KELOPAK mata yang berat dikatup seketika. Alangkah indahnya andai dia dapat
melelapkan mata barang seminit dua. Letih dengan perjalanan jauh dan
memenatkan, ditambah pula dengan tidur yang tidak cukup, Ainul Mardhiah mudah
diterpa kantuk.
Kalau dapat bantal,
alangkah indahnya. Lalut Ainul Mardhiah dengan mata yang masih terpejam.
Rasanya dia sudah berada di antara dua alam, tak sedar yang kepalanya sudah
mengalas bahu Syed Badiuzzaman secara tak sengaja. Bila kepalanya disigung,
baru dia terpisat membuka mata.
“Lenguh bahu aku kau buat bantal. Lama lagi ke nak tidur?” Soal Syed
Badiuzzaman, terus membuatkan Ainul Mardhiah duduk tegak. Hilang terus rasa
kantuknya, sebaliknya berasa segan pula dengan Syed Badiuzzaman. Walaupun
mukanya memaku kerusi di depan, ekor matanya sempat menjeling reaksi Syed
Badiuzzaman yang sedang memusing-musing tangan kanannya. Lenguh barangkali!
Malunya aku!
“Maaf Tuan Muda Syed Badi.”
“Maaf, maaf! Itu ajelah kerja kau.”
“Maaf!” Ucapnya sekali lagi. Ruang duduk belakang teksi itu sepi tanpa
bicara mereka berdua sehinggalah teksi diberhentikan di depan hotel tempat
mereka menginap.
“Mersi.” Ucap pemandu teksi itu dengan loghat Perancisnya setelah Syed
Badiuzzaman membuat bayaran. Mereka berdua keluar dari teksi tersebut sebelum
masing-masing berjalan masuk ke dalam lobi hotel.
“Ain...” Panggil Syed Badiuzzaman di belakang. Ainul Mardhiah berhenti
melangkah. Dia menunggu Syed Badiuzzaman di tepi pintu utama lobi itu.
Barangkali ada sesuatu yang ingin diberitahu lelaki itu.
“Kau nak tengok Kota Paris malam ni?”
“Tak...saya nak berehat saja.” Tolak Ainul Mardhiah sambil menggeleng.
Sungguh, dia letih dan ingin berehat namun wajah Syed Badiuzzaman yang berubah
bila pelawaannya ditolak membuatkan Ainul Mardhiah jadi serba salah pula.
“Berehat masa tidur saja. Aku tunggu kau malam ni pukul tujuh.” Putusnya
sambil menghulur beg kertas kepada Ainul Mardhiah. Dia teragak-agak tetapi
menyambut juga beg kertas itu.
“Aku nak tengok kau pakai baju tu malam ni.” Kata Syed Badiuzzaman sebelum
masuk ke dalam Hotel Jays Paris. Ainul Mardhiah di belakang hanya menggeleng.
Dia berjalan masuk juga. Ada dua jam sebelum tujuh malam, sempatlah dia tidur
sebentar sebelum keluar atas arahan Syed Badiuzzaman.