LIMA keping not lima puluh terpaksa Ainul Mardhiah korbankan kepada mata
wang Euro untuk perjalanan ke Paris. Jumlahnya hanya Euro lima puluh tujuh
dan empat puluh sen?Sen ke? Ini semua Syed Badiuzzaman punya pasal. Tergesa-gesa membuat
keputusan semata-mata kerana kain. Dia tak apa, beratus kali boleh terbang ke
Paris kerana dia orang kaya sedangkan aku? Gaji pertama pun aku belum merasa
lagi. Kalau aku guna duit yang babah kirim sewenang-wenangnya, apa aku nak
makan dalam tempoh sebulan ini? Ainul Mardhiah berasa sedih. Sedih kerana
terpaksa menggunakan duit sebanyak itu kerana kain Syed Badiuzzaman.
Ainul Mardhiah menoleh ke
arah Syed Badiuzzaman yang leka membaca akhbar. Mamat ni memang poyo! Dia boleh buat keputusan begitu sedangkan dia belum mencuba lagi corak yang ada di
kedai fabrik semalam. Tetapi adakah Syed Badiuzzaman kisah? Syed Badiuzzaman
tentu tak kisah asalkan kehendak hatinya tercapai. Akhirnya, Ainul Mardhiah
mengeluarkan telefon bimbit. Dia hendak bertanya khabar Haji Karim dan keluarga
di Kampung Gunung Semanggol, sekaligus memberitahu mereka yang dia akan ke
Paris. Terkejutkah mereka? Pasti mereka terkejut kerana sederas itu kerjanya
berkembang.
“Assalammualaikum... Babah, Ain ni.” Ucap Ainul Mardhiah, menekup mulutnya
di telefon bimbit itu, namun tindakannya sempat dijeling Syed Badiuzzaman.
“Waalaikumussalam warahmatullah. Ain sihat? Seronok kerja di KL?”
“Babah...babah jangan marah Ain, ya?”
“Ain ada buat salah ke?” tanya Haji Karim, tenang.
Baginya, selagi Ainul Mardhiah belum bercerita hal yang sebenar, marahnya
tidak datang tiba-tiba. Malah dia bukan pemarah. Ainul Mardhiah dan
kakak-kakanya juga tahu hal itu. Cuma, mungkin didikan. Mereka telah dididik
untuk berlaku sopan dan berkata benar setiap masa.
“Ya, Ain tengah tunggu flight ke
Paris. Tuan Muda Syed Badi nak bawa Ain beli fabrik kat sana.”
“Habis tu, di mana salahnya?” Tanya Haji Karim, ketawa dihujungnya. Ainul
Mardhiah memang anak yang menyenangkan hatinya. Mudah-mudahan Ainul Mardhiah selamat
di tempat orang.
“Babah tak marah ke?”
“Bukan Ainul Mardhiah dah sign
kontrak untuk jadi designer peribadi
Syed Badi? Babah tak boleh campur tangan hal kerja Ain.”
“Ya...Ain nak beritahu babah. Nanti babah cari Ain, tak dapat pulak. Babah
doakan Ain selamat di tempat orang, ya?” Pohon Ainul Mardhiah, sayu.
Jauh kali ini kepergiannya. Lebih jauh dari Kak Ngah barangkali. Yang pasti
Ainul Mardhiah tidak berasa bahagia. Barangkali kerana terpaksa membelanjakan
duit pemberian babah ke jalan yang tidak sepatutnya.
“InsyaAllah, babah akan doakan Ain. Ain jaga diri baik-baik, ya? Sampaikan
salam babah pada Tuan Syed Ain tu.”
“Babah pun...jaga kesihatan babah tu. Sampaikan salam Ain pada umi dan Kak
Long.” Pesan Ainul Mardhiah sebelum menamatkan perbualan. Telefon bimbit itu
masih digenggamnya. Sempat dia mengerling ke arah jam digital yang terpapar di
sudut atas telefon bimbit tersebut.
“Dah?”
“Dah apa?” Ainul Mardhiah bertanya kembali. Dia menoleh ke arah lelaki yang
sedang duduk bersilang kaki itu.
“Dah cakap dengan Tuan Haji?”
“Mana Tuan Muda Syed Badi tahu?”
“Kau anak ayah, kan?” Tanya Syed Badiuzzaman, bagai mengejek. Sengaja tidak
dijawab soalan Ainul Mardhiah itu.
“Babah sampaikan salam pada Tuan Muda Syed Badi. Katanya, tolong jaga
anaknya baik-baik.” Ainul Mardhiah menyampaikan pesanan Haji Karim, malah
sempat pula memalsukan pesanan terakhir itu.
“Aku musykil.” Kata-kata Syed Badiuzzaman terhenti di situ. Benarkah Haji
Karim berpesan demikian kepadanya, atau Ainul Mardhiah sengaja menambah? Namun,
bila terdengar sahaja panggilan untuk menaiki pesawat, Syed Badiuzzaman segera
bangun
“Jom.” Ajak Syed Badiuzzaman. Dia menggalas sebuah beg sandang kulit. Ainul
Mardhiah juga mengikut langkahnya dari belakang. Usai menyerahkan passport dan
boarding pass kepada pramugara yang bertugas, mereka berbaris untuk menaiki
pesawat.
“Kita honeymoon di Paris.” Usik
Syed Badiuzzaman ke telinga Ainul Mardhiah. Dia menanti tindak balas rona
kemerahan dari wajah itu dan bila dapat apa yang dinanti, Syed Badiuzzaman ketawa
senang hati.
Lain pula bagi Ainul Mardhiah, jenaka Syed Badiuzzaman
menggusarkan hati perempuannya. Sudahlah Syed Badiuzzaman baharu dikenali.
Berani pula dia berkata begitu kepada Ainul Mardhiah. Dia hendak carai
pasalkah?