“KAU cuma ada dua pilihan,
sama ada menetap di rumah ibu bapa aku, atau menetap di apartment bersama adik
aku.”
Beritahu Syed Badiuzzaman selepas memberhentikan keretanya di Hentian Rehat
Jejantas Sungai Buloh. Ainul Mardhiah tidak terus menjawab. Payah pula hendak
menjawab soalan itu. Jika tidak punya pilihan sekalipun, Ainul Mardhiah memang
keberatan hendak tinggal di rumah keluarga Syed Badiuzzaman. Hatinya galau.
Lihat sahaja sikap Syed Badiuzzaman! Menakutkan. Apakah keluarganya juga
begitu?
Dan jika dia memilih untuk
tinggal bersama adik Syed Badiuzzaman, adakah hatinya akan senang? Tinggal di
dalam lingkungan orang kaya hanya akan membuatkan Ainul Mardhiah diburu resah.
“Err...kalau saya tak mahu pilih dua-dua?” Ainul Mardhiah mencuba nasib.
“Tak boleh...kau dah terima kontrak. Takkan kau tak baca?”
“Takkan saya nak tinggal dengan keluarga Tuan Muda Syed Badi?” Tanya Ainul
Mardhiah kembali. Memang aneh jika dia memilih untuk tinggal di rumah keluarga
Syed Badiuzzaman, kerana paling utama, dia tidak mengenali mereka. Pasti mereka
juga tak sennag dengan kehadirannya nanti.
“Kalau begitu kau tinggal saja dengan adik aku. Aku dah carikan sebuah
kondo untuk dia. Sementara menanti dia masuk, kau boleh tinggal dulu kat situ.”
“Err...adik Tuan Muda Syed Badi tu lelaki ke perempuan?” Tanya Ainul
Mardhiah, serba tidak kena. Syed Badiuzzaman menanggalkan cermin mata hitamnya.
Dia merenung Ainul Mardhiah dengan sengih nakalnya.
“Lelaki? Baik aku saja yang duduk dengan kau. Buat apa aku hantar dia?”
Soal Syed Badiuzzaman, membuatkan muka Ainul Mardhiah merona kemerahan.
“Kasarnya gurauan Tuan Muda Syed Badi.”
“Kalau rasa kasar, lain kali jangan tanya soalan cerdik pada aku. Muka kau
juga yang merah nanti.” Bidas Syed Badiuzzaman.
Dia lantas menghidupkan
enjin kereta sebelum memandunya menghala ke pusat bandar. Barangkali lebih elok
jika Ainul Mardhiah tinggal dengan Syarifah Afeefa berbanding tinggal bersama
keluarganya. Sekurang-kurangnya, Syarifah Afeefa ada teman berbual nanti.
Syed Badiuzzaman pasti,
Syarifah Afeefa tentu suka jika diberitahu yang kondominiumnya sudah siap untuk
diduduki, bersama seorang kawan lagi!
“PERKARA pertama yang kau
mesti tahu tentang aku, aku ini sangat cerewet tentang pakaian.”
“Seumur hidup, aku tak pernah pakai pakaian siap. Semua ditempah.”
Ainul Mardhiah berkerut kening. Aneh rupanya Syed Badiuzzaman. Patutlah dia
bertindak sebarangan dan sesuka hati sahaja. Cerewet rupanya!
“Dahsyatnya.”
Pandangan lelaki itu menyorot kepadanya.
“Maaf Tuan Muda Syed Badi.” Ucap Ainul Mardhiah apabila sedar yang dirinya
terlepas kata.
Syed Badiuzzaman duduk di hadapan Ainul Mardhiah. Kakinya disilang dan
tangannya lurus memeluk sofa, persis gaya orang kaya.
“Jadi kau dah tahu, kan? Kerja kau hanya berdasarkan permintaan aku. Kalau
aku suruh kau siapkan sehelai kemeja, kemejalah yang aku nak pakai. Kalau aku
bagi arahan pagi, petang aku nak, kau mesti turut dan tiada alasan.”
