Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab 2

“BADI tak tahan begini, bonda! Ada saja yang tak kena bila hantar pakaian Badi untuk dijahit.”

“Kalau tak ketat...geleber. Bila dah fit, ketiak pulak sendat. I must hire my own designer. He or she must be with me 24 hour. Senang sikit Badi nak control.” Beritahu Syed Badiuzzaman ketika anak beranak Syed Abu Dzar berkumpul di ruang tamu malam itu untuk berbual-bual seperti selalu. Bonda Syarifah Abiyah hanya mendengar, begitu juga dengan Syed Abu Dzar. Hanya Syarifah Afeefa yang sibuk melayan earphone tanpa wayar. Entah lagu apa yang didengarnya, sehingga terangguk-angguk kepala sambil mulutnya terkumat-kamit menyanyi mengikut rentak lagu.

“Kalau Syed Badi mahukan impak terbaik, ayahanda cadangkan agar Syed Badi iklankan di akhbar dan media massa. Mesti boleh pilih designer yang berkenan di hati.”

“Buatlah apa yang patut Badi. Susah sangat nampaknya nak jumpa designer yang betul-betul boleh puaskan hati Syed Badi ni.”

“Setuju! Akan Badi buat secepatnya.” Jawab Syed Badiuzzaman lantas bergegas naik ke tingkat atas. Sebaik abang sulungnya tiada di ruang tamu itu, Syarifah Afeefa terus menarik earphone dari telinganya.

“Ala...pasal baju aje pun. Kecoh! Satu Malaysia nak cananglah tu kisah baju dia.” Omel Syarifah Afeefa sebelum bangkit dari baringannya. Dia duduk sebelum menunjukkan buku lima kepada abang sulungnya yang sudah hilang di dalam bilik. Bonda Abiyah terkejut dengan tindakannya. Terus pahanya ditepuk tanda peringatan akan sikapnya. Jika Bonda Abiyah berbulu dengan sikapnya yang kuat protes, Syarifah Afeefa pula berbuku di hati dengan sikap mereka yang perasan bangsawan tak tentu pasal. Haishh! Malu aku nak mengaku keturunan Syed Al Hadad!

“Bonda dan ayahanda ni...sayang sangat kat abang Bendi tu! Bajet retis agaknya nakkan designer sendiri. Eee...menyampah!”

“Syarifah Feefa, tak elok cemburukan abang sendiri. Kalau mahu, kata mahu. Bonda boleh carikan seorang designer untuk anakanda juga.”

“Iya, kata bonda tu betul, Syarifah Afeefa! Itu kan hak abang untuk mencari apa yang sesuai dengan dirinya. Kalau Feefa mahu, ayahanda boleh carikan juga seorang fashion designer untuk Feefa.”

“Tak payahlah ayahanda, bonda! Feefa tak suka membazir. Itu amalan syaitan!” Perlinya lantas bergegas masuk ke dalam bilik yang terletak bertentangan dengan bilik si Bendi, Syed Badiuzzaman.

Sempat dia mengangkat kaki kanan, lagak bagai hendak menyepak Syed Badiuzzaman, tetapi bila pintu bilik itu terkuak tiba-tiba, Syarifah Afeefa terkedu. Cepat-cepat dia berlari ke biliknya lalu memulas tombol pintu.

“Feefa ingat Abang Badi tak nampak?” Tanya Syed Badiuzzaman, kuat. Ketika itu Syarifah Afeefa sudah selamat berada di dalam biliknya. Dia menekup muka lalu ketawa sesuka hati. Kemudian, dia melompat ke atas tilam, menikmati ketenangan peraduan di malam hari.


“BABAH, Ain nak cari kerja part time dulu, boleh tak?” Tanya Ain kepada Haji Karim yang sedang khusyuk membaca kitab. Begitulah Haji Karim pada masa lapangnya. Dia akan banyak menghabiskan masa dengan membaca kitab atau hadis di anjung rumah.

“Tak payahlah Ain. Ain berehat di rumah aje dulu. Tolong umi, belajar memasak ke? Setakat kita lima enam beranak ni, duit bendang cukup lagi.”

“Alah...babah ni. Ain nak cari pengalaman jugak! Penat tau duduk di rumah tak buat apa.”

“Ain nak kerja apa?” tanya Haji Karim kembali. Dia sedar, anak itu sudah mencapai usia dewasa. Tidak boleh dikawal rapat seperti masa remajanya dahulu.

“Apa pun boleh babah, kerja kat warung jual ABC pun boleh. Kerja kat stesyen minyak pun boleh. Asalkan halal.” Jawab Ainul Mardhiah, perlahan.

Itu kali terakhir dia membuat permohonan dari babah. Sekiranya babah masih tidak mengizinkan, Ainul Mardhiah perlu akur. Haji Karim terus membaca namun hatinya tidak tenang dek kerana Ainul Mardhiah masih menanti jawapannya. Hendak ditolak, terasa dirinya kejam.

“Buatlah Ain...Babah izinkan.” Jawab Haji Karim akhirnya.

Jawapan itu membuatkan Ainul Mardhiah bagai hendak melompat bintang. Terujanya!

“Terima kasih, babah! Ain janji akan kerja bersungguh-sungguh dan jaga nama baik babah, nama baik umi.”

