KETIKA pintu dikuak, Ainul Mardhiah masih menyembat bahagian kaki. Dia tahu
Itu kelibat Syed Badiuzzaman seperti yang telah dijanjinya tiga jam lalu.
“Maaf Tuan Muda Syed Badi. Saya tak dapat siapkan seperti yang Tuan Muda
Syed Badi minta.”
“Aku dah agak.” Jawab Syed Badiuzzaman, ringkas. Dia melihat bahagian kaki
seluar yang masih belum dikelim.
“So, apa tunggu lagi?” Tanya Syed
Badiuzzaman dengan angkuh. Dia masuk ke dalam bilik kerjanya lalu duduk di atas
sofa. Kelakuan Ainul Mardhiah, tidak dapat tidak, dijelingnya juga.
Sekurang-kurangnya izinkan saya menghabiskan jahitan di bahagian kaki ni.
Saya tahu saya tak memenuhi kriteria yang Tuan Muda Syed Badi kehendaki, tapi
saya nak habiskan sikit aje lagi ni. Sayanglah. Kalau saya tak habiskan, siapa
nak buat?”
“Tak payah. Kau bawak balik aje. Takkan aku nak pakai seluar tak siap
jahit? Jatuhlah air muka aku.”
“Sikit sahaja Tuan Muda Syed Badi.” Ujar Ainul Mardhiah, tidak mahu
mengalah.
Dia menggerakkan jarum lebih cepat dari sebelumnya, tapi masih memastikan
jahitannya kemas.
“Aku kata tak payah!”
“Dah siap, dah siap!” Jawab Ainul Mardhiah lalu mematikan jahitan akhirnya.
Seluar itu diangkat, sebelum dia sendiri berdiri. Kakinya mengebas, dek
kerana terlalu lama duduk di atas karpet itu. Mukanya berkerut-kerut, menahan
rasa kebas itu sebelum dia dapat berdiri dengan betul. Dia mendekati Syed
Badiuzzaman yang sedang duduk di atas sofa. Seluar itu diserahkan ke tangan
pemiliknya sebelum dia meminta izin untuk pulang.
Syed
Badiuzzaman hanya menoleh apabila pintu biliknya terkatup semula. Dia
melepaskan keluhan panjang sebelum mengangkat seluar itu. Tak lama, kerana akhirnya
seluar itu dicampak ke atas meja kopi di hadapannya.
“Tuan Muda Syed Badi? Macam mana? Boleh?”
“Gagal!” Jawab Syed Badiuzzaman lalu
menjuih ke arah seluar yang baru dijahit Ainul Mardhiah sebentar tadi. Entah
kenapa, wajah polos gadis itu masih belum hilang dari pandangan walaupun Lukman
yang berada di hadapannya.
“Wah, cantik jugak design seluar
Tuan Muda Syed Badi ni! Siap ada butang lagi tepi poket lagi.”
“Kau nak?” Soal Syed Badiuzzaman, tidak puas hati.
“Kalau saya nak pun, bukannya padan. Itu saiz Tuan Muda Syed Badi, kan?”
Balas Lukman dengan suara perlahan. Tadi, dia bertembung dengan Ainul Mardhiah.
Dia melihat wanita itu berjalan dengan wajah biasa. Lukman mengangak, dia gagal
dan ternyata, telahannya benar. Agaknya, apa yang dicari Syed Badiuzzaman?
“Esok ada seorang lagi yang nak datang interview.”
“Emm.” Syed Badiuzzaman menjawab malas lalu menghempas badan ke atas sofa. Kenapa
susah benar hendak mencari seorang pereka fesyen merangkap tukang jahit
peribadi yang sesuai dengan kehendak aku?
NURUL berhajat hendak
menegur Ainul Mardhiah yang kerap termenung semenjak awal pagi lagi. Bimbang
juga melihat telatah Ain yang kurang ceria semenjak pulang dari cuti tempoh
hari. Ain tak sihatkah? Atau Ain putus cinta? Atau semua itu andaian sahaja?
