SYED Badiuzzaman terpempan. Tak disangka wanita yang duduk di hadapannya
kini memilik iras wajah dengan petugas stesyen minyak di Hentian Rehat dan
Rawat Gunung Semanggol yang dikerah membeli minuman minggu lepas.
“Perkenalkan diri.”
“Nama saya Ainul Mardhiah binti Abdul Karim. Umur saya dua puluh empat
tahun, saya berasal dari Kampung Gunung Semanggol.”
“Cukup. Itu saja aku nak tahu.” Celah Syed Badiuzzaman.
Dari pengenalan diri yang sedikit itu Syed Badiuzzaman sudah tahu, tiada
duanya mirip wajah itu. Memang dialah orangnya yang berkerja di stesyen minyak
itu. Namun, Syed Badiuzzaman belum dapat menelah kenapa dia memohon jawatan
pereka fesyen yang diiklankannya tempoh hari.
“Aku bagi kau tempoh tiga jam untuk buktikan kemampuan dan bakat yang kau
ada. Sediakan sehelai seluar casual untuk aku pakai minggu depan. Selepas tiga
jam, semuanya mesti beres. Alatan semua ada di situ!” Pesan Syed Badiuzzaman,
serius sambil menunjuk ke arah sebuah almari kayu yang solid di sudut bilik.
Mata Ainul Mardhiah menyorot ke arah almari yang dimaksudkan itu. Kemudian, dia
kembali menatap wajah lelaki itu.
Tatkala mata mereka bertemu, Syed Badiuzzaman dapat
merasakan sesuatu yang aneh pada perasaannya. Dia hampir bersimpati namun cepat
mengeraskan hatinya. Dia bangun dan hendak melangkah pergi seperti selalu namun
tertangkap dek telinganya satu suara memanggil.
“Err...boleh saya ambil ukuran badan Tuan Muda Syed Badi?”
Tanya Ainul Mardhiah, masih ragu-ragu. Temuduga apakah ini? Aku disuruh
menyiapkan sehelai seluar dalam tempoh tiga jam? Mampukah aku?
Syed Badiuzzaman hanya tersengih. Tanpa menjawab dia mendekati wanita itu.
Melihat tubuh itu sudah berdiri di sebelahnya, Ainul Mardhiah pantas
mengeluarkan sebuah buku nota dan sebatang pen. Dia melakar gambar sehelai
seluar slack secara kasar sebelum menggaris beberapa anak panah di beberapa
bahagian seluar itu. Dia bergegas ke arah almari kayu lalu menarik daun
pintunya. Dia melihat pelbagai alatan berada di situ lantas mengambil tali
pengukur.
“Cepat sikit. Banyak lagi kerja aku nak buat ni.”
“Okay. Tuan Muda Syed Badi tolong berdiri tegak ya.” Pesan Ainul Mardhiah.
Dalam masa yang sama, dia tetapkan hati agar bertabah menjalani proses
mengambil ukuran seluar lelaki itu. Pertama kali rasanya dia mengambil ukuran
seseorang lelaki, dan dadanya berdetak tak tentu hala.
“Kenapa mesti seluar????”Ainul Mardhiah bagai ingin menjerit namun terlekat
di kerongkongnya. Akhirnya dia mendekati Tuan Muda Syed Badi sekali lagi. Pada
jarak yang sangat dekat, Ainul Mardhiah dah rasa macam nak pengsan.
“Tolong angkat tangan, tuan.” Ainul Mardhiah masih was-was hendak melilit
pinggang lelaki itu.
“Tuan Muda Syed Badi.” Syed Badiuzzaman menegur.
Dalam masa yang sama, dia mengikut juga, mendepa tangannya tetapi tidaklah
terlalu tinggi. Dia sudah betah dengan karenah tukang jahit. Tahu bahagian mana
yang akan diukur terlebih dahulu.
“Maaf Tuan Muda Syed Badi, tapi nama Tuan Muda Syed Badi panjang sangat. Saya
nak cepat, itu yang saya singkatkan.”
“Lepas ni, jangan sesekali awak singkatkan.” Syed Badiuzzaman memberi
amaran tetapi suaranya kendur. Mata nakalnya sibuk memaku pada susuk tubuh
wanita itu yang terbongkok-bongkok mengambil ukuran seluarnya. Syed Badiuzzaman
masih berdiri tegak. Dia tahu, ada satu bahagian yang masih belum diukur
Ain...? Ainul Mardhiah.
Ainul Mardhiah. Cantik persis pemilik namanya. Hatinya sempat berdesis.
“Err...Tuan Muda Syed Badi boleh tolong saya?”
“Apa?”
“Saya segan nak ambil ukuran di bahagian cawat.” Jujur Ainul Mardhiah
memberitahu.
“Ha ha ha.” Berdekah-dekah tawa lelaki itu berbunyi, membuatkan muka Ainul
Mardhiah kemerahan bagai disimbah dakwat merah.
“Aku takkan buat. Itu tugas kau. Buatlah!” Jawab lelaki itu, masih tersengih.
Ainul Mardhiah melepaskan nafas yang berat. Beratnya hati hendak mengukur
bahagian cawat. Tuan Muda Syed Badi tidak kasihankah aku? Perlahan-lahan Ainul
Mardhiah melilit bahagian paha, kemudian tali pengukur itu dibawa ke bahagian
cawat dengan berhati-hati.
“Terima kasih atas kerjasama Tuan Muda Syed Badi. Saya akan cuba setakat
yang saya mampu. Kalau Tuan Muda Syed Badi kembali dan saya masih belum
bereskan, saya anggap rezeki saya tiada kat sini.”
“Bagus kalau kau faham.” Kata lelaki sebelum keluar. Ainul Mardhiah segera
melihat beberapa jenis kain yang bergulung kemas di dalam almari itu. Dalam
masa yang sama, mindanya ligat berkerja, memadankan gaya lelaki itu dengan
jenis seluar yang sesuai dipakai.
“Aku rasa, seluar casual Docker’s Alpha Khaki Slim Fit sesuai untuk dia.
Bismillahirrahmanirrahim.”
Ucap Ainul Mardhiah, sambil menarik gulungan kain berwarna Steelhead
Heather itu. Dia membentang kain itu di atas lantai dan menggunting kain itu
sepanjang dua meter setengah. Baki kainnya dimasukkan kembali ke dalam almari
kayu itu. Dalam masa yang sama, dia mengambil pula beberapa helai kertas minyak.
Berdasarkan ukuran yang diambil tadi, Ainul Mardhiah menumpahkan fokus terhadap
pekerjaannya hingga tak sedar masa berlalu pantas.