“Alhamdulillah. Babah suka dengan niat baik Ain. Semoga segala urusan Ain dipermudahkan.”

“Aminn.” Ucap Ain lalu meraup mukanya. Dia bangun lalu mencium pipi Haji Karim. Dengan pas kebenaran itu, dia perlu bersiap-siap untuk mencari peluang kerja. Mudah-mudahan doa babah itu berkat.

“Ain masuk ke dalam ya, babah? Ain nak bersiap-siap, nak keluar cari kerja.”

“Amboi, cepatnya!” Usik Haji Karim, dengan senyumannya. Ain ikut senyum.

“Ain tak suka buang masa lah, babah! Rugi.”

“Betul! Babah setuju tu. Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian.”

Sokong Haji Karim sebelum menutup kitabnya. Dia menggenggam jemari anak bongsunya sebelum menghantar langkah anak itu ke dalam rumah.

Ain pula sangat teruja. Mudah-mudahan usahanya ini akan membuahkan hasil selepas gagal dalam temuduga pertamanya minggu lepas. Teringat kata umi ketika dia sedang makan malam.

“Gagal sekali bukan bermaksud kita orang yang gagal. Ain boleh usaha lagi. InsyaAllah, umi sokong setiap langkah Ain, asalkan Ain di jalan yang betul. Umi pasti sokong!”

Ain senang hati apabila semua ahli keluarganya menyokong niatnya hendak mendapatkan rezeki halal.


“KENAPA awak nak berkerja di stesyen minyak ni?”

Tanya Pengurus bertubuh genit itu ketika dia baharu sahaja duduk di atas kerusi. Belum panas pun lagi punggungnya.

“Saya nak cari duit poket, sementara nak cari kerja tetap.” Jawab Ainul Mardhiah, jujur.

“Oh, maksudnya, awak tak berniat nak kerja lama lah di sini?”

Ainul menggeleng perlahan. Dia meneguk liur yang terasa kesat. Terasa soalan itu satu perangkap buatnya, dan jika benar ia perangkap, kenapa perlu menipu? Bukankah berkata benar itu menghindar diri dari sebarang masalah?

“Tapi polisi kat sini, kalau nak berhenti kerja, awak perlu beri notis seminggu sebelum berhenti. Tak bolehlah main suka hati berhenti.”

“Err...maksudnya, saya dapat ke kerja ni?” Ainul Mardhiah bertanya, cuba ingin mengerti. Pengurus stesyen minyak itu mengangguk sebelum meletakkan kembali borang permohonannya ke atas meja.

“Awak boleh mula kerja hari ni.”

“Err...” Ainul Mardhiah bagai hendak bertanya tetapi suaranya tersekat di kerongkong. Dia jadi tidak yakin pula.

“Kenapa? Tak jadi ke?”

“Bukan! Saya nak tanya, betul ke saya dapat kerja ni?”

“Ya, Tahniah!” Kata pengurus itu. Pada tanda namanya, tercatat nama Hafizah.

“Panggil saya Kak Fizah, nanti saya minta kawan-kawan yang lain tolong tunjuk mana yang patut pada Ainul.”

“Ain!” Dia cepat membahasakan diri, malah terasa makin serasi bila Kak Fizah tersenyum padanya. Kak Fizah menarik tangannya, lalu mereka berjalan beriringan menuju ke kaunter bayaran. Dua orang rakan memandang terus ke arah mereka berdua.

“Nurul, Tifa...ini kawan baru kita, Ain! Ainul Mardhiah.”

“Saya Ain.”

“Tifa!” Sahut wanita yang bertudung hitam. Orangnya tinggi dan manis.

“Nurul!” Sahut wanita yang seorang lagi. Tubuhnya agak gempal dan kulitnya sawo matang. Pada Ain, Nurul juga manis.

“Ain orang mana?” Nurul terlebih dahulu menyoal, buat Kak Fizah tersenyum. Dia menompang tangan di atas kaunter yang dijaga Nurul.

“Ain orang sini jugak, Nurul. Orang Kampung Gunung Semanggol.”

“Oh! Habis tu, Ain datang sini dengan apa?”

“Ain pinjam kereta babah, maklumlah bas dan teksi tak tentu masa.” Jawab Ain. Segan pula menjawab soalan itu. Bimbang rakan-rakan baharunya bersangka lain pula. Nurul terangguk-angguk sedang Tifa sibuk melayan pelanggan yang membayar harga minyak.

“Ain jaga pam, ya? Kalau ada customer datang, bolehlah Ain tolong isikan minyak mereka. Kalau nampak cermin kereta mereka dah tak rupa cermin kereta, tolong lapkan.”

Pesan Kak Fizah sebelum pengurus mereka meminta izin untuk menyambung kembali tugasnya. Nurul meninggalkan Ain bersama dengan Tifa sebelum kembali mendapatkan Ain dengan uniform kerjanya.

“Ain salin baju sekarang, ya?”

“Okay.” Sahut Nurul. Ain menghadiahkan sebuah senyuman, namun matanya sempat juga menangkap reaksi Tifa yang bersahaja, bagai tak mengalukan kehadirannya di situ. Ah, salah sangka aku sahaja!

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.