“Ya,”
“Bagaimana dengan peralatan saya. Fabrik saya?” tanya Ainul Mardhiah, tidak
puas hati. Dia hanya melihat sebuah kediaman yang dilengkapi segala jenis macam
perabot, tetapi tidak nampak perkakasan yang akan digunakan nanti.
“Kau mahu alatan yang bagaimana? Nanti aku suruh Lukman datang jumpa kau.
Dia akan uruskan semuanya.”
Ainul Mardiah mengangguk. Dalam kepalanya dia membayangkan akan berkerja di
sebuah galeri khas yang dilengkapi pelbagai bahan menjahit dan fabrik. Tak
kisahlah bermula dengan menjadi tukang jahit kepada seorang lelaki kaya pun,
kerana dia berharap, satu hari nanti, pengalaman yang dikutip hari ini akan
digunakan untuk membuka butik sendiri.
“Tapi saya nak tanya, kondo ni dunia tempurung saya ke? Macam mana saya nak
beli segala keperluan?”
“Takkan aku pulak nak bawak kau ke sana sini? Gaji bulan pertama nanti kau
belilah motor atau kereta.”
“Jadi, untuk tiga puluh hari ni, saya makan angin sajalah, ya?” Ainul
Mardhiah bertanya selamba. Syed Badiuzzaman hanya memaku pandangan pada wanita
itu. Berani pula dia menjawab dengan aku?
“Nanti Lukman akan tolong kau.”
“Baik, Tuan Muda Syed Badi. Kalau tak ada apa-apa lagi, Tuan Muda Syed Badi
bolehlah balik.” Ainul Mardhiah
menghambat, lantas berdiri. Syed Badiuzzaman terkejut. Dia pulak yang dihalau
oleh Ainul Mardhiah.
“Suka hati kau halau aku balik, ya Ain?” Renung Syed Badiuzzaman tidak puas
hati.
“Bukan begitu, Tuan Muda Syed Badi jangan salah sangka. Begini, ya saya
tahu saya pekerja, Tuan Muda Syed Badi adalah majikan saya, tapi tak elok Tuan
Muda Syed Badi berlama-lama di sini. Nanti apa kata anak bini Tuan Muda Syed
Badi, apa kata keluarga Tuan Muda Syed Badi, apa kata jiran tetangga dan yang
penting apa kata Allah?”
“Anak bini aku tak masuk campur urusan aku, Ain. Tak ada siapa yang berani
masuk campur urusan aku. Kau jangan cakap apa yang boleh dan tak boleh. Aku tak
suka. Aku ke sini bukan saja nak melepak dengan kau. Tapi kalau aku nak datang,
aku akan datang. Aku nak pergi, aku akan pergi. Bukan sebab kau atau
siapa-siapa.”
Ainul Mardhiah terkedu. Syed Badiuzzaman memandangnya cengeh, buat Ainul
Mardhiah malu sendiri. Lama Syed Badiuzzaman memandangnya begitu, sehingga
akhirnya dia bangun, maju ke arah Ainul Mardhiah dan berhenti betul-betul dekat
dengannya. Ainul Mardhiah tunduk, terus tidak berani mengangkat mukanya.
Dadanya mula berombak ganas.
“Kenapa kau tunduk?”
“Mintak maaf Tuan Muda Syed Badi.”
Ainul Mardhiah masih tidak berani mengangkat muka. Dia dapat merasakan
dirinya sangat dekat dengan majikannya itu. Mudah-mudahan dengan ungkapan maaf
itu, Syed Badiuzzaman akan terus keluar dari kondo itu.
“Lain kali, kau jangan tegur aku lagi.” Pesannya perlahan di telinga Ainul
Mardhiah. Ainul Mardhiah hanya mampu mengangguk, sebelum terdengar derap tapak
kaki melangkah menjauhinya.