“I terpaksa tinggal di sini dua minggu, Tuan Muda Syed Badi.” Ujar Hana
ketika mereka berjalan beriringan menuju ke tapak pemasangan kabel di daerah Ha
Noi. Di hadapan mereka, enjin jengkaut telah bersiap sedia untuk menjalankan
tugasnya. Pekerja mereka kali ini terdiri daripada penduduk tempatan yang
diupah secara kontrak untuk melaksanakan kerja-kerja mengorek dan memasang
kabel. Kosnya sudah tentu lebih murah berbanding membawa pekerja dari Malaysia.
“Apa nak buat? Kau PM nya.” Balas Syed Badiuzzaman akhirnya. Hana tersenyum
sahaja.
“Berapa kedalaman ni?” Tanya Syed Badiuzzaman lagi.
Dia nampak banyak tanda-tanda lurus
di sepanjang kawasan yang hendak digali, nun sehingga di hujung sana. Ketika
dia merujuk peta, kawasan yang hendak digali adalah sejauh dua puluh tiga
kilometer.
“Saiz standard, Tuan Muda Syed Badi.” Jawab Hana, sambil memberi isyarat
agar kerja-kerja mengorek dengan jengkaut dimulakan.
“Tuan Muda Syed Badi berapa lama di sini?”
“Petang ni aku balik. Lusa aku nak ke Penang pulak.”
“Oh...sekejap sangat! Ingatkan nak belanja Tuan Muda Syed Badi makan.”
“Aku tak suka dibelanja perempuan. Nampak menyedihkan.” Pantas Syed
Badiuzzaman menjawab. Hana merenungnya kembali. Ada senyuman di hujung
pandangan itu.
“Kasihan saya, Tuan Muda Syed Badi. Tak ada teman di sini. Nak berkawan,
tapi semuanya orang Vietnam. Ingatkan Tuan Muda Syed Badi lama di sini. Adalah
saya teman berbual.”
“Aku banyak kerja lain, Hana.” Bidas Syed Badiuzzaman. Dia tidak mahu
melayan topik tak ada kena mengena dengan bidang kerja itu lantas berjalan
mampir ke arah jengkaut. Seorang penyelia didekati. Hanya penyelia itu sahaja
yang boleh ditanya memandangkan dia sahaja yang fasih berbahasa Inggeris.
“KALAU Syarifah Adelia
ini, memang saya setuju sangat.”
“Rupanya lawa, pendidikannya tinggi, seorang doktor, sejuk hati bonda kalau
Syarifah Adelia jadi pasangan Syed Badi.” Puji Syarifah Abiyah, sambil
memandang ke arah Syarifah Salwa, sahabat baiknya semenjak di sekolah rendah
lagi.
“Macam pinang dibelah dua, kan?” Tanya Syarifah Salwa pula. Mereka berdua
saling menatap gambar anak masing-masing. Ada kegembiraan yang terpancar di
wajah keduanya.
“Tapi, Syarifah Adelia ni dah berpunya ke? Nanti marah pulak tuan punya
badan kalau kami datang meminang.” Luah Syarifah Abiyah, bimbang. Anak dara itu
lawa dan jelita, mewarisi emaknya, mustahil pula jika tiada lelaki yang menaruh
harapan.
“Eh, Jangan dirisau pasal Syarifah Adelia! Orangnya mendengar kata. Pilihan
mama dan papa selalu terbaik buatnya.”
“Betul ni?”
“Betulll! Tak percaya, nanti balik ni, kita tanya dia. Kalau dia setuju,
terus boleh masuk meminang.”
“Kalau dia tak setuju?” Tanya Syarifah Abiyah, masih diburu bimbang. Terasa
tangan kanannya digenggam lembut oleh teman lama. Dia memandang wajah teman
lama yang sudah dimamah usia.
“Kan kita dah kata, jangan dirisau.”
“Manalah kita tak risau, Salwa. Syed Badi tu dah umur tiga puluh dua pun.
Dia mana ada masa nak cari calon. Kawan dari kalangan orang biasa-biasa mungkin
ada, tapi kita nak cari yang pangkalnya nama Syarifah dan berbintikan Syed.”
“Iya...Kita faham. Kalau kahwin dengan orang biasa, sampai anak kita ajelah
keturunan Syed tu. Cucu-cicit kita tak ada darah Syed-Syarifah lagi.” Syarifah Salwa
pula menambah.
Dia sendiri
berkahwin dengan keturunan Sheikh, sebab itu dia mahu Syarifah Adelia dan
anak-anak yang lain mengikut jejaknya. Jika mereka tak dapat menemukan pasangan
yang berketurunan Syed, biar dia sahaja yang cari. Tengok sahaja sekarang! Dia
bisa mencari pasangan untuk Syarifah Adelia.
Keluarga Syed Al Hadad
bukan keluarga sembarangan. Keturunannya datang dari Tanah Arab. Mereka
berdagang di Tanah Melayu sewaktu Melaka menjadi pusat perdagangan kurun ke
lima belas dahulu. Mereka menetap lama di tanah Melayu, sehingga cicit mereka
Syed Ali Al Hadad berkahwin dengan anak tempatan dan mewarisi harta
ayahandanya. Kini, harta pusaka beralih kepada anaknya pula, Syed Abu Dzar Al
Hadad yang lebih bijak. Mereka bertambah kaya disebabkan Syed Abu Dzar bijak
berniaga. Putera-puteri mereka pula, dua orang itu sahajalah. Syed Badiuzzaman
Al Hadi serta Syarifah Afeefa.
“Ya, betul! Itulah yang kita bimbang sangat. Dengan Syed Badi, kita tak
bimbang sangat Salwa, si Afeefa tu! Sekarang dah sibuk nak tinggal di luar. Apa
yang kita kata, semua ditentangnya. Tak suka betul dia dengan apa yang bonda
dia suruh buat. Esok, calon suaminya entah bagaimana lah!” Luah Syarifah
Abiyah.
Kalau tadi, dia sibuk memikirkan
tentang Syed Badiuzzaman, rasanya Syarifah Afeefa lebih meletihkan. Anak itu
tidak bersetuju dengan hampir semua perkara. Agaknya kalau tak dipujuk, dah
lama dia duduk di kondominium yang dibeli Syed Badiuzzaman buat adiknya.