SITI
Fatimah membantu Intan Nawrah mengemaskan barang-barangnya di bilik baharu.
Selepas dibenarkan pulang, Intan Nawrah buat keputusan untuk segera masuk ke
rumah sewa baharunya. Siti Fatimah berkeras hendak mengikut Intan Nawrah ke
rumah sewa baharunya kerana mahu berkenalan sendiri dengan teman baharu
anak-anaknya. Dia mahu memastikan kawan-kawan baharu anaknya boleh diharapkan,
tak mahu kejadian lama berulang kembali.
Sejak
tiba hampir sejam yang lalu, sempat juga dia bertukar cerita dengan rakan
serumah Intan Nawrah yang baharu. Mereka yang tidak tahu kisah Intan Nawrah
tertanya-tanya mengapa kelibat Intan Nawrah masih tak muncul sepanjang minggu.
Setelah dijelaskan sebabnya, masing-masing telan air liur agaknya, terkejut dan
tak menyangka ada orang sanggup bertindak senekad itu. Sama-sama wanita pulak
tu!
Siti Fatimah masih mencari ruang untuk
berbincang dengan anaknya. Apabila ditinggalkan berdua, dia mahu menggunakan
ruang itu sebaiknya.
“Mak rasa Nawrah dah kena cari kenderaan
sendiri. Senang nak pergi balik kerja.”
Intan Nawrah mengangkat mukanya
apabila disapa.
“Hajatnya
macam tulah mak...bila dah cukup duit. Setakat ni, Nawrah tak sempat simpan
duit, semua lebur bila masuk rumah sewa baharu.”
“Pakai duit mak dululah.” Siti Fatimah
memberi cadangan.
Intan
Nawrah ketawa. Takkanlah dia yang dah bekerja ni nak guna duit emak lagi? Tak
patut rasanya cadangan emak itu diterimanya. Intan Nawrah tak sampai hati nak
menggunakan duit emak untuk membeli keperluannya. Rasanya dia masih boleh
bersabar, masih boleh bertahan kerana dia masih punya pilihan lain.
“Kenapa
Nawrah ketawa pulak? Mak serius ni! Risau pulak tengok Nawrah berulang alik
dengan bas setiap hari.”
“Naik
bas pun selamat jugak, mak. Sekurang-kurangnya ada ramai orang dalam bas. Kalau
jadi apa-apa, ramai yang ada. Kalau naik motor ni, apa yang selamatnya? Kena
pulak musim hujan, Nawrah dulu yang basah.”
“Nawrah
tak mampu pakai kereta ke?”
“Tak mampu lagi setakat ni. Berapa
bulan sangatlah Nawrah di KL ni, mak?” soal Intan Nawrah kembali. Sebulan
setengah di Berita Metro, Intan Nawrah belum sempat menyimpan duit. Bohonglah
jika dia tak berangan nak pakai kereta sendiri, cuma tak mampu sahaja nak
memilikinya. Perlahan-lahanlah! Pujuk Intan Nawrah kepada dirinya sendiri.
“Mak risaukan Nawrah, bukannya apa.”
“InsyaALLAH, mak! Nawrah cuba jaga
diri Nawrah sendiri. Mak jangan bimbang, ye?”
“Hati ibu manalah yang tak bimbang
bila anaknya diperlakukan macam tu.”
“Tak
apalah, mak! Nawrah tak salahkan Melia pun... Nawrah dah fikir habis-habis
pasal ni dan bersedia untuk maafkan Melia. Lagipun, Nawrah yang mulakan. Kalau
Nawrah tak kacau Melia, Melia pun tak kacau Nawrah.” tutur Intan Nawrah,
perlahan menyusuri peristiwa pahit itu.
Ingatannya
masih basah, masih teringat-ingat kepalanya dicengkam dan dihantuk-hantuk ke
lantai. Sakitnya terasa hingga ke saat ini, tetapi Intan Nawrah memilih untuk
membuang yang keruh dan mengambil yang jernih sahaja.
“Nawrah
selalu maafkan orang.” komen Siti Fatimah, malas nak memanjangkan lagi hal itu.
Jika itu katanya, tak payah pujuk-pujuk lagi. Intan Nawrah tidak akan mendengar
kerana dia telah buat keputusannya. Dua beranak itu mendiamkan diri lama,
sehingga terdengar sebuah nama di bibir anaknya.
“Zul
tu...”