Baik aku tanya Ain sendiri, apa masalahnya.
“Ain, kenapa termenung aje tu?”
“Oh, Nurul!” Balas Ainul Mardhiah, tersenyum di hujungnya.
“Ini...pelanggan tak ramai sangat. Itu yang Ain sempat pasang angan-angan
tu.” Dia menambah lagi. Tujuannya hendak mengalih perhatian Nurul dari bertanya
tentang hal yang merunsingkan mindanya semenjak pulang dari Kuala Lumpur tempoh
hari.
“Oh, Ain pasang angan-angan dengan siapa?” usik Nurul, tersengih.
Ainul Mardhiah juga ikut senyum. Dia gelihati pula melihat reaksi Nurul
yang bersungguh-sungguh hendak mengorek rahsianya, lalu belakang sahabatnya
dipeluk mesra.
“Bukan dengan siapa. Ain cuma berangan...alangkah indah kalau ada butik
sendiri. Boleh reka apa sahaja pakaian yang Ain suka.” Akhirnya Ainul Mardhiah
berkongsi cerita sedikit, walaupun hakikatnya dia terkilan kerana dua kali
gagal dalam temuduga yang dihadapi.
“Kalau Ain buka butik sendiri, Nurul nak kerja dengan Ain boleh?”
“Eh, mestilah boleh! Nurul kan rajin. Ain nak sangat kerja dengan Nurul,
sebab Nurul baik, selalu tegur Ain.”
“Ain terasa hati dengan Tifa, ya?” Tebak Nurul, membuatkan Ainul Mardhiah
cepat mengangkat muka.
“Eh, taklah! Kenapa Ain nak terasa hati dengan Tifa pulak?” Soal Ainul
Mardhiah kembali, mempertahankan dirinya.
“Nurul tahu, Ain kecil hati dengan Tifa, kan? Hari tu dia suruh Ain cuci
tandas dan rekod barang.” Tebak Nurul lagi. Kali ini Ainul Mardhiah tersenyum
panjang. Cepat benar cerita itu sampai ke pengetahuan Nurul. Dia tidak kisah
malah berasa itu juga tanggungjawabnya, merekod stok barang di dalam kedai atau
membersihkan tandas.
“Ain tak kisahlah, Nurul! Stesyen minyak ni tempat kita sama-sama cari
rezeki. Eloklah kita buat kerja sama-sama. Takkan Ain nak tunggu di pam sahaja,
tentulah orang yang berkerja lebih akan sakit hati.” jelas Ainul Mardhiah lagi.
Nurul mengangguk sebelum menambah.
“Tifa memang begitu. Dia kasar sikit, tapi baik orangnya. Ain jangan ambil
hati, ya?”
“Takkk. Ain okay saja.”
“Nurul masuk dalam dulu, ya? Ada
customer tu.” Kata Nurul, meminta diri. Ainul Mardhiah mengangguk sebelum
menoleh ke arah kereta yang berhenti di tepinya. Dia senyum dan tunduk hormat
sedikit pada pelanggan yang baharu keluar dari kenderaan tersebut.
“MACAM ni punya designer pun ada? Eh, aku peliklah
dengan designer yang datang ke
pejabat ni. Macam tak ada pengalaman buat baju aje ni. Penat aku layan keletah
kau orang.”
Pekik Syed Badiuzzaman sebelum menghempas pintu biliknya. Lukman
menggeleng. Dia dapat mengesan jangka hayat pintu itu tak akan lama jika
dilihat dari sudut penggunaan Syed Badiuzzaman. Cerewetnya tahap Ninja Turtles.
Orang jahit senget sikit pun angin satu badan! Yang bingit telinga, aku jugak!
Omel Lukman di dalam hati.
“Tuan Muda Syed Badi, memang begitu. Hatinya liat dan susah dipujuk.
Maafkan dia, ya?” Lukman sekali memohon maaf bagi pihak Syed Badiuzzaman.
