"MARI
sarapan dulu, Qa'id! Lepas ni kita berbincang."
Pelawa
Yun, menolak pintu bilik Qa'id selepas adik bongusnya memberi kebenaran untuk
masuk. Jam di dinding bilik itu menunjukkan angka hampir tujuh pagi. Kebetulan,
dia cuti pada hari Ahad setelah dua minggu bertugas pada hujung minggu. Qa'id
tidak banyak bicara. Sekali panggil sahaja, dia bingkas bangun.
Bimbang juga jika Kak Yun meluku kepalanya seperti semalam. Dan lebih
bimbang jika Kak Yun mengadu kisahnya pada emak. Haru! Silap hari bulan emak
suruh dia duduk sahaja di kampung dan jaga arnab sereban. Perlahan-lahan, Qa'id
menarik kerusi. Terhidu dek hidungnya aroma nasi lemak.
"Nasi
lemak?"
Tanya
Qa'id, memandang wajah Kak Yun yang segar. Bukan Kak Yun tidur sama dengannya
pukul lima pagi tadi?
"Emm,
makanlah. Ini aje yang akak sempat buat untuk sarapan."
Ujar Yun
menghulur pinggan yang berisi nasi lemak kepada adik bongsunya. Qa'id menyambut
pantas. Tangannya juga ligat mengisi pasangan lauk nasi lemak yang menjadi
tarikan. Ada ayam goreng, telur goreng, kacang goreng, sambal bilis, serta
timun sebagai ulam-ulaman.
"Baca
doa!" Arah Yun ringkas, siap menadah tangan.
"Bismillahirrahamanirrahiim...Allah
humma bariklana fiima razaktana wakina azabannar. Aminn." Usai mengaminkan
doa, mereka mula menjamu selera sehingga masing-masing menambah untuk kali kedua.
"Esok
ada kelas?"
"Ada.
Petang."
"Pagi?"
"Tak
ada." Sepatah-sepatah Qa'id menjawab. Dia terus makan namun akalnya kuat
mengarahkan sesuatu.
"Kak
Yun, terima kasih!"
Ucap Qa'id
perlahan. Sayu pula hatinya, Yun mengangkat muka, mencari diri adiknya yang
hilang di sebalik kejadian semalam. Perlahan-lahan dia mengangguk.
"Makan
dulu, nanti kita bersembang." Pesan Yun lagi.
Jika diikutkan hati, banyak sangat yang hendak diluahkan, tetapi, dia
menahan semuanya kerana mereka di hadapan rezeki. Masing-masing menikmatinya
dengan tanpa perbualan. Sarapan pagi mereka tidak lama. Qa’id terlebih dahulu
bangun. Dia meminta izin untuk berehat di ruang tamu. Yun lihat saja gelagat
adiknya. Siap basuh pinggan nanti, jaga dia! Yun bangun dan membawa semua
pinggan kotor ke singki.
“Kak
Yun...terima kasih.” Ucap Qa’id sebaik Yun melabuhkan punggung di atas sofa.
Inilah masa yang dinanti-nanti oleh Yun.
"Akak
senang aje Qa'id, kalau nak sangat berlumba, silakan! Patah riuk, jangan harap
akak nak tolong! Kau masuk penjara lagi akak tak sudi nak tolong."
Sembur
Yun. Dia malas nak bertaki depan rezeki sebentar tadi, itu yang dia menunggu
masa sesuai semenjak tadi.
"Yang
semalam tu, kau jangan nak perasan pulak! Itu peluang pertama dan terakhir.
Akak taklah baik hati macam orang lain. Kasi sampai tiga chances? Idokla teman."
"Iya...itu
last!" Kata Qa’id memberi
jaminan. Yun mencebik pula.
"Entah
akak boleh pakai ke tidak cakap Qa'id lepas apa yang akak nampak semalam.
Terkilan betul. Hancur luluh hati akak."
"Akak
janganlah cakap macam tu." Lembut saja bicaranya.