“Kenapa
dengan Zul?” tanya Siti Fatimah, tidak sabar. Hari itu, dia ada simpan
rancangan hendak bertanya tentang hubungan Intan Nawrah dan Zulkarnaeen, akan
tetapi rancangan itu hilang di sebalik kesibukannya menguruskan Intan Nawrah
yang masih sakit.
“Tak
tahu macam mana Nawrah nak cerita.”
“Nawrah
suka Zul?” tanya Siti Fatimah, tolong mempermudahkan cerita. Intan Nawrah
mengangkat mukanya dek kerana terkejut, akan tetapi Siti Fatimah terus ketawa.
“Nawrah
suka Zul?” tanya Siti Fatimah lagi. Tiada jawapan kerana wajah anaknya merona
kemerahan. Siti Fatimah dapat membaca air muka anaknya. Diamnya kali ini kerana
mengakui soalan itu.
“Kalau
Nawrah suka, mak ni apatah lagi.”
“Apa
yang mak suka pada Zul? Dari awal lagi, mak suka Zul, kan?” tanya Intan Nawrah
tidak puas hati. Siti Fatimah gelak.
“Entahlah,
tak tahu kenapa mak suka dia. Mungkin sebab dia berani mintak anak dara mak
agaknya. Dia berkenankan Nawrah, dia datang jumpa mak.”
“Mak
ingatkan, lepas Nawrah tak mahu terima rombongan meminangnya tu, Nawrah dah tak
jumpa lagi dengan Zul, rupa-rupanya..”
“Rupa-rupanya Zul tak jauh dari Nawrah
mak. Kuat agaknya jodoh Nawrah dan Zul.” bicara Intan Nawrah, masih malu. Dia
tak mengangkat muka pun, hanya jemarinya sahaja menolak-nolak cadar supaya
tidak berkedut.
“Kalau
dah sama-sama suka, kenapa tak mintak Zul hantarkan rombongan meminang aje?”
“Mak
restu tak, kalau Nawrah pilih Zul?”
“Mak
restu, sayang!”
PETANG
itu, Intan Nawrah muncul kembali di perhentian bas selepas seminggu tak
kelihatan. Anehnya, dia tidak duduk seperti selalu, sebaliknya dia dilihat melangkah
mampir ke arah kereta Alexander Zulkarnaeen. Cermin mata hitam ditanggalkannya.
Benarkah Intan Nawrah yang sedang berjalan ke arahnya? Atau itu cuma ilusinya
sahaja? Tetapi tangannya deras menolak pintu kereta di sebelah sana, walaupun
dia tidak tahu apa yang bermain di fikiran Intan Nawrah ketika itu. Ya,
jangkaannya tepat! Intan Nawrah masuk ke dalam perut kereta lalu duduk di
sisinya. Ada sebuah senyuman manis menghiasi wajahnya, buat Alexander
Zulkarnaeen terkejut. Hisy! takkan mengigau kot?
“Hai Zul.”
“Hai!”
jawabnya Alexander Zulkarnaeen.
“Saya sihat,
alhamdulillah.”
“Err...”
Alexander Zulkarnaeen terkedu. Dia hilang kata-kata kerana tidak menyangka
Intan Nawrah nak bercerita tentang kesihatan dirinya, seolah-olah tahu yang
soalan itu sedang berputaran di mindanya. Anehnya, Intan Nawrah bagai berbicara
dengan diri sendiri, sambil menulis sesuatu di atas kertas. Macam tak peduli,
siapa disebelahnya pun ada.
Bagi
Intan Nawrah pula, dia sedang menunaikan janjinya. Memang malu juga apabila
terpaksa menebalkan muka begitu, tetapi sudah janjinya hendak menemui sendiri
Alexander Zulkarnaeen apabila tiba waktunya. Jadi, itulah yang sedang berlaku. Dia
sedang menemui Alexander Zulkarnaeen untuk memberitahu jawapannya. Intan Nawrah
hendak menyambung bicara lagi, biarpun pipi sedang merona malu.
“Hai Zul.”
“Dah lama saya
mencari kesempatan untuk membalas surat-surat yang dikirimkan kepada saya
sebelum ni... tak sangka pula saya pilih hari ni.
Barangkali awak
sedar, barangkali juga tidak...pertemuan kita pada September tidak saya
hargai.
Tetapi entah
bagaimana, walaupun saya kata tidak pada awalnya, hati ini berkata yang
sebaliknya pula setelah kita mengharungi satu tempoh masa.
