Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 14

AINUL Mardhiah hanya mampu melempar pandangan keluar tingkap. Deruman enjin kereta tak mampu menghilang debaran di dada. Apa tidaknya, ketika menguruskan hal berhenti kerja sebentar tadi, terjadi kekecohan sedikit antara Syed Badiuzzaman dan Hairi. Masing-masing bagai menyimpan dendam. Itu yang membuatkan Ainul Mardhiah tak senang duduk, tak senang hati dan asyik terasa menelan pasir. Rasa bersalah pada keluarga baharu di stesyen minyak Hentian Rehat Gunung Semanggol bagai mendera perasaannya. Dia bagai teringin hendak marah kepada Syed Badiuzzaman tapi entah mengapa, tiada marah, yang ada hanya debaran. Barangkali pertama kali berkongsi kenderaan dengan lelaki asing.

Syed Badiuzzaman tidak banyak bicara. Hanya sesekali matanya melirik pada Ainul Mardhiah yang senyap di tepi. Sakit hati pula melihat diri itu tanpa suara. Sesudah aku menjemputnya di Gunung Semanggol dan menyelesaikan urusan berhenti kerja, malah memberi pula kerja baru, tiada langsung ucapan terima kasih untuk aku?

“Kau tak reti ucap terima kasih, ya?”

“Terima kasih?”

“Ya, aku jemput kau, selesaikan kes berhenti kerja kau, dan beri kerja baru, tak ada satu perkataan terima kasih pun untuk aku?” Luah Syed Badiuzzaman, geram. Ainul Mardhiah senyum sahaja di sebelah.

“Ya...terima kasih pada Tuan Muda Syed Badi bersusah payah bergaduh dengan kawan saya tu. Mesti mereka kenang saya sampai bila-bila.” Ainul Mardhiah juga tidak dapat menahan hati. Padanya, Syed Badiuzzaman perlu diceritakan kebenaran.

“Kau perli aku?”

“Tak adalah. Saya berterima kasih saja, terima kasih Tuan Muda Syed Badi.” Ucap Ainul Mardhiah, sinis. Kemudian, dia kembali menyepi. Melontar pandangan ke luar sehingga terdengar lagi suara lelaki itu.

“Kau berkerja terus dengan aku. Urusan kau dan aku adalah urusan personal, dan tak ada kena mengena dengan Kumpulan Al Hadad.”

Ainul Mardhiah mengangguk. Tahu yang dirinya diupah secara peribadi oleh Syed Badiuzzaman. Semuanya telah dinyatakan di dalam surat perlantikan yang diterima semalam. Bukan hanya melalui surat itu sahaja, Encik Lukman juga telah memaklumkan tentang jawatannya secara ringkas.

“Kau hanya terima arahan dari aku saja.”

“Ya.” Sepatah itu sahaja jawapannya, selebihnya dia membuang pandangan ke tepi. Dibawa pergi tanpa persediaan mental, membuatkan Ainul Mardhiah berasa semangatnya turut pergi. Kan bagus kalau dia sudah bersedia dengan mental, bukannya secara tiba-tiba. Aduhai umi dan babah. Doakan kejayaan anakmu ini!

Syed Badiuzzaman tidak mendengar lagi suara selepas itu.

Dia senyap lagi? Apakah aku yang memandu ini perlu mengajaknya berbual? Bukankah dia yang patut melayani aku, sebagai majikannya? Ain, Ain Ain! Sakit pula hati aku ini!

Terus Syed Badiuzzaman menekan suis, lalu bumbung keretanya terbuka secara automatik. Ainul Mardhiah terkejut, tudung yang melilit kepalanya bagai hendak tertanggal, dibawa angin yang bertiup deras itu. Tak pasal-pasal, dia terpaksa menahan tudung yang dipakainya dengan kedua-dua belah tangan. Angin yang datang menampar muka tak dapat ditahan lagi.

Syed Badiuzzaman di sebelah sudah tersengih. Idea nakalnya menjadi. Apa Ainul Mardhiah ingat dia boleh berdiam diri, dan menyakitkan hati aku sahaja?

“Tuan Syed Muda Badi.” Panggilnya perlahan tetapi tidak kedengaran.

“Tuan Syed Muda Badiiiiiiiiiiiii!!!” Jerit Ainul Mardhiah akhirnya. Jeritan itu membuatkan majikannya menoleh sebentar. Sedar yang wanita muda itu mahu berbicara sesuatu, Syed Badiuzzaman memberi isyarat untuk masuk ke lorong kiri, serta merta kelajuan kereta dikurangkan.

“Kau nak cakap apa?” Tanyanya apabila dirasakan Ainul Mardhiah tidak lagi melayani dunia sendiri.

“Tuan Muda Syed Badi, saya nak mintak tolong.”

“Kau ni suka betul mintak tolong dengan aku. Kau nak apa?”

“Kalau saya boleh buat, saya tak minta tolong Tuan Muda Syed Badi. Saya cuma nak mintak Tuan Muda Syed Badi naikkan balik bumbung tu. Kalau lama begini, tudung saya boleh tertanggal.” Beritahu Ain, jujur.

“Oh, aku ingatkan apa tadi!” Balas Syed Badiuzzaman, tergelak. Kerana kasihankan Ainul Mardhiah, dia menurut juga walaupun dirinya bukan penurut perintah.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.