Yun rasa seperti hendak meluku lagi. Teringat sikap Qa'id di kampung,
begitulah, seperti tadi, lembut gigi dari lidah. Bicaranya bersih dan
menyejukkan hati tetapi sikap sebenar? Tiada siapa yang tahu jika tak terkantoi
malam semalam.
"Kalau
tak cakap macam tu, macam mana akak nak cakap lagi? Kami bertiga sayangkan kau
tahu? Apa lagi yang kita ada selain keluarga? Memang kau buat akak kecewa.
Kalau mak tahu, mesti mak tak percayakan kau dah lepas ni."
"Akak
janganlah sampaikan pada mak." Qa'id bagai memberi cadangan. Ada
sengih-sengih malu di hujungnya.
"So, akak bersubahat dengan kau lah?
Menipu mak?"
"Ok
lah! Kalau macam tu akak tak payah beritahu mak." Putusnya, sambil melihat
reaksi Qa'id. Matanya yang lesu nampak kembali bersinar.
"Tapi
sayangnya, artikel semalam akak dah hantar ke pejabat. Kalau mereka cetak,
nasiblah kau, Qa'id.”
Yun memerangkap di akhirnya.
Terus Qa'id menghempas badannya ke
sofa. Pasti emak akan membaca tulisan Kak Yun. Emak tidak pernah berhenti
membaca tulisan Kak Yun semenjak Kak Yun berkerja di pejabat Edisi Malaysia
sebagai wartawan jenayah. Emak pernah mengaku bahawa Kak Yun kebanggaan emak.
Oh, kalau mak baca tulisan Kak Yun, nama dan gambarnya pula terpampang di dada akhbar,
pasti haru!
"Kak
Yun tak boleh cancel ke artikel
dulu?"
"Banyak
kau punya cekadak! Kau ingat akak ni bos ke boleh senang nak bagai arahan
'jalan' dan 'berhenti'?"
"Hanya
bos yang boleh bagi arahan begitu." Tambah Yun bersama senyum dihujungnya.
Dalam hati dia berjaya mengenakan Qa'id hingga adik bongsu itu bersandar tak
terbangun lagi. Yun angkat punggung dan membawa diri ke dalam bilik. Tiba masa
untuk dirinya berehat pula setelah melalui hari yang menyakitkan pagi tadi.
AMMAR melambai ketika melihat Yun
tercari-cari dari jauh. Ada senyuman terukir di bibir wanita itu. Dia berjanji
juga dengan Muhammad Wilson dan Zill Qayyim untuk bertemu di situ, di Tasik
Titiwangsa lewat petang itu.
"Assalammualaikum.
Lama dah kau sampai, Ammar?"
"Waalaikumussalam
warahmatullah. Baru jugak."
"Roti?"
Pelawa Ammar, terus menguyah roti. Yun ketawa lantas menggeleng. Dia bawa juga
bekalan sebelum sampai ke sini. Sempat juga menyambar sekilo buah laici yang
dijual di bawah pokok tepi jalan tadi.
"Ah,
roti dalam mulut kau, baru nak pelawa aku!"
"Ha
ha ha. Apa yang kau bawak tu, Yun? Merah aje!" Tanya Ammar, sambil
mengintai plastik hijau di depan Yun.
Yun tidak menjawab tapi mengeluarkan sebiji buah laici yang berwarna
merah-kemerah jambuan lalu mengopek kulitnya. Isinya yang berwarna putih susu
terus lenyap dalam mulut Yun.
"Assalammualaikum.
Hah, kat sini kamu berdua! Puas Daddy Wilson keliling tasik cari kamu
berdua."
"Wa-"
Yun baru hendak menjawab, biji laici bersembur keluar dari mulutnya. Tiga lelaki
itu ketawa bersama sedang dia malu sendiri. Itu gelojoh! Teringat cop emak
padanya satu ketika dahulu.
"Waalaikumussalam.
Jemput duduk Daddy Wilson, Qayyim." Pelawa Ammar.