Zul,
Detik 31 Disember
2015 akan saya nantikan. Moga benar seperti yang dilafaz sebelumnya, awak akan
datang sebagai pengantin saya. Saya bersedia Zul, untuk menerima segala
kelebihan dan kekurangan awak...InsyaALLAH, sebagai pasangan saya kelak.
Yang
khlas,
Intan
Nawrah
Intan
Nawrah menyudahkan kata-katanya sambil tangan masih ligat menulis. Akhirnya,
dia menulis nama sendiri pada bahagian paling bawah di sudut kanan. Surat itu
dilipat kemas, sebelum dihulurkankepada Alexander Zulkarnaeen. Mata lelaki itu
masih tidak berkedip tetapi tetap beralih pada surat di tangannya.
Alexander
Zulkarnaeen membaca surat itu berhati-hati, berulang kali. Akhirnya dia
tersenyum, tetapi senyumannya mati dengan cepat. Dia kelam-kabut melihat bas
Rapid lalu di depan mereka.
“Eh,
bas awak tu!”
Kata
Alexander Zulkarnaeen, terus menunjuk ke arah bas. Hilang terus kisah nak
berterima kasih pada Intan Nawrah tentang hal mereka berdua. Intan Nawrah
senyum sahaja. Kalau bas pun, apa nak buat? Takkan nak berlari mengejar bas
pulak sedangkan dia masih di dalam kereta lelaki itu.
“Tak
apa, naik teksi pun boleh. Okay, Zul. Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Eh,
tak payah Nawrah! Biar saya hantar awak. Mungkin kita boleh singgah makan dulu,
sambil berbincang tentang hal kita.”
“Dah
lewat, Zul. Kejap lagi dah nak masuk waktu Maghrib. Saya tak beranilah balik
malam lepas apa yang berlaku pada saya sebelum ni.”
“Okay. Saya hantar awak balik.” Tawar
Alexander Zulkarnaeen, tidak mahu mengalah. Dia tidak menunggu jawapan Intan Nawrah,
sebaliknya terus memandu apabila lorong di sebelah kanannya tidak ada
kenderaan. Nak bertentang mata begitu memang payah sekali. Apabila berpeluang,
takkan dia nak melepaskannya pula. Kereta meluncur laju sedang dia masih
mencari pembuka cerita. Perbualan mereka mati pada saat kemuncak, saat dia
sepatutnya bersorak kerana Intan Nawrah setuju untuk menjadi isterinya. Ini
semua bas Rapid punya pasal! Potong perasaan betul!
“Sebenarnya,
saya dah mintak mak dan abah uruskan majlis kita.”
“Heyyyy...cepatnya!
Baru tadi saya buat keputusan, kan?” Potong Intan Nawrah, terkejut.
Alexander
Zulkarnaeen terus ketawa. Jauh di sudut hati, ada rasa bahagia yang mula
menghuni. Sekurang-kurangnya Intan Nawrah sudah hampir pasti dimiliki. Dia
tidak mahu banyak. Cukuplah mempunyai seorang isteri yang boleh menyayangi dan
menerima dirinya seadanya.
“Deep down inside...I can feel it. Hai
Intan Nawrah, December 31st is
coming soon. Can’t wait. I can’t wait.”
“Nanti
awak datanglah jumpa mak dan bincang dengan dia. Kita jumpa semula 31 Disember
nanti.”
“Maksud
awak, kita tak jumpa lagi sebelum tu?”
Tanya
Alexander Zulkarnaeen, susah nak menelan hakikat itu. Saat melihat wanita itu
mengangguk, dia tahu itu memang kehendak Intan Nawrah, seperti mana kehendaknya
sebelum ini.
“Ye,
Zul. Kalau awak nak berurusan apa-apa tentang majlis kita, jumpa ajelah dengan
mak saya. Insya-ALLAH, dia akan tolong awak.”
“Macam
tu aje?”
“Emmm...”
“Terima
kasih Zul, sabar dengan karenah saya. Ruang masa yang ada ni, kita gunalah
sebaik-baiknya untuk saling memahami dan saling menghormati.”
Ujar Intan Nawrah, tenang sahaja. Tiada bicara
dari Alexander Zulkarnaeen kerana dia sedang berusaha untuk memahami Intan
Nawrah. Apa nak buat jika hati sudah suka? Datanglah gajah atau harimau
sekalipun, tetap Alexander Zulkarnaeen tentang demi kerana Intan Nawrah.