HAJI Karim memandu dengan cermat. Kedatangan mereka ke Kuala Lumpur kali
ini bertujuan untuk menghantar sendiri Ainul Mardhiah ke sesi temuduga terbuka
itu. Mudah-mudahan, dengan ikhtiar mereka sekeluarga, Ainul Mardhiah beroleh
kerja, sepadan dengan usahanya selama tiga tahun ini.
“Babah belok ke kiri selepas bangunan CIMB tu. Wisma Al Hadad katanya kat
sini.” Ainul Mardhiah kembali melihat mesej yang dihantar oleh Encik Lukman.
Pasti dengan pesanan ringkas itu, dia memasukkan kembali telefon bimbitnya ke
dalam tas tangan. Haji Karim memberhentikan kereta di perkarangan lobi Wisma
itu. Dia melepaskan tali pinggang keledar.
“Babah doakan Ain berjaya dalam temuduga ni.”
“Aminn.” Jawab Ainul Mardhiah, lantas meraup mukanya seperti selalu. Dia
meraih tangan Haji Karim, lantas mengucup belakang tangan itu. Kemudian giliran
Hajah Sameera pula menghulur tangannya.
“Umi doakan Ainul Mardhiah, anak comel umi, berjaya dalam temuduga ni.”
“Aminnnn.” Ainul Mardiah tertawa kecil bila Hajah Sameera sempat
mengusiknya di dalam doa itu.
“Alangkah indah kalau Kak Long dan Kak Ngah ada bersama kita hari ni.”
“Tak apalah. Kak Long menunggu berita di rumah. Kak Ngah kan masih belajar
lagi. Kalau ada berita, umi dengan babah ada untuk beritahu mereka.” Kata Hajah
Sareema, memberi jaminan. Ainul Mardhiah mengangguk. Dia mempamer senyuman
manis sebelum meminta diri untuk keluar dari perut kereta. Terlupa hendak
menyampai pesanan, Ainul Mardhiah mengetuk cermin kereta di sebelah Hajah Sareema.
“Babah ambil Ain lepas Solat Zohor, ya?”
“Ain pasti?”
“Ya. Encik Lukman dah pesan, tempohnya panjang, sehingga empat jam.” Terang
Ain, tentang tempoh temuduga itu. Tak tahu mengapa, Encik Lukman memberi begitu
banyak maklumat padanya tentang temuduga ini. Ya Allah, Ain rasa langkahnya
kali ini dibantu dan dipermudahkan. Semoga hasilnya juga sama seperti
perjalanannya.
“Iyalah. Tapi kalau Ain rasa nak balik cepat, Ain telefon babah atau umi.”
Ain mengangguk pantas. Dia melambai umi dan babah yang meninggalkannya di
perkarangan lobi itu. Bila dia melihat ada sebuah kereta yang mendekati, Ainul
Mardhiah pantas masuk ke dalam bangunan itu. Seorang wanita yang bertugas di
kaunter pertanyaan didekati.
“Assalammualaikum, Cik! Saya tumpang tanya. Di mana pejabat Encik Syed
Badiuzzaman?”
“Oh, Tuan Muda Syed Badi, ya?” Tanya wanita itu kembali. Ainul Mardhiah
terkulat. Tuan Muda Syed Badi?
“Ya..ya. Saya ada temuduga pagi ni.”
“Mari ikut aku!”
Ajak seorang lelaki di belakang.
“Tuan Muda Syed Badi, selamat pagi!” Ucap penyambut tetamu itu lantas
menunduk sedikit kepalanya. Ainul Mardhiah pantas memaling mukanya tetapi
lelaki yang dipanggil Tuan Muda Syed Badi itu sudah berdiri tegak di hadapan
lif.
“Itu orangnya. Cik ikut dia tau!” Pesan wanita yang menjaga kaunter, hampir
berbisik.
Ainul Mardhiah mengangguk lalu bergegas ke arah lif yang letak tidak jauh
dari mereka. Ketika dia sampai, pintu lif terbuka, dan dia masuk ke dalamnya
bersama Tuan Muda Syed Badi. Lelaki itu berkaca mata hitam, bergaya dengan kot.
“Lelaki inikah yang akan menemuduga aku?” Soalnya dalam hati. Dia hendak
mencuri lihat lelaki itu lalu dia mengundur setapak ke belakang. Dia mencuri
hendap, menghantar pandangan ke arah lelaki yang sangat bergaya itu.
“Macam pernah tengok. Kat mana, ya?” Tanya Ainul Mardhiah di dalam hati.
Dia gigih mengingat sehingga tak sedar yang jari telunjuk sudah tegak di bawah
bibir.
“Dah sampai.” Beritahu Syed Badiuzzaman, sebelum melangkah keluar dari lif
itu.
Ainul Mardhiah ikut melangkah. Dia tidak banyak bicara kerana sedar yang
dirinya hanya pelawat di mata warga pejabat itu. Langkah diatur cermat sehingga
tiba di hadapan pintu yang tertera nama Syed Badiuzzaman bin Syed Abu Dzar Al
Hadad, Ketua Pengarah (Projek). Ainul Mardhiah menyemat nama itu di dalam
mindanya. Dia ikut melangkah ke dalam bilik yang ternganga luas itu.