Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 27

HUJUNG minggu tanpa kawan dan keluarga di sisi. Alangkah indah kalau aku punya teman serumah. Dek kerana kebosanan tahap gaban, Ainul Mardhiah menghubungi babah di kampung. Apa khabar agaknya mereka semua?

“Babah...Assalammualaikum, Ain ni.”

“Waalaikumussalam warahmatullah. Ya, babah masih kenal suara Ain. Baru tadi babah sebut nama Ain, terus Ain telefon babah. Ain sihat?” Tanya Haji Karim lagi.

“Sihat, tapi Ain bosan tak ke mana. Jadi Ain memerap aje di rumah. Menyesal pulak Ain tak pinjam kereta babah. Kalau bosan, boleh Ain balik jumpa babah dan umi di kampung.” Rungut Ainul Mardhiah tentang masalah yang dihadapinya. Terdengar tawa yang mesra di hujung talian.

“Ain nak babah hantar kereta untuk Ain?”

“Boleh ke babah?” Tanya Ainul Mardhiah kembali.

Dia yang akan paling gembira jika Haji Karim sudi menghantar kereta. Tidaklah susah Ain nak ke sana sini. Dan taklah asyik bergantung dengan Syed Badiuzzaman atau Lukman sahaja. Malah, lebih dari itu, Ainul Mardhiah tak akan rasa hidupnya di bawah tempurung. Pagi ke galeri, petang pulang ke rumah dan tak keluar lagi sehingga esok menjelang.

“Boleh, nanti babah minta tolong dari Abang Long. Katanya esok nak ke KL. Mungkin dia boleh hantarkan pada Ain kereta babah tu.”

“Allahu Akbar! Baiknya hati babah. Ini yang buat Ain makin sayang pada babah ni.”

“Oh, sayang babah kerana kereta, ya?” Tebak Haji Karim, membuat Ainul Mardhiah ketawa senang hati.

“Taklah begitu babah. Ain tak dapat tahan perasaan Ain, nak cakap yang Ain sayang babah. Bila babah sanggup bantu Ain, melimpah ruah lagi kasih sayang Ain pada babah.”

“Pada umi?” Suara Hajah Sareema kedengaran di telinganya. Ainul Mardhiah tersenyum bahagia.

“Sayang...sayang melimpah ruah dari KL hingge ke Kampung Gunung Semanggol.”

“Lega hati umi...Kalau begitu Ain boleh cakap balik dengan babah. Umi nak angkat kain kat jemuran.”

Balas Hajah Sareema. Dia tahu, anak yang bongsu itu lebih gemar bercerita dengan suaminya berbanding dirinya sendiri. Mungkin kerana sifat suaminya yang tenang dan pendengar yang baik, berbanding dirinya yang tidak begitu pandai memberi nasihat.


“AYAHANDA ada masa lapang tak esok. Badi nak perkenalkan ayahanda dengan seseorang.” Tanya Syed Badiuzzaman ketika ayahanda Syed Abu Dzar sedang membaca akhbar di hujung rumah. Ayahanda Syed Abu Dzar mengangkat muka. Akhbar yang sedang dibaca terus diletakkan. Padanya, topik yang sedang diketengahkan anak lelakinya itu perlu diberi perhatian. Syed Badiuzzaman belum pernah memperkenalkan seseorang kepadanya walaupun anak itu pernah beberapa kali putus kasih dengan beberapa orang wanita.

“Waktu lunch, boleh?” tanya Ayahanda Syed Abu Dzar kembali. Syed Badiuzzaman mengangguk, setuju dengan pilihan yang diberi. Dia bangun namun ditahan Ayahanda Syed Abu Dzar.

“Siapa, Syed Badi?”

“Esok kita tengok siapakah dia.” Syed Badiuzzaman menjawab. Biar kedua-duanya bertemu pada hari esok.

“Bonda?” Soal Ayahanda Syed Abu Dzar, cuba memerangkap sebenarnya, namun Syed Badiuzzaman hanya menggeleng. Bonda? Bonda tidak perlu tahu semuanya kerana bonda hanya pandai membangkang.

“Jadi, esok kita jumpa di mana?”

“The Club Saujana Resort.”

“Syed Badi! Syed Badi!” Ayahanda Syed Abu Dzar hanya menggeleng.

Apa beza Syed Badiuzzaman dan Syarifah Abiyah? Mereka tiada beza, memiliki watak yang sama cengeh dan keras kepala. Namun, watak paling keras pasti dimenangi oleh Syarifah Abiyah.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.