"Yun...Apalah
anak dara ni. Gelojoh bukan main." Tegur Muhammad Wilson lalu duduk di
sebelahnya.
Yun tidak sempat membalas. Dia mengesot sedikit, tetapi tidak lama kerana
dia dihimpit Zill Qayyim pula di sebelah kanan. Akhirnya, dia berdiri lalu
membuka kasut. Kasut itu kemudiannya penyet di bawah punggung Yun.
"Sebenarnya,
ada apa kita berkumpul di sini? Daddy Wilson, Ammar mari makan laici. Saya baru
beli di gerai depan tu tadi."
"Ehemm...nama
kita tak sebut pun. Kita tak alergik laici." Suara Zill Qayyim kedengaran
seperti berjauh hati ketika orang lain sibuk menikmati laici. Yun berasa
simpati pula, lalu dia menghulur juga setangkai laici buat lelaki itu. Bukan
dia tidak mahu menjemput tapi dia bimbang jika ada minda yang berfikir bahawa
dia ingin mengambil kesempatan ke atas Zill Qayyim sementelah lelaki itu nampak
agak prihatin terhadap dirinya.
"Sambil-sambil
makan kita bincang sedikit tentang apa yang berlaku di akhir-akhir ini."
Suara
Muhammad Wilson kedengaran perlahan, membuatkan masing-masing memberi perhatian
terhadap ceritanya.
"Qayyim!"
Seru Muhammad Wilson. Qayyim menoleh ke arah daddy lalu mengangguk, seperti
tahu tugasan berikutnya.
"Sebenarnya,
dua hari lepas aku ada kembali ke Genting Highland, aku cari balik staf yang
bagi aku surat sebab aku nak pastikan surat yang diberi pada aku tu datang dari
siapa."
"Kemudian?"
Ammar cepat memotong, tak sabar menanti, seperti dirinya juga.
"Tak
ada. Dia dah berhenti kerja."
"Eh,
terbaikk punya masa berhenti kerja! Habis, kau tak dapat apa-apa info lah pasal
surat tu? Siapa yang tulis? Kenapa dia tulis begitu?" Ammar terus
bertanya. Fokusnya tak berkalih semenjak tadi. Makin hangat pula isu disebalik insiden
rompakan ini.
"Tapi
tujuan aku cerita ni, bukan sebab nak ia disebarkan melalui media. Off record, please! Sebab barangkali korang boleh membantu aku, seperti
dapatkan maklumat tentang alamat kampung staf tu. Aku rasa tak sedap hatilah!
Macam ia sengaja dirancang."
Tambah
Zill Qayyim lagi. Dia menjatuhkan pandangan ke arah Yun, lama dan hanya
mengalih pandangan ke arah tasik bila terdengar deheman Muhammad Wilson di
hujung sana.
"Sempat
lagi!" Usik Muhammad Wilson pada anaknya.
Zill Qayyim ketawa kecil sedang Yun pura-pura polos. Aduhai, kalau melihat
Yun, dia asyik terbabas sahaja. Hal yang penting jadi tertangguh gara-gara Yun.
"Tak
cuba dapatkan maklumat staf tu dari kawan-kawan atau majikannya?"
Yun
menyampuk juga akhirnya. Dia ingat dia nak mendengar sahaja tadi tapi begitulah
wartawan. Mereka tidak sekadar mendengar, malah lebih dari itu. Mereka telah
dilatih untuk mencungkil seberapa banyak maklumat yang boleh.
"Saya
cuba jugak, tapi kawan-kawan dia kata, tak tahu dia tinggal di mana.”
"Dia
kerja sekejap sahaja, lebih kurang sebulan." Tambah Zill Qayyim lagi.
Ammar mula berkerut kening.
"Mintak
nama penuh dan nombor kad pengenalannya. Aku cuba korek maklumat dia dari JPN."
Putus
Ammar. Tidak puas hati dengan maklumat separuh jalan dari Zill Qayyim. Dia
yakin boleh dapatkan maklumat itu dalam masa kurang dua hari.