Setakat ini, ada tiga calon telah ditemuduga sendiri oleh Syed Badiuzzaman,
semuanya tidak dapat memenuhi citarasa lelaki itu.
“Nasib baiklah dia rejectsaya.
Tak tahan saya dapat majikan macam dia. Harap muka saja handsome, perangai hodoh. Orang dah jahitkan baju untuk dia, tak
reti nak terima kasih langsung, dimakinya lagi kita ni, adalah.” Komen Suhana,
sakit hati. Dia bingkas bangun lalu berjalan keluar dari bilik itu. Semoga Syed
Badiuzzaman bertemu buku dan ruas! Doanya dalam hati.
Baru beberapa tapak
melangkah, dia bertembung dengan Syed Badiuzzaman yang sedang membawa mug.
Terasa seperti hendak mengenakan lelaki itu pula. Lagaknya membawa mug pun
menyakitkan hati, lantas Suhana buat-buat buta. Dia melanggar bahu lelaki itu
sehingga air tumpah ke atas pakaian lelaki itu.
“Oi, buta ke?”
“Maaf, tak sengaja!” Ucap Suhana. Tidak membuang masa, dia melangkah terus
dengan hati yang puas.
“Argh! Habis seluar aku kotor!” Marah Syed Badiuzzaman sebelum bergegas
masuk ke dalam pantry. Dia menyapu tompokan air yang mengenai seluarnya namun
bila melihat seluarnya basah, Syed Badiuzzaman kembali ke bilik kerjanya dengan
hati yang bengkak. Terdengar juga bunyi-bunyi cakap di belakang apabila
beberapa orang pekerjanya melihat insiden itu.
“Kenapa seluar Tuan Muda Syed Badi tu?” Tegur Lukman apabila terpandang
kesan tompokan hitam pada seluar Syed Badiuzzaman.
“Perempuan gila tu! Sengaja nak balas dendam agaknya.”
“Perempuan mana?”
“Perempuan tadilah! Yang kena halau sebab jahit senget tu. Dia balas dendam
dan saja langgar aku yang tengah pegang mug air ni.” Cerita Syed Badiuzzaman
dengan muka tegang. Lukman hendak gelak namun tidak sampai hati mentertawakan
lelaki itu.
“Dia tak sengaja kot! Takkan dia sengaja menyusahkan Tuan Muda Syed Badi
pulak?”
“Balas dendam lah tu! Tak boleh terima hakikat yang aku tolak dia.” Luah
Syed Badiuzzaman dengan suara yang besar. Lukman menggeleng kepala. Padahal
Suhana pun tak sudi bertuan seperti dia. Memang padanlah muka Syed Badiuzzaman,
jika Suhana memang berniat hendak mengenakannnya. Bukan selalu dapat hadiah
percuma!
“Kejap lagi Tuan Muda Syed Badi ada mesyuarat. Macam mana?”
“Kau balik ambil seluar aku.”
“Tak sempat, mesyuarat tu setengah jam lagi.” Balas Lukman sambil
menunjukkan jam yang tergantung elok di hadapan mereka.
“Takkan aku nak pakai seluar kotor ni? Jatuhlah air muka aku!” Bidas Syed
Badiuzzaman.
Muka bengangnya tidak dapat
disembunyikan lagi. Sepanjang usia dewasanya, belum pernah lagi dia dimalukan
seperti itu. Sakit betul hati dengan Suhana!
“Saya cadangkan Tuan Muda Syed Badi pakai seluar semalam, yang Cik Ainul
Mardhiah buat.”
Syed Badiuzzaman senyap. Lama dia menyepikan diri sehingga akhirnya dia
mengangguk. Melihat sikap Syed Badiuzzaman yang mulai reda, Lukman bangun lalu
mendapatkan seluar yang telah digantung elok di dalam almari itu. Dia
menyerahkan seluar itu kepada Syed Badiuzzaman.