalut ke lain pula. Nanti, jenuh Ainul Mardhiah hendak menepis. Cuma, ada
satu soalan yang terdetik di hati Ainul Mardhiah kini. Sudah berpunyakah lelaki
ini atau dia sendirian? Itu pasal dia senang bikin orang lain gundah dan resah.
Tetapi, takkan lelaki kaya begitu tiada pasangan?
“Aku tunggu kau cakap terima kasih.” Kata Syed Badiuzzaman, terpaksa
memecah buntu apabila Ainul Mardhiah sekadar menyepi.
“Terima kasih?”
“Ya, kau tak pandai ucap terima kasih, ya?” tanya Syed Badiuzzaman lagi.
Sebenarnya, dia tidak tahu hendak bersembang apa dengan Ainul Mardhiah,
tetapi dek kerana hendak mengisi kekosongan itu, dia mencari juga
topiknya. Mungkin ramai yang sedar, atau
mungkin ramai yang tidak sedar, dia tidak pernah rapat dengan sesiapa. Yang dia
ada cuma keluarga, staf dan Lukman paling hampir dengannya. Bukan tak pernah
dia menjalin kasih dengan beberapa orang gadis. Beberapa kali dia mencuba
tetapi tidak bertahan lama. Selalunya, dia dilabel bengis dan mementingkan diri
sendiri.
“Reti, tapi tak pandai nak ucap terima kasih kalau orang suruh. Rasa tak
ikhlas pulak.” Jawab Ainul Mardhiah, perlahan. Ya, kata Syed Badiuzzaman itu
betul. Ainul Mardhiah belum berterima kasih dengan segala kebaikan yang diberi
majikannya. Memang dia berniat hendak berterima kasih, tetapi selepas semuanya
selesai. Hanya apabila Syed Badiuzzaman mengungkit, terpaksalah dia membuka
mulut juga.
“Aku tak suruh kau berterima kasih. Aku kata aku tunggu saja.”
“Dress ni...memang saya suka. Cantik! Tapi seksi sangat. Dan sebab nak
hargai pemberian Tuan Muda Syed Badi pada saya, terpaksalah saya gayakan dengan
jaket.”
“Terima kasih.” Ucap Ainul Mardhiah, perlahan di hujung pengakuannya.
Mereka terus berjalan tanpa tujuan. Entah ke mana Syed Badiuzzaman hendak pergi
malam itu. Moga-moga, mereka taklah bergerak jauh sangat kerana Ainul Mardhiah
sudah kepenatan. Walaupun Menara Eiffel melambai-lambai di hujung sana, Ainul
Mardhiah tetap terkenang bantal di bilik penginapan.
“Aku nak tengok kau pakai dress tu tanpa jeans dan jaket sebenarnya.” Ujar
Syed Badiuzzaman, buat Ainul Mardhiah menoleh terkejut ke arah lelaki itu.
Hilang terus rasa penat dan mengantuknya tadi. Demi terlihat senyuman lelaki
itu.
“Sayangnya, Tuan Muda Syed Badi tersalah orang. Saya designer Tuan Muda Syed Badi, kalau terlupa.”
“Aku salah mengumpan. Bijak kau gayakan dress ni.” Puji Syed Badiuzzaman.
Ainul Mardhiah ketawa. Tak diambil hati kata-kata Syed Badiuzzaman sebelumnya.